Itali Mewajibkan Vaksinasi

4
views

Ibu bapa kepada kanak-kanak di Itali telah ‘diminta’ untuk tidak membawa anak mereka ke sekolah, sehingga mereka dapat membuktikan dan memberi dokumen mengesahkan bahawa anak-anak mereka telah menerima suntikan vaksinasi.

Ibu bapa yang enggan mematuhi arahan yang telah ditetapkan dan bertindak menghantar anak mereka yang berisiko ke tadika atau sekolah, akan didenda sebanyak 500 Euro.

Undang-undang baru ini dikenali sebagai ‘Lorenzin Law’, bersempena nama bekas menteri kesihatan Itali terdahulu iaitu Beatrice Lorenzin.

Ia diperkenalkan setelah terdapat peningkatan mendadak kes demam campak (measles) di Itali terutama pada tahun 2018, yang menyaksikan sebanyak 82,596 kes baru demam campak telah dilaporkan di Eropah. Jumlah tersebut adalah 3 kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kes pada tahun 2017, dan 15 kali lebih tinggi daripada jumlah kes pada tahun 2016!

Di dalam ‘Lorenzin Law’ ini juga, terdapat 10 jenis suntikan vaksin yang berbeza telah diwajibkan dan diberikan secara percuma kepada kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah. Antaranya:

– Polio

– Hepatitis B

– Tetanus

– Campak

– Haemophilus influenzae B

– Difteria

– Mumps

– Rubella

– Pertussis (batuk kokol)

– Varicella (untuk kanak-kanak lahir tahun 2017 ke atas)

Suntikan Vaksin Tambahan Yang Tidak Diwajibkan, Namun Disyorkan:

– Anti-meningococcal B*

– Anti-meningococcal C*

– Vaksin Pneumococcal*

– Rotavirus*

* Senarai vaksin tambahan akan dikemaskini Kementerian Kesihatan Itali setiap 3 tahun.

Kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah, telah dilarang untuk menghadiri tadika dan rumah penjagaan tanpa dokumen yang membuktikan bahawa mereka telah menerima suntikan vaksinasi.

Manakala bagi golongan kanak-kanak yang berumur 6 sehingga 16 tahun pula, mereka bagaimanapun tidak dihalang untuk ke sekolah, namun ibu bapa berdepan tindakan dikenakan denda sebanyak 500 Euro, sekiranya anak mereka tidak melengkapi jadual suntikan vaksinasi yang telah diwajibkan.

Menurut laporan media di Itali, pihak berkuasa daerah menangani situasi pengenalan undang-undang baharu ini dengan pelbagai cara yang berbeza.

Contohnya di daerah Bologna, pihak berkuasa tempatan bertindak lebih keras dan tegas dengan tindakan menghantarkan surat penggantungan sesi persekolahan kepada sejumlah 300 ibu bapa serta 5000 kanak-kanak yang tidak mengemaskini dokumentasi suntikan vaksinasi.

Manakala di daerah lain, tiada laporan tentang penggantungan persekolahan serta merta telah dilaporkan. Malah sesetengah daerah memberi masa ‘grace period’ bagi ibu bapa untuk mendapatkan suntikan vaksinasi untuk anak-anak mereka selepas tarikh akhir iaitu pada 10 Mac.

Seperti yang saya nyatakan di atas, undang-undang ini diperkenalkan akibat wabak demam campak yang melanda negara-negara di Eropah termasuk Itali pada tahun 2018 yang lalu.

Objektifnya adalah untuk mencapai sasaran iaitu 95% populasi telah menerima suntikan vaksinasi seperti yang disarankan oleh World Health Organization (WHO). 95% ini adalah jumlah yang disyorkan untuk memastikan keberkesanan dan perlindungan ‘herd immunity’ atau imuniti kelompok itu.

Maksudnya di sini, jumlah populasi yang telah divaksinkan itu sangat mencukupi sehinggakan tiada atau kurang risiko penyebaran penyakit dapat berlaku. Justeru ia dapat melindungi mereka yang tidak boleh menerima suntikan vaksin atas masalah kesihatan yang dihadapi seperti bayi, pesakit kanser, pesakit auto-immune dan sebagainya.

Bulan lalu di Rom, seorang kanak-kanak berumur 8 tahun yang baru sahaja menjalani rawatan untuk leukemia, telah dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah berikutan sistem imunisasi beliau yang lemah.

Ini kerana kanak-kanak tersebut tergolong di dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk terdedah kepada jangkitan penyakit berjangkit.

Mengapa?

Kerana sebahagian besar pelajar di sekolah tersebut tidak menerima suntikan vaksin, ini termasuklah rakan-rakan sekelas beliau.

Menariknya berkenaan peristiwa mewajibkan suntikan vaksinasi di Itali ini, adalah tentang ibu bapa yang serta merta mendapatkan suntikan vaksinasi untuk anak mereka.

Ini menunjukkan bahawa mereka bukanlah ‘menolak’ suntikan vaksin mentah-mentah disebabkan oleh dakyah-dakyah anti vaksin, tetapi kurangnya pendedahan dan pendidikan serta mengambil ringan penyakit-penyakit yang berisiko untuk dihidapi oleh anak mereka.

Harap-harap di Malaysia, kerajaan dan Kementerian Kesihatan akan bertindak lebih tegas, dengan mewajibkan suntikan vaksinasi demi kemaslahatan umat secara am nya.