Moving Forward As One

Islam, Melayu & Adat: Sebuah Ulasan

1,498

Perkembangan agama dan umat Islam di Malaysia telah melalui sejarah yang sangat panjang. Sarjana tempatan mengandaikan kedatangan agama Islam ke alam Melayu sudahpun bermula sejak abad pertama Hijrah lagi. Agama Islam telah mengubah akidah masyarakat Melayu dari dunia kekufuran kepada mempercayai dan menyembah Allah Yang Maha Esa (Abdul Rahman Haji Abdullah 2006).

Kandungan yang tercatat pada Batu bersurat Terengganu menunjukkan bahawa pengamalan agama Islam sudah berlaku lebih awal. Meskipun tarikh Batu Bersurat itu ditulis pada 4 Rejab 702H (tarikh yang disahkan oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al Attas), namun bukan beerti bermula tarikh kemasukan agama Islam di Hulu Terengganu itu. Ini padangan saya sendiri selepas membaca kajian Prof Muhammad Zaini dari CASIS-UTM (baca :ISTAC aliran Al ATTAS). Menurut beliau, Batu Bersurat Terengganu ialah mercu tanda ilmiah tamadun Islam di alam Melayu kerana mengandungi maklumat bukan sahaja perintah melaksanakan syariat Islam, bahkan membabitkan penguasaan tinggi ilmu falak dan sains.

Proses kemajuan dan ketamadunan yang sudah terbina saat batu bersurat itu ditulis bukan mengambil masa yang singkat, sudah pasti mengambil masa beberapa dekad sebelum itu. Fakta menarik  yang dikemukan Prof Zaini juga adalah penemuan Batu Bersurat Terengganu membuktikan tamadun Islam dan pelaksanaan syariat di Tanah Melayu khususnya Terengganu setanding dengan tamadun Islam semasa yang dibuktikan dengan kewujudan prasasti 150 tahun lebih awal daripada pembukaan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453. Saya ada menerima maklumat bahawa Batu Bersurat yang ditemukan ini ada bahagian atasnya, wallahu a’lam. Jika benar ada, sudah pasti banyak lagi sejarah dapat disurati dan tersingkap.

Bangsa Melayu

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia perkara 160, terdapat tiga ciri utama bangsa Melayu iaitu; beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu (Muhammad Fauzi 2011). Ketiga unsur telah menjadi identiti tegar bangsa melayu yang berkait rapat dengan agama Islam, bahasa dan adat melayu. Takrif ini sangat menarik dikaji lanjut sebenarnya. Berbanding definisi bangsa lain yang terpisah dari agama, bangsa Melayu ditakrifkan dengan jelas dengan pegangan agama Islam di dalam perlembagaan. Oleh kerana itu, sukar dibayangkan di Malaysia, orang melayu yang tidak beragama Islam. Seolah-olah, seseorang itu tidak lagi melayu apabila keluar dari agama Islam. Ini adalah kemuncak kejayaan islamisasi dalam suatu bangsa.

Menurut Tengku Lah Husni, orang Melayu adalah kelompok yang menyatukan diri dalam ikatan perkawinan antara suku, dan selanjutnya memakai adat resam serta bahasa Melayu dalam kehidupan sehari-hari (Lah Husni, 1975:7). Selanjutnya Husni menyebutkan lagi, bahawa orang Melayu Pesisir Sumatera Timur merupakan turunan campuran antara orang Melayu yang memang sudah menetap di Pesisir Sumatera Timur dan suku-suku Melayu pendatang, seperti Johor, Melaka, Riau, Aceh, Mandailing, Jawa, Minangkabau, Karo, India, Bugis, dan Arab, yang selanjutnya memakai adat resam dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pergaulan antara sesamanya atau dengan orang dari daerah lain, serta yang terpenting adalah  beragama Islam. Suku Melayu itu berdasarkan filsafat hidupnya, terdiri dari lima dasar: Islam, beradat, berbudaya, berturai, dan berilmu (Lah Husni, 1975:100).

Adat – Adat Melayu

Di dalam Buku Sejarah Kesultanan Deli, kumpulan menulis menyusun dengan baik penzahiran adat yang yang berlangsung dalam masyarakat melayu. Mereka meyebut bahawa dalam kebudayaan Melayu, konsep menyatunya adat dan agama ini dituangkan dalam adat bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitabullah. Menurut mereka juga, adat pada masyarakat Melayu tercakup dalam empat ragam, iaitu:

(1) Adat yang sebenar adat ; konsep adat yang sebenar adat ini adalah merupakan hukum alam yang diciptakan oleh Allah SWT. Dalam ajaran Islam hukum ini dikonsepkan sebagai hubungan manusia dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan manusia dengan manusia (hablumminannas) dan seluruh alam.

Antara contoh yang diberikan mereka  –

  1. Hati nurani manusia budiman, yang tercermin dalam ajaran adat: Pisang emas bawa belayar, Masak sebiji di dalam peti, Hutang emas dapat dibayar; Hutang budi dibawa mati.
  2. Kebenaran yang sungguh ikhlas, dengan berdasar kepada: berbuat karena Allah bukan karena ulah, niat baik karena Allah sangat ditekankan di sini;
  3. Keputusan yang berpadan, dengan berdasar kepada: hidup sandar-menyandar, pisang seikat digulai sebelanga, dimakan bersama-sama. yang benar itu harus dibenarkan, yang salah disalahkan.

(2) Adat yang diadatkan; adat yang diadatkan ini adalah sesuatu yang telah diterima untuk menjadi kebiasaan atau peraturan yang diperbuat bersama atas musyawarah dan mufakat menurut ukuran yang patut dan benar, yang dapat dimodifikasi sedemikian rupa secara lentur.

Mereka memberikan contoh musyawarah dan muafakat dari penduduk daerah setempat. Kemudian pelaksanaannya diserahkan oleh rakyat kepada pemimpin atau orang yang dipercayai mereka untuk kebahagiaan penduduk. Jadi konsep adat yang diadakan bertumpu kepada sistem kepemimpinan dalam kebudayaan Melayu, yang menjunjung tinggi amanah rakyat berbasis kepada tanggung jawab kepada Tuhan.

(3) Adat yang teradat ;  konsep kebiasaan-kebiasaan yang secara beransur-ansur atau cepat menjadi adat. Konsep adat yang teradat ini adalah merupakan sistem budaya masyarakat Melayu dalam menghadapi perubahan waktu dan ruang. Ada unsur-unsur kebudayaan yang berubah, tetapi jangan lupa mesti ada pula unsur yang sinambung atau berkekalan.

Contoh yang diberikan mereka adalah jika dulu berjalan berkeris atau disertai pengiring, sekarang tidak lagi. Jika dulu warna kuning hanya raja yang boleh memakainya, sekarang siapa pun boleh memakainya (Lah Husni,1986:62).

(4) Adat istiadat ; kumpulan dari berbagai kebiasaan, yang lebih banyak diartikan tertuju kepada upacara khusus seperti adat: perkawinan, penobatan raja, dan pemakaman raja.

Misal yang diberikan mereka adalah dalam setiap upacara perkawinan Melayu terdapat adat istiadat pranikah seperti merisik kecil, merisik besar, melamar, menghantar tanda, jamu sukut, berinai, nikah kawin, hempang batang, hempang pintu, hempang kipas, bersanding, menghormati orang tua, nasi hadap-hadapan, barzanji dan marhaban, mandi bedimbar, meminjam pengantin dan seterusnya.

Saya hanya meringkas apa tertulis di dalam buku Sejarah Kesultanan Deli. Saya sarankan pembaca melanjutkan bacaan buku tersebut jika ingin mendapat maklumat lanjut berhubung empat kategori adat tersebut. Apa yang menarik, kumpulan penulis buku tersebut menyimpulkan bahawa keempat stratifikasi adat Melayu itu, terdapat di semua kawasan Melayu.

Adat Melayu Di Sisi Perundangan

Kita selesai membicarakan adat melayu dalam konteks budaya dan hubung kait rapat dengan Islam dan proses Islamisasi. Adalah sangat baik jika kita menyambung bicara adat melayu dari sudut perundangan. Saya bukan ahli perundangan, saya cuma naqalkan sebahagian catatan pengasas Jurispenden Watan, Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi, tokoh perundangan dan pemikiran watan yang saya dampingi sejak 4 tahun lepas.

Menurut beliau, masih ramai sarjana belum menghargai kedudukan undang-undang bertulis sebelum Hari Merdeka seperti Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, Hukum Kanun Johor dan banyak lagi undang-undang bertulis di Tanah Melayu adalah sebenarnya adat Melayu bertulis. Di dalam adat Melayu bertulis itu terkandung hukum Syarak, undang-undang perlembagaan, undang-undang muamalat, undang-undang keterangan, undang-undang taazir, undang-undang kontrak, undang-undang maritim dan pelbagai undang-undang dan prinsipnya. Adat Melayu masih terpelihara di sisi Perlembagaan Persekutuan, malah merupakan elemen dalam takrifan undang-undang di bawah Perkara 160(2).

Beliau mengulas lanjut, kedudukan perundangan Adat Melayu termaktub dalam Butiran I Senarai II Jadual Kesembilan. Perlembagaan menetapkan bahawa dalam keadaan darurat sekalipun, Parlimen tidak boleh meluaskan kuasa perundangannya dalam adat Melayu serta undang-undang adat bagi anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Satu perkara yang perlu diketahui bahawa kedudukan institusi raja terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan ketika darurat kerana institusi tersebut ialah sebahagian daripada adat Melayu.

Kesimpulan

Islam, Melayu dan adat ibarat isi dan kuku yang sudah sebati dalam corak hidup orang Melayu. Orang Melayu dapat menerima proses Islamisasi itu dengan sangat baik dan penuh damai sehingga segala adat yang dipersembahkan kini telah melalui fasa-fasa perubahan hasil pengaruh Islam yang diterima. Bahkan adat berbahasa yang dilihat pada peribahasa dan simpulan bahasanya penuh dengan adab-adab diajarkan oleh agama Islam.

Ketika krisis identiti rakyat semakin parah, kita seharusnya insaf bahawa kita sebenarnya mewarisi banyak kebudayaan dan adat yang bersanding erat dengan wahyu. Setiap warisan itu mempunyai rahsianya. Bukan itu sahaja perlembagaan kita juga sangat menjaga nilat adat melayu yang memungkinkan perlu ditafsirkan kembali isi perlembagaan pada kerangka adat tanah air (watan) bukan hanya sisi pandang kerangka barat. Saya berkongsi harapan yang sama seperti yang disebut oleh pengasas Jurispenden Watan yakni agar semua pihak berkuasa negeri perlu mengambil tindakan dan inisiatif yang proaktif untuk memperkasakan watan Kenegaraan kita yang terpelihara menurut adat Melayu. Oleh yang demikian, aspek dalam adat Melayu perlu dihuraikan serta dimartabatkan pada kedudukan yang sewajarnya.

RUJUKAN:

  1. Muhammad Takari, A.Zaidan B.S, Fadlin Muhammad Dja’far. ‘Sejarah Kesultanan Deli dan Peradaban Masyarakatnya’, USU Press (2012)
  2. Sejarah dan Tamadun Islam di Malaysia: Satu Kajian Terperinci untuk membangunkan Modul bagi Kursus PPPJ 1223 (Sejarah dan Tamadun Islam di Malaysia), Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam 2 Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) Universiti Kebangsaan Malaysia.
  3. Ahmad Munawar Ismail, Zakaria Stapa, Siti Aishah Suhaimi. ‘Islam dan Pembentukan Jati Diri Bangsa Melayu’, Fakluti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
  4. Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi, Adat Melayu Di sisi Perundangan (penulisan di FB beliau)
  5. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/07/590965/batu-bersurat-terengganu-bukti-peradaban-islam-alam-melayu

Ruangan komen telah ditutup.