Sebut nama Naoko Nemoto, ramai menggaru kepala siapa gerangan wanita ini. Tetapi bila disebut nama Ratna Sari Dewi Sukarno, barulah orang sedar wanita ini sebenarnya salah seorang daripada isteri-isteri Presiden Indonesia yang pertama, Sukarno. Dan bila menelusuri sejarah hidup wanita ini, ia penuh dengan anekdot berwarna-warni.

Dilahirkan pada 6 Februari 1940, masa kecilnya menyaksikan keluarganya bergelut dengan kemiskinan terutama pada tahun-tahun pasca-Per-ang Dunia Kedua (WWII) dan pendudukan Amerika Syarikat di Jepun. Begitupun, itu tidak menghalangnya mendapat pendidikan yang baik walaupun terpaksa bekerja pada siang hari semasa usia remaja.

Pada waktu siang, Ratna Sari bekerja di Syarikat Insurans Nyawa Chiyoda dan pada malamnya, menghadiri Sekolah Tinggi Senior Mita. Pada masa sama, beliau turut mempelajari tarian Jepun, upacara teh Urasenke dan gubahan bunga gaya Sogetsu. Tetapi Ratna Sari sedar semua ini memerlukan pembiayaan kos yang mahal.

Justeru, ini membawa kepada pekerjaannya sebagai seorang pelayan kelab di Kelab Kokusai di Akasaka. Pada suatu hari, Ratna Sari diajak oleh seorang rakan dari Filipina yang juga penyanyi kelab tersebut untuk datang dan melihat sendiri suasana kelab.

Sebaik saja melihat suasana kelab, beliau sedar inilah tiket peluang yang diperlukan untuk mengubah kehidupannya. Perlu diingat, Kokusai pada ketika itu merupakan kelab tumpuan golongan ternama dan pekerja yang bekerja di situ meraih pendapatan 6,000 yen sebulan. Ini mendorong Ratna Sari meminjam sehelai gaun dan memohon pekerjaan di kelab berkenaan walaupun perlu menipu usia sebenarnya.

Pada usia 19 tahun, beliau bertemu dengan Sukarno yang ketika itu berusia 57 tahun semasa mengadakan lawatan rasmi ke Jepun pada tahun 1959. Pada November tahun sama, kedua-duanya berkahwin secara rahsia dengan negarawan Indonesia itu mahukannya sebagai sumber inspirasi, kegembiraan dan kekuatan kehidupannya.

Sukarno

Bagi membolehkannya berkahwin dengan Sukarno, Ratna Sari memeluk Islam dan diberi nama Ratna Sari Dewi yang bermaksud permata dewi. Beliau berharap menerusi perkahwinannya itu, ia juga menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan Indonesia dengan negara kelahirannya, Jepun.

Di sebalik paras rupanya yang jelita, wanita ini tidak keberatan meluahkan pandangan yang bersifat jujur terhadap suaminya itu. Ratna Sari berbuat demikian bukan saja kerana keperibadiannya yang bersifat serius tetapi mahu mengingatkan Sukarno kembali kepada realiti. Beliau turut melihat orang-orang di sekeliling suaminya itu sebagai pengampu dan hanya berminat menjaga kepentingan mereka saja.

Semasa gerakan Gestapu[1] tercetus pada tahun 1965, ia merupakan permulaan kepada kejatuhan Sukarno dan permulaan kebangkitan penggantinya, Suharto. Dengan pemerintahan suaminya dianggap pro-kom-unis, tidak hairanlah pihak Jepun memilih mengiktiraf Suharto dan menganggap Ratna Sari sebagai memalukan kepada negara Matahari Terbit itu.

Selepas Sukarno meninggal dunia pada tahun 1967, beliau memilih berkelana ke luar negara bersama satu-satunya cahaya mata mereka, Kartika Sari Dewi. Antara negara yang pernah disinggahinya ialah Amerika Syarikat, Perancis dan Switzerland.

Dan beliau mempunyai pandangan tersendiri terhadap negara-negara yang pernah disinggahi. Di Perancis misalnya, Ratna Sari melihat negara itu sebagai sebuah negara yang menarik lebih-lebih lagi semasa di bawah pentadbiran Jeneral Charles de Gaulle dan Giscard d’Estaing. Tetapi di bawah pemerintahan Francois Mitterand, ia dianggap membosankan lebih-lebih lagi dengan latar belakang pemerintahannya yang berorientasikan sosialisme.

Begitupun, tempohnya di luar negara langsung tidak dapat mengelakkannya dari terjebak dengan kontroversi. Pada awal tahun 90-an, Ratna Sari terlibat dalam satu pertengkaran dengan cucu Presiden Sergio Osmena[2] dari Filipina, Maria Victoria ‘Minnie’ Osmena di Aspen, Colorado. Pertengkaran tersebut mengakibatkan Minnie memerlukan 37 jahitan pada luka kecederaannya dan beliau ditahan selama 34 hari kerana berkelakuan tidak senonoh.

Ketegangan hubungan antara dua individu terkenal di Asia Tenggara itu sudah lama berlaku dan berlangsung selama berbulan-bulan. Hubungan mereka mula renggang selepas Minnie mendapat tahu Ratna Sari mengetawakan rancangannya untuk menceburi dunia politik Filipina dan bertanding merebut jawatan Naib Presiden.

Pada tahun 1994, satu lagi kontroversi tercetus membabitkan sebuah buku fotografi yang diterbitkannya bertajuk Madame de Syuga. Buku tersebut menunjukkan beberapa gambar Ratna Sari dalam keadaan separuh bogel dengan beberapa gambar lagi menunjukkan dirinya diliputi oleh tatu. Walaupun tidak diedarkan di Indonesia, Madame de Syuga diharamkan dengan ramai menyifatkan beliau langsung tidak menghormati legasi Sukarno.

Muda dan tua.

Sejak tahun 2008, Ratna Sari kini menetap di Shibuya, Tokyo dan dikenali warga negara itu sebagai seorang yang lantang bersuara. Kelantangannya itu membuatkan ramai warga Jepun menyanjungnya dan menggelarnya Dewi Fujin yang bermaksud Puan Dewi.

Jika tidak sibuk menguruskan perniagaan kosmetik, aktiviti kebajikan atau sebagai juri pertanding ratu cantik, kelibatnya dapat dilihat di kediamannya itu menguruskan 16 ekor anjing peliharaannya. Sementara puterinya Kartika atau nama gelarannya Karin pula sibuk menguruskan yayasannya sendiri iaitu Yayasan Kartika Soekarno.

Yayasan Kartika Soekarno ialah sebuah yayasan pendidikan, kebudayaan dan kesejahteraan untuk ibu-ibu dan anak-anak Indonesia dan berpangkalan di Amsterdam, Belanda. Beliau kini berusia 53 tahun dan telah mendirikan rumahtangga dengan pengurus bank berdarah Belanda Frits Seegers sejak 2005.

NOTA KAKI:

[1] Gerakan cubaan rampasan kuasa yang tercetus pada 30 September 1965 dengan niat menyingkirkan golongan ten-tera berhaluan kanan yang diterajui Suharto dan melindungi Sukarno. Menjadi model kepada rampasan kuasa ten-tera di Chile pada tahun 1973.

[2] Presiden keempat Filipina dari 1944 hingga 1946 dan pemegang rekod sebagai presiden tertua dalam sejarah negara itu pada usia 65 tahun. Rekod itu dipecahkan oleh Rodrigo Duterte pada 2016 pada usia 71 tahun.

RUJUKAN:

Jeffs, A. (2002). Dewi Sukarno: ‘Miss Ambition’ who’s done it her way. The Japan Times.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.