Inemuri – Budaya Tidur Sebentar Jepun

208

Kita selalu dengar mitos orang yang tertidur di tempat kerja ialah pemalas, tidak menyumbang apa-apa kepada produktiviti dan memalukan diri sendiri. Tetapi di Jepun, selagi mana pekerja fokus pada tugas terutama semasa mesyuarat dan berusaha untuk berjaga tetapi akhirnya terlelap, ia tidak dianggap satu masalah pun. Ini kerana syarikat-syarikat melihat pekerja-pekerja yang terlelap ini keletihan semasa bekerja. Dan Jepun ada satu perkataan khas bagi tidur di tempat kerja ini iaitu inemuri.

Inemuri bermaksud tidur dalam keadaan jaga. Ya, siapa yang baca mungkin menggaru kepala sekarang. Maksudnya di sini ialah seseorang itu terlelap di hadapan ramai orang semasa melakukan tugasan termasuk berada dalam mesyuarat atau mendengar syarahan guru. Situasi ini tidak terpakai kepada pekerja sahaja kerana ia meliputi hampir semua dari pelajar hingga kakitangan keselamatan.

Tidak seperti di sesetengah negara yang memandang tidur sebegini sebagai memalukan, orang Jepun melihatnya sebagai kesan akibat bekerja terlalu gigih dan melihat ia sebagai satu ruang sementara untuk orang berehat seketika sebelum kembali meneruskan tugasan masing-masing.

Tetapi jangan pula gunakan inemuri sebagai alasan untuk mencari tempat duduk tersembunyi, sejuk dan selesa atau membetulkan postur badan semata-mata untuk melelapkan mata. Itu memang tidur dengan sengaja dan berpotensi menimbulkan kemarahan majikan. Inemuri terpakai mengikut beberapa peraturan iaitu umur dan berusaha berjaga semasa bekerja.

Dari segi umur, pekerja yang muda dan bertenaga tidak seharusnya terlelap kerana dianggap nadi pergerakan syarikat dan jika itu berlaku, boleh menjejaskan kedudukan mereka dalam syarikat. Tetapi perkara berkenaan tidak terpakai kepada pekerja yang berumur terutama yang berusia 40-an dan 50-an dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Menurut ahli sosiologi Brigitte Steger dari Universiti Cambridge, kelompok ini dibenarkan terlelap kerana status kedudukan mereka yang tinggi dalam syarikat dan masyarakat.

Kedua, inemuri hanya dibenarkan sekiranya pekerja memang berusaha untuk berjaga tetapi akhirnya terlelap. Steger berkata, “Anda perlu menunjukkan bahawa anda berusaha untuk kekal berjaga dan aktif seperti dalam mesyuarat. Anda tidak boleh tidur di bawah meja atau tempat terlindung.

Anda perlu kekal di tempat anda, duduk dan cuba mendengar dengan teliti sambil meletakkan kepala di atas meja.” Jika anda tahu tempat sesuai untuk melakukannya, inemuri boleh saja berlaku antara lima minit hingga sejam bergantung kepada tempoh tidur yang diperlukan. Jika ada yang bercakap atau bertanya, bangun dan bagi maklum balas terhadap pertanyaan rakan/majikan semasa bekerja.

Inemuri dilakukan oleh lelaki atau wanita tetapi jika mengikut uruf mereka, wanita tidak digalakkan tidur sebentar semasa bekerja. Walaupun mengakui kelebihan inemuri dari segi kesihatan dan produktiviti, ia masih dilakukan secara rahsia. Ini didedahkan seorang wanita yang enggan dikenali semasa ditemubual akhbar Japan Times. Wanita itu bercerita:

“Saya dan rakan-rakan selalu terlelap selama lima minit. Saya merasa lebih baik selepas itu tetapi saya hanya melakukannya bila pengurus saya tiada. Saya pasti akan merasa malu sekiranya seseorang datang ke pejabat dan melihat saya tertidur!” Selain itu, faktor jenayah yang rendah juga membolehkan orang ramai terlelap sebentar di mana-mana termasuk tepi jalan dan bangku taman.

Fenomena terlelap di tempat kerja ini ada kaitan dengan statistik Jepun merupakan negara di mana penduduknya kurang tidur tertinggi di dunia atau kedua tertinggi di dunia selepas Korea Selatan bergantung kepada kertas kajian mana yang anda rujuk. Tetapi fenomena tidur sebentar ini bersifat universal dan ia memberi manfaat yang berguna kepada pelakunya. Antara faedah tidur sebentar/inemuri ini ialah:

1. Tidur sebentar selama 30 minit boleh meningkatkan lagi produktiviti, kepekaan dengan persekitaran dan masa reaksi terhadap persekitaran. Satu kajian Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan juruterbang yang tidur sebentar selama 25 minit setiap hari dilihat menunjukkan prestasi penerbangan dan kepekaan yang lebih baik semasa menerbangkan pesawat.

2. Tidur sebentar sahaja dapat meningkatkan kemampuan memori dan pembelajaran. Tanpa mengira umur, tidur sebentar antara enam hingga 10 minit boleh memberi suntikan tambahan kepekaan, mempromosikan kewaspadaan dan meningkatkan kemampuan pembelajaran. Dan jika anda tidur sebentar lebih dari 30 minit, ia sebenarnya boleh menambah umur anda (syaratnya tetapkan penggera untuk mengelak terlajak tidur dan disiram majikan).

3. Jika anda suka tidur sebentar terutama waktu tengah hari, berita baik bagi anda. Tidur sebegini membantu mengurangkan tekanan darah dan sekaligus mengurangkan kerosakan dari tekanan darah tinggi terhadap arteri dan jantung. Keputusan ini didedahkan dalam satu kajian yang dibuat pakar kardiologi Dr Manolis Kallistrato.

4. Bagi yang suka tidur lewat malam akibat menonton perlawanan bola sepak, melayari laman media sosial atau bermain permainan video/komputer, sedikit nasihat: cuba tidur awal. Ini kerana kekurangan tidur boleh merosakkan sel-sel badan terutama sel paru-paru, hati dan usus kecil. Tetapi sedikit masa yang diperuntukkan untuk tidur sebentar boleh membantu badan pulih secara psikologi tetapi juga membantu badan merawat sel-sel yang terjejas.

5. Bagi yang berhasrat untuk kurus atau mendapatkan badan seperti ahli bina badan, nasihat yang sama: tidur awal. Ini kerana jangka waktu tidur kita mempengaruhi bilangan hormon testosteron dalam badan. Testosteron amat penting bukan saja untuk membakar lemak tetapi juga untuk membina otot badan. Contoh jika anda tidur empat jam sehari, kadar testosteron anda 60% sedikit berbanding orang yang tidur lapan jam sehari.

6. Selain mengurangkan tekanan darah, tidur sebentar juga sebenarnya mengurangkan tekanan stres dan meningkatkan sistem imunisasi badan. Satu kajian yang dibuat  Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism mendedahkan tidur sekejap selama 30 minit boleh menterbalikkan kesan hormon kepada badan sekiranya susah tidur malam atau tidur lewat malam.

Bila individu itu tidur selama 30 minit, ia akan memulihkan penanda neuroendokrin dan tahap imunisasi kembali ke tahap normal. Keadaan ini berlaku berikutan perubahan kepada tahan norepinefrin dalam badan. Sekiranya seseorang itu mengalami masalah kekurangan tidur, kadar norepinefrin meningkat sebanyak dua kali ganda. Sebaliknya, individu yang tidur sebentar tidak mengalami perubahan tahap norepinefrin walaupun mengalami masalah kekurangan tidur.

7. Tidur sebentar bukan saja menambahbaik kesihatan kognitif dan mental tetapi juga mengurangkan perasaan kecewa dan keliru seseorang itu.

Bukan sekali dua orang luar cuba mengubah persepsi negatif terhadap inemuri/tidur sebentar ini tetapi tidak berhasil. Tidak percaya? Sebuah bandar bernama Vechta di utara Jerman dikenali satu masa dahulu kerana membenarkan kakitangan awamnya tidur sebentar di siang hari dengan keputusan yang baik. Tetapi langkah Vechta ini masih dibayangi mitos tidur sebentar merupakan tanda kemalasan melampau dan memalukan si pelakunya.

Namun, itu tidak menghalang syarikat-syarikat seperti Apple, Google dan Nike menyediakan tempat tidur khas bagi kakitangan dan pekerja mereka tidur sebentar sebelum kembali bekerja. Dan dengan kemudahan di lapangan terbang, stesen keretapi/bas dan pejabat yang selesa, ia sebenarnya menggalakkan ramai orang melelapkan mata barang seketika sebelum meneruskan perjalanan, bekerja atau belajar.

Namun hari ini, budaya inemuri diancam oleh satu objek yang menjadi kegilaan ramai: telefon pintar. Di Jepun, inemuri dilihat dapat mewujudkan satu ruang privasi di mana si pelaku tidak diganggu oleh sesiapa pun. Tetapi hari ini, privasi boleh dicapai dengan telefon pintar. Malah negara-negara yang dikenali dengan budaya tidur sebentarnya seperti Sepanyol dan Perancis menyaksikan ia semakin merosot atas pelbagai faktor seperti kegilaan terhadap kopi dan waktu rehat yang terlalu panjang.

Di Eropah, waktu rehat sebegini bukan saja memanjangkan waktu bekerja  tetapi juga menyebabkan masa pekerja bersama keluarga mereka terhad. Satu-satunya negara yang dilihat mempunyai budaya sama seperti inemuri tetapi masih bertahan sehingga hari ini ialah China. Di China, budaya tidur sebentar atau wu shuy semasa waktu rehat dianggap satu institusi kebangsaan dan dianggap bukan satu kesalahan dalam masyarakat China. Malah, hak untuk tidur sebentar ini dijamin dalam perlembagaan negara mereka.  

Tatkala negara-negara melihat inemuri bukanlah satu perkara yang buruk untuk produktiviti pekerja, Jepun pula berusaha menambahbaik inemuri berdasarkan falsafah kaizen mereka. Syarikat-syarikat dari gergasi sektor hinggalah syarikat baru memandang berat kepentingan inemuri sehinggakan sanggup menyediakan satu bilik khas untuk mereka tidur. Mitsubishi Estate misalnya bekerjasama dengan firma Neurospace untuk program inemuri mereka untuk mengkaji kesannya dan mendapati ia boleh meningkatkan fokus kepada pekerjaan dan meningkatkan motivasi mereka secara keseluruhan.

Malah, peraturan pekerjaan Jepun menjadikan tidur sebentar selama 30 minit merupakan hak pekerja. Selain menambahbaik pengalaman inemuri, ada juga yang mengkaji corak tidur malam pekerja mereka dengan harapan dapat membantu mereka mendapatkan tidur yang berkualiti sekaligus menambahbaik produktiviti mereka.

Perunding tidur Nao Tomono berkata semasa satu seminar pada September 2018, “Insomnia bertambah buruk seiring dengan kewujudan telefon pintar. Sudah wujud keperluan untuk mengkaji semula tidur kerana masalah kekurangan tidur menjejaskan keupayaan pekerja bekerja secara efisien dari segi fizikal dan mental. Dan jika perkara ini dibiarkan begitu saja, ia boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.”

Jadi jika anda hendak tidur sebentar, tidurlah barang lima minit atau paling lama setengah jam. Hatta agama Islam sendiri menggalakkan tidur sebentar yang dipanggil qailulah yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w dan para salafus soleh bagi membantu mereka berjaga dan beribadat pada pertengahan malam. Cuma, janganlah sampai ke tahap berlebih-lebihan sehingga menjadi malas. Yang itu memang minta simbahan air baldi dan seranah yang berpanjangan dari bos anda!

SUMBER

1. Rousseau, Bryant. (2016). Napping in Public? In Japan, That’s a Sign of Diligence. New York Times. https://www.nytimes.com/2016/12/16/world/what-in-the-world/japan-inemuri-public-sleeping.html

2. Kyodo. (2018). Need a nap at work? Some Japanese firms say that’s no problem and even have ‘strategic sleeping rooms’. South China Morning Post. https://www.scmp.com/news/asia/east-asia/article/2174263/strategic-sleeping-rooms-japanese-companies-are-urging-staff

3. Benedictus, Leo. (2015). The art of the urban nap: let’s lose the stigma of public snoozing. The Guardian. https://www.theguardian.com/cities/2015/jul/07/urban-nap-stigma-snoozing-stay-awake-work

4. Hollingworth, William. (2015). U.K. warms to idea of Japanese-style office naps. Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2015/06/18/national/u-k-warms-idea-japanese-style-office-naps/#.XKXaTlBfh1t

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.