Moving Forward As One

Isabel Moctezuma – Puteri Terakhir Empayar Aztec

1,016

PayLater by Grab

Kisah Moctezuma II-Hernan Cortes sentiasa diangkat sebagai contoh pertembungan dua tamadun asing yang kemudiannya membawa kepada kemus.na.han tamadun asal. Walaupun Empayar Aztec runtuh bersama dengan pemerintah terakhirnya itu, legasi baginda terus wujud dalam bentuk gelaran bangsawan Sepanyol Duke of Moctezuma de Tultengo. Semua itu berlaku terima kasih kepada puteri baginda, Isabel Moctezuma.

Berminat nak dapatkan kad raya Patriots dan sampul raya? Beli di: t.ly/D0J9

Isabel atau nama sebenarnya Tecuixpo Ixtlaxóchitl, Tecuichpo atau Tecuichpochtzin dilahirkan pada tahun 1510. Namanya bermaksud sama ada bunga kapas atau anak kepada seorang bangsawan. Bagaimanapun, tidak diketahui siapa sebenarnya bonda baginda. Ini kerana menurut sejarawan Sepanyol, Francisco López de Gómara, Moctezuma dikatakan mempunyai 3,000 orang isteri dan gundik.

Rajah 1: Moctezuma II

Bagaimanapun, menurut seorang lagi sejarawan Fernando Alva Ixtlilxochitl, beliau percaya bonda Isabel ialah Tayhualcan, permaisuri Moctezuma. Baginda ialah puteri kepada Totoquihuaztli, pemerintah Tlacopan sebelum era kedatangan Sepanyol. Berikutan statusnya sebagai puteri seorang maharaja Aztec, maka Isabel sudah pasti dianggap bernilai sebagai isteri kepada mana-mana pemerintah/bangsawan.

Berikut senarai suami yang pernah dikahwini oleh Isabel:

  • Atlilxcatzin.

Suami pertama baginda semasa berusia 11/12 tahun dan putera kepada pemerintah Aztec sebelum Moctezuma, Ahuitzotl. Melihat kepada hubungan baik kedua-dua pemerintah, Atlilxcatzin bukan saja sepupu tetapi bapa saudara sebelah ibu kepada Isabel. Bagaimanapun, perkahwinan yang dibina pada 1519 tidak bertahan lama apabila baginda mangkat pada 1520. Perkahwinan ini berlaku sebelum kedatangan Hernan Cortes ke Tenochtitlan.

  • Cuitlahuac.

Pengganti Moctezuma dan sepupu kepada Isabel. Perkahwinan ini dilihat sebagai cara mengesahkan kedudukannya sebagai pemerintah baru Empayar Aztec. Cuba membina pakatan dengan puak-puak jiran untuk menyingkirkan angkatan Sepanyol yang dipimpin Cortes. Perkahwinan hanya bertahan selama 80 hari selepas Cuitlahuac mangkat akibat penyakit cacar.

  • Cuauhthemoc.

Suami ketiga Isabel dan pemimpin Aztec yang cuba mengusir pihak Sepanyol keluar dari bumi mereka. Walaupun memberi tentangan sengit, ibu kota Aztec iaitu Tenochtitlan jatuh ke tangan pihak Sepanyol pada Ogos 2021. Baginda kemudiannya dise.k.sa beberapa ketika oleh pihak Sepanyol bagi mendapatkan maklumat tentang lambakan emas tamadun berkenaan sebelum dilepaskan oleh Cortes.

Rajah 2: Lukisan pemimpin-pemimpin Aztec termasuk Cuauhthemoc dise.k.sa oleh oleh pihak Sepanyol bagi mendapatkan emas Empayar Aztec.

Beliau membenarkannya hidup selama beberapa tahun sebelum membawanya menyertai ekspedisi penjelajahan ke Honduras pada 1525. Cortes enggan meninggalkannya kerana bimbang Cuauhthemoc akan cuba menggerakkan satu lagi pemberontakan terhadap Sepanyol di Mexico. Baginda kemudiannya dihukum ma.ti atas arahan Cortes sekaligus menjadikan Isabel bergelar balu buat kali ketiga.

  • Alonso de Grado.

Dikahwini pada 1526 setahun selepas pemergian Cuauhthemoc dan merupakan antara sekutu utama Cortes. Perkahwinan ini bukan sekadar dilihat simbol penyatuan orang Sepanyol-Aztec tetapi membolehkan baginda menerima hantaran perkahwinan yang lumayan. Ini termasuk tanah dan khidmat orang tempatan. Bagaimanapun, perkahwinan tersebut tidak bertahan lama apabila de Grado meninggal dunia setahun kemudian.

  • Pedro Gallego de Andrade.

Pedro Gallego sebenarnya cina buta yang digunakan Cortes untuk mengahwini Isabel selepas kedua-duanya mengadakan hubungan sulit sehingga membawa kepada kehamilannya. Anak pertama pasangan itu, Leonor Cortés de Moctezuma dilahirkan pada 1528 di mana ia dibesarkan oleh rakan Cortes, Juan Gutiérrez de Altamirano. Leonor dianggap anak kandung sendiri oleh Cortes dan beliau memastikan puterinya itu mempunyai kehidupan yang baik sepanjang hayatnya.

Selain Leonor, Isabel turut melahirkan seorang lagi anak bernama Juan de Andrade Gallego Moctezuma pada 1529. Bagaimanapun, hubungan baginda dengan Pedro Gallego kurang baik berikutan suaminya itu sentiasa menggunakan hartanya untuk kepentingan dirinya. Orang suruhan Cortes itu kembali menemui Penciptanya pada 1531.

  • Juan Cano de Saavedra

Tidak seperti perkahwinan-perkahwinan yang lain, perkahwinan Isabel dengan Juan Cano de Saavedra diatur oleh dirinya sendiri. Bagi kedua-duanya, ia memberi manfaat dalam pelbagai segi. Bagi Juan Cano, perkahwinannya itu melonjakkan status sosialnya sebagai bangsawan. Manakala bagi Isabel, ia membantunya mempertahankan hartanah yang dimilikinya daripada dirampas oleh mana-mana pihak berkepentingan.

Mengikut rekod Sepanyol dan Mexico, Isabel pernah disaman sebanyak tiga kali tetapi semua cubaan berakhir dengan kegagalan. Sebelum baginda kembali ke negeri cacing pada tahun 1550, Isabel berusaha mendapatkan kembali semua aset termasuk hartanah milik ayahandanya.

Enam tahun selepas kema.ti.annya, mahkamah Sepanyol memutuskan semua aset yang dimiliki Moctezuma II sebelum ini harus dipulangkan kepada keluarga Isabel. Bagaimanapun, keputusan tersebut amat mustahil untuk dikuatkuasakan. Ini kerana semua aset ini dimiliki oleh orang lain dan jika ia cuba dikuatkuasakan, ia sudah pasti mengundang reaksi kurang senang pemilik-pemilik baru itu.

Jadi, bagaimana gelaran Duke of Moctezuma de Tultengo itu wujud? Ia terhasil apabila putera Isabel, Juan Cano de Moctezuma membina nama sebagai figura berpengaruh sehingga dapat berkahwin dengan Elvira de Toledo. Keluarga Toledo merupakan antara keluarga bangsawan berpengaruh di Sepanyol dan menerusi perkahwinan ini, susur-galur keturunan diraja Aztec itu terus hidup di Sepanyol hari ini.

Berminat nak dapatkan kad raya Patriots dan sampul raya? Beli di: t.ly/D0J9

Selain Juan Cano, Leonor juga bertanggungjawab memastikan da.r.ah Moctezuma terus mengalir dalam keturunan bangsawan-bangsawan Sepanyol. Pada tahun 1550, baginda berkahwin dengan pengasas kota Zacatecas, Juan de Tolosa. Hari ini, terdapat 2,000 orang yang mempunyai da.r.ah keturunan Sepanyol-Aztec yang tinggal di Sepanyol dengan gelaran Duke of Moctezuma de Tultengo dipegang oleh Juan José Marcilla de Teruel-Moctezuma y Valcárcel.

RUJUKAN:

Mingren, W. (2021). Isabel Moctezuma: The Last Aztec Princess. Ancient-Origins.

Ruangan komen telah ditutup.