Isu Penangkapan Ikan Paus Komersial – Mimpi Ngeri Diplomatik Jepun

308

Sebut saja nama Jepun, yang baik-baik saja kita akan dengar. Katalah apa dari sikap pembersih rakyatnya sehinggalah kemajuan sains dan teknologi yang menjadikan negara Matahari Terbit itu antara kuasa ekonomi dunia, itu sudah cukup memperlihatkan reputasi Jepun yang hebat. Tetapi dari segi alam sekitar terutama berkenaan pemburuan ikan paus, minta maaf banyak-banyak. Jepun mempunyai rekod buruk dalam soal ini dan bukan sekali dua dikecam masyarakat antarabangsa kerana terlalu ghairah mengejar ikan paus sehingga ke Antartica.

Tetapi bagaimana semua ini bermula? Aktiviti memburu ikan paus sudah berakar umbi dalam masyarakat Jepun sejak abad ketujuh Masihi lagi. Teks sejarah Jepun yang paling lama iaitu Kojiki/Furukotofumi menceritakan makanan pertama Maharaja Jimmu ialah daging ikan paus. Selain Kojiki/Furukotofumi, pelbagai teks lama sejarah turut menceritakan aktiviti memburu ikan paus. Semasa era Keshogunan Tokugawa, pembangunan teknik memburu ikan paus mula dibangunkan di Taji, Wakayama seperti memburu secara berkumpulan, tempuling tangan dan Amitori hou (teknik menjala ikan paus yang selamat dan efisien).

Ikan paus menjadi komoditi berharga di Jepun ketika itu kerana semua bahagiannya digunakan dari sumber protein (daging ikan paus) hinggalah sumber bahan api (lemak ikan paus). Justeru, tidak hairanlah bila ekspedisi Komodor Matthew Perry tiba di Teluk Edo (kini Teluk Tokyo) yang menjadi pencetus kejatuhan Keshogunan Tokugawa, mereka sebenarnya mencari lokasi terbaik sebagai pangkalan memburu ikan paus di utara Lautan Pasifik.

Selepas kuasa maharaja dipulihkan menerusi era Pemulihan Meiji, era tersebut menyaksikan pengenalan kapal memburu ikan paus yang dilengkapi dengan senjata api. Bagaimanapun, kapal sebegini tidak digemari nelayan-nelayan Jepun kerana mereka percaya taktik sebegini membunuh ikan paus sesuka hati.

Ini kerana bagi sesetengah orang Jepun, ikan paus dianggap dewa lautan dan berguna menghalau ikan-ikan ke arah jala para nelayan. Jika anda berkunjung ke Jepun, usah terkejut jika ada kuil yang didedikasikan untuk ikan paus. Kuil sebegini atau Kujira Jinja dibina bagi membolehkan penduduk memuja dan menyembah ikan paus yang menjadi sumber kehidupan mereka.

Budaya memburu ikan paus di Jepun amat berbeza dengan Amerika Syarikat kerana mereka memanfaatkan semua bahagian ikan paus sementara nelayan Amerika pula terlalu fokus mendapatkan lemak ikan paus sebagai sumber bahan api. Pada awal abad ke-20, teknik menangkap ikan paus di Jepun terus ditambahbaik dan moden bagi mendapatkan hasil tangkapan yang lebih baik.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Jepun memerlukan masa untuk bangkit semula dari kemusnahan perang. Dan dengan situasi kekurangan makanan, mahu tidak mahu Tokyo terpaksa mencari sumber alternatif makanan terutama protein. Dengan izin dan galakan Douglas MacArthur, dua kapal tangki Tentera Laut Amerika Syarikat diubahsuai menjadi kapal kilang pemprosesan daging ikan paus dan berlayar ke Laut Selatan.

Dari tahun 1940-an hingga 1960-an, daging ikan paus menjadi sumber protein utama rakyat Jepun dan kemuncak operasi pada tahun 1964 menyaksikan 24,000 ikan paus terdiri daripada paus sirip dan paus sperma dibunuh dan diproses sebagai makanan.

Pada tahun 1982, operasi menangkap ikan paus Jepun berhadapan halangan besar apabila Suruhanjaya Menangkap Ikan Paus Antarabangsa (IWC) mengadakan moratorium memburu ikan paus secara komersial. Moratorium itu berkuatkuasa pada tahun 1986 dan walaupun Jepun pada awalnya enggan patuh pada moratorium berkenaan, mereka terpaksa mengalah kepada tekanan Amerika Syarikat.

Tekanan tersebut datang melalui larangan kapal perikanan luar tidak dibenarkan menangkap ikan sekitar perairan Alaska. Tidak lama selepas itu, Washington mengeluarkan arahan larangan kepada mana-mana kapal perikanan dari berada di perairan Alaska sekaligus memaksa Tokyo mencari cara lain untuk meneruskan kegiatan ini tanpa melanggar sekatan IWC.

Satu cara yang cuba digunakan Tokyo ialah menyamarkan aktiviti penangkapan ikan paus mereka di Antartika sebagai ekspedisi saintifik. Alasan bongok ini bukan saja mencetuskan kemarahan pengkaji saintifik tetapi juga aktivis alam sekitar. Dan alasan ini juga dimusnahkan sepenuhnya oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menerusi penghakiman mereka pada tahun 2014.

Pada tahun itu, mahkamah memutuskan aktiviti ‘saintifik’ yang dijalankan di perairan Antartika itu hanyalah helah untuk menghalalkan aktiviti menangkap ikan paus mereka. Pada mulanya, kerajaan pimpinan Shinzo Abe mematuhi keputusan mahkamah tetapi mengambil keputusan meneruskan aktiviti tanpa mengendahkan kecaman masyarakat antarabangsa.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Tokyo memutuskan untuk keluar dari IWC sekaligus membolehkan mereka memburu ikan paus tanpa sebarang halangan. Terdapat banyak sebab yang mendorong Jepun berbuat demikian. Pertama, keluarnya mereka dari IWC membantu menjimatkan wang yang diperuntukkan untuk membeli undi anggota IWC. Ya, memang benar. Pembelian undi rakan anggota IWC melalui program bantuan dan tuduhan ini sudah wujud sejak sekian lama bagi mempromosikan agenda pro-pemburuan ikan paus.

Duit kerajaan juga boleh dijimatkan apabila tidak menyalurkan dana kepada Institut Kajian Setasea dan ekspedisi penangkapan di Antartika. Untuk pengetahuan para pembaca, ekspedisi sebegini sememangnya menguntungkan tetapi memberi tekanan kewangan kepada para nelayan. Ini kerana kapal yang digunakan berusia 30 tahun dan kapal sebegini memerlukan kos 10 bilion yen ($91.3 juta) untuk menggantikannya. Dengan menangkap ikan di kawasan perairan mereka, ia sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kos terutama dari segi perjalanan dan penyelenggaraan kapal.

Kedua, usaha untuk membatalkan moratorium pada satu persidangan IWC di Brazil berakhir dengan kegagalan apabila IWC mengeluarkan deklarasi mengekalkan moratorium penangkapan ikan paus secara komersial. Ini juga merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan Abe menentang gerakan mengehadkan penggunaan sumber marin.

Mereka berharap dengan menggunakan menangkap ikan paus secara komersial, ia boleh menjadi tembok untuk menghentikan sebarang usaha mengehad atau mengenakan sekatan menangkap spesies ikan terutama ikan tuna. Perlu diingat, Jepun masih bergantung kepada ikan sebagai sumber protein dan cubaan mereka meningkatkan kuota ikan tuna semasa mesyuarat Suruhanjaya Perikanan Pasifik Barat dan Tengah tahun lepas berakhir dengan kegagalan.

Ketiga, tidak ramai tahu industri menangkap ikan paus komersial juga merupakan kunci kepada usaha Abe dan partinya Parti Liberal Demokratik (LDP) terus berkuasa di Jepun. Kedua-dua Abe dan Setiausaha Agung LDP Toshihiro Nikai mempunyai komuniti nelayan ini di kawasan parlimen mereka.

Dan bukan satu rahsia Nikai sentiasa melobi Kementerian Luar dan Agensi Perikanan Jepun untuk membuang larangan menangkap ikan paus komersial. Dengan kedua-duanya berharap dapat menyapu majoriti semasa pilihan raya Jepun Julai hadapan, ini merupakan kali terakhir dua pemimpin parti yang paling berkuasa membuat keputusan pada masa sama.

Selain itu, aktivis Junko Sakuma berpandangan jika aktiviti penangkapan ikan paus dihentikan, ia akan mengakibatkan jabatan berkenaan hilang sekaligus menimbulkan rasa malu dalam kalangan pekerja dan pegawai terlibat serta risiko kerugian kewangan akibat kehilangan pencen, kenaikan pangkat atau pemindahan jabatan. Sakuma turut mendedahkan janji menangkap ikan paus ialah modal politik basi yang digunakan ahli politik untuk menjamin kemenangan kerusi mereka terutama di kawasan komuniti nelayan.

Walaupun sudah bebas dari sekatan IWC, itu tidak bermakna nelayan-nelayan Jepun boleh menangkap ikan paus sesuka hati. Ini kerana mereka masih tetap menangkap ikan di kawasan-kawasan khas yang dinyatakan pihak agensi dan tidak dibenarkan menangkap sesetengah jenis ikan paus. Selain itu, mereka juga perlu mematuhi kuota bilangan ikan paus yang ditetapkan IWC bagi membolehkan bilangan mereka terus kekal untuk satu abad berikutnya. Bagi para nelayan, mereka mengharapkan perubahan polisi ini memberi kesan baik kepada mereka.

Tetapi itu tidak bererti Tokyo tidak akan terlepas dari tindakannya keluar dari IWC. Keluarnya Jepun dari IWC secara tidak langsung melemahkan kedudukan diplomatik Jepun. Pandangan ini dinyatakan oleh Profesor Tosh Minohara dari Universiti Kobe.

Satu kesan tidak langsung dari tindakan ini ialah melemahkan kekuatan diplomatik Jepun bila menggesa negara-negara luar mematuhi kerangka kerja antarabangsa. Jika Tokyo boleh berbuat demikian dalam isu penangkapan ikan paus, mengapa negara lain tidak boleh melakukan perkara sama? Keadaan ini boleh menyebabkan negara-negara lain menggelar Tokyo sebagai hipokrit.

Satu lagi yang terjejas ialah industri perikanan Jepun sendiri. Bukan sekali dua Jepun menggesa peraturan antarabangsa digubal bagi isu perikanan di Pasifik bagi mengelak situasi terlebih menangkap ikan oleh negara-negara lain termasuk negara jiran China.

Menurut penyelidik Universiti Waseda Yasuhiro Sanada, kegagalan Jepun mematuhi kerangka kerja antarabangsa berkenaan penangkapan ikan paus sudah pasti akan menimbulkan persoalan berkenaan kedudukan sebenar industri dan keseriusan pihak kerajaan terhadap isu alam sekitar terutama berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar.

Dan sebagai kata akhir, orang Jepun sebenarnya sudah tidak berminat menjadikan daging ikan paus sebagai sumber protein mereka. Menurut Sakuma, pengambilan daging ikan paus terus menurun dari tahun ke tahun dan di sebalik kekurangan bekalan daging ikan paus di pasaran, ia masih belum mampu menaikkan harga ikan bagi menarik perhatian pengguna. Pada tahun 2015 sahaja, jumlah pengambilan daging ikan paus bagi orang Jepun hanya satu aun atau 30 gram seorang.

Jika ada pun yang mengambilnya, ia dimakan atas sebab nostalgia. Suka atau tidak, industri ini dilihat tidak mempunyai masa depan yang cerah dan ia akan menjadi bebanan kepada LDP dan sekutunya. Ya, prospek Abe dan LDP untuk memenangi pemilihan semula Julai hadapan amat cerah. Tetapi jika harga yang dibayar ialah kerosakan imej Jepun sebagai sebuah negara di mata masyarakat antarabangsa, maka kita semua tahu apa puncanya: ikan paus!

SUMBER

1. Okutsu, Akane. (2019). Why Japan risked condemnation to restart commercial whaling. Nikkei Asian Review. https://asia.nikkei.com/Spotlight/Asia-Insight/Why-Japan-risked-condemnation-to-restart-commercial-whaling

2. FactsAboutJapan.com. History of Japanese Whaling. http://www.facts-about-japan.com/whaling-history.html

3. Kingston, Jeff. (2019). How Japan’s return to commercial whaling could actually kill the industry and save whales. South China Morning Post. https://www.scmp.com/comment/insight-opinion/united-states/article/2180138/how-japans-return-commercial-whaling-could

4. Wingfield-Hayes, Rupert. (2016). Japan and the whale. BBC. https://www.bbc.com/news/world-asia-35397749

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.