Itali Tergelincir Ke Kemelesetan

3052
views

Headline yang cukup merisaukan. Itali baru saja diisytiharkan memasuki fasa kemelesetan (recession). Jadi ramai duk risau adakah ia menjadi petanda permulaan kemelesetan ekonomi dunia yang baharu?

Recession Itali ini sebenarnya lebih kepada “technical recession”. Recession ialah satu terma teknikal yang bermaksud pertumbuhan ekonomi negatif selama 2 suku tahun berturut-turut. Kadar pertumbuhan GDP Itali bagi suku ke-3 (Julai-September) 2018 adalah sebanyak -0.1%, manakala bagi suku ke-4 (Oktober-Disember), 0.2%.

Jadi secara teknikal, Itali berada dalam recession. Bukan bermaksud orang Itali terus hilang kerja dan mengemis. Dia tak macam Recession 2008-2009 yang berlaku selepas panik dalam pasaran kewangan, sampai bank dan syarikat semua lingkup kerana balance sheet menyusut (yang tu kena cerita kat tempat lain pulak).

Selama ini Itali sentiasa ada dalam recession je, tapi mereka masih boleh hidup dengan normal, cuma ekonomi lembap. Dalam 10 tahun yang lepas saja, Itali dah mengalami 3 recession: 2008-2009, 2011-2012 dan terkini.

Recession hanya akan jadi full-blown krisis ekonomi apabila penguasa tak pandai mengawal keadaan. Itali ni memang tak berapa cekap mengurus ekonomi, sebab itu mereka tergolong dalam kumpulan negara PIIGS (Portugal, Itali, Ireland, Greece, Spain) iaitu negara yang paling lembap dari segi ekonomi di kalangan negara-negara EU. Orang yang cipta istilah ni nak kata negara-negara ni lembap macam PIGS lah.

Kenapa negara-negara ini jadi begitu lembap? Ada orang kata sebab hutang tinggi. Logiknya, Greece, Itali dan Portugal merupakan negara yang memiliki peratusan hutang awam tertinggi di kalangan negara EU, masing-masing di tahap 180%, 131% dan 127%.

Tapi kalau dilihat pada Belgium dan Perancis punya hutang lagi tinggi (104% dan 98%), tapi ekonomi mereka lebih baik daripada Sepanyol (97%). Jadi, tahap hutang bukan penentu keupayaan sesebuah negara untuk keluar daripada recession atau sebaliknya.

Apa yang membezakan negara-negara ini ialah respon kerajaan. Punca kelembapan ekonomi Itali ialah langkah penjimatan atau “austerity”. Entah sejak bila, EU telah menjadikan “austerity” sebagai akidah ekonomi mereka. Asal negara EU ada masalah je, Bank Pusat Eropah (European Central Bank) akan suruh negara tersebut potong subsidi, kurangkan perbelanjaan awam, kurangkan berhutang. Dan saranan tersebut sebenarnya memburukkan keadaan.

Recession berlaku kerana kejatuhan dalam keluaran ekonomi. GDP itu basically merujuk kepada keluaran atau output. Apabila output jatuh, maka pendapatan firma kurang. Apabila pendapatan firma kurang, maka mereka tak boleh nak bayar gaji pekerja dan terpaksa buang pekerja. Apabila orang hilang kerja, maka orang akan kurangkan berbelanja dan mula menabung.

Apabila orang ramai kurang berbelanja, maka pendapatan firma akan kurang. Cycle itu akan go on and on sehingga ada campur tangan kerajaan untuk menghentikan cycle tersebut melalui langkah-langkah seperti “perbelanjaan defisit” untuk menyuntik wang ke dalam ekonomi dan memastikan orang terus berbelanja. Kalau nak tunggu ekonomi memulih sendiri, tunggulah sampai kiamat.

Selepas krisis hutang di Greece yang meletup pada tahun 2010, negara-negara PIIGS ni jadi tumpuan ECB dan disaran untuk melakukan langkah austerity. Kerajaan Itali ketika itu terpaksa melaksanakan austerity, dan Itali menerima padahnya. Jadi, dalam pilihanraya 2018, rakyat Itali memilih parti-parti populis (Movimento 5 Stelle dan Lega Nord) yang anti-austerity dan berhasrat mencabar dasar ECB. Jadi recession kali ini akan menguji keupayaan kerajaan populis baharu ini dalam melawan ECB dan memulih ekonomi negara.

Kediktatoran EU ini yang membuat banyak negara rasa bengang dan ingin keluar daripada EU macam Brexit. Masalah ekonomi melimpah kepada politik dan memberi kesan balik kepada ekonomi.

Kalau masalah Itali ini tak settle, ada kemungkinan ia akan memberi kesan kepada ekonomi EU, lagi-lagi Mac nanti EU akan dikejutkan dengan Brexit. EU ni kalau dilihat sebagai satu entiti, ia adalah ekonomi ke-2 besar selepas US. Jadi kalau EU bermasalah, ekonomi dunia akan bermasalah; apabila ekonomi dunia bermasalah, ekonomi kita pun tak dapat lari daripada masalah.

Jadi jangan kita leka ingat recession tak akan sampai ke negara kita. Dalam sejarah ekonomi, kemelesetan itu PASTI berlaku, dan selepas kemelesetan PASTI akan berlaku pemulihan. Dia dah jadi macam hukum alam. Cuma persoalannya bila dan berapa lama kemelesetan itu berlangsung.

PS: Nanti free aku kupas pasal pelbagai teori tentang punca berlakunya kemelesetan ekonomi, dan sejarah kitaran ekonomi (economic cycles).

#JustMyTwoCents #MySixthCents