Internet Kurun Ke-19

1555
views

John Tawell merupakan seorang usahawan yang licik. Reputasi beliau sebagai ahli pertubuhan Kristian Protestan Quaker membantu beliau mengumpul kekayaan sehingga menjadi hartawan yang sangat disegani ramai. Tetapi disebalik reputasinya itu, Tawell mengamalkan gaya hidup yang tidak berakhlak.

Tawell mempunyai seorang perempuan simpanan. Yang pada asalnya diupah olehnya untuk menjaga isterinya sehinggalah isterinya meninggal dunia pada tahun 1838. Tawell lantas hidup bersama dengan wanita yang menjaga isterinya, Sara dan memiliki dua orang anak.

Walaupun begitu, ia tidak menghalang Tawell untuk berkahwin lagi sekali secara rasmi. Perhubungannya dengan Sarah dirahsiakan, dan Sarah bersama anak-anaknya ditempatkan disebuah rumah di Salt Hill. Tawell juga memperuntukkan nafkah sebanyak £1 setiap minggu kepada Sarah dan anak-anaknya.

Kesemuanya berjalan dengan lancar, sehinggalah pada tahun 1843 apabila Tawell mengalami masalah kewangan. Beliau sedar yang beliau sudah tidak mampu untuk memberi nafkah lagi kepada Sarah, tetapi memandangkan Sarah adalah perempuan simpanan, “menceraikannya” bukanlah satu pilihan yang bijak. Sarah pasti akan mendedahkan tentang perhubungan mereka kepada orang ramai. Dan ini akan membuat reputasinya sebagai ahli Quaker, tercalar.

Tawell lantas membuat keputusan yang agak “bijak”. Beliau perlu “mendiamkan” mulut Sara. Dengan serba sedikit pengetahuan dan pengalaman dalam bidang farmasi, Tawell menyiapkan racun yang sesuai untuk diberi kepada perempuan simpanannya itu.

Pada 1 Januari 1845, Tawell didapati berjalan keluar dari rumah Sarah dalam keadaan gelisah. Seorang jiran yang terserempak dengan Tawell datang mendekati beliau dan membantu Tawell yang ketika itu terkial-kial hendak menutup pagar. Selepas Tawell beredar, jiran Sara yang “mesra alam” itu, terdengar erangan dari dalam rumah, dan bergegas ke dalam dan terkejut bila mendapati Sara sudahpun terbaring nazak.

Mrs Ashwell (jiran Sarah tersebut) menjerit meminta tolong dan seorang pendeta bergegas ke tempat kejadian .Dengan penjelasan dari Mrs Ahswell, Pendeta E.T Champnes bergegas ke stesen kereta api bagi mencari John Tawell. Tetapi, beliau tidak sempat menangkap Tawell, apabila Tawell sudahpun menaiki kereta api ke Paddington sebaik sahaja Pendeta Champnes tiba di stesyen tersebut.

Tawell menarik nafas lega. Walaupun ada saksi yang melihat beliau, saksi itu mengenalinya sebagai “John Talbot”, nama samaran yang beliau sering gunakan sewaktu melawat Sara. Beliau sangat pasti yang identitinya tidak akan terbongkar dan beliau akan terlepas dari tuduhan membunuh.
Tetapi keesokan paginya, jangkaan Tawell meleset apabila dua anggota polis datang menahannya di rumahnya sendiri. Tawell dibicarakan atas kesalah membunuh Sarah Hart dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Persoalannya di sini adalah, bagaimana polis dapat menyelesaikan kes ini dengan begitu pantas sekali? (Perlu diingatkan, peristiwa ini berlaku pada kurun ke-19).

Kejayaan memberkas Tawell datang hasil jasa dari Pendeta E.T Champnes, dan juga sebuah mesin telegraf. Telegraf yang pada ketika itu baru beberapa tahun dipasang di England, digunakan dengan sebaiknya oleh Champnes bagi memberi amaran awal kepada anggota polis di Paddington. Gambaran suspek (John Talbot) dipancarkan melalui wayar telegraf kepada stesyen kereta api Paddington.

“A MURDER HAS GUST BEEN COMMITTED AT SALT HILL AND THE SUSPECTED MURDERER WAS SEEN TO TAKE A FIRST CLASS TICKET TO LONDON BY THE TRAIN WHICH LEFT SLOUGH AT 742 PM HE IS IN THE GARB OF A KWAKER WITH A GREAT COAT ON WHICH REACHES NEARLY DOWN TO HIS FEET HE IS IN THE LAST COMPARTMENT OF THE SECOND CLASS COMPARTMENT.”

Sistem telegraf pada ketika itu masih lagi mempunyai kesukaran untuk membuat kod bagi huruf J, Q dan juga Z (disebabkan itulah ada beberapa kesilapan ejaan). Namun, ia sudah dikira cukup bagi pihak polis untuk mengambil tindakan. Sebaik sahaja John Tawell tiba di Paddington, gerak-gerinya sudahpun diperhatikan oleh pihak polis, dan dengan waran tangkap yang dikeluarkan keesokannya, beliau akhirnya berjaya diberkas.

Gambar 2: Gambaran Kartunis, tentang bagaimana telegraf digunakan untuk menangkap penjenayah
Sumber: http://www.artinsociety.com/pt-2-the-new-time-in-literature.html

Kes dan perbicaraan John Tawell mendapat liputas luas dari seluruh United Kingdom. Yang menjadi perhatian bukanlah pada skandal John Tawell itu sendiri, tapi pada penggunaan teknologi seperti telegraf buat pertama kalinya dalam sejarah bagi menangkap penjenayah. Kes John Tawell menunjukkan kepada dunia, tentang kepentingan sistem telekomunikasi seperti telegraf dan kemampuannya bagi menghubungkan dunia.

Seperti yang ramai orang sudah sedia maklum, sistem telegraf elektrif diperkenalkan kepada dunia melalui hasil ciptaan beberapa tokoh terutama sekalinya Samuel Morse. Sebelum Morse, mesin telegraf seumpama itu sudahpun wujud, namun Morse-lah yang memperkemaskan hasil ciptaan tersebut, dan memperkenalkan Sistem Kod Morse bagi memudahkan lagi komunikasi dan penyampaian mesej.

Rangkaian telegraf yang pertama mula dipasang pada tahun 1843 hasil usahasama Morse dan rakannya Alfred Vail. Dengan bantuan dana dari kerajaan Amerika Syarikat sebanyak $30,000, kabel telegraf dipasakkan sejauh 40 batu dari Washington ke Baltimore. Dan sejarah tercipta pada 24 Mei 1844, apabila satu mesej pendek berjaya disampaikan dengan pantas melalui rangkaian telegraf Moore.
“WHAT HATH GOD WROUGHT”

Maka dengan frasa itu, penggunaan telegraf ciptaan Moore berkembang ke serata dunia. Industrialis dan para pengusaha mengambil kesempatan dengan mengambil rekaan Moore dan mewujudkan rangkaian telegraf mereka sendiri. Secara tidak lansung, sedikit demi sedikit, satu rangkaian telekomunikasi yang meliputi negara terbentuk.
Perkara ini berlaku dengan rancaknya di Amerika Syarikat dan juga Britain. Pada tahun 1860 pula, Amerika Syarikat mewujudkan Akta Telegraf Pasifik yang membolehkan rangkaian telekomunikasi wujud di seluruh pelusuk Amerika Syarikat.

Gambar 3: Telegraf pertama yang dihantar

Telegraf benar-benar teknologi yang merubah dunia.
Kisah pengangkapan John Tawell merancakkan lagi penggunaan telegraf sekaligus menaikkan populariti teknologi itu di mata dunia. Seperti mana iPhone ketika mana ia pertama kali dilancarkan, seperti itu jugalah populariti Telegraf pada kurun ke-19. Tetapi nilai telegraf bukan hanya pada populariti semata-mata.

Telegraf juga merubah cara manusia menerima berita. Pada tahun 1846, Perang Amerika-Mexico yang tercetus pada ketika itu memaksa 5 syarikat surat khabar harian untuk bergabung dan membentuk Associated Press yang kita kenali sekarang. Mereka berkongsi kos dan menggunakan rangkaian telegraf bagi memastikan berita dari medan perang tiba pantas dan segar kepada penduduk Amerika Syarikat.

Bukan itu sahaja, telegraf juga merubah cara manusia menjalankan perniagaan. Apabila mesej sudah boleh disampaikan pada jarak yang jauh dan dalam masa yang singkat, pengusaha perniagaan boleh menguruskan perniagaan mereka dengan lebih cekap. Secara tidak lansung, ini membantu perniagaan mereka untuk lebih pantas berkembang.
Ada lagi, telegraf juga bertanggungjawab mewujudkan konsep pemindahan wang. Western Union yang ditubuhkan seiring dengan Akta Telegraf Pasifik 1860 memperkenalkan konsep pemindahan wang “atas talian” menggunakan telegraf. Disebabkan itulah sehingga sekarang, bank memanggil pemindahan wang atas talian sebagai “telegraphic transfer” yang diambil kata akarnya dari telegraf.

Western Union masih lagi dikenali dan dipercayai di serata dunia dalam urusan pemindahan wang atas talian. Telegraf jelas sekali memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan kita secara amnya. Penggunaannya yang meluas dan kepantasannya berkembang secara keseluruhan memacu umat manusia ke ambang kemajuan.

Gambar 4: Western Union

Disebabkan itulah, para sejarawan memanggil telegraf sebagai “datuk kepada internet”. Kesan dan impak telegraf dan kepantasannya berkembang menyamai kesan internet ketika mana ia pertama kalinya diperkenalkan. Tapi persamaan internet dan telegraf bukan pada itu sahaja.

Pada pengakhiran kurun ke-19, telegraf bukanlah lagi satu mesin yang asing. Mana-mana sahaja orang yang berkemampuan mampu memiliki mesin tersebut. Bagi mereka yang tak mampu pula, wujud banyak syarikat seperti Western Union yang menawarkan perkhidmatan telegraf pada harga yang rendah.

Ini mewujudkan pelbagai stesyen dengan pengendali telegraf yang senantiasa berkomunikasi di antara satu sama lain dalam menjalankan tugas. Hari demi hari kemahiran mereka berkembang dan mereka boleh memahami mesej telegraf itu hanya dengan mendengar bunyi detik mesin telegraf. Disamping itu, bagi meningkatkan kecekapan, pengendali telegraf juga meringkaskan mesej yang dihantar kepada bentuk kod bernombor bagi menjimatkan masa.

Ini secara tidak lansung mewujudkan kod pendek seperti 73, yang membawa maksud selamat tinggal dan juga 30, yang membawa maksud pengakhiran mesej. Persis seperti LOL dan juga ROTFL yang kita gunakan di era internet sekarang.



Walaupun telegraf merupakan rangkaian telekomunikasi yang digunakan secara meluas, tapi hakikatnya, ia masih lagi terkongkong dalam sempadan geografi. Memanglah wujud rangkaian telegraf di antara dua negara (seperti Amerika Syarikat dan Kanada) namun, rangkaian yang penting, yang ditunggu-tunggu oleh semua orang, adalah rangkaian telegraf dari dunia lama (old world) ke dunia baru (new world). Tetapi semua orang tahu,ianya dipisahkan oleh lautan atlantik yang luas terbentang.

Kesemua ini berubah melalui hasil usaha Cyrus West Field. Field yang merupakan seorang usahawan Amerika Syarikat mengimpikan sebuah rangkaian telegraf yang merentas lautan atlantik. Ramai menganggap usaha Field sesuatu yang mustahil, kerana lautan Atlantik terbentang luas sehingga 3000 km jauhnya dan dengan kedalaman sehingga 3 km secara purata.

Dengan bantuan dari Amerika Syarikat dan juga British, Field menggunakan kapal tentera laut kedua-dua negara itu bagi menempatkan kabel dasar laut di dasar lautan Atlantik. Pada Julai 1858 (setelah 4 kali percubaan), 4 kapal British dan Amerika Syarikat bertemu di tengah lautan atlantik dan berpisah ke arah bertentangan bagi menempatkan kabel tersebut. Usaha mereka menjadi apabila pada 16 Ogos 1858, Presiden Amerika Syarikat James Buchanan dan juga Permaisuri Victoria berbalas mesej menggunakan telegraf dari dunia lama ke dunia yang baru.
Walaubagaimanapun, usaha Field gagal sekali lagi apabila tidak sampai sebulan pun, kabel dasar laut tersebut rosak dihakis arus laut. Perang Saudara yang meletus di Amerika Syarikat pada tahun 1861 juga membantutkan hasrat Field untuk mencuba semula. Tapi Cyrus West Field seolah tidak mengenal erti putus asa.


Pada tahun 1865, usai Perang Saudara, Cyrus West Field mencuba lagi sekali. Kali ini dengan kapal yang lebih besar, The Great Eastern. The Great Eastern berlepas dari England pada Julai 1865, tetapi usaha Field gagal sekali lagi apabila kabel tersebut putus dan hilang di dasar laut.
The Great Eastern pulang semula ke England dengan hampa. Tetapi Field membuat percubaan lagi sekali pada Jun1866. Dan berkat kesungguhan dan sifat tidak putus asa beliau, kabel telegraf yang kekal akhirnya berjaya disiapkan pada Julai 1866. Kabel itu terus menerus digunakan sehinggalah digantikan oleh kabel telefon (TAT-1) pada tahun 1955.


Sikap tidak berputus asa Field dan kejayaan beliau memberi inspirasi kepada seluruh dunia. Tidak lama selepas itu, kabel dasar laut mula diletakkan bagi menghubungkan Amerika Syarikat dengan benua lain seperti Asia dan juga Australia. Sekaligus mewujudkan “datuk kepada internet”.

Rujukan:

Standage, T. (1999). The Victorian Internet: The remarkable story of the telegraph and the nineteenth centuryʼs on-line pioneers. New York, N.Y: Berkley Books.

Harris, Jamie (2018). “How telecoms helped police catch a murderer for the very first time – in 1845” British Telecommunications

Conliffe, Ciaran (2018). “John Tawell, Forger and Murderer” Headstuff.Org
Rogers,John (2011), “150 years ago, a primitive internet united the USA” NBCNews.com

McNamara, Robert. (2018, December 4). “Atlantic Telegraph Cable Timeline.” ThoughtCo.

Madrigal, C.Alexis (Mei, 2013), “The First Long-Distance Telegraph Message, Sent This Day in 1844: ‘What Hath God Wrought?’” The Atlantic