Moving Forward As One

Indonesia Mungkin Menjadi Ekonomi Kelima Terbesar Dunia

1,809

PayLater by Grab

Indonesia mendapat perhatian global pada ketika George W. Bush baru mula berkuasa. Banyak persepsi ditaburkan, apatah lagi spekulasi tentang hala tuju negara tersebut dibawah kepimpinan pasca-Suharto.

Beberapa pakar geopolitik membuat andaian, yang banyak wilayah akan mengikut Timor-Leste keluar daripada Indonesia (Emmerson, 2000). Ekonominya pula menjadi tanda tanya. Kebangkitan China turut disentuh, kerana mungkin Indonesia boleh menjadi penghalang. 20 tahun kemudian, lain pula jadinya.

Joko Widodo bukanlah seorang pemimpin serba sempurna. Tetapi beliau tahu yang Indonesia sangat ketinggalan dalam banyak perkara. Pertama sekali, Indonesia mempunyai populasi sebanyak 270 juta orang.

Seperti biasa majoriti tertumpu dalam kawasan bandar raya. Setiap hari mereka menghadapi perjalanan yang serba sukar, kerana jalan raya bermasalah atau tidak diturap. Kadang mereka tidak mampu bergerak ke mana-mana pun.

Situasi ini membuka mata bahawa pembangunan saja tidak penting. Indonesia mesti memantapkan hubungan antara pembangunan yang dibuat.

Inilah agenda kerajaan Jokowi sejak tahun 2015.

Cita-cita besar memerlukan jiwa yang besar.

Beliau menghidupkan sektor kesihatan dan pendidikan, sambil menekankan kepentingan infrastruktur (Bisara & Azhari, 2014). Sebanyak AS$22 bilion dibelanja pada tahun 2016 untuk membangunkan infrastruktur perhubungan, paling besar dalam sejarah Indonesia (Amindoni, 2016).

Rakyat Indonesia amat marah apabila beliau mengurangkan subsidi minyak. Tetapi ini saja cara yang ada, kerana Jokowi mempunyai 265 projek infrastruktur untuk dibangunkan (Salna, 2018).

Azam Jokowi menarik perhatian China dan Jepun. Kedua-dua negara ini cuba membida untuk dapat projek. Projek kereta api laju (HSR) diberikan kepada China pada tahun 2015.

Selain HSR, Jokowi juga sedang menjalankan tiga lebuh raya bertol yang mencecah 4,000 kilometer. Program “Jalan Laut Bertol” menjadi topik kajian dalam kalangan pihak akademi.

Mereka mengambil tahu tentang konsep dan manfaat daripada program ini, yang senang kata membangunkan beberapa pelabuhan untuk merapatkan jurang ekonomi. Jokowi juga tidak lupa tentang jalan raya luar bandar – begitu juga dengan bekalan air (Rakhmat & Tarahita, 2018).

Walau bagaimanapun, Jokowi mempunyai satu masalah. Kerajaannya tidak mampu membiayai semua program ini, yang memerlukan perbelanjaan AS$327 bilion (Bloomberg, 2018).

Jangkaan ini pula dibuat kerajaan. Jadi seperti yang boleh dibayangkan, kosnya mesti akan melambung lebih tinggi. Namun Jokowi tidak perlu siap semua pun. Kegigihannya sudahpun membuahkan hasil, kerana ekonomi Indonesia ditarafkan dengan gred “selamat” untuk pelabur. Ini yang harus ditekankan.

Baki Tiga Tahun

Jokowi memenangi dua pilihan raya dengan semangat “Indonesia Maju”. Sejak tahun 2015, ekonomi Indonesia berkembang 5 peratus setahun.

Bermakna beliau telah menghasilkan AS$250 bilion sepenggal. Indonesia menguncup -3.49 peratus kerana COVID-19, satu pencapaian yang baik kalau dibandingkan negara-negara lain.

Vaksin akan membebaskan dunia daripada COVID-19.

Kerana kerajaan Indonesia sedang mengusahakan pelan pemulihan yang berpotensi mengembalikan trend pertumbuhan (Sihombing & Jiao, 2021).

Namun keadaan sekarang tidak begitu penting. Pembangunan infrastruktur takkan menunjukkan kesan dalam masa satu dua penggal. Sekalipun Indonesia paling terakhir bebas COVID-19, ini hanya menangguhkan realiti yang menanti: perkembangan pesat. Amerika Syarikat misalnya menghadapi satu kepincangan.

Pentadbiran George W. Bush terlalu selesa dengan kedudukan ekonomi, hingga membazirkan bertrilion untuk dua peper.angan yang rugi dan sia-sia. Pentadbiran lapan tahun Bush membuatkan Amerika Syarikat ketinggalan dalam hal infrastruktur.

Semua gambar di atas berlaku di Amerika Syarikat.

Sebab itulah kerajaan Joe Biden melaksanakan rancangan AS$2 trilion untuk memulihkan infrastruktur “20,000 miles of roads and 10,000 bridges” [1] (Tankersley, 2021).

Senang kata, ini memang zaman penambahbaikkan infrastruktur. Kerana infrastruktur ialah tulang belakang sebuah ekonomi yang mapan (Puentes, 2015).

Kedua-dua Joe (Biden & Widodo) tahu yang “infrastruktur membuka laluan ekonomi yang mengukuhkan keupayaan fiskal sambil meningkatkan taraf hidup demografi pada ketika memelihara alam sekitar.”

Jalan raya menghubungkan isi rumah dan boleh menurunkan harga barangan (atau sekurang-kurangnya mengekalkan harga pada ketika inflasi meningkat). Kerana barangan boleh bebas bergerak tanpa perlu menghadapi kesukaran (sesuatu yang susah akan mempengaruhi harga upah).

Amat wajar jika Jepun dijadikan contoh untuk membuktikan hujah ini. Selepas tewas pada tangan Amerika Syarikat pada tahun 1945, kerajaan Jepun menumpukan perhatian pada infrastruktur. Mereka menumpahkan keringat untuk kehidupan rakyat pula, tanpa mempedulikan aspirasi imperialisme (kerana dihalang Amerika Syarikat).

Selepas membangunkan landasan kereta api Shinkansen (yang hari ini sudah menjadi kebiasaan), Jepun berjaya membangunkan semula ekonomi negara dan dijemput masuk dalam Group of Seven (terdiri daripada negara-negara paling besar dunia).

Persoalannya, jika Indonesia berjaya mengikuti haluan Jepun, apakah satu hari presidennya akan bersidang dalam Group of Seven juga (yang mungkin menjadi Group of Eight)? Mungkin. Jokowi mempunyai baki tiga tahun sahaja untuk menjayakan programnya. Beliau perlu berundur kemudian, melainkan jika perlembagaan digubal. Pada waktu itu, rakyat Indonesia perlu memilih pemimpin baru. Bermakna hanya Indonesia sahaja boleh menghalang Indonesia.

NOTA KAKI:

[1] 32,187 kilometer (20,000 batu) jalan raya dan 10,000 jambatan.

RUJUKAN:

Amindoni, A (2016, Mac 23). Jokowi policy attracts infrastructure-based mutual funds. The Jakarta Post.

Bisara, D., & Azhari, M. (2014, November 18). Jokowi eyes infrastructure focus with fuel subsidy cut. Jakarta Globe.

Bloomberg. (2018, Januari 27). Jokowi chasing $196b to fund 5-year infrastructure plan. The Straits Times.

Emmerson, D.K. (2000). Will Indonesia survive? Foreign Affairs. 79 (3): 95-106.

Rakhmat, M.Z., & Tarahita, D. (2018, Mac 21). Indonesia tries rural development. Asia Sentinel.

Puentes, R. (2015, Januari 20). Why infrastructure matters: rotten roads, bum economy. Brookings.

Salna, K. (2018, Januari 26). Indonesia needs $157 Billion for Infrastructure Plan. Bloomberg.

Sihombing, G., & Jiao, C. (2021, Mei 5). Indonesia aims for V-shaped recovery after disappointing GDP. Bloomberg.

Tankersley, J. (2021, Mac 31). Biden details $2 trillion plan to rebuild infrastructure and reshape the economy. The New York Times.

Ruangan komen telah ditutup.