Sikap perkauman merupakan satu kanser yang melanda mana-mana masyarakat di dunia termasuk di negara kita. Ia boleh saja dimanifestasi dalam bentuk diskriminasi dari segi penerimaan atau layanan dalam pelbagai aspek kehidupan. Tetapi ada satu bentuk perkauman yang paling buruk yang tidak seharusnya dilalui mana-mana manusia, internalized racism atau mentaiti perkauman terhadap bangsa atau komuniti sendiri.

Mentaliti sebegini timbul apabila sesebuah komuniti atau bangsa menerima stereotaip berkenaan bangsa atau komuniti mereka yang ditentukan oleh kumpulan manusia yang dominan dalam masyarakat. Apabila itu berlaku, individu dari bangsa atau komuniti yang mendapat label-label negatif ini tidak lagi mahu dikaitkan dengan bangsanya sendiri kerana merasa malu dan terhina. Ini menyebabkan mereka meninggalkan nilai-nilai warisan bangsa mereka dan mengamalkan nilai-nilai kumpulan dominan tersebut kerana merasakan nilai kumpulan tersebut lebih hebat berbanding bangsanya sendiri. Menurut Profesor Madya E.J.R David dari Universiti Alaska, Anchorage, pandangan-pandangan sebegini menyebabkan individu-individu sebegini dinafikan peluang mengenali ciri-ciri kemanusiaan sepenuhnya.

Antara punca perkara sebegini berlaku ialah buli atau diskriminasi membabitkan latar belakang kaum. Perkara sebegini banyak berlaku di negara-negara Barat terutamanya di Amerika Syarikat. Ia boleh saja berlaku dalam bentuk keganasan fizikal, buli secara dalam talian, memulaukan atau mengasingkan individu dari kumpulan aktiviti di sekolah, kolej, universiti atau tempat kerja. Selain bertujuan membunuh keyakinan diri seseorang, tindakan sebegini juga mendorong individu itu merasa malu dikaitkan dengan bangsanya sendiri kerana bangsanya mempunyai ciri-ciri negatif seperti digambarkan pembuli atau kumpulan dominan.

Misalnya dalam novel ‘Autobiography of An Ex-Colored Man’, protagonisnya yang berdarah campuran mula dipengaruhi mentaliti perkauman terhadap bangsanya sendiri selepas melihat sekumpulan orang kulit putih membakar seorang lelaki kulit hitam hidup-hidup. Daripada menunjukkan empati terhadap mangsa, si protagonis memilih mengaitkan dirinya dengan kumpulan tersebut. Dia berkata, “Aku memahami bahawasanya ia bukan ancaman, ketakutan atau mencari peluang dan tindakan yang mendorong aku keluar dari bangsa Negro. Aku tahu bahawa ia sesuatu yang memalukan, malu yang tidak tertanggung. Malu kerana dikaitkan dengan sebuah bangsa yang mudah dibuli dan dilayan lebih buruk berbanding haiwan.”

Satu lagi punca mengapa mentaliti sebegini wujud ialah terlalu banyak mesej-mesej negatif berkenaan sebuah bangsa disebarkan dalam masyarakat. Ini bukanlah sesuatu yang asing kerana ia sudah berlaku sejak zaman penjajahan lagi terutama menerusi mitos White man’s burden atau beban orang putih. Mitos yang disebarkan menerusi sajak Rudyard Kipling, The White Man’s Burden melihat orang Barat mempunyai tanggungjawab moral memerintah orang-orang berkulit warna sambil menggalakkan kemajuan ekonomi, budaya dan sosial melalui proses kolonialisasi. Orang-orang pribumi dianggap orang Barat sebagai orang gasar, tidak bertamadun, bodoh, pemalas dan tidak berkemampuan melakukan apa saja pada tamadun manusia.

Bagi orang Melayu sendiri, satu contoh mitos yang sentiasa tak lekang di bibir sesetengah orang termasuk sesetengah pemimpin politik ialah label pemalas. Naratif ini sebenarnya dicabar oleh Syed Hussein Al-Attas menerusi ‘Mitos Peribumi Malas’ dan Robert K. Merton dalam ‘Social Theory and Social Structure’. Dalam buku tersebut, Merton menerangkan secara panjang lebar bagaimana British mengecilkan hak dan peluang orang Melayu untuk mengusahakan getah semasa zaman kolonial.

Pihak British lebih gemar mengupah buruh India berbanding orang Melayu kerana mereka bimbang monopoli mereka dalam industri getah akan dicabar oleh orang Melayu sekiranya mereka diajar penanaman dan pengurusan getah. Selain akan mencetuskan ketidakstabilan pada pasaran getah, ini juga bakal menjahanamkan pendekatan Colonial Capitalisme British di Tanah Melayu dengan mengawal hasil bumi, sosiobudaya dan politik Tanah Melayu. Perkara ini pernah disebut dalam artikel The Patriots, ‘Betul Ke Melayu Ini Sebuah Bangsa Pemalas?’ tidak lama dahulu.

British sentiasa menjaja idea ini bagi membolehkan mereka mudah dikawal dan bergantung kepada pihak mereka dalam setiap aspek kehidupan, satu idea yang diteruskan sehingga hari ini. Individu-individu sebegini lupa sikap pemalas ini terpakai kepada semua bangsa di dunia dan tidak terpakai kepada Melayu semata-mata. Jika Melayu itu benar-benar pemalas seperti dicanang, bagaimana mereka mampu membawa hasil lumayan dari segi hasil tanaman dan tangkapan di laut dan darat.

Malah, sebelum datangnya imperialis-imperialis ini ke setiap penjuru dunia termasuk Alam Melayu, bangsa-bangsa yang dilabel tidak bertamadun inilah sudah berjaya mencapai puncak ketamadunannya tatkala Eropah masih lagi dalam Zaman Kegelapan. Namun, label-label ini terus wujud dalam masyarakat hari ini walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan. Alasannya, sebagai sumber motivasi untuk mendorong sesebuah bangsa itu bangkit. Hakikatnya, label sebegini bukan membangunkan bangsa tetapi menjatuhkan lagi harga diri bangsa.

Namun, impak daripada mentaliti perkauman ini amat dahsyat. Dari segi penampilan misalnya, wanita-wanita dari kelompok minoriti yang menderita penangan mentaliti mengarut ini bersedia mengubah penampilan mereka agar menjadi lebih putih mengikut standard kecantikan Barat. Di sesetengah negara seperti India dan Filipina, produk pemutih sentiasa digunakan oleh anggota media profesional dan orang berstatus kelas atasan. Menurut David, ia memberi mesej bahawasanya kulit putih itu ideal dan warna-warna kulit lain tidak memenuhi piawaian kecantikan itu sendiri. Ini mendorong sesetengah sanggup melakukan apa saja untuk menjadikan kulit mereka putih walaupun ia berpotensi mengancam kesihatan diri sendiri.

Ada pula yang sanggup tidak menggunakan bahasa ibunda masing-masing kerana tidak tahan dipandang serong oleh kelompok dominan. Ini satu pengalaman yang dialami seorang warga Amerika berketurunan Arab, Waed Alhayek. Pada masa kecilnya, Alhayek dipandang seperti seorang budak perempuan berbeza yang datang dari negara asing. Stereotaip dan label yang dilempar sesetengah anggota masyarakat menyebabkan dia memikirkan terpaksa bercampur gaul dan berhenti menggunakan Bahasa Arab sebagai medium komunikasi. Fikiran-fikiran sebegini menyebabkan dirinya merasakan ini bukan dirinya yang sebenar. Bagaimanapun, itu langsung tidak diendahkannya kerana Alhayek melihat stereotaip atau label hanya menghalang manusia seperti dirinya menerima budayanya dan menerima identiti dirinya.

Bagi pelajar jurusan sains komputer Vietnam-Amerika, Adel Ngo menyatakan sesetengah pelajar merasa malu bila orang mengaitkan mereka dengan pelajar-pelajar asing. Ini kerana menurutnya, komuniti Vietnam-Amerika datang dari pelbagai tempat dan budaya, sesetengahnya dilihat lebih mengamalkan budaya Amerika. Di sesetengah tempat seperti California dan Texas, mereka tetap menerima budaya asal dan mempunyai sikap berbeza berkenaan bagaimana individu kulit berwarna melihat siapa diri mereka. Ngo menambah, “Saya mahu orang ramai memahami bahawa kami juga manusia, kami ada kehidupan kami sendiri dan kami berada di sini atas sebab-sebab berbeza.”

Bagi membanteras mentaliti perkauman terhadap bangsa sendiri, berikut cadangan pembanterasan idea mengarut ini:

  1. Membaca dan memahami sejarah dan budaya bangsa masing-masing. Menurut David, ia sebenarnya mengembalikan semula harga diri, menambah keyakinan dan mengukuhkan jati diri seseorang terutama dalam menangani soal perkauman.
  2. Mendidik orang ramai mengenali budaya bangsa-bangsa lain bagi mewujudkan rasa inklusif dan mengelakkan pemulauan atau pengasingan.
  3. Tanya kepada individu yang dibelenggu mentaliti sebegini mengapa mereka bertindak demikian. Tunjukkan sifat positif kumpulan bangsa mereka dan nyatakan sebab mengapa mereka harus berbangga dengan bangsa mereka.

David menambah, “Manusia itu tidak lahir membenci diri mereka dan kumpulan etnik mereka. Manusia itu tidak lahir mempunyai persepsi negatif terhadap kumpulan etnik mereka. Mentaliti perkauman terhadap bangsa sendiri ini sebenarnya dipelajari, jadi ia juga boleh ditolak dan tidak lagi wujud dalam kamus kehidupan manusia.” Atas sebab itulah, mentaliti mengarut ini seharusnya dibuang jauh-jauh kerana ia sebahagian daripada bebanan imperialisme yang hanya datang membawa bencana dan nestapa pada manusiawi.

SUMBER

  1. Hoang, John. (2017). The Shorthorn. ‘Internalized racism is learned, so it can be unlearned’. http://www.theshorthorn.com/life_and_entertainment/internalized-racism-is-learned-so-it-can-be-unlearned/article_d677e824-1506-11e7-880e-334fdca80982.html
  2. Nittle, Nadra Kareem. (2017). ThoughtCo.com. What Is the Definition of Internalized Racism? https://www.thoughtco.com/what-is-internalized-racism-2834958

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.