Irfan Shamsudin atau nama sebenarnya, Mohd Irfan Shamsudin dilahirkan di ibu negara, Kuala Lumpur pada 16 Ogos 1995. Beliau merupakan cahaya mata bongsu daripada kesemua sembilan cahaya mata kepada kedua ibu bapanya.

Beliau telah mendapatkan pendidikan awalnya di Sekolah Agama ABIM, Negeri Sembilan daripada umurnya 7 tahun sehinggalah ke umur 10 tahun. Beliau kemudian telah berpindah ke Sekolah Kebangsaan King George V, Negeri Sembilan sehinggalah tamat pendidikan peringkat rendahnya.

Pada peringkat menengah, beliau telah mendapatkan pendidikannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba di Negeri Sembilan sebelum mendapat tawaran untuk berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil semasa beliau berumur 16 tahun.

Di peringkat pengajian tinggi pula, Mohd Irfan Shamsudin atau juga popular dengan nama Irfan Sham ini adalah merupakan pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan daripada university tertua dalam negara, Universiti Malaya. Hal ini menjadi bukti yang sukan bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam pendidikan.

Irfan Shamsudin & Dunia Sukan

Irfan Shamsudin atau Irfan Sham sudah mula berjinak-jinak dengan aktif dalam bidang sukan sejak daripada usia kecil lagi. Hal ini kerana beliau dan adik-beradiknya yang lain telah diajar oleh ibu bapa mereka untuk berkecimpung dalam sukan renang dan sukan golf sejak daripada usia kecil.

Irfan Sham juga telah bermain golf secara aktif sehingga beliau mencecah umur 15 tahun. Dua sukan tersebut telah dipupuk oleh bapanya untuk dijadikan rutin harian sewaktu dirinya masih lagi kecil.

Untuk pengetahuan, Irfan Sham pada asalnya bermula dengan bermain sukan ragbi sewaktu berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba di Negeri Sembilan. Beliau yang mempunyai saiz badan yang besar dan tegap sudah tentu meminati sukan yang lasak. Disebabkan hal itu, ragbi menjadi pilihan hatinya.

Beliau kemudian terus bermain sukan ragbi secara serius sebelum menerima tawaran daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil di ibu negara. Selepas itu, beliau berhenti bermain ragbi. Tambahan lagi, ibunya juga kurang menggemari dengan penglibatannya dalam sukan ragbi memandangkan ianya sukan yang merbahaya ditambah lagi dengan dirinya yang pernah mengalami kecederaan berulang kali.

Dalam pada masa yang sama, beliau sememangnya sudah bergiat dalam sukan lempar cakera semenjak di SMK Za’ba tetapi bukanlah secara serius. Namun begitu, ketika berada di Sekolah Sukan Bukit Jalil, beliau mula menunjukkan minat yang mendalam terhadap sukan itu seterusnya mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam sukan itu secara serius.

Irfan Shamsudin – Raja Lempar Cakera Asia Tenggara

Mohd Irfan Shamsudin mula menempa nama dalam sukan lempar cakera ini apabila beliau berjaya mencatat sejarah. Pada temasya Sukan Asia Tenggara 2013 di Myanmar, beliau berjaya menamatkan kemarau 46 tahun negara tanpa pingat emas dalam acara lempar cakera di temasya Sukan Asia Tenggara. Lebih manis lagi, Irfan Sham juga telah memecahkan rekod kebangsaan pada temasya tersebut.

Irfan Shamsudin kemudian meneruskan rentak cemerlangnya dengan memenangi pingat emas dalam acara yang sama pada tiga edisi temasya Sukan Asia Tenggara yang seterusnya secara berturut-turut di Singapura, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Filipina.

Apa yang lebih menarik lagi ialah apabila pada temasya Sukan Asia Tenggara di Filipina temph hari, Irfan Sham memenangi pingat emas dengan sebuah lemparan sahaja. Beliau yang pada ketika itu masih mengalami kecederaan, melakukan lemparan pertama dengan catatan jarak 57.29 meter sebelum kelima-lima lemparannya yang lain dibatalkan oleh pegawai pertandingan.

Beliau yang kini masih merupakan pemegang rekod negara dengan catatan 62.55 meter yang dilakukannya pada tahun 2017 jelas tidak berpuas hati dengan prestasinya pada temasya Sukan Asia Tenggara di Filipina itu namun tetap bersyukur kerana masih mampu mempertahankan pingat emas.

Kontroversi Irfan Shamsudin

Meskipun Mohd Irfan Shamsudin merupakan seorang jaguh dalam sukan yang dimainkannya, beliau juga tidak lari daripada terpalit dengan kontroversi. Irfan Shamsudin pernah terlibat dengan sebuah pergaduhan bersama dengan seorang lagi atlet olahraga kebangsaan, A. Kavee Alagan pada tahun 2015.

Pergaduhan tersebut terjadi apabila berlaku salah faham yang kemudian menjurus kepada pergaduhan yang kemudian mengakibatkan A. Kavee Alagan cedera dipukul oleh Mohd Irfan Shamsudin. Mujur sekali, kes tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh kedua belah pihak apabila mereka berdua bersetuju untuk berdamai tidak lama kemudian.

Tidak terhenti di situ, Irfan Shamsudin juga pernah mengeluarkan kenyataan melalui ciapannya di laman Twitter pada awal tahun lalu. Beliau pada ketika itu tidak berpuas hati apabila Menteri Belia & Sukan ketika itu, YB Syed Saddiq telah menamatkan Program Podium.

Bukan itu sahaja, beliau juga inginkan penjelasan berkenaan penamatan kontrak jurulatih peribadinya, Frantisek Petrovic. Selain itu, Irfan Shamsudin juga meluahkan ketidakpuashatiannya tentang isu penolakan permohonannya untuk berlatih di luar negara.

Berikutan dengan hal itu, pihak Majlis Sukan Negara telah mengeluarkan kenyataan berkenaan ciapan yang telah dikeluarkan oleh Mohd Irfan Shamsudin. Menurut Majlis Sukan Negara, penamatan kontrak jurulatih peribadi Irfan Shamsudin adalah berikutan prestasinya yang tidak menentu pada sepanjang tahun 2018. Oleh sebab itu, Majlis Sukan Negara menyifatkan yang ianya tidak lagi berbaloi untuk menggajikan jurulatih peribadinya itu.

Menurut Majlis Sukan Negara lagi, Irfan Shamsudin enggan untuk menyertai atlet-atlet negara yang lain untuk berlatih di China. Irfan Shamsudin dikatakan tetap berkeras untuk berlatih di Republik Czech dan Turki.

Namun begitu, Mohd Irfan Shamsudin seharusnya layak untuk berlatih di lokasi yang lebih baik dan sesuai dengan kehendak dirinya berikutan prestasinya yang begitu memberangsangkan dalam sukan lempar cakera. Manakan tidaknya, beliau bukan sahaja merupakan pemegang rekod negara malahan juga pemenang pingat emas Sukan Asia Tenggara selama empat edisi berturut-turut.

Tidak terhenti di situ, Menteri Belia & Sukan, YB Syed Saddiq juga telah mengeluarkan sebuah kenyataan di mana beliau menerima luahan Irfan Shamsudin itu namun menegaskan yang Irfan Sham seharusnya membuat luahan menerusi saluran yang betul dan bukannya melalui media sosial.

Dalam pada masa itu, Irfan Shamsudin telah menyatakan yang beliau tidak mahu berbalah namun inginkan penjelasan dalam usaha mencari penyelesaian. Beliau juga menyifatkan yang dirinya mahu pergi dengan lebih jauh dalam sukan lempar cakera dan impiannya itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada pihak berwajib.

Ulasan Penulis

Mohd Irfan Shamsudin merupakan seorang atlet yang prestasinya cukup membanggakan. Beliau merupakan seorang atlet yang bagi saya adalah satu dalam sejuta. Manakan tidaknya, Malaysia hanya mampu mendapatkan semula pingat emas dalam sukan lempar cakera ini setelah 46 tahun menanti.

Beliau yang masih muda mampu untuk berkembang daripada semasa ke semasa. Latihan intensif yang konsisten berserta dengan bantuan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab juga mampu meningkatkan prestasinya.

Di samping itu, sokongan padu rakyat Malaysia mampu membawa Irfan Sham untuk berdiri sebaris dengan jaguh handalan dunia seterusnya dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Insyallah.

RUJUKAN:

  1. BH Online (26 Januari 2016). Mohd Irfan kena tempah baju sekolah. https://www.bharian.com.my/node/118010
  2. Arena Emag (12 Ogos 2015). Interviu Irfan Shamsudin [VIDEO]. https://www.youtube.com/watch?v=OTuKk2Z9ct0&t=1s
  3. Deenamik (18 Januari 2019). Alamak! MSN dan YB Syed Saddiq Bidas Tuduhan Irfan Shamsudin. https://deenamik.com/blog/2019/01/alamak-msn-dan-yb-syed-saddiq-bidas-tuduhan-irfan-shamsudin/
  4. BH Online (27 Januari 2015). Isu gaduh: Muhammad Irfan, Kavee Alagan setuju berdamai. https://www.bharian.com.my/node/31890
  5. The Malaysian Reserve (11 Disember 2019). Muhammad Irfan easily retains discus gold. https://themalaysianreserve.com/2019/12/11/muhammad-irfan-easily-retains-discus-gold/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.