Isaac II Angelos & Putaran Ganas ‘Game of Throne’

0
643
views

Pada tahun 1185, Andronikos I Komnenos telah digulingkan oleh Isaac II Angelos yang mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja baru Empayar Byzantin semasa ketiadaan Andronikos di Constatinople. Andronikos telah ditangkap oleh Isaac dan menyerahkannya kepada penduduk Constatinople di mana bekas maharaja yang malang itu dipukul, dibelasah, ditikam dan pelbagai lagi penderaan sehingga mati pada 12 September 1185 di Hippodrome of Constantinople.

Menariknya, 10 tahun kemudian ketika Isaac tiada di kem (semasa kempen menentang Bulgaria) kerana berburu, abangnya telah mengambil kesempatan mengisytiharkan dirinya maharaja yang baru dan ini disokong oleh para tentera. Sekembalinya dari berburu, Isaac telah ditangkap dan abangnya yang telah menjadi maharaja itu telah membutakan matanya dan memenjaranya di Constatinople. Karma.

Abang Isaac kini menjadi Maharaja Alexios III Angelos telah memerintah empayar dengan rekod yang teruk. Akhirnya karma telah tiba apabila anak saudaranya, Alexios IV yakni anak kepada Isaac II yang dibutakan mata dan dipenjarakan tadi telah meminta bantuan tentera Salib (ketika itu era Permusuhan Besar Timur-Barat antara puak Ortodoks dan Roman Katolik) dan ini membawa kepada serangan tentera Salib ke atas ibukota Byzantin itu pada tahun 1203. Alexios IV telah diisytiharkan sebagai maharaja baru oleh tentera Salib dan Alexios III melarikan diri.

Issac II dibebaskan dan takhtanya dipulihkan oleh tentera Salib walaupun kuasa sebenar terletak di tangan anaknya. Namun masalah terjadi apabila penduduk Constatinople memberontak dan membunuh orang-orang asing di kota. Pihak tentera Salib mendesak Alexios IV bertindak menyelesaikan masalah itu namun dirinya yang pada masa yang sama menanggung beban pemerintahan yang sudah sedia hancur lebur hanya membalas bahawa dia tidak akan lagi melakukan apa-apa lebih dari apa yang telah dia lakukan. Hubungan Alexios IV dengan pihak tentera Salib semakin memburuk dan percubaannya untuk mengusir kuasa mereka dari bumi Constatinople gagal. Dirinya juga tidak popular di kalangan penduduk Constatinople, mengingatkan kerjasamanya dengan tentera Salib yang ganas untuk meraih takhta. Alexios IV akhirnya mengalah dan membuat ‘u-turn’, yakni kembali cuba membuat perdamaian dengan tentera Salib. Dia telah meletakkan kepercayaannya kepada seorang bangsawan bernama Alexios Doukas Murzuphlus bagi misi mendapatkan kembali sokongan tentera Salib. Namun karma untuknya telah tiba apabila orang kepercayaannya itu telah belot apabila menangkapnya berserta ayahnya Isaac II dan memenjarakan mereka berdua. Isaac II telah mati kemudiannya di dalam tahanan akibat sakit tua atau diracun dalam versi lain manakala anaknya dicekik sampai mati.

Kuasa kini di tangan Alexios Doukas dan dia mengisytiharkan dirinya sebagai Alexios V, maharaja Byzantin yang baru. Namun masanya menjadi maharaja adalah pada masa yang salah kerana situasi ibukota yang huru hara. Constatinople akhirnya jatuh ke tangan tentera Salib sepenuhnya pada April 1204 dan Alexios V melarikan diri. Dia kemudiannya pergi ke Mosynopolis, tempat di mana Alexios III (yang digulingkan Alexios IV) berkuasa bersama para pengikutnya. Alexios V pada mulanya disambut baik malah dikahwinkan dengan anak Alexios III sendiri namun kemudiannya bapa mertua barunya itu telah menahannya dan membutakan matanya, dengan motif tidak mahu dia berkuasa semula. Alexios V yang malang itu kemudiannya telah ditinggalkan sejurus sebelum tentera Salib yang kini menjadi Empayar Latin, tiba di situ dan menangkapnya untuk dibicarakan di Constatinople. Dia didakwa menggulingkan maharaja yang sah (Alexios IV) dan dihukum bunuh dengan mencampakkannya dari tempat tinggi.

Waqaf Saham

Apakah nasib seorang lagi, yakni Alexios III yang melarikan diri dari tentera Salib? Alexios akhirnya mati dalam tahanan oleh seorang menantunya yang lain atas hukuman berkonspirasi menentang menantunya itu yang menjadi pemerintah Nicaea.

Maka berakhirlah pemerintahan terakhir maharaja Byzantin di Constatinople yang kini berada di tangan tentera Salib yang membentuk Empayar Latin sehinggalah ia berakhir 57 tahun mendatang.

~Srikandi
The History of Thy Beloved

kredit foto: wikimedia

Keterangan: Lukisan menggambarkan Alexios V sedang berunding dengan Doge Enrico Dandalo, komander tentera Salib yang mana nisan penandanya masih ada di dalam Hagia Sophia dan menjadi salah satu plot penting dalam filem Inferno