Individu Pertama Yang Menulis Riwayat Hidup P. Ramlee

0
390
views

Terdapat lebih daripada 10 buah buku yang menceritakan tentang keperibadian tokoh filem Melayu yang agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee diterbitkan. Terbaru, pihak Matin Energy Sdn. Bhd. telah menerbitkan sebuah buku karangan Allahyarham Datuk Aziz Sattar tentang pengalaman peribadinya bersama P. Ramlee yang berjudul “P. Ramlee Di Mana Kan Kucari Ganti”.

Tujuan asal Abdullah Hussain menulis kisah P. Ramlee adalah untuk dimuatkan di dalam majalah Bintang yang dipimpin oleh P. Ramlee. Majalah Bintang diterbitkan secara bulanan dan setiap kisah yang ditulis akan bersambung dari satu bulan ke bulan yang seterusnya. Tulisan Abdullah Hussain yang pertama mengenai kisah hidup P. Ramlee telah disiarkan dalam majalah Bintang bilangan ke-7 yang diterbitkan pada 15 Jun 1953.

Kebiasaannya, selepas Abdullah Hussain menulis artikel tentang karier dan kehidupan peribadi P. Ramlee, beliau akan meminta pengesahan kisah itu terlebih dahulu dengan sahabatnya itu. Setelah P. Ramlee menyemak setiap artikel itu dan mengesahkannya, barulah Abdullah Hussain akan meletakkan artikel tersebut di dalam majalah Bintang. Dalam erti kata yang lain, setiap apa yang ditulis oleh Abdullah Hussain itu adalah fakta yang tepat dan kisah yang sebenarnya berlaku pada P. Ramlee.

Ketika ditanya bagaimanakah beliau mula tergerak untuk menulis tentang P. Ramlee, Abdullah Hussain berkata bahawa beliau telah diminta oleh rakan-rakannya untuk menulis serba sedikit tentang P. Ramlee. Pada waktu itu nama P. Ramlee sebagai seniman sedang berada di puncak dan ramai peminat ingin mengetahui kisah di belakang tabir bintang pujaan mereka.

Pada mulanya Abdullah Hussain agak keberatan untuk menerima tugas tersebut kerana beliau merasa agak lucu dan kekok untuk menemubual P. Ramlee, bertanyakan itu dan ini untuk menjadi bahan tulisannya kerana mereka berdua setiap hari bertemu serta bergurau. Abdullah Hussain tetap menjalankan tugasnya walaupun sesi soal jawabnya dengan P. Ramlee seringkali diakhiri dengan cerita lain kerana P. Ramlee selalu bercerita tentang hal-hal yang tidak ada kaitan dengan hidupnya.

Pada tahun 1958, Abdullah Hussain telah diambil bekerja sebagai pengurus syarikat Penerbitan P. Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem. Sebelum itu, jawatan tersebut dipegang oleh Rahman B (Rawan Hiba) namun beliau meletakkan jawatan setelah beberapa bulan di sana.

Abdullah Hussain bertugas dengan Penerbitan P. Ramlee selama dua tahun sebelum meletakkan jawatan kerana mendapat tawaran bekerja di Oxford University Press di Kuala Lumpur. Dengan rasa berat hati P. Ramlee terpaksa merestui pemergian sahabatnya itu. Satu majlis perpisahan telah diadakan sebelum Abdullah Hussain berangkat ke Kuala Lumpur. Beliau meletakkan jawatan sebagai pengurus di Penerbitan P. Ramlee secara rasmi pada 31 Disember 1960.

Pada tahun 1965, pihak Penerbitan Angkatan Baru telah menerbitkan sebuah buku biografi P. Ramlee bertajuk “Gagak Di-Rimba” karya Abdullah Hussain. Gagak Di-Rimba adalah himpunan artikel yang ditulis oleh beliau semasa bertugas di majalah Bintang dahulu. Buku Gagak Di-Rimba itu kemudiannya dikemaskini dan diterbitkan semula oleh Penerbit Utusan Melayu pada 1973 dengan judul “Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee”.

Terima kasih Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain di atas sumbanganmu!

Sumber:

  • Sebuah Perjalanan oleh Abdullah Hussain
  • Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee oleh Abdullah Hussain
  • Ramlee: Legenda Yang Terus Hidup oleh Aimi Jarr
  • Ramlee Erti Yang Sakti oleh Ahmad Sarji
  • Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik