Moving Forward As One

Istana Bergerak Kesultanan Melaka

2,859

Hari ini genap 510 tahun kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Pada 15 Ogos 1511, ianya tumbang ke tangan Portugis yang pada mulanya hadir dengan niat untuk berdagang. Tiada syak lagi bahawa Portugis mempunyai maklumat awal tentang apa yang berlaku di Melaka kerana tarikh serangan yang dipilih sememangnya amat strategik.

Selain dari ketiadaan Hang Tuah dan armada Melaka, penduduk Melaka sekitar Julai 1511 dalam ‘mood’ persiapan untuk berpesta. Pesta yang dimaksudkan adalah Istiadat Perkahwinan Diraja antara Sultan Pahang ke-4 iaitu Sultan Mansur Shah I (r. 1497-1519) dengan puteri Sultan Mahmud Shah.

Gambar Hiasan: Bandar London yang digerakkan tenaga wap dalam filem fiksyen sains ‘Mortal Engines’, 2018. Sumber: Universal Pictures.

Walaupun peristiwa perkahwinan di Melaka ini tidak diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), dari rekod salasilah, puteri Sultan Melaka ini adalah hasil perkahwinan Sultan Mahmud Shah dengan Puteri Unang Kening, puteri sulung Raja Kelantan iaitu Sultan Mansur Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah. Tidak dapat dipastikan nama puteri Sultan Melaka tersebut. Apa yang diketahui, baginda adalah saudara seibu sebapa dengan Sultan Perak Pertama iaitu Sultan Muzaffar Riayat Shah I ibni al-Marhum Sultan Mahmud Shah (r. 1528-1549). Catatan Bustan al-Salatin ada memberikan nama puteri Melaka tersebut iaitu Raja Dewi. Akan tetapi menurut Bustan al-Salatin puteri Raja Dewi ini dinikahkan dengan Raja Jenal iaitu putera Sultan Pahang bernama Sultan Abdul-Jamal (Abdul Jamil Shah?)

Menurut Richard James Wilkinson (1932), Perkahwinan Diraja Melaka – Pahang ini penting kerana ianya berjaya menjalin semula pertalian antara kedua-dua negeri yang retak akibat persengketaan yang berlaku sebelum itu. Menurut Wilkinson juga, Sultan Melaka ketika itu mempunyai sumber kewangan yang banyak hasil dari rampasan harta Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dihukum bunuh sekitar 1510.

Istiadat Perkahwinan Diraja dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja sekitar Jun 1511 di mana sebahagian rakyat jelata bersama tenaga kerja Istana berkumpul dan bersedia untuk melaksanakan segala persiapan bagi upacara menyambut pengantin lelaki yang bakal diadakan. Istiadat ini dirancang untuk dijalankan secara besar-besaran di mana terdapat rekod Portugis yang menceritakan kekaguman mereka tentang persiapan dan terutamanya keindahan kenaikan Diraja bersalut emas yang disediakan bagi perarakan ketibaan pengantin lelaki. Malangnya, usaha gotong-royong ini terhenti apabila Portugis mula membedil Melaka pada pertengahan Julai 1511.

Terdapat kekeliruan yang menghasilkan andaian bahawa kenaikan Diraja tersebut adalah sebesar Istana Melaka iaitu Istana Mahligai Hawa Nafsu. Ada juga yang beranggapan bahawa, seperti fiksyen sains ‘Mortal Engines’, Istana bergerak ini berkeupayaan meredah hutan belantara dan bukit bukau dari Pahang ke Melaka. Kesilapan ini mungkin berpunca dari terjemahan catatan Fernão Lopes de Castanheda (1500-1559) yang menyatakan bahawa setiap satu dari 30 rodanya sebesar sebuah bilik.

Apa yang jelas Fernão Lopes de Castanheda tersebut hanya berumur 11 tahun pada 1511. Menurut Rui Manuel Loureiro (2008) pula, Fernão Lopes de Castanheda tidak pernah ke Melaka, dan hanya berpandukan cerita-cerita dari laskar Portugis Melaka semasa beliau di India. Dengan itu mungkin maklumat yang diterimanya silap. Juga terdapat kemungkinan teks asal beliau gagal dialih-bahasa dengan sebaiknya oleh pengkaji sejarah.

Jika dikaji, sumber asal tentang kewujudan kenaikan Diraja ini adalah berdasarkan catatan ketua armada Portugis iaitu Alfonso de Albuquerque dalam Comentários de Afonso de Albuquerque (The commentaries of Afonso Dalboquerque). Saya petik terjemahan Inggeris catatan tersebut:-

“Here was burnt a wooden house, of very large size and very well built with joiners’ work, about thirty palms breadth solid timber, all inlaid with gold, built up on thirty wheels, every one of which was as large as a hogshead, and it had a spire, which was the finishing-point of the building, of great height, covered with silken flags, and the whole of it hung with very rich silken stuffs, for it had been prepared for the reception of the king of Pão (Pahang) and his bride, the daughter of the king of Malacca, who were to make their entry through the city with great blowings of trumpets and festivities ; and in the houses of the king, and the other houses round about, which were burned, there was consumed by fire a great store of merchandise and other things of great price, which the king had in his palace.”

Hiasan hadapan bagi ‘Comentários de Afonso de Albuquerque (The commentaries of Afonso Dalboquerque)’ yang disusun Afonso Brás de Albuquerque di Lisbon, 1557.

Jadi menurut catatan Alfonso de Albuquerque sendiri (yang disusun oleh anaknya, Afonso Bras de Albuquerque), saiz lebar struktur kenaikan Diraja tersebut adalah 30 “palm” dan ianya mempunyai 30 roda setiap satu sebesar “hogshead”. Unit kiraan “Palm” iaitu “palmo de craveira” adalah jarak antara ibu jari ke jari kelingking iaitu 9 inci. Jadi lebarnya 270 inci (30 x 9in) iaitu 22 kaki 6 inci.

Manakala “hogshead” adalah unit kiraan lama Portugis iaitu saiz tong khamar (barril de vinho / wine barrel) 52 gelen yang mempunyai diameter 28 inci. Secara logik ianya tidak mungkin bersaiz bilik kerana sesebuah bilik berbeza-beza dimensi dan tidak universal untuk dijadikan piawai ukuran. Jadi seperti yang pernah digambarkan Pieter Van Der Aa (1706), kemungkinan besar saiz kenaikan Diraja tersebut adalah seluas sebuah rumah teres moden kini iaitu lebih kurang 23 kaki x 90 kaki.

Lakaran bertajuk “Royal carriage of thirty wheels pulled by twelve Elephants” oleh Pieter Van Der Aa (1706).

Dari deskripsi yang diberi Alfonso de Albuquerque, kita ketahui bahawa kenaikan Diraja tersebut dihiasi dengan pelbagai jenis panji sutera yang berwarna-warni. Jika kita rujuk kepada arkib Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam tentang kenaikan Diraja yang pernah digunakan Kesultanan Brunei, mungkin kita dapat menggambarkan jenis-jenis panji, struktur mahligai, dan alat kebesaran yang disusun diatas struktur kenaikan Diraja Melaka tersebut. Alat perhiasan Diraja Brunei samada bagi kenaikan darat mahupun kenaikan laut terbahagi kepada dua jenis.

Pertama adalah hiasan menengah (di bahagian tengah) yang terdiri dari Tunggul Charok, Sandaran, Ula-Ula Besar dan Sumbu Layang, Payong Haram, Payong Ubor-Ubor Tiga Tingkat, Cogan Ugama, Cogan Istiadat (Cogan Diraja), Mahligai, Payong Tinggi, Alam Bernaga (Alam Besar), Pisang-Pisang, dan Tunggul Buritan. Kedua, hiasan di bahagian sisi kenaikan yang terdiri dari Payong Ubor-Ubor, Ambal, Tunggul Kawan, Dadap (yang diatur menurut susunan warna yang bermula dari warna kuning hingga ke warna merah-jambu), Rawai Lidah, dan Sapu-Sapu Ayeng.

Alat-Alat Perhiasan Diraja.
Sumber: Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam.
Alat-Alat Perhiasan Diraja.
Sumber: Jabatan Adat Istiadat Negara Brunei Darussalam.

Kedua-dua jenis perhiasan Diraja ini adalah alat utama yang dipasang sebelum diadakan majlis-majlis yang beristiadat seperti Istiadat Berpuspa, Istiadat Perkahwinan Diraja, Istiadat Bertindik dan Berkhatan Diraja, Istiadat Mengarak Wazir, dan mana-mana jua istiadat yang disifatkan penting. Sebahagian dari alat-alat perhiasan Diraja ini juga diatur di sepanjang jalan yang menuju ke Istana atau di mana jua tempat mengadakan majlis-majlis beristiadat.

Jadi bukan sekadar hiasan, panji-panji sutera yang disaksikan Alfonso de Albuquerque sejurus kejatuhan Kesultanan Melaka ini adalah sebahagian dari alat kelengkapan dan perhiasan khusus yang melambangkan kebesaran dan kekuasaan institusi Kesultanan Melaka itu sendiri. Malang sekali semuanya itu telah musnah, termasuklah segala khazanah ilmu, naskhah buku-buku, peta-peta, perutusan-perutusan, tulisan di daun-daun lontar dan sebagainya yang turut dijilat api bersama hadiah-hadiah diplomatik dan artifak-artifak sejarah peradaban Melayu yang disimpan di Istana Melaka.

RUJUKAN:

Alat-Alat Perhiasan Diraja. Jabatan Adat Istiasat Negara. Jabatan Perdana Menteri. Brunei Darussalam. Diekstrak dari: http://www.adat-istiadat.gov.bn/SitePages/Alat-Alat%20Perhiasan%20Diraja.aspx

Di Manakah Hang Tuah Ketika Melaka Diserang Portugis? Historybuff. 15.11.2019. Diekstrak dari https://yusrinfaidz.blogspot.com/2019/11/di-manakah-hang-tuah-ketika-melaka.html

Fernão Lopes de Castanheda, 1551. História do descobrimento e conquista da India pelos portugueses (History of the Discovery and Conquest of India by the Portuguese).

Pieter Van der Aa, 1706-1708. Naaukeurige versameling der gedenk-waardigste zee en land-reysen na Oost en West-Indiën. Leyden.

Richard James Wilkinson, 1932. The Early Sultans of Pahang. Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. Vol. 10, No. 1 (113) (Jan. 1932). pp 45-54.

Rui Manuel Loureiro, 2008. Historical Notes On The Portuguese Fortress In Malacca (1511-1641). Revista de Cultura Vol 28, 2008, pp. 78-96.
Walter de Gray Birch, 1875. The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, Second Viceroy of India.

Ruangan komen telah ditutup.