Interviews with Monster Girls (Demi-chan wa Kataritai) adalah manga bersiri karya Petos. Anime bersiri telah diataptasi oleh A-1 Pictures dan telah disiar pada 7 Januari 2017.

Manga/anime ini mengisahkan tentang dunia di mana komuniti Ajin (makhluk fantasi separuh manusia), atau lebih mesra dipanggil ‘Demi’, secara perlahan diterima oleh masyarakat dunia. Takahashi Tetsuo, seorang guru biologi telah terlibat menjadi pengajar bagi ketiga-tiga pelajar Demi atas dasar inkuirinya, mengharap dia dapat memahami lebih tentang Demi bertiga sambil melayan karenah mereka.

Di awal episode, seorang pelajar baru, berambut perang keemasan dengan ikatan rambut berbentuk sepasang telinga kucing, dan memakai pakaian sekolah bersiar-siar di kawasan sekolah barunya pada waktu malam. Kebetulan, seorang lelaki berbadan besar sedang berjalan melalui kawasan sekolah dan tersempak dengan pelajar tersebut. Pelajar wanita berambut perang keemasan terkejut atas panggilan lelaki tersebut tetapi dia merasa tidak selesa dengan kehadiran lelaki tersebut dan kemudian melarikan diri, meninggalkan lelaki itu dengan tanda tanya.

Keesokan paginya, waktu pertama pembukaan sekolah, seorang wanita berumur awal 20 tahun, bernama Satou Sakki, telah melaporkan diri sebagai guru matematik. Sepanjang perkenalannya di hadapan para guru lain, dia membuat pengakuan bahawa dia adalah Succubus (syaitan penggoda). Pengakuan Satou-sensei telah menarik perhatian seorang guru biologi bernama Takahashi Tetsuo, dan pengakuan tersebut telah menjadi batu loncatannya untuk mencapai impiannya, untuk menemu bual para Demi, sekurang-kurangnya seorang Demi.

Takahashi-sensei memulakan langkah untuk mendekati dan berbual mesra dengan Satou-sensei tetapi semuanya gagal kerana sikap Satou-sensei yang sentiasa berhati-hati agar setiap tindakannya tidak merangsang seks para guru lelaki disekelilingnya.

Kecewa akan kegagalannya, datang seorang pelajar perempuan meminta bantuannya. Takahashi-sensei terkejut akan kehadiran pelajar perempuan itu kerana dialah yang ditemui Takahashi-sensei semalam di depan sekolah. Dan pelajar perempuan itu juga terkejut kerana turut mengecam Takahashi yang berbadan besar. Pelajar perempuan itu adalah Takanashi Hikari, pelajar baru yang bertembung dengan Takahashi-sensei semalam. Hikari kemudian membawa Takahashi-sensei kepada seorang pelajar yang pengsan di koridor.

Takahashi-sensei sekali lagi terkejut akan pelajar yang pengsan itu kerana kepalanya tiada. Hikari menerangkan yang pelajar itu adalah Dullahan (Manusia terpisah badan dan kepala. Juga digelar malaikat maut dalam mitos klasik Eropah) dan kepalanya telah Hikari bawa ke bilik rawat. Sedang Takahashi-sensei membawa badan pelajar ke bilik rawat, dia hairan mengapa Hikari tidak merasa terkejut akan kehadiran para Demi tadi dan Hikari telah menjawab bahawa dia juga adalah Demi, seorang Vampire (Pontianak).

Untuk keseluruhan manga/anime ini, konsep yang dibawa pengkarya adalah ‘merealitikan kewujudan makhluk fantasi separuh manusia di dunia realiti’ dan tidak ‘mempopularkan kewujudan makhluk fantasi separuh manusia dengan wujudkan elemen-elemen misteri dan supernatural’. Senang faham anime ini bukan tipikal anime yang watak alien atau bukan manusia yang ada unsur-unsur fantasi atau mistik.

Dalam dunia Demi-chan wa Kataritai, para Demi setaraf dengan manusia yang mempunyai keistimewaan lain (dari segi kelainan genetik dan disorder) dan kekurangan/kelainan upaya (kita panggil OKU). Kehadiran para-Demi perlu dititikberatkan oleh masyarakat dunia kerana populasi mereka sangat sedikit untuk menjadi sebuah komuniti besar seperti komuniti manusia normal. Anime ini ada pengajaran yang baik, terutamanya penerimaan masyarakat dunia terhadap komuniti seperti OKU, penghidap penyakit kelainan genetik, kelainan mental dan sebagainya yang melibatkan kelainan dari manusia normal. Reaksi masyarakat lambak akan kewujudan manusia istimewa ini ditonjolkan dalam anime ini. Watak Takahashi-sensei sebagai watak kita yang mempedulikan tentang manusia dewasa dan watak-watak Ajin simbolik kepada para manusia istimewa di dunia.

Untuk manga/anime Demi-chan wa Kataritai, saya bedahkan setiap watak Demi satu per satu untuk melihat cerminan realitinya makhluk fantasi di dunia realiti.

1. Takanashi Hikari

Seorang Vampire dan kakak kembar dari keluarga Takanashi, Hikari juga adalah pelajar baru tahun 1 yang periang. Seperti Vampire dalam mitos, Hikari mempunyai ketagihan untuk menggigit kulit tetapi dia cuba mengelakkannya dengan meminum darah melalui bantuan kerajaan dan meminum jus tomato. Apabila terdesak, dia menggigit lengan adik kembarnya, Takanashi Himari.

Hikari juga sensitif dengan cahaya matahari tapi tidak sesensitif para Vampire dalam mitos sehingga waktu malam saja boleh keluar di persembunyian. Makanan kegemarannya adalah bawang putih, yang biasanya adalah alat penghalau para Vampire dalam mitos. Walaupun dia sedar dia adalah Vampire, makhluk yang digeruni manusia kerana perwatakkan Vampire yang menyeramkan, namun Hikari tetap bergembira, sentiasa terbuka hati dan ceria terhadap pelajar dan guru lain, termasuklah Takahashi-sensei.

Kelahiranan Hikari sebagai Vampire sebenarnya bukan rekaan semata-mata. Sebab asal wujudnya karakter mitos bernama Vampire dan Dracula yang dicipta oleh penulis novel Bram Stroker, kerana sengsaranya seseorang itu menghidap penyakit Porphyria.

Porphyria adalah sejenis penyakit yang termasuk dalam penyakit kelainan genetik (genetic disorder) yang terhasil akibat dari kekurangan enzim spesifik bagi menghasilkan haem (kandungan penting untuk mengangkut oksigen) dalam sel darah merah. Dalam kes Hikari, di dunia sebenar dia menghidap Porphyria. Penyakit ini biasanya diwarisi oleh keluarga yang mempunyai pembawa genetik Porphyria dan tidak dapat dikesan dari luaran.

Pesakit Porphyria biasanya mempunyai kesensitifan kulit yang tinggi, sensitif dengan cahaya ultraviolet (cahaya matahari), mempunyai kulit yang pucat dan kadang-kala penonjolan gigi taring yang ketara pada rahang pesakit. Jadi pesakit Porphyria seperti Vampire padahal Vampire sendiri, jika diamati betul-betul, mereka juga penghidap Porphyria. Seperti kes George Willian III (1738 – 1820), Raja England yang pada awalnya disyaki sakit mental kemudian disahkan hidap Porphyria dan Mary Stuart, Ratu Scotland (1542 – 1587) yang pernah hidap Porphyria sehingga disalah anggap bahawa beliau adalah Vampire.

Hal menghisap darah, David Dolphin iaitu saintis biokimia pernah mengemukakan vampire adalah pesakit Porphyria yang mahukan darah untuk kelangsungan hidup. Namun teorinya ditolak oleh ahli medik kerana pesakit Porphyria tidak perlu darah untuk kesembuhan. Jadi, menghisap darah cuma berkaitan dengan mitos Vampire, tidak kepada pesakit Porphyria.

Untuk ketagihan menggigit kulit seseorang, seorang ahli psikoanalisis Eropah, Ernest Jones meng-hipotesis-kan bahawa ketagihan itu adalah gabungan dari kanibalisme dan keinginan seksual yang abnormal sehingga membentuk oral sadism (kepuasan seks melalui gigitan) dari kelakuan Vampire. Semestinya pesakit Porphyria tidak mempunyai keinginan sebegitu. Dalam kes Hikari apabila berada dalam dunia sebenar, dia adalah pesakit Porphyria dengan mempunyai kelakuan oral sadism.

Melihat Hikari mempunyai adik kembar bernama Himari, teringat dengan kisah adik-beradik dari keluarga Cullen yang menghidap Vampirism. Simon dan adik lelakinya George menghidap penyakit Hypohidrotic Ectodermal Dysplasia (HED), salah satu cabang dari penyakit Prophyria, telah menjangkiti 7,000 orang di seluruh dunia. Pesakit HED seperti pesakit Porphyria namun yang membezakan adalah pesakit HED tidak mampu hasilkan peluh yang banyak, jadi mereka harus kurangkan aktiviti yang menggalakkan peluh banyak.

Selepas Takanashi Hikari, kita fokus kepada Kusakabe Yuki, seorang wanita salji (Yuki Onna) dan Satou Sakki, seorang Succubus (syaitan penggoda).

2. Kusakabe Yuki

Sejak dia lahir di dunia, suhu tubuh badan dia sentiasa rendah dan tidak menghasilkan peluh. Dari suhu tubuh badannya yang rendah dan ketiadaan peluh, dia digelar sebagai Yuki Onna, wanita salji dalam mitos lagenda Jepun. Perubahan sistem tubuh badan Yuki berlaku ketika dia melanjutkan pelajaran di kota. Tubuh badannya menghasilkan wap sejuk dan kepingan ais dari kalenjar peluh ketika dia berendam air panas. Perubahan tubuh badannya telah menyebabkan dia tidak bersosial dengan pelajar lain, takut perubahan tersebut akan ‘menjangkiti’ orang lain.

Keabnormalan sistem tubuh badan Yuki menarik perhatian Takahashi-sensei. Jadi, Takahashi-sensei mula menemu bual Yuki.  Sepanjang temu bual, Takahashi-sensei menerangkan kisah lagenda Yuki Onna dan wap sejuk muncul di bahagian kaki Yuki. Takahashi-sensei hipotesiskan bahawa sifat gelabah dan risau Yuki menyebabkan wap sejuk dan kepingan ais muncul.

Kemudian, Yuki diuji dengan merendamkan kakinya di besen berisi air panas sambil membaca kisah lagenda Yuki-Onna. Dari ujian tersebut, titisan ais muncul di besen seperti Yuki ceritakan. Maka, hipotesis Takahashi-sensei adalah benar.

Memang Yuki tidak pernah hasilkan peluh sejak lahir, tapi dia mampu hasilkan suatu cecair dari kalenjar peluh, iaitu peluh sejuk. Peluh sejuk terhasil dari dahi, tapak tangan dan tapak kaki. Penghasilan peluh sejuk berlaku kerana ketidakseimbangan psikologi dan emosi seseorang seperti stress, gelabah, risau dan perasaan negatif lain yang menyebabkan pengeluaran peluh sejuk yang tidak terkawal. Dalam bahasa biologi tubuh badan, ia dipanggil Hyperhidrosis.

Bagi Takahashi-sensei, wanita salji dalam kisah lagenda Jepun juga mengalami Hyperhidrosis, hasil dari pengamatannya terhadap wanita salji yang sentiasa diasing oleh masyarakat sehingga wanita salji menjadi wap sejuk kerana kemurungan melampau. Bagi dia, Hyperhidrosis adalah sifat semula jadi bagi wanita salji. Jadi, kemunculan kepingan ais ketika Yuki berendam hanyalah Hyperhidrosis kerana dia memikirkan hal yang merisaukan dirinya.

Dalam kes Yuki, di dunia sebenar, dia mengalami Hyperhidrosis yang abnormal selain mempunyai suhu badan yang sejuk dan tidak menghasilkan peluh. Boleh disimpulkan bahawa Kusakabe Yuki cumalah manusia yang mempunyai sistem tubuh badan yang abnormal.
3. Satou Sakki

Satou Sakki adalah guru matematik dan di awal perkenalan kepada staf lain dia mengaku bahawa dia adalah Succubus. Succubbus adalah makhluk mitos dari Eropah, iaitu syaitan wanita penggoda (Inccubus untuk syaitan lelaki). Succubus boleh menggoda manusia lelaki untuk menjadi hamba seks dengan ‘kuasa’ yang dipanggil Aphrodisiac Effect.

Aphrodisiac Effect dalam anime ini adalah kesan seseorang yang terdedah akan perangsang yang menaikkan nafsu seks dari Succubus.

Begitu juga dengan Satou-sensei. Dia sejak lahir mempunyai Aphrodisiac Effect dengan hanya mempamerkan sebahagian tubuh badan dan sentuhan kulit yang mampu menaikkan nafsu seks lelaki. Dan Satou-sensei juga tidak boleh tertidur di khalayak awam kerana waktu tidurnya adalah waktu di mana Aphrodisiac Effect banyak tersebar.

Jadi, sepanjang Satou-sensei keluar dari rumah, dia mesti memakai pakaian sukan yang menutupi hampir seluruh tubuh badannya dan menjauhi mana-mana lelaki bagi mengelakkan Aphrodisiac Effect merebak. Satou-sensei sentiasa mengelak dari Takahashi-sensei apabila bertemu. Sehingga babak mereka berdua bersentuhan tangan, kekebalan Takahashi-sensei (dia cuma berlagak cool sebab tahan keinginan seksnya. Hahak..) menyebabkan Satou-sensei menjadi rapat dengannya dan sudi ditemu bual oleh Takahashi-sensei.

Dari temu bual mereka berdua, Takahashi-sensei simpulkan bahawa Aphrodisiac Effect adalah tarikan tambahan dalam merangsang seks lelaki. Dia membandingkan Sucubbus dan wanita biasa dengan tahap tarikan seksualiti apabila pakaian dipakai atau tidak. Dan, Succubus mempunyai tahap yang tinggi apabila tanpa pakaian dan hanya mempunyai tahap yang sama dengan wanita lain apabila ada pakaian. Namun, ini hanya hipotesis Takahashi-sensei, mungkin perlukan pelbagai ujian untuk buktikannya.

Bila dikaitkan dengan ilmu biologi, Aphrodisiac Effect adalah feromon seks, berdasarkan dari kisah Satou-sensei. Feromon adalah rembesan kimia yang merangsang perubahan sosial kepada isi penerima dengan spesis yang sama. Serangga biasanya guna feromon sebagai medium untuk berkomunikasi dengan si penerima. Feromon seks pula adalah feromon yang dirembeskan kepada individu berlawan jantina bagi merangsang nafsu seks.

Dalam kes Satou-sensei, Aphrodisiac Effect boleh tersebar melalui sentuhan. Dan melalui penglihatan tubuh seseorang, ia terpulang kepada suasana di sekeliling dan mental seseorang sama ada nafsu seks menaik atau tidak. Dalam waktu tidur pula, ia mungkin berkaitan dengan gelombang otak Succubus yang tersebar secara tidak terkawal yang merangsang otak orang lain disekelilingnya.

Jadi, Satou-sensei dan Succubus lain hanyalah manusia yang mempunyai feromon seks, iaitu Aphrodisiac Effect yang tiada pada wanita biasa dan juga mempunyai gelombang otak yang mampu mempengaruhi gelombang otak manusia lain. Ini adalah bukti kedua bahawa Satou-sensei adalah manusia yang mempunyai sistem tubuh badan yang abnormal.

Maka, kehadiran Yuki dan Satou-sensei adalah simbolik kepada kewujudan manusia yang mempunyai sistem tubuh badan abnormal. Watak Ajin seterusnya dan yang terakhir adalah Machi Kyoko, manusia Ajin jenis Dullahan.

  1. Machi Kyoko

Manusia Ajin jenis Dullahan hanya wujud dua orang saja iaitu Machi Kyoko sendiri dan seorang lagi tidak diketahui siapa orangnya. Keadaan fizikal yang mana kepalanya terpisah dari tubuhnya dan bahagian leher yang ‘dipotong’ wujud api kebiruan menjadikan Kyoko digelar sebagai Dullahan, satria yang memegang kepalanya sambil menunggang kuda hitam dalam mitos kaum Celt.

Walaupun Kyoko seorang yang pemalu namun dia seorang pelajar pintar dan berdikari walaupun amat payah untuk membawa kepalanya di mana-mana saja, tidak bergantung kepada sesiapa tapi jika situasi amat sukar baginya dia meminta tolong kawan-kawan yang lain. Kyoko sebenarnya crush kepada Takahashi-sensei sebab dia baik sangat dengan pelajar Ajin terutamanya Kyoko dan tidak melihat mereka sebagai makhluk aneh. Takahashi-sensei cuba mengkaji Kyoko namun dia tidak dapat memahami fenomena yang Kyoko hadapi.

Fenomena yang ketiadaan leher sebagai penyambung kepada kepala dan tubuh namun makanan dan minuman tetap lancer masuk ke perut dari mulut membuatkan Takahashi-sensei buntu. Dia kemudian mengajak Kyoko pergi ke university yang pernah Takahashi-sensei melanjut pelajaran untuk bertemu kawan lamanya yang menyambung pelajaran tentang fizik, Souma.

Setelah menelitian lanjut, Souma mendapati bahawa Kyoko mempunyai leher tetapi bukan leher yang bersifat fizikal macam leber manusia. Leher Kyoko adalah ‘wormhole’ yang menghubungkan kepala dan leher. Wormhole yang juga dikenali sebagai ‘Einstein-Rosen Bridge’ adalah jambatan atau tiub yang menghubungkan kedua-dua destinasi dengan masa yang berbeza di alam semesta. Dari segi pengiraan Teori Relativiti Am, wormhole itu wujud namun dari segi penemuan, ia masih diburu para saintis.

Souma mengatakan jika kesimpulannya benar akan ‘wormhole’ Kyoko, pasti Kyoko dijadikan bahan uji kaji dalam membuktikan penemuan wormhole sekaligus menyelesaikan teka-teki sains fiksyen seperti pengembaraan masa. Dari situ Kyoko semakin teruja untuk mengkaji lebih dalam tentang dirinya dengan menjadi saintis selepas tamat belajar. Maka, dalam kes Kyoko, keabnormalan tubuhnya berkait dengan kajian fizik.

Inilah kajian saintifik saya terhadap 4 orang watak istimewa dalam anime Interviews with Monster Girls. Anime sebanyak 12 episod ini walaupun agak berat dengan perbualan-perbualan sains antara guru dan pelajar istimewa namun anime ini sedap ditonton dengan gelagat Takahashi-sensei yang tidak putus sifat ingin tahu, Hikari yang hype dan tidak kisah dengan kepanasan matahari, Satou-sensei yang terlalu berhati-hati, dan kehadiran Yuki dan Kyoko melengkapkan anime ini. Anime ini sesuai kita yang ingin mencuba lebih dekat dengan insan-insan istimewa di keliling kita. Ia mengajarkan bahawa kita yang manusia normal tiada bezanya dengan manusia istimewa. Tiada kasta atasan dan bawahan dikelaskan mengikuti kesempurnaan. Kita berteduh di bumbung yang sama. Ah, bagus kau tengok sendiri, best atau tak best!

RUJUKAN:

  1. Adams, Cecil (7 May 1999).“Did vampires suffer from the disease porphyria—or not?”. The Straight Dope. Chicago Reader. Retrieved 2007-12-25.
  2. Anime Interviews with Monster Girls: https://myanimelist.net/anime/33988/Demi-chan_wa_Kataritai
  3. “bulletin: The University of Sussex NewsletterThe Royal Family’s Toxic Time-Bomb Friday 25th June 1999”Archived from the original on 15 September 2013.
  4. James, William; Berger, Timothy; Elston, Dirk (2006). Andrews’ Diseases of the Skin: Clinical Dermatology (10th ed.). Saunders. pp. 777–8.
  5. Peters TJ, Wilkinson D (2010). “King George III and porphyria: a clinical re-examination of the historical evidence”.History of Psychiatry. 21
  6. Hypohidrotic Ectodermal Dysplasia: https://rarediseases.org/rare-diseases/hypohidrotic-ectodermal-dysplasia/
  7. Karlson P.; Lüscher M. (1959). “Pheromones: a new term for a class of biologically active substances”.Nature183 (4653): 55–56
  8. Li, Li-Xin (2001). “Two Open Universes Connected by a Wormhole: Exact Solutions”. Journal of Geometry and Physics. 40 (2): 154–160. arXiv:hep-th/0102143 Freely accessible.
  9. Phillips, J. D.; Bergonia, H. A.; Reilly, C. A.; Franklin, M. R.; Kushner, J. P. (2007). “A porphomethene inhibitor of uroporphyrinogen decarboxylase causes porphyria cutanea tarda”. Proceedings of the National Academy of Sciences. 104 (12): 5079–84.
  10. Real life Twilight Cullen brothers rare vampire like syndrome: http://www.dailymail.co.uk/health/article-1327716/Real-life-Twilight-Cullen-brothers-rare-vampire-like-syndrome.html

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.