Ini Sejarah Kebangkitan Lamborghini!

855

Automobili Lamborghini S.p.A diasaskan pada bulan Mei 1963, oleh seorang lelaki berbangsa Itali yang bernama Ferruccio Elio Arturo Lamborghini. Beliau ialah seorang mekanik yang berasal dari wilayah Bologna, Itali.

Kedua-dua ibu dan bapa Ferruccio berkerja sebagai petani bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Seawal usia remaja, Ferruccio telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang mekanikal.

Oleh itu, beliau memilih untuk menyambung pengajian di sekolah teknikal yang terletak di Bologna bagi mendalami bidang tersebut. Menurut catatan biografinya, Ferruccio kemudiannya menyertai pasukan Tentera Udara Itali ketika Perang Dunia Kedua (WW2) tercetus pada tahun 1939 hingga 1945.

Beliau telah ditugaskan sebagai mekanik di dalam unit pengangkutan, yang bertanggungjawab dalam memastikan kesemua aset milik Tentera Itali dapat berfungsi dengan baik. Pada tahun 1944, Ferruccio menjadi tahanan perang Tentera British selepas Itali pimpinan Benito Mussolini tertewas.

Di sepanjang waktu menjadi tahanan perang, beliau dapat meneruskan ‘kerjaya’ sebagai seorang mekanik setelah dikerahkan oleh pihak British. Dari situ, beliau dapat mengasah lagi bakatnya dengan memperbaiki enjin-enjin kenderaan pada setiap hari, khususnya kereta, walaupun perlu berhadapan dengan limitasi peralatan dan kemudahan.

Setelah WW2 tamat, Ferruccio kemudiannya dibebaskan dari penjara dan kembali ke kampung halamannya di Bologna. Dengan berbekalkan pengalaman dan kemahiran sebagai bekas mekanik tentera dan tahanan perang, Ferruccio mula mengumpulkan saki baki alatan perang yang terdiri daripada mesin, enjin, besi dan sebagainya untuk mencipta sebuah ‘tractor’ bagi kegunaan para petani di kampungnya.

Pada tahun 1948, beliau berjaya menghasilkan sebuah ‘tractor’ yang dinamakannya sebagai ‘Carioca’. Pada waktu itu, pasaran ‘tractor’ negara Itali dikuasai oleh jenama-jenama besar seperti ‘Fiat’, ‘Landini’ dan ‘Motomeccanica’.

Ferruccio sedar bahawasanya, bukan mudah untuk beliau ‘mengganggu’ pasaran sedia ada dengan hanya menggunakan ‘tractor’ yang dibina daripada bahan terpakai. Oleh hal yang demikian, beliau membuat keputusan untuk membuka sebuah kilang ‘tractor’ secara kecil-kecilan dan menggaji beberapa orang pekerja.

Tidak lama selepas kilang kecilnya dibuka, Ferruccio berjaya mencipta ‘tractor’ model baharu yang dikenali sebagai ‘L33 Tractor’ pada tahun 1950, bagi menggantikan model ‘Carioca’. Keberadaan model L33 telah berjaya menarik minat para petani setempat untuk menggunakan ‘tractor’ keluarannya itu sehingga jumlah pengeluaran mereka mencecah 200 unit setahun.

Bagi mengembangkan lagi empayar perniagaan ‘tractor’, Ferruccio telah membina sebuah kilang yang lebih besar di samping pertambahan jumlah pekerja dengan bantuan ayahnya. Setelah itu, tertubuh lah sebuah syarikat baharu yang dikenali sebagai ‘Trattori Lamborghini’ pada tahun 1951.

Era 1950an sememangnya memberikan impak yang besar ke atas perniagaannya, bila mana Ferruccio berjaya merevolusikan sebuah kilang kecil yang dibina pada penghujung era 1940an menjadi kilang besar bertaraf ‘industrialist’ gergasi Itali, sebaris dengan nama-nama besar yang lain.

Memasuki tahun 1960, ‘Trattori Lamborghini’ memiliki 400 orang pekerja dengan saiz pengeluaran sebanyak 25 hingga 30 unit ‘tractor’ sehari. Semestinya angka ini menjadikan Ferruccio sebagai salah seorang individu terkaya Itali pada zaman itu.

Selain industri ‘tractor’, Ferruccio turut membangunkan beberapa perniagaan lain seperti pembekalan sistem pendingin hawa (aircond) serta alat pemanas (central heating).

Beberapa tahun sebelum beliau menubuhkan syarikat ‘Automobili Lamborghini SpA’ pada tahun 1963, Ferruccio telah pun menunjukkan minatnya ke atas industri ‘supercar’ yang sedang rancak membangun di benua Eropah pada zaman itu.

Beliau pernah membeli beberapa unit kenderaan mewah seperti Mercedes, Jaguar dan juga Ferrari untuk kegunaan seharian. Semuanya bermula setelah kereta Ferrari miliknya berhadapan dengan masalah sistem ‘clutch’ beberapa kali.

Ferruccio Lamborghini yang pada waktu itu tidak berpuas hati dengan kualiti kereta keluaran syarikat Ferrari, bertindak untuk menyampaikan terus ‘complaint’ beliau kepada pemilik syarikat Ferrari, iaitu Enzo Ferrari.

Di sini terdapat beberapa catatan sejarah yang berbeza; ada yang menyatakan bahawa Ferruccio Lamborghini dan Enzo Ferrari bertikam lidah secara ‘face to face’ dan ada juga yang menyatakan perkara sebaliknya, iaitu Enzo tidak melayan langsung sebarang tuntutan yang dibuat oleh Ferruccio.

Walaubagaimanapun, ketidakpuasan hati Ferruccio itu berakhir dengan keterlibatan beliau dalam pembangunan industri ‘supercar’ yang baharu bagi menyaingi jenama-jenama besar lain, khususnya Ferrari.

Beliau memulakan projek penghasilan model pertama keluaran Lamborghini pada tahun 1962. Pada waktu itu, beliau amat meminati spesifikasi kereta ‘sports’ yang terlibat dalam perlumbaan berprestij, iaitu Gran Turismo (GT).

Maka, terhasil lah model pertama Lamborghini yang dinamakan sebagai 350GT pada tahun 1964, diikuti model 400GT pada tahun berikutnya. Kedua-dua model ini bertaraf ‘supercar’ yang memiliki kapasiti enjin ‘V12’.

Sebagai info, Ferruccio dikatakan amat meminati sukan ‘bull fighting’ yang terkenal di benua Eropah, khususnya di Sepanyol. Minatnya itu bertepatan dengan ‘zodiac’ kelahirannya, iaitu ‘Taurus’.

Oleh hal yang demikian, Ferruccio menjadikan ‘semangat juang’ yang ada pada kerbau (bull) sebagai inspirasi untuk menjayakan syarikat baharunya itu, yang mana kerbau baka ‘Miura’ diabadikan di atas lambang jenama Lamborghini.

Bukan sekadar lambang, Ferruccio turut menamakan model-model keluaran Lamborghini bersempena dengan nama-nama kerbau daripada baka ‘bull fighting’ yang terdiri daripada ‘Miura’ seperti ‘Islero’, ‘Espada’, ‘Jarama’, ‘Diablo’ dan sebagainya.

Menjelang tahun 1966, Lamborghini menghasilkan model P400 Miura, diikuti Islero (1968), Espada (1968), Jarama (1970), Urraco (1972), Countach (1974), Jalpa (1981), Diablo (1990), Murcielago (2002), Gallardo (2003), Aventador (2011), Urus (2012), Veneno (2013), Asterion (2014), dan Huracan (2014), termasuk model terbaharu edisi terhad iaitu Sián (2020).
Model-model Lamborghini keluaran terkini (tahun 2010 ke atas) seperti Lamborghini Aventador, Urus dan Huracan didatangkan dengan kepelbagaian variasi, seperti Aventador; Aventador S, S Roadster, SVJ dan SVJ Roadster.

Segmen SUV Lamborghini Urus pula merangkumi; Urus Pearl Capsule dan Graphite Capsule. Manakala, model Lamborghini Huracan terdiri daripada variasi; Huracan Evo, Evo Spyder, Evo RWD, Evo RWD Spyder, Evo Fluo Capsule dan Sto.

Seperti apa yang kita sedia maklum, kualiti ‘supercar’ keluaran Lamborghini berada pada kelas dan prestijnya yang tersendiri, sebaris dengan jenama kelas dunia lain seperti Ferrari (Itali), McLaren (UK), Porsche (Jerman), Aston Martin (UK), Bugatti (Jerman), Mercedes (Jerman), BMW (Jerman), Bently (UK) dan sebagainya.

Berdasarkan laporan cnbc.com, pada tahun 2019, jumlah jualan keseluruhan kereta keluaran Lamborghini mencecah sehingga 8205 unit, iaitu peningkatan sebanyak 43% berbanding 5750 unit yang terjual pada tahun 2018 dan tahun 2017 (3815 unit).

Peningkatan drastik ini disumbangkan oleh permintaan yang tinggi ke atas segmen SUV keluaran baharu Lamborghini, iaitu model Urus yang mencatat jualan hampir 5000 unit pada tahun 2019, berbanding model V-12 Aventador (1104 unit) dan V-10 Huracan (2139 unit) menurut CEO Lamborghini, Stefano Domenicali.

Secara spesifiknya, benua Amerika Utara mencatatkan permintaan jualan tertinggi dengan rekod sebanyak 2837 unit, yang mana 2374 unit daripadanya terjual di pasaran Amerika Syarikat sahaja, diikuti jualan di benua Asia (2162 unit) dan benua Eropah, Timur Tengah & Africa (3206 unit).

Berdasarkan laporan kewangan Lamborghini, syarikat ‘supercar’ dari Itali ini merekodkan keuntungan bersih sebanyak £1.8 Bilion Euro pada tahun 2019, berbanding tahun 2018 (£1.41 Bilion). Lamborghini memiliki pekerja seramai 1787 orang, yang beroperasi di kilangnya yang terletak di wilayah Sant’Agata Bolognese, Itali.

Menurut marketwatch.com, nilai saiz pasaran global industri ‘supercar’ pada tahun 2019 adalah sebanyak $16.3 Bilion USD. Angka ini walaubagaimanapun dijangka menurun kepada $15.9 Bilion menjelang tahun 2026, bersandarkan kadar CAGR tahunan (-0.4%).
Berbalik kepada perihal Ferruccio Lamborghini, sebenarnya Ferruccio telah pun menjual majoriti sahamnya di dalam syarikat Automobili Lamborghini SpA sejak tahun 1974 lagi.
Pada waktu itu, Ferruccio terpaksa melepaskan pegangannya di dalam Lamborghini setelah dunia berhadapan dengan krisis ekonomi, bagi menyelamatkan syarikat ‘Trattori Lamborghini’ yang berhadapan dengan kesukaran.

Menjelang tahun 1978, syarikat Lamborghini diisytihar ‘bankrupt’ sehingga membawa kepada penjualan secara ‘lelong’ dibuat pada tahun 1981. Lamborghini kemudiannya dijenamakan semula sebagai ‘Nuova Automobili Lamborghini SpA’ selepas syarikat ini dibeli oleh pasangan adik beradik hartawan; Patrick Mimran dan Jean Claude.

Setelah itu, pada tahun 1987, kepimpinan Lamborghini bertukar tangan sekali lagi, setelah syarikat Chrysler Corporation membeli keseluruhan saham Lamborghini. Pemilikan Chrysler juga tidak bertahan lama, bila mana Lamborghini dijual kepada firma pelaburan Malaysia (Mycom Setdco) dan syarikat gergasi Indonesia (V’Power Corporation) pada tahun 1994.
Audi Group kemudiannya mengambil alih ‘Automobili Lamborghini SpA’ daripada syarikat Mycom dan V’Power pada tahun 1998 dan kekal sehingga ke hari ini. Di bawah pengurusan Audi Group, Lamborghini berjaya mengembalikan semula zaman kegemilangannya dengan pengeluaran model-model ‘ultraluxury’ sepertimana yang kita dapat lihat hari ini.

Kisah Ferruccio Lamborghini boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada kita, khususnya pendiri-pendiri bisnes yang sedang ‘struggle’. Masakan tidak, Ferruccio berjaya mencipta sebuah jenama ‘super-luxury’ di peringkat global daripada hanya membekalkan ‘tractor’ kepada golongan petani kecil.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.