Info Menarik Sambutan Deepavali

0
194
views

Tidak lama lagi, masyarakat India di seluruh dunia bakal menyambut sambutan Deepavali. Deepavali atau Diwali turut dikenali sebagai Festival Cahaya dan merupakan perayaan utama bagi penganut agama Hindu. Bagi menentukan tarikh sambutan perayaan berkenaan, ia ditentukan mengikut kalendar bulan Hindu. Berikut beberapa fakta menarik berkenaan perayaan ini:

  1. Hari Deepavali diraikan pada hari ke-15 bulan Kartika, salah satu bulan dalam kalendar Hindu. Selain merupakan antara agama utama di India, ia juga merupakan antara agama tertua di dunia.
  2. Ia diraikan oleh lebih 800 juta orang yang menyambutnya dengan pelbagai cara.
  3. Ia disambut sebagai memberi penghormatan kepada Dewi Lakshmi, dewi kekayaan dan kemakmuran mengikut kepercayaan agama Hindu. Perayaan ini juga turut menandakan kepulangan semula Dewa Rama dan Sita selepas menghabiskan 14 tahun dalam buangan. Ia juga memberi maksud simbolik kejayaan cahaya ke atas kegelapan.
  4. Perkataan Diwali bermaksud pelita yang dinyalakan secara berturut-turut. Dalam Bahasa Hindi, pelita sebegini dipanggil diyas. Menariknya di India, ia merupakan perayaan paling terkenal dan terbesar di mana ia diraikan selama lima hari.
  5. Jika anda sangka Hari Deepavali merupakan hari cuti di India dan Malaysia, anda salah. Selain kedua-dua negara ini, Hari Deepavali dianggap cuti umum di Fiji, Guyana, Mauritius, Myanmar, Nepal, Singapura, Surinam dan Trinidad & Tobago. Sementara di Pakistan pula, ia dianggap cuti umum pilihan.
  6. Penganut agama Hindu akan menyalakan diyas di rumah mereka, menerangi cahaya dengan bunga api dan hiasan rangoli di luar kediaman mereka. Semua ini dibuat bagi menarik perhatian Dewi Lakshmi, dewi untuk nasib yang baik mengikut kepercayaan agama mereka.
  7. Pada malam Diwali, penganut Jainisme turut meraikan perayaan cahaya bagi menandakan peristiwa Mahavira mendapat tahap moksha. Sementara bagi penganut Sikh pula, mereka meraikan Deepavali sempena peristiwa pembebasan gurji mereka, Guru Hargobind Sahibji dan 52 raja serta anggota kerabat diraja lain yang dijadikan tawanan oleh Maharaja Shah Jahan dari Empayar Mogul.
  8. Bagi meraikan Diwali, mereka memulakan tradisi dengan membersihkan kediaman sehingga bersih sebelum masuk Tahun Baru. Bagi golongan peniaga pula, ini memberi peluang kepada mereka mengemaskan akaun mereka dan membuat catatan baru pada akaun mereka. Sementara bagi golongan petani, ia merupakan penanda berakhirnya musim penuaian tanaman mereka.
  9. Bandar Leicester, United Kingdom menjadi tuan rumah kepada sambutan Deepavali terbesar yang dianjurkan di luar India.
  10. Selain bagi meraikan peristiwa pembebasan Guru Hargobind Sahibji, Deepavali juga merupakan satu tarikh bersejarah kerana pada hari itulah, batu asas untuk pembinaan Kuil Emas (Golden Temple) diletakkan pada tahun 1577.
  11. Sebagai menambah kemeriahan Deepavali, sudah jadi kelaziman bagi ramai bermain bunga api dan mercun. Namun tidak ramai tahu, ia mencetuskan pelbagai masalah seperti pencemaran bunyi, cahaya, udara dan air terutama di kawasan-kawasan yang padat dengan penduduk. Selain itu, ia juga berpotensi mencetuskan pelbagai masalah kesihatan seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan. Dan jika salah percaturan, perayaan yang seharusnya diraikan dengan gembira menjadi tragedi bila ada yang tercedera kerana bermain mercun dan bunga api.
  12. Kos bunga api yang digunakan semasa Diwali mencecah $1 bilion dolar seluruh dunia. Angka sedemikian boleh saja disumbang kepada pelbagai kemudahan atau individu yang memerlukan bantuan.
  13. Jika anda ada mendengar ucapan Shubh Deepavali dari rakan berbangsa India terhadap ahli keluarga atau rakan-rakan mereka, itu sebenarnya ucapan selamat sempena sambutan berkenaan. Ia bermaksud ‘Moga anda mendapat Diwali yang baik’.
  14. Salah satu legenda popular berkenaan Diwali ialah kisah epik Ramayana atau Hikayat Seri Rama. Menurut kisah, Rama dan isterinya Sita Dewi dibuang negeri ke Ayodhya oleh raja negeri berkenaan merangkap ayahanda Rama. Ini menyebabkan kedua-duanya dan saudara Rama, Lakshmana (Laksamana) menetap dalam hutan. Selepas beberapa tahun, Sita Dewi diculik oleh Rawana yang merupakan syaitan yang mempunyai 10 kepala. Dengan bantuan pahlawan monyet Hanuman, Rama berjaya menyelamatkan isterinya dari menjadi mangsa kerakusan Rawana. Penduduk Ayodhya menyalakan diyas mereka sebagai cahaya untuk membimbing kedua-duanya kembali ke hutan dengan selamat. Selepas kembali dari perjalanan itu, Rama diangkat sebagai raja dan itu menyebabkan Diwali disambut sebagai mengenang peristiwa berkenaan.
  15. Mengikut kepercayaan Hindu, ada kisah di sebalik tradisi berjudi pada hari berkenaan. Ini kerana menurut legenda, Dewi Parvati bermain dadu dengan suaminya Dewa Shiva pada hari berkenaan. Ini yang menyebabkan Dewi Parvati mengisytiharkan sesiapa yang berjudi pada Hari Deepavali akan mendapat kemakmuran sepanjang tahun.

SUMBER

Waqaf Saham

  1. Purple Trail. Diwali Cards, Facts, and Trivia. https://partyideas.purpletrail.com/what-is-diwali-diwali-facts-and-trivia/
  2. TheFactFile.org. (2018). 27 Interesting Facts About Diwali. http://thefactfile.org/diwali-facts/

Previous articleV For Vendetta
Next articleDua Maharaja Teragung Dinasti Qing
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE