India Ialah Bom Jangka Covid-19

9,539

Semua sedia maklum dengan penularan Covid-19, banyak negara mengambil langkah pencegahan termasuk perintah berkurung. Salah satu daripadanya ialah India dengan tujuan mengekang pertambahan kes wabak Covid-19 di negara berkenaan. Tetapi siapa sangka, usaha perintah berkurung itu sebenarnya mendedahkan lagi India kepada bahaya wabak berkenaan.

Sebelum penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia, jutaan pekerja migran India menjadikan bandar-bandar besar negara itu sebagai tempat mencari rezeki dan peluang keluar dari belenggu kemiskinan. Ramai bekerja dalam banyak sektor dari pembinaan hinggalah automotif.

Bilangan mereka ini kadangkala boleh mencecah sehingga 100 juta orang. Dan bila tidak keluar mencari rezeki, mereka menjadikan kawasan perumahan setinggan yang sempit sebagai tempat tinggal.

Tetapi semua itu berubah apabila perintah berkurung dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi pada minggu lepas. Apabila ia berkuatkuasa, semua majikan dan kontraktor yang mengupah mereka menghilangkan diri (terpaksa duduk diam di rumah).

Perintah sebegini menjadikan migran-migran ini sebagai pelarian yang memaksa mereka kembali ke kampung halaman masing-masing. Mereka membawa bekalan tak seberapa berupa makanan, minuman dan pakaian serta dalam sesetengah kes, berjalan kaki kembali ke kampung halaman masing-masing.

Seorang migran melepaskan lelah seketika sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halamannya. Sumber: https://www.bbc.com/news/world-asia-india-52086274

Ramai didorong keazaman untuk pulang atas beberapa sebab iaitu akses kepada bekalan makanan dan dikelilingi oleh ahli-ahli keluarga yang mengenali dan menyayangi mereka. Dan itu sudah cukup memotivasikan mereka walaupun perlu bergelut dengan kelaparan dan keletihan.

Terdapat banyak kes memilukan berkenaan migran-migran ini. Misalnya pada minggu lepas, seorang lelaki berusia 39 tahun berjalan sejauh 300km dari New Delhi ke Madhya Pradesh mengadu sakit dada keletihan sebelum m4ti.

Dalam satu kes lain, seorang lelaki yang berusia 62 tahun pulang dari sebuah hospital di Gujarat dengan berjalan kaki sebelum menghembuskan nafas terakhir di luar rumahnya. Empat lagi migran yang dihalau dari sempadan negeri Gujarat semasa dalam perjalanan ke Rajasthan kemudiannya m4ti dilanggar lori di lebuh raya pada waktu malam.

Bercerita saja tidak mencukupi. Untuk melihat skala sebenar tragedi ini, boleh rujuk video yang disertakan:

Tragedi sebegini mengingatkan ramai kepada tindakan jutaan pelarian yang sanggup berjalan kaki ke timur dan barat Pakistan semasa pembentukan negara itu pada tahun 1947. Tetapi perlu diingat, ini bukan kali pertama migran tempatan berbuat demikian.

Setiap kali berlaku sesebuah krisis termasuk bencana alam atau penularan wabak, langkah pertama ialah keluar dengan segera dari sesebuah bandaraya yang dihuni. Ini dicatatkan oleh penulis Frank Snowden dalam bukunya 3pidemics and Society.

Flu Sepanyol mengakibatkan separuh dari populasi Bombay (Mumbai) meninggalkan bandar berkenaan kerana bimbang dijangkiti wabak penyakit itu.

Mumbai bukan sekali menyaksikan separuh daripada populasinya mengosongkan bandar itu bila dilanda krisis seperti wabak flu Sepanyol (1918), wabak penyakit (1994) atau banjir (2005). Dalam kes wabak flu Sepanyol, pendekatan British ialah mengenakan perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak di bandar itu.

Masalahnya, apa yang dihadapi British itu kini dihadapi juga oleh New Delhi dan Modi iaitu migran pulang ke kampung halaman sama ada berjalan kaki atau bersesak-sesak dalam bas. Kemudian, mereka akan berpindah ke rumah keluarga yang turut dihuni ahli-ahli keluarga berstatus warga emas.

Migran bersesak-sesak menaiki bas untuk pulang ke kampung. Sumber: https://www.businesstoday.in/current/economy-politics/coronavirus-live-update-covid-19-news-update-deaths-migrant-workers-delhi-maharashtra-modi-govt/story/399567.html?utm_source%3Dface

Tanpa mereka sedar, tindakan mereka bukannya mengurangkan penularan wabak tetapi menyemarakkan lagi penularan hingga ke tahap pandemik. Dan ramai bimbang bila migran-migran ini pulang, rumah-rumah ini dijangka akan menjadi titik panas penularan wabak.

Atas sebab itulah, kerajaan-kerajaan negeri India berusaha mengelak perkara tersebut berlaku dengan mengatur tempat tinggal, pengagihan makanan dan pengangkutan pulang. Malangnya dari segi pengangkutan, mereka terpaksa bersesak-sesak di stesen-stesen bas untuk pulang; satu lagi titik panas untuk penularan Covid-19 di India.

Melihat kepada kesukaran ini, tidak hairanlah sesetengah kerajaan negeri mempertimbang semula keputusan aturan pengangkutan dan meminta migran-migran ini kekal di bandar-bandar mereka.

Misalnya, Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal merayu kepada para migran untuk kekal di Delhi dan mengelak dari berkumpul beramai-ramai untuk mengurangkan peluang jangkitan Covid-19. Kejriwal turut mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung kos sewa mereka dan penubuhan 568 pusat pengagihan makanan untuk kelompok miskin.

Krisis sebegini amat menekan sesiapa saja termasuk Modi sendiri. Justeru, tidak hairanlah mengapa Modi memohon maaf atas apa yang berlaku dalam ucapannya tetapi menegaskan ia terpaksa dilakukan demi memastikan wabak tersebut tidak merebak ke seluruh negara.

Modi memohon maaf atas apa yang berlaku termasuk tragedi kemanusiaan yang tercetus akibat perintah berkurung Covid-19. Sumber: https://www.news18.com/news/buzz/pm-modis-apology-for-harsh-coronavirus-lockdown-on-mann-ki-baat-leaves-twitter-divided-25559

Namun, Modi juga harus memikirkan semula pakej ekonomi yang diperkenalkan bagi membantu India mengharungi situasi wabak Covid-19. Baru-baru ini, Delhi mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang dipanggil PM Gareeb Kalyan Scheme pada 26 Mac lepas dengan nilai pakej berjumlah AS$23 bilion (RM100.3 bilion).

Terbaru: Fiksyen Mahakarya

Nilai pakej yang diperkenalkan oleh Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman itu jauh lebih rendah berbanding Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM250 bilion pada hari sama tidak termasuk 20 Billion yang diumumkan oleh Tun Mahathir sebelum ini.

Pakej ini dilihat hanya memberi impak kecil kepada ekonomi India dan tidak berupaya menghalangnya dari terus jatuh. Sementara itu, kerajaan-kerajaan negeri seperti Rajasthan, Kerala, Delhi dan Bengal turut memperkenalkan pakej rangsangan mereka. Tetapi dengan dana yang sedikit, agak sukar bagi mereka membantu berdasarkan skala cabaran yang dihadapi India hari ini.

Suka atau tidak, India tidak boleh bersikap kedekut dan harus melaksanakan pendekatan Keynesian bagi memastikan nasib rakyatnya terutama golongan fakir dan miskin terbela. New Delhi boleh saja memperuntukkan lebih banyak dana bukan saja untuk membina rumah perlindungan dan bank makanan untuk golongan berisiko tetapi juga mengembangkan dan menambahbaik sektor kesihatannya.

India juga harus berfikir di luar kotak bagi menangani masalah ketiadaan duit di tangan untuk rakyat yang bekerja secara harian. Ini kerana tawaran pemindahan tunai yang ditawarkan kepada rakyat bukan saja terlalu rendah malah tempoh untuk mendapatnya juga lambat.

Bank Pusat India telah melancarkan pelbagai langkah untuk menyokong ekonomi negara itu. Malangnya, sesetengah langkah seperti moratorium untuk pinjaman masih lagi bersifat sukarela dan bukan bersifat mandatori. Perkara ini harus ditangani segera kerana ia boleh mengakibatkan ramai menjadi muflis dan terjerumus ke kancah kemiskinan.

Jadi, kenapa pakej rangsangan Modi ini patut dikecam? Sila lihat statistik ini.

Pakej stimulus India dalam angla RM 100 billion berbanding negara kita yang dah suntik lebih RM 270 billion ke dalam negara kita. Dan lepas ni akan ada pakej tambahan untuk SME lagi diumumkan. RM 270 Billion yang kita umumkan untuk rakyat berjumlah 31 juta tau. Itupun kita rasa sangat tak cukup. Bayangkan India yang mempunyai populasi 1.4 billion nyawa?

US sendiri umumkan RM 8.8 Trillion untuk menampung kehidupan lebih 300 juta nyawa di negara mereka meski rakyat US jauh lebih senang dari rakyat India yang dibelenggu dek kemiskinan. Apa yang India terima terlalu rendah, itu pun mengambil kira faktor macam karenah birokrasi dan korupsi yang menyebabkan bantuan tu tak sampai ke tangan yang memerlukan.

Dari segi pendapatan rakyat, 21.9% rakyat India hidup di bawah garis kemiskinan. Ini bersamaan 390 juta orang di India hidup dengan pendapatan kurang daripada 100 rupee (RM5.70) sehari.

RM5.70 sehari nak tampung keluarga. Manakala rakyat yang terlibat dalam ekonomi tidak formal pula berjumlah hampir 400 juta orang dengan purata pendapatan hanya RM300 sebulan.

Rakyat yang tidak bekerja langsung? 7.3% atau 95 juta orang.

Di India hari ini, kadar katil berbanding penduduk cuma 0.7 untuk setiap seribu orang. Di India jumlah unit penjagaan kesihatan swasta lebih banyak berbanding kemudahan kesihatan awam. Ironi kerana bilangan orang miskin terlalu banyak yang terdedah kepada kematian tanpa ada peluang rawatan yang cukup.

Menurut laporan Vox, pakar di India (Dr. SP Kalantri dari Hospital Kartuba, India tengah) meramalkan angka jangkitan Covid-19 di India boleh mencecah dalam 300-500 juta orang dalam masa 4 bulan lagi kalau perkembangan semasa yang membelenggu India tidak dibendung. Ini betul-betul bom jangka betul! Mampu ke India nak uruskan kalau 500 juta nyawa kena Covid-19? Dijangka daripada angka ni, 1-2 juta nyawa akan melayang!

Apakah India mampu selamat dari tragedi Covid-19?

RUJUKAN:

Biswas, Soutik. (2020). Coronavirus: India’s pandemic lockdown turns into a human tragedy. BBC News. https://www.bbc.com/news/world-asia-india-52086274

Ward, Alex. (2020). India’s coronavirus lockdown and its looming crisis, explained. https://www.vox.com/2020/3/24/21190868/coronavirus-india-modi-lockdown-kashmir

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.