Yahudi, satu kata nama yang boleh membuatkan seseorang itu naik darah secara tiba-tiba. Segala perkataan buruk yang terkandung dalam kamus akan terlempar kepada kata nama “Yahudi” itu. Hatta, sekiranya al-Faqir memberitahu bahawa Nabi Sulaiman ialah seorang Raja Yahudi, pasti akan bertalu-talu cercaan diberikan oleh golongan paranoid itu kepada diri al-Faqir.

Hal ini adalah kerana rata-rata orang kita masih belum jelas mengenai definasi sebenar “Yahudi” sama ada dari segi Bahasa, Istilah, Sejarah, Agama, Kaum dan sebagainya. Oleh itu, hal ini menjadi sebahagian dari sekian banyaknya sebab al-Faqir mengarang Kitab Tamadun Yahudi. Definasi Yahudi yang tepat boleh didapati dalam karya ini kelak.

Apabila disebut Yahudi, pasti kita akan terkenangkan keburukan mereka sepertimana yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis. Yahudi dikatakan sebagai kaum yang jahat, degil dan licik. Mereka dikatakan sebagai Bangsa Yang Terpilih (The Chosen) dan Bangsa Kesayangan Tuhan (Children of God). Namun, bagaimana kaum yang pernah dimuliakan sebegini kini menjadi suatu bahan kutukan?

Perlu anda ketahui, segala kutukan yang Allah dan RasulNya lemparkan kepada mereka bukanlah kerana mereka itu “Yahudi”, tetapi adalah kerana perangai-perangai mereka. Nabi Muhammad menjadikan kaum Yahudi sebagai kisah teladan kepada golongan yang beriman agar tidak turut sama ikut berperangai seperti mereka. Ya, memang mereka dahulunya merupakan kaum yang dilebihkan ke atas kaum yang lain. Namun, lihatlah bagaimana Allah menerbalikkan status tersebut. Oleh itu, sedarlah bahawa sekiranya kita turut berperangai seperti mereka, maka kita juga dikira jahat seperti mereka. Bukankah Rasulullah telah peringatkan kita bahawa kelak Umat Islam akan mengikuti Yahudi sedikit demi sedikit sehinggalah jika mereka masuk ke lubang biawak punkita akan turuti ? Maka berwaspadalah !

Berikut merupakan antara sifat Yahudi yang telah sebati dengan kehidupan kita :

1. Banyak bertanya tapi bukan untuk beramal

Ini merupakan penyakit umat nabi Musa. Ketika itu, timbul satu isu dalam kalangan bani Israel, maka nabi Musa arahkan umatnya untuk menyembelih seekor lembu al-Baqarah. Menurut sebahagian tafsir, arahan menyembelih lembu adalah sebagai sindiran kepada bani Israel yang pernah menyembah patung lembu as-Samiri. Namun, bani Israel berasa berat untuk laksanakan arahan ini. Maka mereka sengaja banyak bertanya mengenai spesifikasi lembu yang hendak disembelih dengan harapan arahan ini semakin sukar dilakukan lalu dimansuhkan.

Mereka banyak bertanya bukanlah untuk beramal. Walaubagaimanapun, Allah menentukan kejadian bahawa spesifikasi lembu yang mereka perlu cari itu tiba-tiba datang kepada mereka. Maka tercenganglah mereka dengan keadaan itu. Samalah dengan masyarakat kita kini. Banyak bertanya soalan bukan dengan tujuan untuk memahami dan beramal, tetapi sekadar untuk bergelak ketawa, bermain-main dengan hukum, untuk kepentingan duniawi dan lain-lain.

2. Bunuh para Rasul.

Ini merupakan salah satu penyakit bani Israel yang selalu mereka amalkan. Apabila tiba para nabi yang ingin menegakkan syiar Allah dan menyebabkan kehendak mereka terbelenggu, maka mulalah mereka merencana untuk membunuh para rasul. Antara kisah paling masyhur mengenai usaha pembunuhan para rasul ialah kisah penyaliban Nabi Isa. Namun, Allah menyelamatkan baginda dari usaha terkutuk mereka itu. Begitu juga kaum Yahudi di zaman Rasulullah yang hendak membunuh baginda. Di zaman kini, para nabi sudah tidak diutus lagi. Namun, Rasulullah ada bersabda bahawa Ulama merupakan pewaris para nabi.

Maka, umat Islam kini bertindak untuk membunuh para ulama jika mereka tidak suka padanya. Gerakan militan atas nama Islam telah membunuh ramai ulama yang Soleh. Oleh itu, diangkatlah ilmu dengan kewafatan ulama. Kemudian umat mengangkat orang jahil sebagai ulama sehingga mereka sesat lagi menyesatkan. Mereka ulama su’ (jahat) yang berfatwa menurut hawa nafsu, serta digelar sebagai golongan Ruwaibidhah iaitu orang bukan ahli tetapi berbicara mengenai umat dengan menunggang agama.

3. Mengelat dalam beragama

Bani Israel memang terkenal dengan kelicikan mereka. Bahkan kelicikan mereka itu juga digunakan untuk mempermain-mainkan hukum agama. Sebagai contoh, kisah larangan menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka dengan liciknya menahan pukat pada hari Jumaat dan mengutip hasil pada hari Ahad. Melalui pemahaman literal, memang bani Israel tidak melanggar hukum menghormati hari Sabtu secara teknikal. Namun, jika kita telusuri dalam kitab Tafsir, maka kita akan tahu apa sebab tindakan mereka yang kelihatan “tidak salah” itu merupakan sebuah maksiat kepada Allah sehingga mereka disumpah menjadi monyet.

Begitulah umat Islam pada zaman kini. Masih lagi ada peniaga yang tidak menghormati kemuliaan Jumaat dengan meneruskan aktiviti jual beli ketika masjid-masjid telah azan menandakan ibadah solat Jumaat akan dimulakan. Begitu juga perangai segelintir umat Islam yang suka menghurai-hurai nas wahyu untuk bermudah-mudahan terhadap hukum dengan pelbagai alasan yang kelihatan “Islamik” secara teknikalnya. Antaranya adalah, “Tidak perlu qadha solat fardhu yang sengaja ditinggalakn kerana tiada Nas yang menyebutnya”.

4. Memalsukan Kitab

Penyakit suka mentahrif atau menyelewengkan isi kandungan kitab wahyu adalah amat sinonim dengan bani Israel. Bahkan dalam al-Quran, dinyatakan bahawa sikap itu adalah seburuk-buruk tindakan terhadap Allah. Mereka menjual ayat-ayat Allah dengan beberapa harga murah demi kehidupan duniawi. Pelbagai cara bani Israel lakukan untuk menghalalkan perbuatan mengubah suai kitab wahyu. Penyakit itu juga sebenarnya telah menimpa umat islam kini. Memang usaha untuk mengubah al-Quran tidak Berjaya dilakukan sehingga kini.

Namun, segelintir umat Islam telah bertindak untuk mengubah al-Quran dengan cara membuat tafsiran-tafsiran yang tidak menepati syarak. Mereka menafsir al-Quran secara sendiri tanpa merujuk ulama Mufasirin Muktabar atas alasan “Mari taddabur al-Quran”. Malah, ada juga yang bertindak untuk mengubah kalam-kalam mulia ini dengan menyebarkan pemahaman yang tidak benar.

Hal ini bukan sahaja berlaku pada al-Quran, bahkan berlaku juga kepada hadis-hadis sabdaan baginda yang secara sambalewa disahih-palsukan secara sesuka hati agar kena dengan selera. Baru pergi kelas takhrij hadis atau mengai mustalah hadis dalam usrah-usrah, sudah bertindak menjadi Mujtahid atau Muhadis jagoan. Bahkan, banyak kitab para ulama Muktabar yang menghurai kandungan wahyu disunting dengan alasan “Tahkik”, “Tashih”, “Tarjih” dan sebagainya. Amboi-Amboi-Amboi.

Banyak lagi perangai buruk Yahudi yang kita turuti secara tidak sedar. Namun cukuplah 4 ini sahaja dikongsi terlebih dahulu. Berkat kemuliaan Nabi kita, Nabi Muhammad, maka segala bala dan kehinaan tidak tertimpa secara segera kepada umat Islam apabila umat islam melakukan kesalahan-kesalahan sebegini. Rasulullah sering mendoakan kesejahteraan umatnya. Baginda yang penyayang, diutuskan sebagai pembawa Rahmah dari Allah yang Maha Penyayang. Oleh itu, perlulah kita sebagai umat Islam menjaga status yang telah diberikan iaitu “Khaira Ummah” (Sebaik-baik Ummah) dengan mengambil pelajaran dari setiap sisi kisah yang dipaparkan dalam al-Quran.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Leave A Reply