Istana Potala – Istana Yang Dibina Di Ketinggian Tertinggi Dunia

4,428

Istana Potala, lambang ikonik bagi kepercayaan Buddha di Tibet merupakan istana yang paling tinggi di dunia. Istana ini pernah berfungsi sebagai kediaman musim sejuk untuk Dalai Lama di samping berperanan sebagai pusat pentadbiran Tibet. Istana Potala terletak di Lhasa, ibu kota Tibet dan kini dibuka sebagai sebuah musium yang memelihara kebudayaan silam. Ia turut tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia yang indah.

Gambar Istana Potala, Tibet


LOKASI DI PUNCAK BUKIT

Istana Potala terletak di puncak Marpo Pi (bermaksud ‘Bukit Merah’), sebuah bukit di Lembah Lhasa yang memiliki ketinggian mencecah 130 meter (426.51 kaki). Menurut legenda, terdapat sebuah gua suci di bukit ini.

Gua berkenana pernah menjadi tempat penghunian Avalokitesvara (juga dikenali sebagai ‘Chenrezi’ dalam bahasa Tibet), seorang bodhisattva yang diangga sebagai penjelmaan keluhuran Buddha.

Maharaja Songtsen Gampo juga dipercayai pernah menjadikan gua tersebut sebagai tempat untuknya bermeditasi.

Semasa pemerintahan beliau, iaitu pada tahun 637M, istana pertama dibina di Marpo Ri. Menurut suatu sumber, istana tersebut dibina supaya maharaja dapat menyambut ketibaan permaisuri barunya, Puteri Wencheng yang berasal dari Tang-Cina.

Panah petir menyambar di kawasan sekitar Istana Potala, Lhasa, Tibet


KEDIAMAN MUSIM SEJUK BUAT DALAI LAMA

Walau bagaimanapun, binaan yang kekal pada hari ini hanya dibina semasa pemerintahan Dalai Lama ke-5, iaitu Ngawang Lobsang Gyatsu pada abad ke-17M atau lebih tepat, pembinaannya dimulakan pada tahun 1645M. Tiga tahun kemudian, Istana Putih yang berfungsi sebagai kediaman musim sejuk bagi Dalai Lama siap dibina sepenuhnya.

Pun begitu, binaan yang siap hanyalah istana berkenaan sahaja. Binaan-binaan lain mengambil masa beberpa dekad untuk disiapkan. Pembinaan stana Merah (yang didedikasikan kepada ajaran dan pemujaan Buddha) misalnya, hanya dapat disiapkan pada tempoh masa antara tahun 1690 hingga 1694M. Dalai Lama ke-5 pula mangkat pada tahun 1682M.

Dalai Lama ke-5, Ngawang Lobsang Gyatso

Oleh kerana berasa khuatir kalau-kalau kemangkatan Dalai Lama itu akan mengakibatkan projek pembinaan tergendala, para sami mengambil keputusan untuk merahsiakan khabar kemangkatan tersebut sehingga 10 tahun lamanya – masa Istana Merah disiapkan. Sepanjang tempoh itu, seorang sami yang memiliki rupa paras yang mirip dengan Ngawang Lobsang Gyatsu ditugaskan supaya menyamar sebagai Dalai Lama itu.

PENGUASAAN CINA KE ATAS ISTANA POTALA

Pada tahun 1959M, Pemberontakan Tibet meletus bagi menentang pentadbiran Cina. Namun, pemberontakan tersebut meraih kegagalan dan Dalai Lama ke-14, iaitu Tenzin Gyatso terpaksa melarikan diri ke India. Akibatnya, Istana Potala tidak lagi berpenghuni dan kefungsiannya sebaai kediaman Dalai Lama pun terhenti.

Pada tempoh masa antara 1960an hingga 1970an, banyak binaan keagamaan di Tibet menjadi mangsa kedurjanaan Pengawal Merah semasa berlakunya Revolusi Budaya. Apapun, Istana Potala terselamat daripada ikonoklasme (gerakan menghancurkan patung keagamaan) itu memandangkan binaan tersebut dilindungi sendiri oleh tentera-tentera Zhou Enlai.

Istana Potala kemudiannya diubah oleh kerajaan Cina menjadi sebuah musium negara. Pada hari ini, ia kekal sebagai tapak kunjungan yang penting di samping meraih status sebagai Tapak Warisan Dunia daripada UNESCO.

Istana Potala pada hari ini, merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia yang terkenal


MEMELIHARA SEJARAH SILAM

Baru-baru ini, diumumkan bahawa kerajaan Cina bercadang mahu membelanjakan kira-kira 3000 juta yuan ($45 juta) bagi tujuan memelihara dokumen dan teks-teks purba yang terdapat di tapak bersejarah itu. Projek berjangka 10 tahun ini melibatkan sejumlah usaha termasuklah pemeliharaan digital di samping penyenaraian lebih 2800 buah jilid teks.

China Daily melaporkan bahawa dokumen-dokumen daripada Han, Tibet, Man, Mongolia dan Sanskrit yang meliputi 20 lapangan ilmu itu terkandung di dalam lebih 40 000 buah buku. Kesemua khazanah ini terdapat di beberapa buah tempat seperti biara kecil pada stupa-stupa dan patung-patung Buddha, balairung dan beberapa buah perpustakaan lain.

Jondan, pengarah jabatan pentadbiran istana memaklumkan kepada pihak media, “Dokumen dan teks kesusasteraan yang berharga ini merangkumi hampir keseluruhan dokumen purba Tibet. Antara kandungannya termasuklah tiga buah koleksi ajaran Sakyamuni Buddha, 10 macam pengetahuan sains, biografi, perubatan, sejarah, opera, hikayat pertahunan, dan bibliografi.”

BINAAN YANG MENGAGUMKAN

Salah satu perkara yang menonjolkan Istana Potala ini adalah seni binanya yang amat mengagumkan. Seluruh binaan ini diperbuat daripada kayu dan batu di samping mengandungi lebih 1000 buah bilik, biara kecil dan dewan.

Istana Potala pada hari ini, merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia yang terkenal


Istana ini juga menempatkan sejumlah karya seni yang boleh membuatkan mana-mana pengunjung yang melihatnya berasa terpukau. Antara barangan seni tersebut termasuklah patung-patung Budha, barangan antik dan lukisan dinding. Lukisan-lukisan dinding pada Istana Potala ini menggambarkan banyak peristiwa penting sepanjang sejarah Tibet di samping memaparkan kisah hidup beberapa orang Dalai Lama.

Selain itu, ciri keagamaan pada Istana Potala diserlahkan lagi dengan tempat persemadian beberapa orang Dalai Lama. Lapan orang Dalai Lama disemadikan di Istana Merah dan binaannya memiliki keunikan yang tersendiri.

Misalnya jasad Dalai Lama ke-5 yang telah dimumiakan, ditempatkan di sebuah stupa (sebuah binaan berbentuk kubah) di bahagian barat Istana Merah. Stupa berkenaan memiliki ketinggian 5 tingkat, diselaputi 4 tan emas dan ditatahkan dengan sejumlah batu berharga.

TERJEMAHAN:

DHWTY. (27 Februari 2019). Closer to Enlightenment? Potala Palace, the Highest in the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/closer-enlightenment-potala-palace-highest-world-007800

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.