Itali Peserta Terbaru Jalan Sutera Baru China

60

Baru-baru ini, Presiden China Xi Jinping mengadakan lawatan ke benua Eropah dan antara negara pertama yang disinggahinya ialah Itali. Menerusi lawatan ini, Rome dan Beijing memeterai 29 perjanjian berjumlah 2.5 bilion euro di mana ia merupakan sebahagian daripada projek Jalan Sutera Baru China atau Belt and Road Initiative (BRI). Ini menjadikan Itali negara pertama dari kumpulan G7 yang menyertai projek berkenaan.

Dan seperti biasa, wujud suara-suara sumbang yang risau tentang perkembangan ini. Bagi Kesatuan Eropah (EU), mereka mengeluarkan kenyataan mahu menilai semula hubungan mereka dengan Beijing termasuk akses pasaran yang adil dan persaingan yang bersifat saksama. Sementara Amerika Syarikat pula menyifatkan Itali merupakan antara ekonomi terbesar di Eropah dan tidak perlu melibatkan diri dalam projek besar Beijing itu. Tetapi suara-suara sumbang ini lupa pula sebab yang mendorong Rome memeterai semua perjanjian itu dan ada yang didorong oleh EU sendiri.

Bagi yang pernah membaca artikel My Two Cents sebelum ini, sudah pasti masak dengan perang dingin EU-Rome berkenaan isu belanjawan mereka sehingga hampir-hampir mencetuskan krisis kewangan di negara zon Eropah itu. Tetapi terima kasih kepada kompromi kedua-dua pihak seminggu sebelum Krismas tahun lepas, krisis tersebut berjaya dielakkan.

Tetapi itu bukan penyelesaian kepada isu ekonomi yang dihadapi kerajaan yang diketuai Giuseppe Conte yang kini dibelenggu masalah kemelesetan ekonomi dan hutang negara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara Eropah. Berikutan masalah ini, kerajaan Itali tidak mempunyai dana untuk menambahbaik atau menggantikan infrastruktur lama negara berkenaan. Masalah ini juga merupakan punca kepada runtuhnya jambatan Genoa pada Ogos tahun lepas yang membunuh berpuluh-puluh orang.

Ramai pihak berasa skeptik dengan BRI kerana bimbang negara-negara yang mengadakan perjanjian dengan Beijing akan dibelenggu dengan masalah hutang melampau sehingga terpaksa menyerahkan aset mereka kepada China. Selain itu, mereka juga melihat BRI sebagai satu strategi China dalam berhadapan dengan situasi geopolitik serantau dan dunia hari ini. Tetapi jika tidak kerana wang dari BRI ini, Uganda tidak berupaya membina jalan sepanjang 50 kilometer menuju ke lapangan terbang antarabangsanya. Sementara bandar pelabuhan Bagamoyo di Tanzania merupakan antara pelabuhan terbesar di Afrika.

Manakala separuh dari pemilikan pelabuhan Piraeus berhampiran Athens dimiliki firma China Cosco di mana ia dimajukan bagi memaksimumkan lagi kapasiti kapal dan perdagangan dengan EU. Terima kasih kepada pelaburan China di situ, Piraeus merupakan antara pelabuhan tersibuk di Eropah dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitarnya.

Melihat kepada kesanggupan Greece menerima pelaburan Beijing untuk membantunya keluar dari krisis ekonomi yang teruk, maka tidak hairanlah mengapa Conte dan timbalannya Luigi Di Maio bersedia melakukan perkara sama walaupun sentimen itu tidak dikongsi rakan sekutu Matteo Salvini mahupun bekas Perdana Menteri Paulo Gentiloni.

Bagi Itali, perjanjian ini walaupun dianggap simbolik tetapi amat penting kepada hubungan ekonomi dua negara itu. Menerusi perjanjian ini, Rome boleh meningkatkan lagi sumbangan eksport EU kepada China dan membantu mereka menjadi tumpuan para pelabur dari Beijing. Ini kerana berdasarkan senarai 50 destinasi pelaburan teratas China, tiada satu pun yang menyebut nama Itali dan ini sedikit sebanyak menjelaskan pengurangan pelaburan dari negara Tembok Besar itu. Selain itu, perjanjian ini juga dapat membantu Itali-China mengurangkan defisit perdagangan sebanyak $12.1 bilion pada tahun 2018.

Satu perkara yang dilihat akan menerima laba daripada perjanjian ini ialah buah limau. Ah, limau?! Ya, limau. Buah sitrus dari Itali seperti limau menjadi tumpuan pengguna China kerana tinggi kandungan antioksidanya tetapi ia hanya boleh dieksport melalui jalan laut. Masalahnya bila ia tiba di pelabuhan China, ia sudah kehilangan khasiat dan rasanya.

Situasi ini menimbulkan pening kepala pemain sektor pertanian Itali-China dan mendorong mereka mencari sistem pembungkusan dan pengestoran alternatif. Melihat jika wujud kemungkinan sekatan perdagangan ditarik balik seiring dengan lawatan Jinping ke Rome, pada akhir tahun 2018 mereka cuba menghantar bungkusan limau ke China melalui jalan udara. Ya, ia memang berhasil tetapi bagi setiap unit penghantaran, ia menambah kos $1.70.

Jika projek penambahbaikan landasan keretapi yang menghubungkan Itali dengan China dapat direalisasikan, ia akan memendekkan tempoh penghantaran 38-45 hari (jalan laut) kepada 11-13 hari sahaja dan pada harga yang kompetitif.

Dari situ, ia boleh membuka lebih banyak aktiviti eksport produk pertanian ke China termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan dan secara tidak langsung, boleh menambah sumbangan sektor berkenaan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Itali. Ini kerana sumbangan sektor tersebut tidak tersenarai dalam 10 sektor penting yang menyumbang kepada KDNK Itali.

Sementara bagi China sendiri, lebih banyak peluang dalam pasaran domestik negara itu dilihat boleh merancakkan lagi persaingan dan inovasi dalam kalangan firma-firma China.

Ada juga penganalisis berpandangan ia boleh membantu China dalam jangka masa panjang di mana ia turut dibantu dengan pelbagai usaha reformasi perdagangan bagi menyamakan tahap persaingan firma-firma domestik dan asing. Keadaan ini dilihat boleh menambah lagi permintaan sektor domestik.

Bagaimanapun, ia masih lagi di peringkat awal dan masih banyak perkara yang perlu diambilkira termasuk penglibatan Huawei dalam membina rangkaian komunikasi Itali. Selain itu, Rome juga perlu menyakinkan rakan-rakan EU bahawa mereka tetap komited kepada kesatuan berkenaan terutama dalam soal ekonomi. Tetapi selagi EU masih perlahan dalam menentukan langkah seterusnya berkenaan hubungan dagangnya dengan China, usah terkejut jika lebih banyak negara EU mengikut jejak Athens dan Rome melakukan perkara sama.

SUMBER

1. Wheeler, Andre. (2019). Channel News Asia. Commentary: Italy takes bite of China apple with entry into Belt and Road Initiative. https://www.channelnewsasia.com/news/commentary/italy-china-belt-road-initiative-xi-jinping-genoa-trieste-mou-11376350

2. Hosken, Andrew dan Kasapi, Albana. (2017). BBC. Why is China investing heavily in south-east Europe? https://www.bbc.com/news/world-europe-41654346

3. BBC. (2019). Italy joins China’s New Silk Road project. https://www.bbc.com/news/world-europe-47679760

4. Turak, Natasha. (2019). CNBC. Italy joining China’s Belt and Road project is ‘geopolitically unwise,’ former prime minister says. https://www.cnbc.com/2019/03/25/italy-joining-chinas-belt-and-road-project-is-unwise-former-pm.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.