Indonesia Puji Kempen #BMBF

4,004

Terlalu awal untuk mengatakan bahawa #BMBF telah menjadi sebuah revolusi. Perjalanan masih lagi jauh. Namun impak kempen ini semakin jelas untuk dikaji. Beberapa barangan didapati telah turun harga. Sekalipun jika bukan faktor utama, tidak boleh dinafikan bahawa #BMBF merupakan penyejuk hati dalam landskap sosioekonomi yang harga barang jarang turun. Semua pihak boleh menikmati hasil usaha kecil ini. Disebabkan itu, #BMBF perlu diteruskan kerana usaha ini tidak susah pun.

Dalam kalangan penentang, wujud gelak ketawa yang memperlekehkan kempen #BMBF.  Sejarah telah membuktikan penentangan sebegini sangatlah sia-sia. Apabila beberapa kumpulan kecil yang tiada hubungan pun bersatu atas satu tujuan, sebuah perubahan besar bakal berlaku. Dalam Malaysia sendiri, situasi tersebut pernah berlaku iaitu pada tanggal 5 Mei 2018.

#BMBF hanyalah nyalaan api kepada minyak yang telah lama tumpah. Jika dilihat dalam negara-negara lain, kempen-kempen mereka lebih dahsyat.  Mungkin terdapat kerajaan yang meremehkan kematian Mohamed Bouazizi dalam sejarah Kebangkitan Dunia Arab. Bukan itu sahaja – kempen hak mengundi wanita dan revolusi warna turut mempunyai Boazizinya sendiri. Banyak kempen bermula dengan usaha skop kecil sahaja sebelum berkembang secara besar-besaran. Dilihat #BMBF pun semakin mendapat perhatian luar negara, bermula dengan menjadi sebutan dalam blogosfera Indonesia.

Walaupun media Indonesia salah petik kempen ini sebagai amalan boikot terhadap bukan Islam, majoriti besar memberikan reaksi bahawa Indonesia perlu mempraktikkan sokongan kepada produk-produk Islam. Jika perkara ini berterusan. “entrepreneurial empowerment” boleh menyertai senarai panjang gerakan sosial yang menggegarkan dunia. Suatu masa dahulu, penentangan yang kecil terhadap penindasan kerajaan telah menyebarkan semangat kebebasan di seluruh dunia.

Sahutan kempen yang popular merupakan perkara biasa. Salah satu kempen yang boleh dikaitkan sebagai contoh ialah Gerakan Slow Food. Kempen ini bermula di Itali pada tahun 1986 sebagai langkah menentang pembukaan McDonald di Spanish Steps, Rom. Dalam masa tiga tahun, semangat kempen ini keluar dari Itali untuk bertapak sebagai pertubuhan sah di 15 negara. Slow Food mengumumkan manifestonya di Paris untuk mengutamakan makanan tempatan dan persediaan tradisional dan menentang makanan segera dan pengeluaran makanan industri.

Saban tahun, Pertubuhan Slow Food mempunyai 100,000 ahli di 150 negara. Setiap kawasan bagaikan kariah yang mana ketuanya bertanggungjawab untuk mempromosikan keutamaan tempatan seperti makanan dan seni. Pada tahun 2004 pula, Slow Food membuka Universiti Sains Gastronomi di Pllenzo, Piedmont, Colorno (sudah tutup) dan Emilia-Romagna. Tujuan mereka adalah untuk menggalakkan kesedaran tentang makanan bernutrisi.

#BMBF merupakan sebuah kempen yang hampir serupa dengan Slow Food. Kedua-dua kempen ini dikecam secara sosioekonomi. Misal kata kempen produk Islam disokong rapat, pekerja-pekerja di syarikat pengeluaran bukan Islam akan menerima implikasi. Dalam kalangan pekerja ini juga adanya orang Islam, yang bakal kehilangan kerja. Slow Food turut dikecam kerana menyusahkan orang yang bekerja. Ketiadaan restoran makanan segera dikatakan memaksa golongan pekerja berdepan dengan dapur dalam keadaan keletihan. Hakikatnya, kedua-dua aspek ini sebenarnya jauh panggang dari api kerana tidak berkait dengan matlamat asal.

Seperti yang ditulis dalam artikel lepas, sokongan kental kepada #BMBF membuka peluang pekerjaan, mengurangkan impak terhadap persekitaran, mencetuskan inovasi dan banyak lagi:

https://www.thepatriots.asia/kehebatan-bmbf-yang-tidak-disedari-ramai/

Manfaat-manfaat besar sebegini lebih menguntungkan berbanding isu pekerja yang hanya persepsi. Benar kekurangan jualan dalam sebuah syarikat boleh menyebabkan “downsizing” yang tidak pelik menipiskan tenaga buruh Islam. Sekalipun perkara tersebut berlaku, pekerja-pekerja ini masih boleh mencari nafkah di tempat lain. Solusinya ada, walaupun tidak baik kerana melibatkan pemberhentian kerja. Tetapi sepertimana Slow Food tidak pun merosakkan hasil jualan restoran-restoran makanan segera, paranoia yang sedang dijaja mudah kata tidak langsung berasas.

Penguasaan carta ekonomi terutamanya bagi umat Islam bakal menyusunkan semula landskap kekayaan kepada orang Islam. Bagi yang tidak kaya sekalipun, kutipan besar di Lembaga Zakat boleh membantu ramai. Maka konsistensi ialah apa yang #BMBF perlukan untuk melangkah jauh ke persada dunia. Melihat bagaimana minyak masak Saji direbutkan, senang kata banyak kejutan lagi bakal menanti.

Semoga imbangan konsumerisme berpihak kepada #BMBF.

RUJUKAN:


About Slow Food’s History – https://www.slowfood.com/about-us/our-history/

How Protests Become Successful Social Movements –https://hbr.org/2017/01/how-protests-become-successful-social-movements

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.