Moving Forward As One

India Dan Pakistan: Hindustan Yang Terbelah

888

PayLater by Grab

22 November 2017, Perbatasan Attari-Wagah

Ribuan orang India bersorak di depan pintu gerbang Pakistan. Para tentera berseragam, pelajar sekolah, perempuan bersari, lelaki berjaket, para penari, pelancong berkamera, dan kumpulan pancaragam. Genderang dipukul bertalu-talu. Kemeriahan muzik pop Bollywood yang didendangkan diiring bersama gemuruh jiwa pemuda pemudi India melaungkan kata-kata “India Zindabad! Hindustan Zindabad! Hidup India! Hidup Hindustan!”

Aku berada di perbatasan India – Pakistan. Sempadan dua negara ini terletak tepat di antara Amritsar dan Lahore. Dulu, sebelum negara Hindustan dipisah, Amritsar dan Lahore adalah dua kota penting di negeri Punjab. Jutaan orang melintas setiap hari baik penganut Hindu, Sikh, mahupun Muslim. Kemudian setelah dipisah, berdirilah sebuah negara Pakistan di atas seruan Muhammad Ali Jinnah – Bapa Kemerdekaan Pakistan yang berkata:

“Hindu dan Muslim adalah dua agama, falsafah, sosialisme, dan kesusasteraan yang berbeza. Jika disatukan keduanya ke dalam negara yang sama, yang satu akan menjadi minoriti dan satu lagi menjadi majoriti, dan ia akan membawa kepada penentangan dan kehancuran.”

Maka tanggal 15 Ogos 1947, lahirlah Pakistan ke muka bumi. Kelahiran bersejarah ini dirayakan penuh sorak sorai gembira sebagai kemenangan umat Muslim di British India. Walaubagaimanapun, Pakistan merdeka dari Hindustan sebelum sempadan negaranya digaris jelas.

Wilayah-wilayah di sebelah barat, seperti Baluchistan dan Sindh yang majoritinya Muslim, tentunya akan masuk ke dalam Pakistan. Tetapi nasib wilayah Punjab dan Benggal, di mana Muslim dan Hindu yang sama rata jumlahnya, masih samar dan belum diketahui. Itu belum lagi Kashmir yang majoritinya Muslim tetapi dipimpin maharaja Hindu. Semua inilah yang menjadi benih permulaan tragedi pertumpahan darah dalam sejarah singkat Pakistan.

Sir Cyril Radcliffe dari pemerintahan kolonial Inggeris adalah individu yang bertanggungjawab mengukir nasib kedua-dua negara ini. Punjab dan Benggal digaris sempadankan oleh tangan beliau. Lalu Punjab di Barat dan Benggali di Timur diisytihar menjadi milik Pakistan, dan sisa tanah besar Hindustan pula menjadi India. Namun begitu garisan yang membelah umat Muslim dan Hindu masih juga samar. Di sisi Pakistan ada puluhan juta penganut Hindu, manakala di sisi India dihuni ratusan juta Muslim.

Lalu apa yang terjadi selepas itu adalah proses migrasi manusia terbesar dalam sejarah dunia. Umat Muslim yang memimpikan tanah suci berbondong-bondong berhijrah ke Pakistan. Manakala umat Hindu dan Sikh yang tidak mahu menjadi minoriti di negara Muslim berarak menuju ke arah India. Lebih daripada empat belas juta manusia berpindah untuk mencapai tanah impian. Ada yang berjalan kaki, ada yang menaiki kereta kuda, keldai, bas, dan tak kurang juga keretapi. Malah golongan tua yang sudah tidak kuat lagi untuk berjalan didukung dan diusung oleh anak dan kaum keluarganya.

Namun fantasi tidak seindah realiti. Ternyata bukan semua manusia itu bertuah meraih mimpi. Pakistan dan India berdiri di atas darah dan nyawa jutaan manusia. Kenderaan yang sarat berisi umat Hindu dan Sikh yang mahu meninggalkan Pakistan ditahan di jalanan dan penumpangnya dibantai. Umat Muslim yang meninggalkan India juga menjadi korban keganasan kaum nasionalis. Kira-kira sejuta orang telah menjadi korban dalam peristiwa berdarah ini.

Ideologi ini mengatakan islam satu-satunya identiti bagi Muslim. Mereka fikir jika negara hanya berpenduduk Muslim, semua masalah bakal selesai. Tapi itu hanyalah fiksi. Islam bahkan tidak cukup kuat mempertahankan Pakistan Timur dan Pakistan Barat yang terpisah sejauh 1700 kilometer, bersama tanah besar India yang berada di antara keduanya. Berpisah dengan India tidak menjadikan Muslim di Pakistan Timur menjadi manusia setara. Mereka tetap menjadi warga kelas dua, di bawah lima puluh lima juta penduduk yang menghuni Pakistan Barat. Fizikal, bahasa, budaya, dan sejarah mereka semuanya berbeza; hanya iman yang sama.

Ali Jinnah menetapkan bahasa Urdu yang dituturkan oleh penduduk Pakistan Barat sebagai bahasa kebangsaan. Namun penduduk di Pakistan Timur enggan patuh taat. Lalu beliau melabel para pejuang Pakistan Timur yang mempertahankan bahasa Benggali sebagai pengkhianat bangsa. Maka sekali lagi tragedi pertumpahan darah berlaku. Kali ini sesama Pakistan, sesama Muslim. Dianggarkan 300 ribu hingga tiga juta orang terkorban dalam perang ini. Hinggalah pada tahun 1971, akhirnya Pakistan Timur merdeka, memisahkan diri dengan Pakistan Barat. Dan lahirlah sebuah lagi negara yang baru bernama Bangladesh.

Berdiri di perbatasan ini, aku baru tahu bahawa garis pemisah yang dilukis Radcliffe untuk memisahkan sempadan Punjab dan Lahore adalah tepat di sini. Di sisi India disebut Attari, di sisi Pakistan pula disebut Wagah. Sejak lahirnya negara Pakistan, yang ada di tanah besar ini hanyalah kebencian kepada negara seberang.

“Chalo Pakistan!” Secara harfiahnya bermaksud “ayuh ke Pakistan!” Tetapi awas, jangan sesuka hati mengucapkan kata itu di sini. Majoriti rakyat India memendam benci dan rasa jijik yang mendalam terhadap negara itu. Mendengar namanya saja boleh membuat darah mereka naik. Membandingkan mereka dengan orang Pakistan atau menyuruh mereka pergi ke negara itu adalah ibarat sebuah penghinaan yang besar.
Aku jadi teringat semasa di Rajasthan, aku pernah berborak dengan Mannu, seorang pelajar kolej jurusan pelancongan berkasta Rajput yang berasal dari Kasol. Orangnya terpelajar, berwajah tampan, komunikasinya petah. Namun apabila aku memberitahu tentang impian ke Pakistan, raut mukanya terus berubah sinis.

“Jangan ke sana! Mereka itu orang paling berbahaya di dunia!”

Lalu dia terus mengumpat dan menista ‘manusia kelas bawahan’ yang hidup di negara Muslim itu sedang dia tidak tahu yang aku juga seorang Muslim. Namun demi sebuah damai dalam berbicara, aku hanya berdiam diri dan terus mendengarkan umpatannya. Pemuda dari Himachal Pradesh ini sama sekali belum pernah bertemu orang Pakistan, apatah lagi menjejakkan kaki di negara itu. Tapi kebenciannya terhadap negara itu berkobar-kobar, seperti musuh tradisi yang tak mungkin dimaafkan.

Kebencian itu pernah diterjemahkan pada tahun 2005 di Paharganj, New Delhi dengan satu ledakan bom. Mulai dari penarik beca, peniaga kedai, penjual teh, pengemis jalanan, orang awam, hingga ke ahli politik semuanya langsung menuding jari ke arah Pakistan. Siapakah yang menyemai rasa benci yang mendarah daging itu? Media? Guru sekolah? Pemerintah? Atau filem Bollywood yang selalu menggambarkan orang Pakistan sebagai sebuah negara antagonis yang cuma diisi para pengganas?

Lagu kebangsaan Jana Gana Mana dinyanyikan, membangkitkan semangat patriotisme ribuan orang yang berdiri di sini. Perbatasan Attari-Wagah adalah satu-satunya laluan keluar masuk bagi sempadan yang sepanjang 3000 kilometer bagi kedua-dua negara. Di siang hari tidak ramai orang yang melintasi sempadan ini kerana rumitnya kerenah birokrasi.

Namun begitu pada petang hari tempat ini berevolusi menjadi sebuah arena pertunjukan mega yang membangkitkan semangat nasionalisme. Upacara penurunan bendera dirayakan besar-besaran pada setiap hari. Tentera pengawal sempadan yang bermisai tebal berbaris rapi dengan langkah tegap menjengket dan tersusun, wajah yang bengis, pandangan mata yang tajam, serta gerakan tubuh yang gagah.

Di balik pagar seberang sana pula, tentera Pakistan seperti membayangi tentera India dengan melakukan gerakan yang sama. Setiap gerakan adalah sangat teratur, termasuk pusingan badan dan tolehan kepala, menjadi perpaduan yang aneh di antara aroma pertempuran dan sebuah pertunjukan. Bagaimana negara yang saling bermusuhan boleh bekerjasama untuk merancang sebuah acara tontonan dengan koreografi yang saksama dan simetri ini sangat menimbulkan keingintahuan.

Menjelang senja, bendera mula diturunkan perlahan-lahan. Kedua-dua bendera bergerak diagonal pada paras yang sama, sebab tak satu negara pun beserta rakyatnya yang rela kalau bendera mereka lebih rendah daripada bendera negara musuh. Proses penurunan bendera ini cuma mengambil masa kira-kira dua minit, tetapi keseluruhan acara ini berlangsung selama lebih daripada satu jam. Hingga pada akhirnya, mereka bertemu di pintu sempadan, menerima bendera masing-masing, bersalaman sesaat, berpaling, dan terus menutup pintu gerbang.

Ini merupakan satu pengalaman unik. Walaupun tubuh aku masih di India, namun Pakistan terasa begitu dekat sekali. Terlihat bendera hijau Pakistan dikibar megah di seberang pagar. Malah aku dapat melihat dengan jelas gambar besar sang pemimpin Ali Jinnah, tulisan Pakistan, dan kalimah Laillahaillallah. Aku mulai bermimpi untuk menuju tanah Pakistan satu hari nanti, dengan melintasi perbatasan ini.

Semarak senja menenggelamkan matahari dan sinarnya ketika aku kembali ke Amritsar dengan langkah santai sambil cuba menahan trak dan lori di jalan untuk melakukan hitchhike. Papan tanda besar yang tertulis “India, Negara Demokrasi Terbesar di Dunia Menyambut Anda” menyambut semua orang yang baru kembali dari pintu sempadan. Mungkin untuk mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang baru datang dari arah Pakistan tentang kontras negara Hindustan dan Republik Islam di seberang sana.

Artikel dikirimkan oleh Sharifuddin Lennon untuk The Patriots. 

Ruangan komen telah ditutup.