Insiden Kemalangan Syarikat Loji Penapisan Minyak Mentah Kemaman

0
830
views

Seawal pagi dikejutkan dengan insiden kemalangan dekat sebuah syarikat loji pemprosesan bahan minyak mentah di Kemaman, Terengganu. Syarikat yang sudah beroperasi sejak tahun 2003 itu terletak dikawasan industri Teluk Kalong. Berdasarkan info yang aku dapat, loji ini agak terpencil dan perumahan penduduk berdekatan berjarak kira-kira 1 kilometer.

Kemaman Bitumen Company(KBC) mengeluarkan lebih kurang 30 ribu tong bahan minyak mentah (bitumen) yang telah diproses setiap hari. Kejadian bermula sejak petang semalam (ketika artikel ini ditulis).

Tangki pertama yang mempunyai 5000 liter bahan minyak mentah terbakar dan meletup pada jam 6.15 petang semalam. Kemudian api telah merebak pada tangki kedua bersebelahan yang mengandungi lebih kurang 1500 liter bahan minyak mentah. Saiz semua tangki ini mampu menampung kapasiti maksimum 300 ribu liter bahan minyak mentah.

Anggota bomba dari Chukai dan Kerteh dikerahkan ke lokasi kejadian dan operasi pemadaman api menggunakan cecair penyejuk dimulakan. Dikatakan api yang marak berjaya dikawal pada jam 9 malam walaupun tidak padan sepenuhnya. Anggota bomba dari daerah berdekatan iaitu Paka, Kijal, Cheneh Gebeng, Kuantan, dan Marang turut dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu dalam operasi ini. Operasi turut dibantu oleh jawatankuasa tindakan kecemasan yang dianggotai oleh syarikat-syarikat dikawasan Industri Teluk Kalong.

Kira-kira jam 9.30 malam, api telah merebak ke tangki ketiga yang juga bersebelahan dengan tangki yang telah terbakar. Tangki ketiga mengandungi lebih kurang 14 ribu liter bahan minyak mentah, lebih banyak daripada dua tangki awal yang terbakar.

Sebelum api merebak kepada tangki ini, pihak bomba telah diusulkan untuk mengosongkan tangki ketiga iaitu memindahkan kandungan bahan minyak mentah dalam tangki itu namun kerana khuatir berlakunya tumpahan, usaha itu tidak dijalankan. Sekiranya berlaku tumpahan semasa operasi mengosongkan tangki ketiga dan keadaan api yang masih marak akan menyebabkan keadaan bertambah buruk.

Sehingga tengah hari tadi, api masih belum dipadamkan sepenuhnya. Asap tebal kesan dari kebakaran ini boleh dilihat dari kawasan sejauh 10 kilometer. Gegaran akibat letupan turut dirasai di kawasan berdekatan semasa tangki ketiga mula terbakar.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini. Seorang pekerja mengalami kecederaan lecur tahap kedua dan dikejarkan ke Hospital Kemaman sejurus selepas kejadian bermula petang semalam. Pekerja itu kini dirawat di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu.

Kecederaan akibat lecur terbahagi kepada tiga tahap;

Tahap Satu
Kecederaan yang hanya melibatkan lapisan luar kulit sahaja. Ia tidak menyebabkan penembusan lapisan kulit.

Tahap Dua
Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan kulit, menyebabkan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan.

Tahap Tiga
Kecederaan yang menyebabkan kerosakan kepada semua lapisan kulit, juga melibatkan kerosakan pada lapisan otot, ataupun tulang.

Kecederaan akibat lecur kebiasanya akan menyebabkan parut kekal atau mengambil masa yang panjang untuk pulih.

*Bercerita tentang parut terbakar, orang kata kalau lecur letak kicap, baru tak ada parut. Letak air sejuk cukup, supaya kuman tak merebak. Kicap tu letak kat nasi.

P/S Kementerian Kesihatan belum keluarkan apa-apa kenyataan berkaitan asap yang terbebas dari kawasan kejadian tapi asap dari minyak mentah membebaskan partikel H2S (Hidrogen Sulfida) yang membahayakan kesihatan, berbahaya kepada paru-paru dan sistem pernafasan.
Penduduk berdekatan dinasihatkan supaya menjauhi tempat kejadian dan menggunakan topeng muka sekiranya berada berdekatan.

Rujukan

1. Raiham Mohd Sanusi, ( 2018) Tangki Minyak KBC Terbakar, Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/…/tangki-minyak-kbc-terbakar-…

2. Awani (2018) Tangki Minyak KBC Terbakar
http://www.astroawani.com/…/tangki-minyak-kbc-terbakar-1797…

3. Rosli Ilham (2018) Kebakaran tangki minyak: Hanya seorang mangsa melecur, Berita Harian Online.
https://www.bharian.com.my/…/kebakaran-tangki-minyak-hanya-…

4. Hydrogen Sulfide, H2S, United States Department of Labor.
https://www.osha.gov/Publications/hydrogen_sulfide.html

5. Terbakar dan melecur, Portal Rasmi Myhealth, Kementerian Kesihatan Malaysia.
http://www.myhealth.gov.my/terbakar-dan-melecur/