Istana Masyaf – Markas Pengerakan Assassin

2,958

Peminat-peminat siri permainan video Assassin’s Creed pasti sudah terbiasa dengan Istana Masyaf, Syria. Di dalam siri tersebut, Istana Masyaf merupakan pangkalan Assassin yang masyhur. Hakikat ini tidak hanya sekadar berlaku di dunia fiksyen – Masyaf sememangnya pernah menjadi markas kepada pergerakanassassin yang sangat digeruni pada suatu masa dahulu.

Pada lewat abad ke-11M, sebuah pergerakan Nizar Ismailiyah dibentuk oleh seorang lelaki yang bernama Hassan Sabbah di Parsi dan Syria. Kumpulan yang dikenali sebagai Hashshashin ini menawan banyak kubu di kawasan pergunungan di samping memberikan ancaman kepada kekuasaan Sunni-Seljuk di Parsi. Besar kemungkinan Hashshashin ini merupakan pilihan yang paling masyhur untuk seseorang itu menghapuskan musuh peribadinya – iaitu menerusi kegiatan pembunuhan berkemahiran tinggi.

Berdasarkan bukti arkeologi, para penyelidik berpendapat bahawa Istana Masyaf dibina semasa pemerintahan Byzantine. Istana ini dibina di puncak bukit batu kapur, rupa bumi yang menonjol berbanding lembah dan kampung sekitar. Keadaan tersebut membuatkan istana tersebut berkedudukan di lokasi strategik sekaligus membolehkan para penghuninya meninjau dan mengawal kawasan tersebut.

Assassin
 kali pertama menguasai istana ini pada tahun 1141M apabila mereka menawannya daripada Sanqur, pemerintah yang menguasai dan menyelia istana itu bagi pihak Bani Munqidz, dari Shayzar. Sanqur merupakan salah seorang penguasa dari sebuah dinasti Islam yang wujud di wilayah berkenaan sekitar abad ke-12M.

Istana Masyaf sebagaimana yang masih berdiri pada hari ini

Assassin meraih kemasyhuran di wilayah itu berkat keefisienan mereka dalam menyasar dan melangsaikan musuh. Keadaan ini memberikan mereka kuasa atau pengaruh politik yang tinggi sekaligus mengundang rasa tidak senang hati beberapa kuasa besar di Timur Tengah. Oleh kerana itu, Masyaf menjadi sasaran kepada pihak-pihak yang memiliki keberanian untuk cuba menggugat kedudukan assassin. Usaha ini dijalankan tidak lain dan tiba bukan oleh pahlawan terbilang Islam, iaitu Salahudin si sultan pertama Mesir dan Syria merangkap pengasas Dinasti Ayyubiah.

Gambaran dari dalam permainan video.


Kepungan yang dilakukan oleh Salahudin ke atas istana tersebut berlangsung pada tahun 1176M dan berakhir dengan kegagalan. Menurut legenda, ketika Salahudin sedang tidur di bawah bukit yang menempatkan Istana Masyaf, seorang assassin berjaya menyelinap masuk ke dalam khemahnya. Salahudin yang terjaga sempat menyaksikan kelibat assassin itu keluar dari khemahnya.

Di sisi katilnya terdapat sepotong kuih yang telah diracun dan sebilah pisau pendek yang juga telah diracun. Selain kedua barangan itu, turut terdapat di situ sekeping nota yang memberi amaran kepada Salahudin bahawa beliau akan dibunuh andai tidak berundur dari tempat itu. Berasa khuatir akan keselamatan nyawanya, Salahudin pun memilih untuk berdamai dengan assassin. Sejauh mana kebenaran legenda ini, ia memberi gambaran kepada kita tentang betapa berbahayanya kumpulan assassin.

Istana Masyaf sebagaimana yang masih berdiri pada hari ini

Walau bagaimanapun, assassin bukanlah sebuah organisasi ataupun manusia yang kebal. Pada tahun 1260M, Masyaf dan tiga buah kubu assassin yang lain tumbang ke tangan Mongol. Pun begitu, kemenangan Mongol ini tidak bertahan lama apabila mereka ditewaskan oleh Mamluk dalam Pertempuran Ayn Jalut pada tahun sama. 

Sebaik sahaja Mongol diusir dari Syria, assassin kembali menguasai Masyaf. Sepuluh tahun kemudian, ketumbukan Mamluk di bawah kepemimpinan sultan mereka, Baibar, menguasai Masyaf. Walaupun peristiwa ini membawa kepada pembubaran assassin, istana tersebut terus kekal kukuh menghiasi bukit berkenaan.

Pada tahun 2000, usaha pemeliharaan Istana Masyaf digerakkan. Projek yang siap pada tahun 2006 ini berjaya mengukuh dan mengembalik struktur-strukturnya yang telah runtuh. Selain itu, projek ini turut memberikan kefahaman yang lebih mendalam perihal assassin semasa penguasaan mereka ke atas Istana Masyaf.

Misalnya, projek ini berhasil menemukan sebuah terowong yang dipercayai sebagai laluan rahsia. Malahan, terdapat sebuah sistem saliran yang direka bagi tujuan membawa air hujan mengalir ke perigi yang terletak di bawah tanah istana. Hal ini memberikan bukti lanjut bahawa istana tersebut direka khas untuk menghadapi kepungan musuh dalam tempoh yang panjang. Pun begitu, istana ini juga tidak meninggalkan ciri kemewahannya terutama apabila projek berkenaan turut menemukan rumah mandian tradisional.

Terowong di dalam Istana Masyaf

Tidak keterlaluan untuk menyebutkan bahawa Istana Masyaf tidak hanya sekadar wujud sebagai sebuah binaan terpencil di puncak bukit yang sukar dimasuki. Namun, ia turut wujud bersama dengan kota purba Masyaf yang terletak berhampiran. Atas faktor ini, para pemelihara istana berkenaan mempertimbangkan keputusan untuk turut memelihara dan membaik-pulih kota lama, menaik taraf pasar-pasar dan kawasan lalu-lalang di samping menghasilkan lebih banyak fasiliti menarik buat para pelancong.

Dengan mengambil pendekatan sebegini, penduduk tempatan dapat meraih kemanfaatan menerusi industri pelancongan. Malahan, mereka mungkin dapat bekerja sebagai pemelihara istana bersejarah itu. Menerusi penglibatan penduduk tempatan sendiri, monument purba bernama Istana Masyaf ini sudah tentu dapat dilindungi dan diwariskan kepada generasi mendatang.

RUJUKAN:

DHWTY. (23 Julai 2014). Masyaf Castle, the Seat of the Assassins. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/masyaf-castle-seat-assassins-001888

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.