Setelah peristiwa banjir besar (The Great Flood) yang melanda bumi pada zaman Nabi Nuh a.s maka lahirlah beberapa keturunan daripada anak-anak baginda. Keturunan mereka menyebar di serata dunia dan salah keturunan yang menjadi lokasi diutuskan nabi seterusnya, iaitu Nabi Hud a.s kepada kaum Ad adalah berlaku di kota Iram yang terkenal dengan sebutan kota legenda ‘Atlantis of the Sands’, yang terhapus peradabannya daripada catatan sejarah.

Diantara ayat-ayat yang mengisahkan tentang Nabi Hud a.s bersama peradaban Ad:

Al A’raf 25-72.
Hud 50-60.
Al Mu’minun 31-41.
Asy Syu’ara’ 123-140.
Fushilat 15-16.
Al Ahqaf 21-25.
Adz Dzariyat 41-42.
An Najm 50-55.
Al Qomar 18-22.
Al Haqqah 6-8.
Al Fajr 6-14.

DALIL QURAN KISAH NABI HUD A.S DAN KAUM AD

Nabi Hud a.s tinggal di negara Yaman, di sebuah tempat yang bernama Al-Ahqaaf (bukit-bukit berpasir). Di sana kaum Ad yang pertama berketurunan sampai kepada Nabi Nuh a.s. Mereka tinggal di rumah-rumah yang memiliki tiang-tiang yang besar sepertimana dalam surah al-Fajr ayat 7 sehingga 8:

7: (Iaitu) penduduk Iram (ibu kota tempat tinggal kaum Ad) yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi (tiangnya).

8: Yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain.

Kaum Ad bukan sahaja membina rumah dan bangunan yang tinggi-tinggi, bahkan mereka membina benteng pertahanan untuk melindungi kota mereka daripada serangan musuh sepertimana di dalam surah as-Syu’ara ayat 128 sehingga 129:

128: Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main (bermewah-mewah).

129: Dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud agar kamu kekal (di dunia).

Bukti kaum Ad adalah bangsa yang kuat setelah hancurnya bangsa Nabi Nuh a.s, sepertimana dinyatakan oleh Allah swt dalam firmannya surah al-A’raf ayat 69:

69: Dan ingatlah oleh kamu sekalian di waktu Allah menjadikan kamu sebagai pengganti-pengganti (yang berkuasa) setelah lenyapnya kaum Nuh, dan Allah telah melebihkan kekuatan tubuh dan perawakanmu (daripada kaum Nuh itu). Maka ingatlah nikmat-nikmat Allah agar kamu mendapat keberuntungan.

Kaum Ad yang terkenal dengan peradaban yang tangguh, sering menang dalam apa-apa pertempuran ke atas para musuh dari wilayah atau kerajaan lain. Kaum Ad disuburkan dengan keturunan yang ramai. Selain kepakaran mereka dalam menbina bangunan atau benteng dan penyusunan pasukan tentera, mereka juga berkembang dalam bidang agrikultur dengan menanam pelbagai jenis tanaman selain mengembala haiwan domestik sepertimana di dalam surah as-Syu’ara ayat 130 sehingga 134:

130: Dan apabila kamu menyiksa, maka kamu menyiksa sebagai orang-orang yang kejam dan bengis.

131: Maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.

132: Dan bertakwalah kepada Allah yang telah menganugerahkan kepadamu apa yang kamu ketahui.

133: Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak dan anak-anak.

134: Dan kebun-kebun dan mata air.

Walaupun kaum Ad telah mencapai tahap keemasan dalam peradaban mereka, tetapi mereka tetap menyekutukan Allah swt sepertimana kaum Nabi Nuh a.s. Nabi Hud a.s diutuskan Allah swt ke atas bangsanya untuk mengajak mereka meninggalkan penyembahan kepada berhala dan menyembah Allah swt semata-mata. Kisah seruan Nabi Hud a.s ke atas umatnya diungkap di dalam surah al-A’raf ayat 65 sehingga 68.

Nabi Hud a.s berseru:

65: Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan yang berhak disembah bagimu selain Dia. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya.

Dan kaum Ad membalas seruan baginda:

66: Sesungguhnya Kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

Nabi Hud a.s tetap tidak berputus asa dalam menyeru dakwah kepada umatnya:

67: Wahai kaumku! Tidak ada padaku kekurangan akal sedikit pun, tetapi aku ini adalah utusan dari Tuhan semesta alam.

68: Aku menyampaikan amanat-amanat Tuhanku kepadamu dan aku hanyalah pemberi nasihat yang terpercaya bagimu.

Kaum Ad semakin menjadi sombong dan menolak segala seruan baginda. Mereka menjadi lebih keras dan mengelarkan Nabi Hud a.s sebagai orang yang gila. Di dalam surah al-Hud ayat 53 sehingga 54:

53: Wahai Hud! Kamu tidak mendatangkan kepada kami suatu bukti yang nyata, dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana perkataanmu, dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kamu.

Dan mereka dengan berani mengatakan bahawasanya Nabi Hud a.s telah menjadi gila disebabkan menolak sembahan kaum Ad:

54: Kami tidak mengatakan melainkan bahwa sebahagian sembahan kami telah menimpakan penyakit gila ke atas dirimu.

Cercaan dan hinaan kaum Ad ke atas Nabi Hud a.s tidak berhenti. Mereka semakin galak dalam mengolok-olokkan kenabian baginda. Mereka tidak percaya dengan kewujudan Tuhan Nabi Hud a.s. Mereka tetap setia menyembah berhala-berhala sembahan yang mereka ukir sendiri. Kesabaran baginda mencapai puncaknya. Nabi Hud a.s berkata sepertimana dalam firman Allah swt di dalam surah al-Hud 54 sehingga 57:

54. Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan saksikanlah olehmu sekalian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan dengan yang lain, sebab itu jalankanlah tipu dayamu semuanya terhadapku dan janganlah kamu memberi tangguh kepadaku.

55. Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya.

56. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.

57. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu apa (amanat) yang aku diutus (untuk menyampaikannya) kepadamu. Dan Tuhanku akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain (dari) kamu, dan kamu tidak dapat membuat mudharat kepadaNya sedikit pun. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu.

Kaum Ad membalas ancaman dan nasihat Nabi Hud a.s dengan berkata sepertimana dalam surah al-A’araf ayat 70 dan 71.

70. Maka datangkanlah azab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar.

Nabi Hud a.s pun menjawab hinaan mereka.

71: Sungguh sudah pasti kamu akan ditimpa azab dan kemarahan dari Tuhanmu. Apakah kamu sekalian hendak membantah dengan aku tentang nama-nama (berhala) yang kamu berserta nenek moyangmu menamakannya, padahal Allah sekali-kali tidak menurunkan hujah untuk itu? Maka tunggulah (azab itu), sesungguhnya aku juga termasuk orang yang menunggu bersama kamu.

Maka kisah ini dilanjutkan, setelah beberapa waktu, suasana kota Iram berubah secara drastik. Awan-awan yang membawa hujan tidak terlihat di langit Iram. Cuaca berubah. Kemarau semakin menghampiri. Telaga dan sumber air yang dikumpulkan atau disimpan oleh kaum Ad semakin mengering. Kebun tananam mereka tidak berbuah dan haiwan-haiwan ternakan mati kekeringan. Sumber makanan dan air di kota Iram terbatas. Mereka tidak tahu. Azab Allah swt semakin menghampiri.

Sehinggalah pada suatu hari, terlihatnya sebuah awan yang berlalu menghampiri dada langit kota Iram. Masyarakat Ad bersorak kegembiraan. Mereka menyangka awan tersebut membawa hujan rahmat. Tetapi Nabi Hud a.s berkata, ianya awan yang membawa azab yang bakal menutup dan menghapuskan peradaban Ad buat selama-lamanya. Kisah ini diambil daripada firman Allah swt di dalam surah al-Ahqaf ayat 24.

24: Maka ketika mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka (kaum Ad): “Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami”.

Nabi Hud a.s membalas dakwaan mereka dengan berkata:

“(Bukan!) bahkan itulah azab yang kamu minta agar datang dengan segera (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih”.

Suasana kota Iram setelah dilanda azabNya:

“Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa”.

Bukan semua kaum Ad yang dihancurkan oleh Allah swt tetapi sebahagian bangsa Ad yang sudah beriman dan menjadi pengikut Nabi Hud a.s diselamatkan oleh Allah swt. Dalil ini dapat dilihat dalam surah al-A’raf ayat 72:

72: Maka Kami selamatkan Hud beserta orang-orang yang bersamanya dengan rahmat yang besar dari Kami, dan Kami tumpaskan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

Setelah kehancuran peradaban Ad di kota Iram, maka Nabi Hud a.s beserta kaum Ad yang beriman berpindah lalu menuju ke Hadramaut, Yaman.

Kemusnahan kaum Ad dan kota Iram disenaraikan sebagai ‘The Lost Civilization’ atau Peradaban Yang Lenyap.

KOTA IRAM: MELALUI TAFSIRAN IBNU KATSIR.

Daripada dalil Quran di atas, Ibnu Katsir telah menuliskan tentang segala sejarah berkaitan Nabi Hud a.s dan keadaan kota Iram pada waktu tersebut.

Menurut Ibnu Katsir di dalam Kitab Kisah Para Nabi:

1. NAMA:

Hud bin Syalikh bin Irfakhsyadz bin Sam bin Nuh. 

Ibnu Jarir r.a pula berpendapat, nama baginda adalah Hud a.s bin Abdullah bin Ribah bin Ad bin Aush bin Sam bin Nuh a.s.

2. KAUM:

Nabi Hud a.s berasal daripada suku kabilah yang bernama Ad. Ad bin Aush bin Sam bin Nuh a.s.

Kaum Ad merupakan generasi keempat keturunan Nabi Nuh a.s. Nabi Hud a.s juga merupakan kaum Ad. Mereka mempunyai hubungan kekerabatan yang jauh dengan kaum seterusnya iaitu kaum Thamud, Amalek, Madyan, Jurhum dan lain-lain. Setelah peristiwa banjir besar yang melanda bumi dalam sirah Nabi Nuh a.s, para keturunan baginda menyebar luas ke serata semenanjung Arab dan wilayah-wilayah yang lainnya.

Di dalam kitab Shahih Ibnu Hibban, Rasulullah saw menyatakan adanya empat orang nabi dari bangsa Arab iaitu Nabi Hud, Nabi Saleh, Nabi Syuaib dan diriku (Nabi Muhammad saw). Thamud (kaum Nabi Saleh a.s) dan Madyan (kaum Nabi Syuaib a.s) setelah kemusnahan kaum Ad, telah mewarisi kemahiran dalam membina bangunan di padang pasir melalui pahatan-pahatan batu di gunung mahupun di batu yang besar.

Jadinya, tidak pelik sekiranya dikatakan mereka mempunyai hubungan kekerabatan yang tidak terlalu jauh. Ad yang dikisahkan dalam peristiwa Nabi Hud a.s merupakan generasi kedua dan terakhir yang menetap di kota Iram.

3. LOKASI:

Mereka tinggal di kawasan bukit berpasir yang terletak diantara Oman dan Hadramaut. Lebih spesifik, kawasan ini dinamakan as-Syahr yang berdekatan dengan lembah Mughits. Mereka membina penempatan dan akhirnya berjaya menaiktarafkan sebagai sebuah kota di rantau selatan Arab iaitu kota Iram.

Pendapat lain pula mengenalpasti lokasi kota Iram berkemungkinan di Damaskus atau Iskandariah (Alenxandria), Mesir. Tetapi pendapat ini ditolak kerana ketiadaan sumber dan bukti yang kukuh.

4. BAHASA:

Nabi Hud a.s dipercayai sebagai orang pertama yang bercakap dalam bahasa Arab. Tetapi dalam hal ini, ilmuwan Islam mempunyai dua pendapat lainnya, iaitu selain Nabi Hud a.s, Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s.didakwa sebagai manusia pertama yang berbicara dalam bahasa Arab.

5. SEMBAHAN:

Ibnu Katsir juga berkata, kaum Ad menjadi bangsa pertama yang menyembah berhala kembali setelah peristiwa banjir besar Nabi Nuh a.s. Nama dewa atau tuhan mereka adalah Shamda, Shamud dan Hira.

6. AZAB:

Mengikut tafsiran para ulama, kota Iram dilanda musim kemarau selama tiga tahun tanpa henti. Tatkala datangnya awan hitam ke dada langit kota, masyarakat Ad bergembira, walhal Nabi Hud a.s pada ketika itu sedang bersedih. Di dalam gumpalan awan hitam tersebut terlihatnya sebuah pusaran angin yang seakan-akan api yang bergelojak.

Kaum Ad dilanda azab ini selama tujuh malam, lapan hari tanpa henti kecuali kaum Ad yang beriman kepada Allah swt. Dari sebuah hadis shahih, dikatakan angin tersebut merupakan angin dari Barat. Angin yang sangat sejuk dan memusnahkan. Angin yang dihantarkan ini menyedut kaum Ad dan melemparkan mereka kembali ke tanah dalam keadaan yang menyayatkan hati sepertimana dari surah ad-Dzariyat ayat 42:

“..angin itu tidak membiarkan satupun yang dilaluinya, melainkan dijadikannya seperti serbuk”.

Daripada petikan sumber-sumber ini, ianya boleh diumpamakan seperti puting beliung atau angin ribut. Mayat-mayat kaum Ad mati bergelimpangan di atas tanah laksana pokok-pokok kurma yang menyembah ke bumi, sepertimana dalam surah al-Qamar ayat 20:

“..yang menggelimpangkan manusia seakan-akan mereka pokok kurma yang tumbang”.

SEJARAH KOTA IRAM MELALUI BEBERAPA PENELITIAN DAN SUMBER MUSLIM DAN BARAT.

Pandangan pertama, lokasi keberadaan kota Iram masih dikenalpasti berada di kawasan antara sempadan Yaman dan Oman atau berada di kawasan lingkungan Quarter Empty atau Rub al-Khali yang meliputi kawasan Arab Saudi, Oman dan Yaman.

1. Di dalam buku ‘Muqaddimah’ karya Ibnu Khaldun, bapa sejarawan Islam, beliau menyatakan tentang sejarah kota Iram.

Ad adalah seorang pemimpin Kerajaan Ad dan dia mempunyai dua orang anak bernama Shadid dan Shaddad. Setelah kewafatan Ad, Shadid menaiki takhta tetapi tidak bertahan lama lalu beliau pun meninggal dunia. Kerusi pemerintahan Kerajaan Ad diserahkan kepada putera kedua, Shaddad. Raja Shaddad pernah mendengar tentang kewujudan dan keindahan syurga lalu baginda berhasrat untuk membina syurga di sebuah tempat, maka Iram menjadi lokasi yang sesuai kerana ianya adalah pusat perdagangan antarabangsa.

Raja Shaddad pun memulakan projek membina dan menghiasi kota Iram dengan pelbagai struktur bangunan, kediaman dan kebun-kebun bunga serta buah-buahan selama 300 tahun lamanya (umur Raja Shaddad melangkaui 900 tahun). Raja Shaddad berkeinginan untuk menjadikan kota Iram sebagai pusat pentadbirannya setelah ia siap sepenuhnya.

Kota ini dibuat daripada emas, perak dan permata dan dibentengi dengan benteng pertahanan yang sangat kuat daripada serangan musuh. Pada fasa-fasa pembinaan inilah, ramai pengunjung dan pedagang datang dari luar untuk berjualan di sini. Para penduduk di kota ini menjadi semakin kaya-raya.

Tetapi, dalam mereka mengejar harta dunia, mereka juga semakin lupa dengan Allah swt. Zaman pun berlalu. Kota Iram pun siap sepenuhnya. Raja Shaddad bersama rombongan kerajaannya bertolak dari istana menuju ke kota Iram. Ketikamana lagi satu hari satu malam jarak perjalanan, baginda mendapat khabar bahawasanya kota Iram telah dimusnahkan oleh Allah swt. Catatan ini direkodkan oleh at-Thabari, at-Tha’alibi dan az-Zamakhshari.

2. Di dalam buku bertajuk ‘The A to Z of Prophets in Islam and Judaism’ oleh Scott B. Noegel dan Brannon M. Wheeler:

Kota Iram merupakan kota yang disebutkan di dalam Quran dalam kisah Nabi Hud a.s. Beberapa sumber menyatakan Iram membawa maksud sebagai sebuah nama kaum, bukannya nama sebuah kota. Nama kota kaum Ad pada masa itu adalah Dhat al-Imad.

Pendapat seterusnya mendakwa Iram merupakan nama gelaran sebuah kawasan, Tanah Iram. Kota ini dikatakan berdiri teguh selama 500 tahun lamanya sebelum ianya dimusnahkan Tuhan. Hasil binaan bangunan-bangunan kota ini terdiri daripada emas, perak dan batu permata yang ditambang oleh mereka. Kekayaan kota ini menjadikan mereka sebagai peradaban yang ditakuti oleh musuh di sekitarnya. Kerana itulah, kajian di Barat mengelarkannya sebagai Atlantis of the Sands atau Iram of the Pillars.

3. Di dalam buku ‘Religious Tourism in Asia: Tradition and Change Through Case Studies and Narratives’ disunting oleh Shin Yasuda, Razaq Raj dan Kevin Griffin:

Kota Iram terkenal sebagai kota penting komersial dalam perdagangan antara wilayah-wilayah lain. Raja atau pemerintah Iram, mempunyai akses yang sangat luas dalam mendapatkan bekalan emas, perak dan batu-batu pertama dari seluruh kawasan dalam projek pembinaan dan pengindahan kota tersebut. 

4. Melalui buku ‘Sejarah Arab Sebelum Islam: Geografi, Iklim, Karakteristik dan Silsilah’ oleh Dr. Jawwad Ali:

Yaqut al-Hamawi, ahli geografi Muslim terkenal, menyatakan tanah Wabar merupakan bekas runtuhan kota Iram berdasarkan keadaan geografinya di sana iaitu sebuah gunung berpasir bernama Gunung Aj’a yang mudah didaki oleh unta dan di puncak gunung pasir ini tempat tinggalnya kaum Ad dan terletaknya kota Iram. Yaqut al-Hamawi pula mendakwa kaum Ad dan kaum Iram adalah dua jenis kaum yang berbeza. Di sini terdapat banyak batu yang dipahat dengan lukisan-lukisan.

Tetapi, para peneliti lain menolak dakwaan Yaqut berkaitan perbezaan kaum Ad dan kaum Iram adalah berbeza walhal Ad adalah nama kaum dan Iram nama sebuah kota atau kawasan yang didiami oleh mereka.

5. Di dalam buku ‘Journey to the End of Islam’ oleh Michael Knight, dinyatakan:

Kota Iram atau Ubar merupakan ibukota kaum Ad pada 3,000 SM. Arab Saudi menyatakan kawasan Rub al-Khali (Empty Quarter) merupakan bekas hentaman meteor zaman purba. Kawah meteor ini dikenali sebagai kawah Wabar. Dan kawasan hentaman inilah didakwa sebagai tapak kota Iram. Peradaban mereka dihancurkan oleh sebuah meteor dari langit yang berkelajuan 40,000-70,000 km/jam yang seberat 3,500 ton.

Meteor ini terpecah kepada empat bahagian setelah memasuki ruangan atmosfera sebelum menghempas kota Iram. Impak hentaman ini disamakan seperti impak bom atom yang dijatuhkan di kota Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Tetapi dakwaan mengenai hempasan meteor dan kemusnahan kaum Ad tidak sama sekali sama kerana meteor ini dikatakan terhempas pada 250 tahun yang lalu, terlalu jauh dari zaman kaum Ad. Padahal, Ranulph Fiennes, penulis buku ‘Atlantis of the Sand’ mengatakan kaum Ad hancur disebabkan azab dari bencana alam.

Daripada bab ini, kota Iram digambarkan berada di sekitar kawasan Rub al-Khali, Arab Saudi-Oman-Yaman. Gambaran jelas menyatakan keluasan kota ini menyamai keluasan oasis tersebut. Sebuah benteng pertahanan yang dilengkapi oleh menara pengawal dibina mengelilingi kota dan dijelaskan menara-menara ini terlalu banyak sehinggakan ianya digelar ‘Iram of the Pillars’ atau dalam Quran ‘Iramazatil i’mad’, kota tiang.

Kekayaan kota ini didasari daripada kebijakan pemimpin Ad yang menjadikan ia sebagai sebuah kota eksport-import di selatan Arab. Pada masa ini, kota Iram merupakan satu-satunya kota yang berdiri di sini sebelum kemunculan kota Hegra di utara Arab.

Kaum Ad merupakan saudara jauh kaum Thamud. Kemahiran kaum Ad dalam membina bangunan yang besar dan kota diaplikasikan oleh kaum Thamud sesudahnya. Hasil bekalan emas, perak dan permata yang diterima sebagai barang rampasan atau jualan di kota tersebut dijadikan sebagai perhiasan memperindahkan kota syurga impian Raja Shaddad.

Tetapi malang sekali, kota megah ini tidak mampu bertahan lama apabila Allah swt menghantar puting beliung dan angin ribut yang kuat yang memusnahkan segala kemegahan mereka sehingga menjadi debu tanpa jejak. Selain Rub al-Khali, para peneliti juga menemui lokasi kedua yang disyaki mempunyai hubungan dengan kota Iram, iaitu kota Shisr di negara Oman.

KOTA IRAM: WUJUDKAH ‘ATLANTIS OF THE SANDS’ ATAU HANYA SEKADAR DONGENG QURAN?

Pada pandangan kedua, sebuah tapak kota kuno yang ditemui di daerah Shisr, Oman disyaki sebagai tapak kota Iram melalui beberapa penemuan yang mempunyai hubungan dekat dengan peristiwa dan kesan kejadian yang berlaku pada zaman Nabi Hud a.s.

1. Di dalam buku ‘The Rough Guide to Oman’ oleh Gavin Thomas:

Legenda kewujudan kota Ubar (Wubar), dikaitkan dengan kota Iram kaum Ad. Catatan fakta mengenai penemuan bekas runtuhan kota Iram pertama kali dicatatkan oleh seorang pengembara dari Eropah, Bertram Thomas di dalam catatannya, Arabia Felix, yang mendakwa telah menemui runtuhan tapak kota tersebut di sekitar kawasan berdekatan Rub al-Khali pada tahun 1930. Ketika dalam perjalanan ke utara Shisr, beliau melihat sebuah jalur jalan yang sangat baik terkambus di bawah debuan pasir.

Setelah dakwaan ini dikemukakan pada umum, ramai para arkeologi dan pemburu harta karun cuba menjejak kota Iram tersebut dari tahun 1930 sehingga 1940 tetapi usaha mereka membuahkan hasil yang nihil. Teka-teki jalanraya kota Iram menjadi misteri sehinggalah pada tahun 1980, seorang pengarah dari Amerika Syarikat juga seorang sejarawan profesional, Nicholas Clapp menggunakan teknologi imbasan radar HD yang terdapat di US Space Shuttle untuk mencari jalanraya yang didakwa oleh Bertram.

Dari tahun 1980 sehinggalah ke tahun 1990, akhirnya Nicholas Clapp, pengembara Britain Ranulph Fiennes dan ahli arkeologi Juris Zarins berjaya menyatukan kesemua klu-klu yang ditemui dari imbasan satelit tersebut. Setelah lapan belas bulan mereka berkhemah di kawasan ini, akhirnya mereka menemui tapak kota perdagangan berdekatan dengan daerah Shisr.

Penemuan ini menjadi tergempar di serata dunia dan menjadi tajuk utama pada tahun 1992 oleh media dan akhbar. Walaupun penemuan ini adalah penemuan yang berharga, tetapi mereka tidak mendakwa ianya tapak kota Iram atau Ubar kerana kekurangan data dan rekod. Nicholas Clap menuliskan tentang pengembaraan dan catatan sepanjang dalam ekpedisi mencari kota Iram di dalam buku bertajuk ‘The Road to Ubar: Finding the Atlantis of the Sands’.

Penemuan arkeologi di daerah Shisr, Oman membuktikan kebenaran Quran. Kota Iram merupakan kota yang dikelilingi oleh benteng pertahanan dan tiang yang dimaksudkan tersebut merupakan menara-menara pengawal yang mengelilingi kota.

Kota Iram didakwa dibina mengelilingi sebuah oasis di Rub al-Khali dan dikatakan jumlah penduduk tetap di kota tersebut adalah seramai 150 orang dan dikelilingi oleh 3,000 khemah yang disediakan untuk para pedagang dan pengunjung dari luar. Menara-menara ini dibina sepanjang perjalanan di jalur darat dari kota Iram melintasi kerajaan Ad. Kemungkinan tapak kota Shisr adalah sebahagian daripada kota Iram ataupun kota Shisr merupakan kota pembuka menuju ke kota Iram.

Mengikut rekod arkeologi pada tahun 1992 tersebut di kawasan Shisr, mereka telah menemui benteng pertahanan setebal 90 cm yang dilengkapi lapan buah menara pengawal, sebuah perigi air kuno dan pembakar kemenyan yang diperkirakan bertarikh 1000 SM dan 900 M sehingga 1400 M yang lalu dan penemuan barangan tembikar yang berunsurkan seni halus buatan dari Rom, Syria dan Yunani.

Dikatakan, maksud ‘Iram of the Pillars’ boleh merujuk kepada dua makna, iaitu ‘tiang’ ataupun ‘menara’.

2. Pada tahun 2007, ahli arkeologi, Juris Zarins yang meneliti tentang Iram menyatakan teori ‘sinkhole’ dalam ‘Southern Arabian Desert Trade Routes, Frankincense, Myrrh and the Ubar Legend’:

Kajian di tapak kota Shisr mendapati berkemungkinan kota tersebut terbenam di bawah padang pasir disebabkan terlalu banyak saluran air dan perigi yang dibina disekeliling kota. Tanah yang tidak dapat menampung struktur bangunan yang terlalu banyak menyebabkan sebahagian kota ini runtuh menyembah bumi. Teori ini berkemungkinan diterima kerana di dalam surah al-Ahqaf ayat 24 di atas:

“…yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa”.

Tetapi kalau diikutkan, lokasi kota Shisr dan Rub al-Khali terlalu jauh. Sekiranya kejadian ‘sinkhole’ berlaku di daerah Shisr sahaja, adakah ianya berimpak sehingga ke kota Iram di Rub al-Khali? Atapun adakah daripada kesan ‘sinkhole’ di Rub al-Khali memberikan impak terhadap kawasan di sekeliling termasuk kota Shisr?

Walaupun kajian ke atas kota Iram dan lokasi sebenarnya yang masih diteroka, tetapi kebanyakan para ilmuwan bersetuju tentang keberadaan lokasi kota ini yang masih tersembunyi dibawah padang pasir diantara negara Oman dan Yaman pada hari ini. Kewujudan kota Iram tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak termasuk bagi orientalis Barat.

3. Majalah National Geographic (edisi 154) yang dicetak pada Disember tahun 1978, menyatakan kota Iram sememangnya wujud berdasarkan dari kitab Quran sepertimana kewujudan kota Sodom dan Gamorrah.

Maka, kota Iram yang terkenal dengan gelaran Atlantis of the Sands pada suatu ketika dahulu, bukanlah sebuah kisah dongeng Quran mahupun karya Nabi Muhammad saw, bahkan ianya sebuah kota yang pernah dibina oleh sebuah peradaban manusia. Penemuan tapak kota purba Shisr di Oman, menyakinkan lagi untuk ahli arkeologi mengkaji dan menjejak peradaban kaum Ad secara lebih mendalam. Selagimana belum ditemui, mereka pasti akan mencarinya.

Akhir kalam, daripada kisah daripada Al-Quran mengenai kemusnahan kaum Ad, kita dapat melihat bagaimana kota Iram yang dijadikan sebagai kota perdagangan yang berfungsi sebagai pusat pertukaran barang dagangan oleh kaum Ad yang memiliki pelbagai kemudahan, pengaruh dan pertahanan, akhirnya hancur dibenam ke dalam padang pasir oleh Allah swt dalam tempoh masa 8 hari 7 malam sahaja.

Kaum Ad yang telah diberi peluang oleh Allah swt untuk menyembahnya setelah diberikan pelbagai kenikmatan dunia tidak mampu diselamatkan dengan kesombongan dan kekafiran mereka dalam menyekutukanNya. Pengajaran yang sudah dikhabarkan tidak didengar, malahan ianya memakan diri. Keagungan kota Iram dan kemegahan kaum Ad ditamatkan oleh Allah swt dan peninggalan mereka masih tidak diketahui keberadaannya. Ianya masih kekal menjadi sebuah tanda tanya kepada umat manusia.




Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.