Jiran kita Singapura, baru sahaja mengangkat presiden yang baharu. Menariknya presiden Singapura kali ini merupakan seorang berbangsa Melayu yang bernama Puan Halimah Yacob. Puan Halimah merupakan mantan Speaker parlimen Singapura dan juga bekas ahli parlimen negara itu. Namun, yang menjadi sorotan bukanlah siapakah presiden Singapura yang baharu ini tetapi bagi menjelaskan sejarah dan peranan institusi presiden di Singapura yang kurang dominan jika dibandingkan dengan jawatan Perdana Menteri Singapura yang agak menonjol peranannya. Adakah anda ingin tahu mengapa jawatan presiden di Singapura tidak sama seperti di Amerika Syarikat? Adakah anda ingin tahu peranan terhad presiden Singapura? Adakah anda tahu bagaimana presiden Singapura dipilih? Teruskan membaca sehingga ke ayat yang terakhir!
SEJARAH INSTITUSI PRESIDEN

Sejarah pembentukan institusi presiden bermula apabila Singapura menjadi sebuah republik pada tahun 1965. Institusi presiden menggantikan jawatan Yang di-Pertuan Negara yang diguna pakai sejak Singapura diberi status berkerajaan sendiri oleh British pada tahun 1959 dan kekal digunakan sehingga Singapura menjadi Republik tahun 1965.

Ketika Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang pilihan raya dan membentuk kerajaan pada bulan Mei 1959, En. Yusof Ishak merupakan pilihan utama untuk menjadi ketua negara pada ketika itu. Pada bulan Disember 1959, Yusof dilantik menjadi Yang Di-Pertuan Negara bagi mewakili Ratu England di Singapura. Apabila Singapura merdeka pada 9 Ogos 1965, Yusof Ishak secara automatik menjadi presiden Singapura pertama.

Antara tahun 1965 sehingga tahun 1991, jawatan presiden merupakan lantikan parlimen dan bukannya melalui pilihan raya seperti hari ini. Peranan presiden pada masa itu juga tidak besar dan hanya simbolik semata-mata. Pindaan perlembagaan dilakukan pada tahun 1991 bagi membolehkan rakyat memilih presiden dan kuasa presiden diperluaskan untuk mengawal belanjawan negara dan melantik jawatan penting dalam sektor awam dan syarikat milik kerajaan.

Pindaan perlembagaan ini juga, memperuntukkan agar Majlis Penasihat Presiden ditubuhkan bagi menasihati presiden tentang hal ehwal belanjawan negara, pelantikan penjawat awam utama, dan membantu presiden menjalankan tugasnya. Setiap presiden yang menang pilihan raya akan memegang jawatan selama 6 tahun sepenggal dan tiada had penggal untuk jawatan presiden. Dengan wujudnya sistem presiden dipilih melalui pilihan raya di Singapura pada tahun 1991 menunjukkan perubahan dalam sejarah Singapura.
PERANAN PRESIDEN SINGAPURA

Peranan terbesar presiden Singapura adalah sebagai ketua negara bagi republik itu. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa Singapura ada presiden jika peranan perdana menteri lebih besar? Hal ini demikian kerana model pemerintahan Singapura berdasarkan sistem berparlimen Westminister yang banyak digunakan di negara-negara komanwel, presiden sebagai ketua negara manakala perdana menteri sebagai ketua kerajaan.

Disebabkan peranan presiden yang terhad, dalam kebanyakan kes, presiden perlu meminta nasihat daripada kabinet dan Majlis Penasihat Presiden bagi menggunakan kuasanya. Walau bagaimanapun, ada beberapa hal yang mana presiden mempunyai hak mutlak iaitu menolak belanjawan negara, melantik seseorang memegang jawatan penting seperti ketua hakim negara, pengerusi suruhanjaya, dan seumpamanya. Bukan itu sahaja, presiden juga satu badan bebas yang ditubuhkan bagi memastikan kerajaan bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sebagai salah satu komponen cabang legislatif, presiden singapura juga mempunyai peranannya dalam perundangan. Peranan utama seorang presiden dalam perundangan ialah meluluskan undang-undang yang diluluskan di parlimen. Walaupun seorang presiden menjalankan fungsinya berdasarkan nasihat kabinet tetapi presiden juga boleh menolak undang-undang yang telah diluluskan di parlimen.

DUA ORANG PRESIDEN SINGAPURA ANAK KELAHIRAN MALAYSIA
Tahukah anda terdapat dua orang presiden Singapura yang terpilih menjadi presiden merupakan anak kelahiran Malaysia. Dua orang presiden yang dimaksudkan merupakan Yusof Ishak presiden pertama dan Devan Nair presiden ke-3 Singapura.

Yusof Ishak yang dilahirkan pada 12 Ogos 1910 ini merupakan anak kelahiran Padang Gajah, Trong, Perak. Sebelum menjadi penjawat awam di Singapura, beliau merupakan wartawan Utusan Melayu namun berhenti kerana menerima jemputan Lee Kwan Yew menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di Singapura. Apabila memegang jawatan Yang Di-Pertuan Negara semasa Singapura di dalam Malaysia, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Sri Maharajah Mangku Negara oleh DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tun pada tahun 1963.

Devan Nair sosok yang kontroversi sedikit berbanding Yusof Ishak. Anak kelahiran Melaka ini merupakan pengasas Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pilihan raya umum Tahun 1964, PAP telah melanggar amanat Tunku Abdul Rahman untuk tidak bertanding di Malaya. PAP meletakkan calon dibeberapa tempat namun hanya menang 1 kerusi. Kerusi itulah yang dimenangi oleh Devan Nair. Setahun kemudian, Singapura dikeluarkan dari Persekutuan tetapi Devan Nair kekal memegang kerusi tersebut walaupun Singapura telah dipisahkan. Hal ini memaksa Devan Nair menubuhkan parti baru yang mempunyai semangat yang sama seperti PAP Singapura iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP).
PENUTUP
Secara ringkasnya, institusi presiden tertubuh pada tahun 1965 selepas Singapura dipisahkan dari Malaysia. Kuasa presiden amatlah terhad dan seorang presiden perlu bertindak mengikut nasihat kabinet dan Majlis Penasihat Presiden. Ada yang berfikir bahawa dengan terpilihnya semula seorang berbangsa Melayu menjadi presiden mampu mengubah nasib Melayu dan Islam, saya nasihatkan fikir sekali lagi. Marilah kita doakan Pn. Halimah agar dapat menjalankan tugasnya sebagai Presiden Singapura dengan sempurna.

SUMBER
1. Constitution of Singapore.
2. Nathan, R. P. (1983). The administrative presidency. John Wiley & Sons.
3. Low, L., & Toh, M. H. (1989). The elected presidency as a safeguard for official reserves: what is at stake? (No. 1). Institute of Policy Studies.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang yang meminati subjek politik, ekonomi, dan falsafah. Cenderung kepada konservatism, Keynesian, dan berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah. Namun begitu, saya hanyalah seorang guru di pusat pendidikan swasta dan bercita-cita melahirkan generasi intelektual dan bermoral tinggi serta bersedia mempertahankan agama, raja, dan negara.

Leave A Reply