Inuit atau Inupiat, merupakan masyarakat asli yang hidup di rantau yang hampir sepanjang tahunnya bersuhu bawah sifar. Bagaimanapun, cuaca yang mencabar sebegitu sama sekali tidak melunturkan keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan sehari-hari.

Memandangkan tiada tumbuhan boleh dimakan yang dapat hidup di sana, maka diet utama masyarakat Inuit adalah daging. Antara daging yang biasa dimakan oleh mereka ialah ikan paus, anjing laut, walrus, dan pelbagai macam ikan. Haiwan-haiwan ini tidak hanya dimanfaatkan sebagai sumber makanan, tetapi turut diolah sehingga mempunyai banyak kegunaan lain.

Pada musim panas, masyarakat Inuit berteduh di bawah rumah yang berbentuk seperti khemah yang kebiasaannya diperbuat daripada tulang dan kulit haiwan. Pada musim sejuk pula, mereka berteduh di bawah igloo, rumah berbentuk kubah yang diperbuat daripada bongkah-bongkah salji.

FAKTOR KETAHANAN MASYARAKAT INUIT

Antara faktor yang membolehkan mereka mengharungi kehidupan dalam cuaca yang sedemikian mencabar adalah kreativiti mereka dalam berinovasi, baik dalam cara hidup mahupun dalam mengembangkan teknologi. Misalnya, mereka membangunkan reka bentuk igloo yang mampu menjadi penebat haba. Mereka juga mempunyai kelengkapan berburu yang efisien; kayak, jaket, but, s3nj4ta, dan teknik menangkap buruan. Selain kayak, masyarakat Inuit juga mempunyai pengangkutan air lain yang lebih besar saiznya, iaitu umiak.

Di samping itu, saintis turut berpendapat bahawa kadar ketahanan mereka disumbangkan oleh faktor genetik. Misalnya, sekumpulan saintis dari Universiti California di Berkeley pernah membuat kajian tentang genetik masyarakat Inuit dan membentangkannya dalam sebuah kertas kajian yang diterbitkan dalam jurnal Biologi Molekul dan Evolusi. Hasil kajian mendapati masyarakat Inuit mempunyai kecenderungan genetik yang berbeza, di mana kecenderungan genetik ini membantu menghasilkan lebih banyak sel lemak perang berbanding sel lemak putih. Sel lemak perang berfungsi membakar tenaga dan menghasilkan haba, sementara sel lemak putih yang dimiliki kebanyakan manusia pula hanya menyimpan kalori.

Perkampungan Eskimo yang dipenuhi dengan rumah igloo

MENONGKAH ARUS KEMODENAN

Pada kurun-kurun kebelakangan, gaya hidup masyarakat Inuit mengalami banyak perubahan seiring arus kemodenan. Namun, tradisi dan budaya mereka tidaklah hilang serta-merta. Tradisi oral, kisah-kisah mitos, dan tarian kebudayaan masih menduduki tempat yang penting dalam kalangan mereka. Bahasa utama mereka, iaitu bahasa Inuktitut juga masih dituturkan di kebanyakan kawasan Artik, termasuklah di corong radio dan siaran televisyen.

Bagaimanapun, gelombang perubahan kian menekan khususnya pada 1960an, apabila banyak badan kerajaan mendesak masyarakat Inuit supaya mendiami mukim-mukim perkampungan dan bukan lagi di khemah-khemah nomad, baik pada musim sejuk mahupun musim panas. Populasi masyarakat Inuit kian berkembang sehingga gaya hidup berburu tidak lagi mampu menampung kehidupan.

Justeru, ada yang meninggalkan suasana tradisi dan mengamalkan gaya hidup sedentari di kampung atau pekan demi mendapatkan pekerjaan dan bekalan makanan yang lebih terjamin. Di sana, masyarakat Inuit mula mempelajari budaya Barat. Kemudahan-kemudahan seperti klinik dan sekolah turut disediakan buat mereka.

Gambaran pemburu anjing laut dalam masyarakat Inuit

Interaksi antara Inuit dan masyarakat Eropah juga berlangsung semakin kerap menjelang 1940an, jika dibandingkan dengan tempoh-tempoh sebelumnya.

Lama-kelamaan, rantau Artik tempat tinggal masyarakat Inuit makin meriah dengan kehadiran kuasa-kuasa Barat yang datang membina lapangan terbang dan pangkalan-pangkalan radar. Pembangunan-pembangunan infrastruktur sebegini membuatkan dunia yang luas ini terasa kecil dan Artik sendiri tidak lagi terpencil.

DEWA-DEWI DALAM MITOS MASYARAKAT INUIT

Menurut The Canadian Encyclopedia, masyarakat Inuit di rantau Artik Kanada merupakan sebahagian dari keluarga masyarakat yang lebih besar yang hidup di sekitar Laut Berit, Alaska, Kanada, dan Greenland. Mereka tidak hanya terkait secara bahasa, tetapi juga oleh persamaan budaya dan gaya hidup sepertimana yang dapat dilihat menerusi unsur seni, nyanyian, tarian, mitos, dan legenda mereka. Dalam kepercayaan tradisi masyarakat Inuit, mereka memuja beberapa dewa-dewi utama. Antara seperti:

Annigan si dewi bulan: Menurut masyarakat Greenland, peredaran bulan dan matahari berlaku akibat pergaduhan antara Annigan dan Malina si dewi matahari. Fasa bulan sabit di langit juga kononnya berpunca dari Annigan yang terlupa makan sehingga membuatkan tubuhnya kurus.

Sedna si semangat laut: Menurut legenda, Sedna dipaksa oleh bapanya untuk berkahwin dengan seekor anjing. Anehnya, anjing itu kemudian dilemaskan oleh bapa Sedna sendiri sambil Sedna pula terpaksa membawa diri dan anaknya diserahkan kepada orang lain. Sedna kemudian diperdaya sehingga mengahwini seekor burung yang menjelma sebagai seorang lelaki.

Selepas identiti sebenar burung itu diketahui, bapa Sedna membawa Sedna pergi melarikan diri dengan menaiki sebuah perahu. Malangnya, perahu itu dibadai angin kencang yang terhasil dari kibasan sayap burung yang mengejar mereka berdua. Sedna tercampak keluar, namun sempat memaut bahagian sisi perahu. Apa yang menyedihkan, si bapa kemudian meng3r4t jari-jemari anaknya sendiri sehingga mengakibatkan Sedna terjatuh ke dalam laut. Kononnya, jari-jemari yang putus itu bertukar menjadi hidupan-hidupan laut.

WILAYAH NUNAVUT

Pada tahun 1999, kerajaan Kanada menubuhkan wilayah Nunavut yang ditadbir sepenuhnya oleh masyarakat Inuit. Peta di bawah menunjukkan betapa luasnya wilayah yang dihuni masyarakat kalis cuaca sejuk tersebut.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.