Islam Kiri

1,238

Sayap kiri atau ideologi kiri selalu dikaitkan dengan Marxisme-Leninisme. Aposisi kepada status quo. Artikel ini akan ceritakan tentang Islam kiri. Islam yang bawa mesej-mesej sosialis. Menurut Hasan Hanafi, tidak ada istilah Islam kiri atau kanan ini. Namun, Islam kiri itu hanyalah bersifat prinsip.

Asghar Ali Engineer sebut dalam bukunya Islam dan Teologi Pembebasan, Islam hadir dengan misi tauhid, kesejahteraan umum dan membasmi kemiskinan. Lihat seperti pensyariatan zakat. Ia adalah untuk melawan kapitalistik dan feudalistik masyarakat Arab dulu. Dan itu kekal sehingga kini. Iaitu untuk mengagih-agihkan harta kepada yang memerlukan supaya kemiskinan dapat dibasmi.

Perjuangan ini juga menjadikan Tauhid sebagai prinsip utama.. Iaitu tauhid al-ummah dalam aspek membebaskan manusia dari struktur masyarakat yang mengkasta-kastakan warna kulit, status sosial dan sebagainya.

Orang Islam akui Allah itu esa. Maka, orang Islam perlu menolak segala bentuk diskriminasi berdasarkan ras, jurang harta dan seumpamanya.

Keesaan Allah beerti keesaan dalam kehidupan. Yakni, tiada pemisahan antara spiritualiti dan duniawi. Orang Islam hari ini telah memisahkan kedua-dua ini sehingga membuatkan mereka sangat-sangat mundur dalam mengurus diri mereka sendiri. Sibuk ‘mengurusi’ Tuhan, diri mereka sendiri diabaikan. Itu yang berlaku krisis kemiskinan dan penindasan. Kerana pemisahan agama dan dunia.

Orang yang mengaku dirinya bertuhan mesti bantu orang Islam yang lain untuk bebas dari sebarang penindasan. Tak akanlah Islam ini hanya sempit mementingkan aspek ritual semata-semata? Ritual mesti membuahkan aktual atau tindakan. Ritual mesti mempengaruhi untuk bertindak membantu orang Islam di luar ritual. Bukan hanya juara dalam sembahyang. Tapi tidak menyumbang langsung dalam membawa kesejahteraan kepada masyarakat, lagi-lagi kepada mereka yang tertindas. Kenapa orang Islam lupa akan hal ini?

Masalah kemiskinan hari ini berlaku sangat berleluasa. Ada dua pilihan saja untuk menghadapi masalah ini. Redha dengan kemiskinan, menyangkakan keredhaan ini akan membuahkan pahala dan terus shortcut ke syurga. Kedua, kita jadikan Islam sebagai agama pembebasan. Bebas dari belenggu kemiskinan.

Ini yang diperjuangkan Hasan Hanafi, seorang Profesor Falsafah di Universiti Kairo dalam menyingkapi masalah kemiskinan. Ada tiga projek Hasan Hanafi usulkan dalam bukunya, Kiri Islam.

Pertama, sikap terhadap tradisi lama sebagai rekonstruksi pembangunan teologi sebagai alat untuk transformasi sosial. Seperti yang dikhabarkan tadi. Tauhid menjadi prinsip perjuangan bagi membasmi masalah-masalah ini.

Kedua, sikap terhadap barat. Melakukan studi terhadap oksidentialisme. Lawan kepada orientalisme. Kali ini, kita pula counter barat. Bukan dia semua betul pun. Dia hanya ingin mencari salah dan kelemahan orang timur dan Islam, sebagai satu alasan untuk mereka nak memodenkan orang timur.

Ketiga, sikap terhadap realiti perkembangan teori dan interpretasi. Ini yang disebut oleh Sheikh Muhammad Al-Ghazali yang masalah kemunduran umat Islam ialah berpunca daripada masalah pemikiran. Pemikiran yang tidak rasional dalam mentafsirkan agama sehingga beragama itu boleh membawa kepada solusi masalah-masalah besar sosial. Agama Islam bukan sempit membincangkan soal ibadat ritual semata-mata.

Umat Islam mundur secara eksternal dan internal. Ekternalnya, umat Islam mangsa kepada imperialisme, kapitalisme dan zionisme. Internalnya pula, umat Islam miskin dan keterbelakang dalam hampir semua aspek.

Jurnal ideologi kiri Hasan Hanafi ini diterbitkan sebagai respon kepada Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979 yang mana orang Iran telah menjatuhkan Shah Pahlevi (absolut monarki) kerana berlaku penindasan kebodohan dan kemiskinan. Mereka ingin Islam yang membebaskan, bukan menindas.

Revolusi Islam Iran ini pula mendapat ilham dari Shariati yang mana beliau mengecam perangai ulama Syiah yang selalu menjilat Pahlevi. Ulama Syiah pada ketika itu pula telah mengeluarkan fatwa mengharam dan memboikot karya-karya Shariati.

Sama yang berlaku kepada Hasan Hanafi yang telah dipenjara oleh regim Anwar Sadat ketika beliau menjadi presiden Mesir ketika itu.

Matlamat akhir Islam kiri yang hendak diperjuangkan ini, Hasan Hanafi letakkan beberapa, iaitu:

  • Manifestasi keadilan sosial.
  • Masyarakat bebas mengeluarkan kritikan dan pendapat.
  • Membangunkan Pan-Islamisme.
  • Membentuk sistem politik yang bebas dan menjalin hubungan baik dengan negara-negara Islam dan dunia ketiga.
  • Mendokong gerakan revolusi kaum terjajah dan tertindas.

Islam perlu dijadikan sebagai teologi pembebasan. Perlunya ada dialog dengan pelbagai rencam pemikiran untuk mencari kesamaan antara satu sama lain. Kerana beza kita hanyalah pada bentuk, simbol, bahasa dan metod. Sedangkan, kita sama pada substansi, makna, isi dan tujuan akhir.

Tuntasnya, janganlah jadi pak ustad yang hanya sibuk mengwahabikan orang tanpa keluar ke lapangan, membantu rakyat tertindas. Islam itu bukan hanya membincangkan Allah di mana. Tetapi, prioriti kita di mana? Prioriti kita sepatutnya membantu orang Islam dalam isu-isu yang lebih penting.

Artikel dikirimkan oleh Sadiq Salihoddin untuk The Patriots.

RUJUKAN:

Apinio, R. (2013, Ogos 19). Kiri Islam dan Proyeksi Utopis Hassan Hanafi. Retrieved from Indo Progress: https://indoprogress.com/2013/08/kiri-islam-dan-proyeksi-utopis-hassan-hanafi/

Budi, A. (2018, Disember 6). Muslim Kiri, Adakah? Retrieved from Geotimes: https://geotimes.co.id/opini/muslim-kiri-adakah/

Rilis.id. (2017, Jun 13). Mengulas Pemikiran Kiri Islam Hassan Hanafi. Retrieved from Rilisid: http://rilis.id/Mengulas-Pemikiran-Kiri-Islam-Hassan-Hanafi

Supriatna, H. (2019, September 19). Kiri Islam dan Relevansinya di Indonesia. Retrieved from Kompasiana: https://www.kompasiana.com/hendisupriatnamubarok3150/5d83634f0d823018df411da4/kiri-islam-dan-relevansinya-di-indonesia?page=all

 

Ruangan komen telah ditutup.