Bismillahirrahmanirrahim.

“Wahai manusia, sesungguhnya kami telah ciptakan kamu dalam kalangan lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.” al-Hujurat: 13

Tahun 2007 menjadi saksi dua peristiwa yang agak menarik berkaitan bahasa. Pertama, Oxford English Dictionary telah memasukkan satu perkataan baharu yang berasal daripada dialek Hokkien: ‘kiasu’. Secara literalnya, kiasu membawa maksud ‘takut kalah.’ Dari segi praktikalnya pula, kiasu adalah satu perkataan pejoratif yang merangkumi sikap suka bersaing, biadab, tamak, pentingkan diri sendiri dan tidak mahu mengalah sama sekali.

Peristiwa kedua pula adalah temu ramah Al-Jazeera dengan Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin, berkenaan perhimpunan Bersih. Bagi yang pernah mendengar rakaman temu ramah itu pastinya tidak akan lupa betapa teruknya penguasaan bahasa Inggeris beliau sehingga dianggap memalukan Malaysia. Seribu satu kecaman yang beliau terima ekoran temu ramah itu.

Itu kes yang melibatkan seorang Menteri Penerangan yang gagal menerangkan dengan baik dalam bahasa asing. Berbeza pula halnya dengan kes Tommy Thomas yang sebenarnya jauh lebih mendukacitakan, iaitu apabila seorang Peguam Negara (AG) tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan. Jika Zainuddin Maidin dikecam secara sepakat, agak menakjubkan apabila ada yang mempertahankan Tommy Thomas atas alasan penguasaan bahasa Melayu yang baik bukanlah syarat menjadi AG.

Persoalannya, adakah sudah tiada orang lain yang memenuhi syarat memegang jawatan penting itu dan pada masa yang sama mampu bertutur bahasa Melayu? Apakah kelebihan luar biasa yang dimiliki Thomas yang tidak tahu berbahasa Melayu sehingga diutamakan menjadi AG di sebuah negara majoriti orang Melayu dengan bahasa kebangsaannya bahasa Melayu?

Selain Thomas, ada banyak lagi contoh yang boleh diberikan tentang mereka yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat tetapi tidak tahu berbahasa Melayu, malah terdapat beberapa video rakaman sidang parlimen yang boleh ditonton dalam YouTube menunjukkan beberapa ahli parlimen bertutur dalam bahasa Melayu yang kualitinya sangat memalukan.

Bukanlah kita mengharapkan bahasa Melayu mereka bertaraf sasterawan negara, cukuplah sekadar ada kesedaran meraikan bahasa kumpulan majoriti dengan mempelajarinya. Jika sudah berpuluh tahun lahir dan tinggal di Malaysia tetapi masih gagal bertutur dalam bahasa kebangsaan, ia sepatutnya menjadi alamat tentang keperluan berusaha ke arah penguasaan yang lebih baik, bukan meremehkan lagi keutamaan dan peranan bahasa kebangsaan sebagai medium penyatuan kaum.

Kegagalan berbahasa Melayu ini hanyalah satu contoh bagaimana bahasa Melayu cuba dinafikan keutamaannya oleh golongan kiasu di sebuah negara yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu dan kini masih dihuni majoriti orang Melayu. Belakangan ini, golongan ini semakin berani menampakkan taring kekiasuan mereka terutamanya dalam isu bahasa (belum lagi masuk isu agama).

Manakan tidaknya, sebelum memegang kuasa kerajaan pusat lagi kiasu-kiasu ini sudah berani menunjukkan kebiadaban mereka. Apabila ditentang, mereka menggunakan pula tiket “toleransi” sebagai hujah, seolah-olah kompromi yang diberikan agar kelangsungan bahasa ibunda mereka tidak disekat dan hak untuk mendirikan sekolah vernakular belum cukup bertoleransi lagi.

Masyarakat tidaklah begitu marah apabila sekumpulan minoriti memperjuangkan hak mereka sekiranya hak itu dikira wajar dan adil. Apa yang benar-benar menyakitkan hati masyarakat adalah nada angkuh, sikap permusuhan dan kiasu yang dipamerkan terang-terangan tanpa menghormati langsung sensitiviti orang lain. Tidak cukup dengan bertegas mahukan “hak” sendiri ditambah (ditambah, bukan dihormati atau dijaga!), hak penduduk asal dan kumpulan majoriti juga ditentang atau dipertikaikan tanpa segan silu.

Pada 2008, ahli parlimen DAP, Teresa Kok, mempertikaikan kandungan tulisan Jawi pada papan-papan tanda jalan di Kuala Lumpur. Sikap permusuhan beliau terhadap tulisan yang sejarahnya berkait rapat dengan agama Islam ini sangat ketara meskipun dengan usahanya untuk berselindung daripada hakikat itu. Pelbagai hujah bercanggahan yang digunakan bagi menegakkan benang basah dalam pertikaiannya.

Kok menyatakan bahawa sebab penentangannya adalah kerana tulisan Jawi itu mengambil ruang tulisan Rumi sehingga menyebabkan orang sukar membacanya. Beliau juga dengan bangganya mengambil gambar dengan salah satu papan tanda yang dimaksudkan. Dalam gambar itu, beliau menunjukkan jarinya pada tulisan Jawi yang jelas sekali tidak mengganggu langsung tulisan Rumi sebagaimana yang didakwa.

Sikap hipokrit dan kiasu beliau tidak terhenti setakat itu. Selepas merungut tentang kewajaran DBKL menggunakan ‘wang cukai rakyat’ untuk menaikkan papan-papan tanda itu, Kok mencadangkan agar kesemua papan itu dibuang dan digantikan dengan apa yang dinamakan sebagai ‘papan tanda muhibbah’. Ironiya, papan tanda yang kononnya “muhibbah” ini menendang keluar terus tulisan Jawi dan digantikan pula dengan bahasa Tionghua dan bahasa Tamil.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin. Walaupun selepas dikecam dan sememangnya telah termaktub dalam perlembagaan tentang kewajiban penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, beliau tetap bertegas untuk terus mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin.

Contoh kiasu yang lebih baru lagi adalah desakan agar United Examination Certificate (UEC) diiktiraf di Malaysia. Keangkuhan dan sikap kiasu dalam memperjuangkan pengiktirafan UEC adalah sangat ketara apabila Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan, menjadi ‘lebih sudu daripada kuah’ dengan mendahului menterinya dalam isu tersebut. Sebagai Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata bahawa kajian akan dibuat terlebih dahulu sebelum perkara itu diputuskan. Tidak semena-mena Teo yang hanya merupakan timbalan bertegas mahukan pengiktirafan UEC dibuat secepat mungkin sebelum hujung tahun 2018.

Ini semua adalah kiasu.

Di Singapura, fenomena kiasuisme diakui oleh media tempatannya sebagai barah yang hodoh dan memalukan dalam masyarakat. Antara manifestasi kiasuisme adalah enggan memberikan laluan kepada pemandu lain untuk memotong di atas jalan raya. Barah ini sangat berleluasa dalam kehidupan harian mereka sehingga kerajaan Singapura terpaksa berusaha untuk menghapuskannya melalui pelbagai kempen kesedaran. Antaranya adalah ‘National Courtesy Campaign 1993’

Kempen di Singapura ini kedengarannya menyamai Kempen Budi Bahasa di negara kita. Namun sebagai perbandingan, lihatlah bagaimana dekatnya nilai adab dan bahasa dalam masyarakat kita sehingga perkataan ‘budi’ dan ‘bahasa’ mempunyai hubungan kolokasi (satu kata yang sentiasa diiringi oleh satu kata yang lain).

Melihat pada hubungan erat budi-bahasa ini dan hakikat bahawa sikap saling menghormati nampaknya masih gagal disemai dalam kalangan segelintir masyarakat Malaysia serta bagaimana masih ada ahli parlimen yang gagal berbahasa Melayu, mungkin adalah lebih baik buat Teresa Kok, Teo Nie Ching dan yang sewaktu dengan mereka mencadangkan penambahbaikan pendidikan bahasa Melayu daripada secara aktif cuba meminggirkan tulisan Jawi atau memperjuangkan pengiktirafan sijil yang akan melebarkan lagi jurang mereka dengan bahasa Melayu.

MUHAMMAD ABDUL HADI BIN MOHD RADZI
Pengerusi Lajnah Penerangan & Perhubungan Kampus,
Persatuan Mahasiswa Islam USM,
Universiti Sains Malaysia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.