Incest Dalam Monarki Eropah

0
1245
views

Incest didalam bahasa inggeris diambil daripada perkataan latin ‘incestum’ dengan konotasi tidak suci, dikeji, pencemaran. Manakala terma ‘incest’ mengikut budaya lain berkait rapat dengan nilai-nilai moral. Seperti terma dalam bahasa cina iaitu ‘luan lun’ menyatukan perkataan yang membawa maksud ‘disorder’ dan ‘social relationship’.

Incest atau sumbang mahram itu, merupakan penyatuan diantara seseorang individu dengan individu lain yang mempunyai hubungan darah contohnya seperti (adik beradik, anak saudara dan pakcik dan sebagainya biasanya dengan perlakuan persetubuhan (“sexual intercourse”).

Jetpack Langkawi

Dari Sudut Genetik (Secara Ringkas).

Masih ingatkah anda tentang peranan genetik? Seorang bayi mewarisi 1 set genetik dari bapa, manakala 1 set genetik lagi dari ibu. Di dalam kedua set genetik ini, MUNGKIN terdapat 1 set genetik yang mempunyai kerosakan padanya. (Sama ada dari ibu atau bapa).

Kebarangkaliannya adalah, genetik tersebut tidak akan manifestasikan penyakit kerana diimbangi 1 set genetik sihat. (Sama ada dari ibu atau bapa).

CONTOH;

Genetik sihat ( A )

Genetik tidak sihat ( o )

 

Seseorang individu hanya boleh manifestasikan penyakit jika mewarisi kedua-dua genetik (o & o).

 

Manakala individu tersebut menjadi ‘pembawa’ (carrier) jika hanya satu sahaja genetik ( A & o ) tersebut diwarisi.

Seterusnya, seseorang yang  mempunyai genetik ( AA ). Bermaksud mereka ini bukan pembawa dan bukan penghidap, bebas penyakit.

Logiknya disini, jika perkahwinan sesama keluarga (incest) itu dilakukan, juga ibu dan bapa tersebut mewarisi 1 set genetik yang rosak, terdapat peratusan kebarangkalian yang tinggi untuk anak-anak (offspring) mewarisi kedua-dua genetik yang tidak sihat tersebut.

Pengakhiran Dinasti Habsburg di Sepanyol.

Berikutan kajian menyeluruh didalam bidang genetik keluarga ini, pakar mendapati bahawa Dinasti Habsburg di Sepanyol atau lebih dikenali sebagai ‘House of Austria’ mengamalkan pembiakbakaan-dalaman (inbreeding) dengan individu dari kalangan keluarga mereka sendiri. Hasil daripada perkahwinan sesama kerabat keluarga ini, berakhirnya salah satu daripada dinasti monarki di Eropah terhenti serta merta dengan kematian Charles II dari Sepanyol. Dengan kematian Charles II, seluruh keluarga / dinasti Habsburg terhenti dengannya.

Raja Charles II Sepanyol.

Beliau merupakan seorang yang cacat fizikal, terencat otak, dan mempunyai rupa bentuk fizikal yang tidak normal. Beliau dikatakan mempunyai lidah yang besar, menyebabkan beliau tidak dapat bertutur dengan baik dan tidak dapat difahami percakapannya. Beliau mati ketika berusia 35 tahun. Raja Charles II juga botak kepalanya, mandul, nyanyuk serta kerap mengalami sawan.

Berdasarkan rekod susur galur keluarga Habsburg, inilah yang terjadi selepas 16 generasi perkahwinan sesama keluarga atau erti kata lain ‘pembiakbakaan-dalaman’ (inbreeding). Pembiakbakaan-dalam diamalkan keluarga diraja ini demi mengekalkan ketulenan ‘pedigri’ atau salasilah keluarga.

Ketika Sepanyol berada dibawah pemerintahan Dinasti Habsburg, Sepanyol berada di kemuncak kegemilangannya. Kerana ingin mengekalkan warisan diraja, ahli keluarga Habsburg mula berkahwin sesama mereka.

Untuk sekurang-kurangnya 200 tahun, mereka berkahwin dengan saudara yang mempunyai hubungan darah. Termasuk perkahwinan dengan sepupu pertama, perkahwinan diantara pakcik dan anak saudara perempuan. Salah satu contoh perkahwinan ini adalah, bonda Charles II merupakan anak saudara kepada pakciknya, manakala nenda Charles II, merupakan ibu saudaranya. (Dia pusing-pusing kot tu jer).

Raja Charles II , oleh artis Juan Carreño de Miranda, 1685.

Dikatakan artis mengalami kesusahan melukis potret Raja Charless II oleh kerana fizikal beliau yang tidak normal. Gambaran atau potret dikatakan diubah bagi menampakkan beliau normal.

Lagi contoh perkahwinan sesama keluarga di dalam Dinasti Habsburg di Sepanyol adalah seperti berikut;

Phillip II mengahwini Anna of Austria yang merupakan anak perempuan kepada adiknya Marie.

Archduke Charles II of Austria-Innerösterreich mengahwini Maria Anna of Bavaria, yang merupakan anak perempuan kepada adiknya Anna of Austria.

Philipp IV mengahwini Marianna of Austria, anak perempuan kepada adiknya Maria Anna.

Keluarga Diraja Britain

Sejak pada zaman Rom purba, perkahwinan diantara keluarga darah sendiri, dihalang serta dipandang buruk. Perkara ini terjadi semasa perkahwinan Maharaja Rom Claudius dengan anak saudara perempuannya Agrippina pada tahun 49SM. Perkahwinan tersebut dianggap sebagai sesuatu yang mengaibkan.

Walaubagaimanapun, lebih 1500 tahun kemudian, situasi yang berlainan terjadi di England. Henry VIII (8) yang merupakan anak ke-2 kepada Raja Henry VII (7) merupakan monarki ke-2 kepada Keluarga DiRaja Tudor (House of Tudor).

Beliau dikenali sebagai raja yang bertanggungjawab memutuskan hubungan dengan Rom (Gereja Katolik), serta mengasaskan Gereja England (Church of England) dan memulakan Reformasi. Henry VIII juga dikenali kerana memiliki 6 orang isteri serta mewartakan bahawa perkahwinan diantara sepupu itu sah di sisi undang-undang.

Potret Raja Henry VIII.

Keluarga Diraja Hanover

Perkahwinan Diraja diantara sepupu selalunya diaturkan supaya dapat memegang takhta serta menghalang mereka (dari keluarga diraja yang lain) merampas takhta. Apabila seseorang monarki itu merupakan wanita, ataupun seorang raja itu hanya mempunyai anak perempuan sahaja, dia akan menjadi monarki terakhir dari keluarga tersebut.

Ratu Victoria merupakan monarki terakhir dari Keluarga Diraja Hanover (House of Hanover) yang sangat dikenali kerana mengamalkan perkahwinan di antara sepupu ini.

Dari 1680-1890, perkahwinan diantara sepupu Keluarga Diraja Hanover adalah seperti berikut;

1682: Raja George I mengahwini sepupu pertamanya Sophia Dorothea

1705: Raja George II mengahwini sepupu ketiganya, Caroline

1761: Raja George III mengahwini sepupu keduanya, Charlotte

1795: Raja George IV mengahwini sepupu pertamanya, Caroline

1818: Raja William IV mengahwini sepupu ketiganya, Adelaide

1840: Ratu Victoria mengahwini sepupu pertamanya, Albert, dan bermulanya Keluarga Diraja Saxe-Coburg and Gotha.

Keluarga Diraja Saxe-Coburg & Penyakit Hemofilia.

Ratu Victoria yang dilahirkan pada tahun 1819 merupakan satu-satunya waris kepada pasangan Edward yang merupakan Duke of Kent serta Victoria Maria Louisa dari Keluarga Saxe-Coburg.

Pada umur 18 tahun, beliau mewarisi takhta daripada pakciknya, William IV. Dan pada tahun 1840, beliau mengahwini sepupu pertamanya. Lebih 2 dekad kemudian, Victoria dan suaminya Putera Albert of Saxe-Coburg and Gotha mempunyai 9 orang anak yang kebanyakannya mengahwini keluarga monarki di Eropah. Hari ini, keturunan Ratu Victoria dapat dilihat menjadi sebahagian kepada golongan diraja di Jerman, Norway, Rusia, Sweden, Greece, and Sepanyol.

Pemerintahan Ratu Victoria menjangkaui keseluruhan abad ke-19 dan turut membawa malapetaka kepada keturunan beliau oleh kerana Ratu Victoria merupakan pembawa genetik penyakit Hemofilia.

Gambar potret Ratu Victoria

Apa itu Hemofilia?

Hemofilia merupakan sebuah penyakit genetik yang menyebabkan darah itu tidak dapat bergumpal. Proses penggumpalan diperlukan bagi memberhentikan darah ketika kecederaan. Ini menyebabkan penghidapnya berdarah tanpa henti jika terdapat kecederaan. Hemofilia disebabkan oleh kecacatan atau kerosakan kepada kromosom X.

Kromosom X dan Y ini adalah kromosom seks penentu jantina, kromosom X diwarisi dari ibu, manakala kromosom Y diwarisi dari bapa. Pewarisan kromosom dari segi jantina adalah seperti berikut;

Lelaki= XY

Perempuan =XX

Oleh kerana hemofilia ini penyakit yang dikaitkan dengan kromosom X, seseorang perlu menerima satu kromosom X yang rosak untuk ia dimanifestasikan (menjadi penyakit).

Oleh kerana lelaki mempunyai 1 sahaja kromosom X, jika ibunya mewariskan kromosom X rosak tersebut, beliau akan menghidap hemofilia.

Manakala bagi perempuan, mereka mempunyai 2 kromosom X, jika ibunya mewariskan kromosom X yang rosak, masih ada 1 lagi kromosom X sihat yang diwarisi dari bapa (backup), dan hanya dapat bertindak sebagai pembawa sahaja.

Oleh kerana Ratu Victoria hanya pembawa, beliau mempunyai 1 kromosom X yang sihat dari bapa, manakala 1 kromosom X yang rosak dari ibu.

Pewarisan genetik hemofilia : A) Bapa penghidap, ibu sihat. B) Bapa sihat, Ibu pembawa.

Perkahwinan antara sepupu yang diamalkan keluarga diraja ini menyebabkan peristiwa permasalahan berikut kepada keturunan Ratu Victoria:

Putera Leopold, Duke of Albany: Anak lelaki kepada Ratu Victoria mati ketika berusia 31 tahun akibat pendarahan otak setelah jatuh.

Putera Friedrich of Hesse and by Rhine: Cucu Ratu Victoria yang berumur 3tahun mati akibat pendarahan otak setelah jatuh dari tingkap menyebabkan keadaan dalamannya tidak berhenti berdarah.

Putera Waldemar of Prussia: Cicit Ratu Victoria mati pada tahun 1945 ketika menunggu transfusi darah semasa perang dunia ke-2.

Lord Leopold Mountbatten: Cicit Ratu Victoria mati ketika berusia 32tahun semasa menjalani pembedahan pinggul.

Putera Heinrich of Prussia: Cicit kepada Ratu Victoria mati ketika berumur 4 tahun selepas terjatuh.

Infante Alfonso dan Gonzalo of Spain: Cicit kepada Ratu Victoria. Keduanya mati akibat kemalangan kereta. Mereka dikatakan dapat diselamatkan jika mereka tiada hemofilia. Alfonso berumur 31 tahun manakala Gonzalo berumur 19 tahun.Putera Friedrich of Hesse and by Rhine. Anak kedua kepada pasangan Louis VI, Grand Duke of Hesse dan Puteri Alice of United Kingdom.

Putera Friedrich of Hesse and by Rhine. Anak kedua kepada pasangan Louis VI, Grand Duke of Hesse dan Puteri Alice of United Kingdom.

Rujukan.

Alvarez G, Ceballos FC, Quinteiro C. The role of inbreeding in the extinction of a European royal dynasty. http://www.plosone.org/article/info %3Adoi%2F10.1371%2Fjournal.pone.0005174;jsessionid=58F0D5FF5EF3FD67F047CCA158AEBB6D.

Cossins D. Did inbreeding royals Evolve? TheScientist website. April 22, 2013. http://www.the-scientist.com/?articles.view/articleNo/35235/title/Did-Inbreeding-Royals-Evolve-/.

Inbreeding of Spanish royalty. GeneologyInTIme website. http://www.genealogyintime.com/ NewsStories/2009/April/inbreeding_of_spanish_royalty_page1.html.

Yong E. How inbreeding killed off a line of kings. ScienceBlogs website. April 14, 2009. http://scienceblogs.com/notrocketscience/2009/04/14/how-inbreeding-killed-off-a-line-of-kings/.

Baker M. House of Windsor family tree. UsefulCharts website. Updated January 8, 2013. http://www.usefulcharts.com/history/house-of-windsor-family-tree.html.

Bittles A. The background and outcomes of the first-cousin marriage controversy in Great Britain. Int J Epidemiol. 2009;38(6):1453-1458. http://ije.oxfordjournals.org/content/38/6/1453.full.

Flantzer S. Royal hemophilia sufferers in Queen Victoria’s descendants. Unofficial Royalty website. http://www.unofficialroyalty.com/royal-illnesses-and-deaths/hemophilia/royal-hemophilia-sufferers-by-susan-flantzer/.

Lowery G. The Habsburg jaw and other royal inbreeding deformities. HubPages website. http://hubpages.com/hub/The-Habsburg-Jaw-And-Other-Royal-Inbreeding-Deformities-and-Disorders.

Royal action! Related How Again? website. April 24, 2011. http://relatedhowagain.wordpress.com/2011/04/24/16-royal-action/.

Succession, royal inbreeding, and the Hapsburg lip. One Minute History website. October 22, 2011. http://oneminutehistory.blogspot.com/2011/10/royal-inbreeding-and-hapsburg-lip.html.