Baru-baru ini, kumpulan ahli arkeologi tamadun Orang Sumer yang diketuai oleh Dr. Sebastien Rey bersama pihak British Museum menemui tinggalan istana dan kuil sembahan di kota kuno bernama Girsu yang terletak di selatan Iraq. Usia tinggalan-tinggalan ini kira-kira 4,500 tahun dan mereka akhirnya menemui serpihan baru dalam melengkapkan sejarah tamadun Mesopotamia.

Apa sebenarnya tamadun Mesopotamia ini? Mengapa tamadun ini amat penting bagi ahli arkeologi terutamanya kumpulan Rey ini? Mari kita mengenali dahulu tamadun nenek moyang orang Iraq ini.

Peninggalan Istana dan kuil di Girsu, Iraq. Apa pentingnya kota kuno ini untuk para ahli arkeologi tamadun Mesopotamia? (Sumber: Archeology Wiki)

Sebelum tertubuhnya negara Iraq, 5,000 tahun dahulu lembah sungai berkembar iaitu Sungai Euphrates dan Tigris ini dihuni oleh orang nomad yang singgah untuk berehat. Tiba masanya orang nomad ini membina penempatan kekal mereka, lembah kedua-dua sungai bernama Hial Subur (Fertile Crescent) menjadi lokasi penempatan yang pesat. Mereka menggelar diri dengan nama ‘Sumer’ yang bermaksud orang berkepala hitam dan mengamalkan Bahasa Sumer. Penempatan ini kemudian lahirnya tamadun Mesopotamia yang bermaksud tamadun lembah dua sungai.

Orang Sumer memanfaatkan tanah subur di lembah sungai ini dengan menanam tanaman padi gandum, barli, buah-buahan, dan sayur-sayuran. Kemudian mereka membina sistem saliran dan membina kota yang mampu menampung populasi mereka yang semakin bertambah. Negara-kota pertama yang dibina ialah Eridu yang masyarakatnya menyembah dewi kecantikan dan kesuburan bernama Inanna. Kemudian negara-kota orang Sumer turut dibina seperti Ur dan Uruk.

Setiap negara-kota mempunyai penyembahan dewa-dewi yang berbeza mengikut keinginan warga negara-kota tersebut, dan setiap pentadbiran negara-kota masing-masing berbeza walaupun menetap di lembah yang sama. Kerana tamadun ini lahir pada 4500 SM, tamadun ini adalah tamadun tertua di dunia, diikuti dengan tamadun Indus (3300 SM), Mesir Purba (3100 SM), dan China (2070 SM).

Orang Sumer juga pemangkin kepada penghasilan tulisan sendiri seiring perkembangan tamadun. Tulisan pertama dunia yang diasaskan kaum ini ialah tulisan pepaku bernama Cuneiform, tulisan yang dipahat atas permukaan kepingan tanah liat, kemudian dijemur atas matahari untuk mengeras agar tulisan tersebut kekal sebagai rekod untuk bacaan umum. Mereka juga mengasaskan sistem matematik iaitu sistem 60 yang kita masih amalkan seperti pengiraan jam. Ini adalah antara contoh sumbangan Orang Sumer sebagai pelopor kepada ketamadunan dunia.

Illustrasi sekumpulan pemahat mengukir tulisan cuneiform di atas kepingan tanah liat. (Sumber: Sumer to Sargon)

Sekarang kita faham tentang tamadun Mesopotamia, tamadun nenek moyang Iraq tertua dunia ini. Berbalik kepada topik utama, kita fahami dahulu sejarah negaara-kota bernama Girsu. Girsu ialah antara negara-kota yang dibina pada awal ketamadunan Orang Sumer. Negara-kota ini kemudian ditemui oleh ahli arkeologi Perancis bernama Ernest de Sarzec pada tahun 1877. Pada awal ekskavasi, mereka menemui lebih 100,000 keping tablet tulisan cuneiform. Hanya tablet saja yang banyak ditemui, tiada sebarang peninggalan kekal.

Tapi ahli-ahli arkeologi tamadun Mesopotamia tidak berputus asa, hanya menunggu masa untuk Girsu mendedahkan rahsia yang sebenar. Masuk tahun 2022, rahsia negara-kota Girsu akhirnya berjaya kumpulan Rey bongkarkan!

Kumpulan penyelidikan Rey pada mulanya membuat tinjauan dari langit menggunakan dron untuk melihat tapak ekskavasi tersebut. Keputusannya, mereka menemui tinggalan batu yang mereka tidak pernah meneroka. Sampai ke lokasi tersebut, kumpulan Rey mula menggali dan mendedahkan dinding-dinding tanah liat bersama 200 keping tablet.

Gambaran Istana dan kuil dalam Girsu, mengikut catatan tablet. (Sumber: Ancient Origins)

 

Tablet-tablet tersebut mengandungi rekod tentang laporan pentadbiran Serra aktiviti dalam negara-kota Girsu. Istana yang ditemui pula ialah Istana Para Raja yang menjadi pusat pentadbiran di tengah Girsu. Ternyata mereka berjaya menemui tinggalan istana dan kuil sembahan, seperti apa yang mereka harapkan sejak tahun 2015!

Bagi Rey pula, apa yang mengujakan beliau ialah tinggalan kuil sembahan Girsu ini. Mengikut catatan dalam tablet, kuil yang ditemui itu ialah Eninnu, kuil sembahan dewa perang bernama Ningirsu, anak lelaki dewa utama mitologi Sumer bernama Enlil. Kuil ini dibina oleh Raja Gudea, kemudian menjadi kuil penyembahan yang mempunyai paling ramai penganut dalam sejarah tamadun Mesopotamia.

Maka, Rey percaya bahawa mereka menemui ‘Vatican City’ versi tamadun Mesopotamia, iaitu Girsu yang menjadi pusat keagamaan terbesar dunia pada ketika itu. Kumpulan penyelidikan Rey akhirnya tamatkan projek mereka pada akhir tahun 2022 dan memulakan projek baru pada bulan Mac tahun ini (2023) iaitu projek ekskavasi kuil Eninnu.


Kami sediakan buku-buku menarik jika korang nak beli selain KITAB TAMADUN YAHUDI dan DUNIA TANPA TEMBOK COVER BARU. Korang boleh beli di sini untuk dapatkan diskaun-diskaun buku yang menarik: https://bit.ly/bukupatriots

RUJUKAN:

Nathan, False. 20 February 2023. 4,500-Year-Old Sumerian Palace Uncovered in Iraqi Desert. Ancient Origins.

Whelan, Ed. 10 August 2018. Looted Iraqi Antiquities Can Finally Return Home After Simple Identification by British Museum. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Leave A Reply