Isteri-Isteri Raja-Raja Melayu Yang Berbangsa Asing

3,169

Pertama sekali, penulis ingin merafak sembah takzim dan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa billah Shah dan juga Tuanku Permaisuri Agong atas pertabalan baginda berdua pada 30 Julai yang lalu. Penulis memohon ke hadrat Allah SWT supaya sentiasa membimbing baginda berdua memerintah negara dengan adil dan saksama demi agama, bangsa dan negara tercinta kita ini. Amin.

Berbalik pada perbincangan artikel ini, pada tahun lepas, 2018, negara menerima khabar gembira apabila DYMM Yang Dipertuan Agong ketika itu yang juga Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, melangsungkan perkahwinan dengan seorang bekas ratu cantik Russia bernama Rihana Oksana Gorbatenko. Penulis tidak mahu mengulas berkenaan status rumahtangga baginda tersebut pada masa kini kerana ia adalah urusan peribadi baginda dan hal ehwal dalaman istana Kelantan. Diharapkan semua urusan baginda berjalan dengan baik.

Apa yang mahu diperbincangkan ialah berkenaan wanita-wanita berbangsa asing atau berketurunan bangsa asing yang pernah menjadi isteri Raja-Raja Melayu dan ada juga dalam kalangan mereka yang ditabalkan sebagai Sultanah semasa pemerintahan suami mereka. Dalam sejarah Raja-Raja Alam Melayu khususnya di Tanah Melayu atau pada masa kini negara tercinta kita Malaysia, perkahwinan antara Raja-Raja Melayu dengan wanita berbangsa asing bukanlah sesuatu yang asing dan baharu.

Jika kita telusuri catatan sejarah Alam Melayu seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka, terdapat catatan daripada manuskrip Sulalatus Salatin yang menceritakan berkenaan perkahwinan seorang puteri raja berbangsa China daripada Tanah Besar China yang bernama  Puteri Li Po berkahwin dengan Sultan Mansur Shah setelah beliau memeluk agama Islam.

Hasil daripada perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang putera iaitu Paduka Mimat. Sama ada benar atau tidak Puteri Hang Li Po tersebut merupakan puteri kepada Maharaja China pada zaman Dinasti Ming ketika itu atau hanya seorang gadis berbangsa China yang menetap di Melaka ketika itu, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan para sejarawan.

Walau bagaimanapun, perkahwinan tersebut tidak mustahil boleh berlaku kerana pada waktu itu, Kesultanan Melaka mempunyai hubungan diplomasi yang begitu erat dengan Kerajaan Dinasti Ming di Tanah Besar China. Tambahan pula, pelabuhan entreport Melaka dan Selat Melaka ketika itu begitu sesak dengan kemasukan para pedagang asing terutamanya daripada Tanah Besar China.

Itu adalah catatan sejarah yang tidak dapat disangkal lagi. Lebih menarik lagi, lebih awal daripada zaman tersebut, terdapat catatan Portugis menulis bahawa Megat Iskandar Shah, Raja Melaka yang kedua pernah berkahwin dengan seorang gadis anak kepada seorang kapten kapal Cina yang menetap di Melaka.

Kesultanan Johor moden mencatatkan ramai wanita berbangsa asing dikahwini oleh Sultan-Sultan Johor dan pernah ditabal sebagai Sultanah Johor. Almarhum Sultan Abu Bakar Johor pernah berkahwin dengan tiga orang wanita berbangsa Eropah, Cina dan Turki Kaukasan. Dua daripada mereka pernah ditabal sebagai Sultanah Johor ketika zaman pemerintahan baginda.

Pertama ialah seorang wanita berketurunan kacukan Eropah dan Cina iaitu Cecilia Catherina Lange. Bapanya berasal dari Denmark yang menetap di Bali manakala ibunya merupakan seorang wanita berbangsa Cina. Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan Sultan Abu Bakar sekitar tahun 1870, beliau memakai nama dan gelaran Y.A.M Cik Puan Besar Zubaidah. Bagindalah merupakan bonda kepada Sultan Ibrahim al-Masyhur yang menggantikan takhta ayahanda baginda.

Wong Ah [email protected] Fatimah

Almarhum Sultan Abu Bakar juga berkahwin dengan seorang wanita berbangsa Cina bernama Wong Ah Gew. Beliau merupakan anak seorang pedagang Cina terkenal yang menetap di Singapura. Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan Sultan Abu Bakar sekitar tahun 1880-an, beliau ditabalkan sebagai Sultanah Johor dengan memakai nama dan gelaran Sultanah Fatimah. Baginda mangkat pada awal tahun 1890-an. Cik Puan Aminah iaitu adik-beradik dengan Sultanah Fatimah berkahwin pula dengan Ungku Abdul Majid, adinda kepada Sultan Abu Bakar dan dikurniakan seorang zuriat iaitu Ungku Maimunah yang berkahwin dengan sepupunya, Sultan Ibrahim al-Masyhur.

Sultanah Khadijah (Johor).

Ketika zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar juga, hubungan diplomatik antara Kerajaan Johor dengan Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniyyah begitu erat. Baginda pernah berkahwin dengan seorang gadis berbangsa Kaukasan (Caucassian) dari Istanbul iaitu Khadijah Hanum pada awal tahun 1890-an dan ditabal sebagai Sultanah Johor dengan gelaran Sultanah Khadijah. Melalui perkahwinan tersebut, baginda berdua dikurniakan seorang puteri bernama Tunku Fatimah.

Seperti Almarhum ayahandanya, Almarhum Sultan Ibrahim al-Masyhur juga pernah berkahwin dengan beberapa orang wanita berbangsa Eropah dan India. Baginda sendiri berdarah kacukan bangsa Eropah dan Cina pada sebelah nasab bonda baginda. Baginda pertama kali berkahwin dengan sepupunya, Ungku Maimunah yang berketurunan Cina pada nasab sebelah bondanya sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini dan baginda memakai gelaran Sultanah Maimunah. Bagindalah bonda kepada Sultan Ismail yang menggantikan takhta ayahandanya.

Kali kedua Sultan Ibrahim al-Masyhur berkahwin pula dengan seorang wanita yang dikatakan berketurunan India dan ditabal sebagai Sultanah Johor dengan gelaran Sultanah Rogayah / Ruqaiya. Melalui perkahwinan tersebut, baginda berdua dikurniakan seorang putera yang bernama Tengku Putra Abu Bakar. Putera kepada Tengku Putra Abu Bakar iaitu Tengku Sulaiman pula berkahwin dengan seorang puteri kepada Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail, Raja Perlis, dan beliau pernah ditabal sebagai Pemangku Raja Perlis ketika Tuanku Syed Harun Putra bertakhta sebagai Yang Dipertuan Agong ketiga.

Sultanah Helen Ibrahim.

Perkahwinan kelima baginda adalah dengan seorang wanita Inggeris bernama Helen Bartholomew di London dan ditabalkan sebagai Sultanah Johor dengan gelaran Sultanah Helen Ibrahim pada tahun 1931.

Marcella Mendl

Setelah mereka berdua berpisah, Sultan Ibrahim al-Masyhur mengahwini seorang lagi wanita berbangsa Eropah iaitu Marcella Mendl yang memeluk Islam dan menukar namanya kepada Fawziah. Ditabal sebagai Sultanah Johor sekitar tahun 1940-an dengan memakai gelaran Sultanah Marcella Ibrahim. Melalui perkahwinan tersebut, baginda berdua dikurniakan seorang puteri bernama Tunku Miriam.

Cik Puan Khalsom

Seperti nendanya, Almarhum Sultan Mahmud Iskandar Johor juga pernah berkahwin dengan seorang wanita berbangsa Inggeris bernama Josephine Ruby Trevorrow. Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan baginda Sultan Iskandar, beliau memakai nama dan gelaran Cik Puan Khalsom. Bagindalah bonda kepada Sultan Ibrahim Ismail yang memerintah negeri Johor pada masa kini dan juga bonda kepada Tuanku Hjh. Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan DYMM Raja Permaisuri Agong pada masa kini.

Itu cerita negeri Melayu di selatan, di negeri-negeri Melayu utara dan Pantai Timur Tanah Melayu pula, ramai Raja-Raja Melayunya yang berkahwin dengan wanita berbangsa Thai atau Siam. Sebagai contoh, Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pernah berkahwin dengan ramai wanita berbangsa Thai atau berketurunan Siam.

Antaranya ialah Cik Sepa Chandra yang berbangsa Thai. Tinggalan Istana Sepacendera di Alor Star adalah bukti binaan cinta yang dibina atas perintah Sultan Abdul Hamid Halim Shah untuk isterinya itu. Melalui perkahwinan tersebut, baginda berdua dikurniakan beberapa orang putera dan puteri.

Kemudian Sultan Abdul Hamid Halim Shah berkahwin pula dengan seorang wanita berketurunan Thai yang bernama Cik Manjalara, anak seorang Pegawai Thai. Beliau adalah bonda kepada Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia kita iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Selain itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah juga pernah berkahwin dengan tiga orang wanita berketurunan Arab daripada keluarga Sayyid dan Syarifah iaitu Syarifah Meriam, Syarifah Seha dan Syarifah Fatimah. Setiap perkahwinan mereka dikurniakan zuriat putera dan puteri.

Jika Sultan Muhammad V pernah mengahwini Ratu Cantik Russia, Almarhum Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail, Raja Perlis keenam pula pernah mengahwini seorang Ratu Cantik Thailand bernama Riem Baedsayanawim yang memeluk Islam dan memakai nama dan gelaran Cik Puan Mariam. Hasil perkahwinan baginda berdua dikurniakan beberapa orang putera. Keturunan Raja-Raja Perlis sendiri adalah daripada keturunan wangsa kabilah Arab Jamalullail yang bersambung nasab sehingga Nabi Muhammad SAW.

Dalam sejarah Kerajaan Negeri Sembilan, DYMM Yang Dipertuan Agong yang pertama yang juga Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Abdul Rahman, perkahwinan pertama baginda adalah dengan seorang wanita berbangsa Eropah bernama Dulcibella Campbell.

Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan baginda, beliau menukar nama dan memakai gelaran Cik Puan Maimunah. Bagindalah merupakan bonda kepada Almarhum Tuanku Ja’afar yang menggantikan takhta ayahanda baginda dan juga pernah menaiki takhta sebagai DYMM Yang Dipertuan Agong yang ke-10.

Sultanah Pahang sebelum ini iaitu Sultanah Hajjah Kalsom yang merupakan balu kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, berdarah kacukan Parsi dan Pakistan. Baginda berdua dikurniakan seorang putera. Raja Permaisuri Perak ketika ini yang juga merupakan isteri kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah iaitu Tuanku Zara Salim merupakan darah kacukan “Mat Salleh” dari nasab ayahanda baginda. 

Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sedang memerintah negeri Selangor pada masa kini pernah mengahwini seorang wanita kulit putih dari Amerika Syarikat yang bernama Lisa Davis. Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan baginda, beliau memakai gelaran Cik Puan Nur Lisa Idris. Beliau merupakan bonda kepada Raja Muda Selangor pada masa kini iaitu Tengku Amir Shah yang akan mewarisi takhta ayahandanya.

Y.T.M Dato’ Seri Syarifah Nong Fatimah al-Sagoff.

Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi billah Shah yang pernah memerintah negeri Terengganu pernah berkahwin dengan seorang wanita berketurunan keluarga Arab al-Sagoff dan juga al-Junid yang terkenal dan begitu berpengaruh di Alam Melayu. Wanita tersebut bernama Y.T.M Dato’ Seri Syarifah Nong Fatimah al-Sagoff.

Beliau merupakan bonda kepada Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan yang memerintah negeri Terengganu pada masa kini. Sultan Mizan Zainal Abidin sendiri mempunyai darah keturunan Thai apabila moyang perempuan baginda yang juga bonda kepada Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin iaitu nenda baginda, merupakan seorang wanita berbangsa Thai yang memeluk Islam dan menukar namanya kepada Cik Maimunah apabila berkahwin dengan ayahanda baginda Sultan Ismail iaitu Almarhum Sultan Zainal Abidin II.

Jika kita membaca sejarah Raja-Raja Melayu di luar Tanah Melayu, terdapat juga rumpun Raja Melayu yang berkahwin dengan wanita bangsa asing seperti Almarhum Sultan Syarif Abdul Hamid II Alkadrie daripada Kesultanan Pontianak di Kalimantan Barat yang berkahwin dengan seorang wanita Belanda kelahiran Surabaya bernama Marie atau Didie van Delden. Setelah memeluk Islam dan berkahwin dengan baginda, beliau bergelar Ratu Mas Mahkota Pontianak. Baginda Sultan Syarif Abdul Hamid II sendiri berdarah kacukan Arab dan Melayu. Hasil perkahwinan baginda berdua mereka dikurniakan seorang putera dan seorang puteri.

Kepada Raja-Raja Melayu serta para sultanah dan isteri-isteri mereka yang telah kembali ke hadrat Ilahi, marilah kita sebagai umat Islam berdoa semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan ditempatkan roh-roh mereka bersama orang-orang solihin. Kepada Raja-Raja Melayu, Sultanah dan Raja Permaisuri yang masih hidup, kita doakan kesejahteraan mereka dan sentiasa diberi kekuatan dan petunjuk dalam memerintah negera dan negeri dengan adil, saksama, aman dan makmur. Amin.

RUJUKAN:

Kong Yuanzhi, “Cerita Hang Li Po: Ode Persahabatan Kedua-Dua Bangsa China-Malaysia,”dalam Sari 19 (2019), hlm. 179-187.

Nurulwahidah Fauzi, “Peranan Arab Hadrami di Dalam Mempengaruhi Politik Istana Kerajaan Johor Pada Awal Abad ke-20 M,” dalam International Journal of West Asian Studies, Vol. 4, No. 2, hlm. 1-21.

Yazid Mat & Hazman Hassan, “Perlis: Dari Jajahan Takluk ke Negeri Berdaulat,” diakses daripada Laman Web Rasmi Arkib Negara Malaysia pada bulan Julai 2019.

Laman web Royal Ark, pautan laman web: http://www.royalark.net, dirujuk pada bulan Julai 2019.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.