Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan bahawa “Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.” Manakala, Seksyen 377A bawah Kanun Keseksaan pula memperuntukkan bahawa merupakan suatu kesalahan jika mana-mana individu melakukan persetubuhan yang melanggar hukum alam ataupun dalam kata lainnya, liwat. Di sini, liwat dikira berlaku dalam dua keadaan iaitu alat sulit dimasukkan ke dalam mulut ataupun dimasukkan ke dalam ruang kemaluan sebelah belakang.

Seksyen 377B bawah Kanun Keseksaan pula menyatakan mengenai hukuman kepada pesalah liwat yang mana maksimumnya boleh mencapai 20 tahun penjara dan juga sebatan. Bagaimana pula dengan Seksyen 377? Seksyen 377 adalah berkenaan persetubuhan dengan binatang. Jadi kita boleh lihat bagaimana seksyen-seksyen ini disusun pun, dengan jelas mengaitkan jijiknya perbuatan liwat itu setaraf dengan “zoophilia” ataupun “bestiality” iaitu dua istilah yang berkait rapat dengan hubungan intim di antara seorang manusia dan haiwan.

Makanya di sini, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah di atas mempunyai persamaan dari segi “subject matter” undang-undang dengan Seksyen 377A dan 377B iaitu berkenaan liwat. Cuma bezanya adalah dari segi hukuman dimana jika pesalah disabitkan dibawah Enakmen Syariah, dia cuma boleh dihukum penjara tidak lebih 3 tahun berbanding Seksyen 377B yang memperuntukkan maksimum 20 tahun. Cara nak membuktikan kesalahan liwat itu berlaku juga berbeza kerana yang satu cara konvensional dan satu lagi, menurut kaedah Islam. Memandangkan Seksyen 28 dan Seksyen 377A mempunyai persamaan yang amat jelas, ini menimbulkan persepsi bahawa berlakunya pertindihan bidang kuasa jenayah. Lagi pula, Seksyen mana yang hendak digunakan ketika dakwaan? Oleh itu, Seksyen 28 telah dicabar keabsahan dan keperlembagaannya di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes Iki Putra bin Mubarak lwn Kerajaan Negeri Selangor & Majlis Agama Islam Selangor tempoh hari pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan secara sebulat suara (unanimous) bahawa Seksyen 28 yang dikatakan ini, sebagai tidak berpelembagaan, tidak sah dan terbatal. Tidak berpelembagaan (unconstitutional) di sini bermaksud, Seksyen 28 tersebut dikatakan berlawanan ataupun bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan paling luhur di negara ini seperti yang diperuntukkan bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sudah tentu, penulis amat menghormati keputusan Mahkamah yang paling tinggi tempat duduknya dalam hierarki kehakiman di Malaysia ini, namun tidak boleh tidak, keputusan ini menggusarkan hati walaupun ada kebaikannya. Kegusaran itu berpunca daripada beberapa sebab. Sebelum itu, perlu diingatkan bahawa keputusan ini amat signifikan dalam bidang undang-undang terutamanya dalam soal perlembagaan Malaysia. Tambahan pula, keputusan ini disepakati kesemua 9 orang hakim yang bersidang. Sesuatu yang amat jarang berlaku. Panel 9 orang hakim yang bersidang itu diketuai oleh Yang Amat Arif, Tun Tengku Maimun Binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara. Presiden Mahkamah Rayuan, Yang Amat Arif Tan Sri Rohana Binti Yusuf, Hakim Besar Malaya dan Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Sri Azahar bin Mohamed juga antara hakim-hakim yang bersidang.

Keputusan ini signifikan kerana sebarang keputusan daripada Mahkamah Persekutuan adalah bersifat mengikat (binding) terhadap keputusan mahkamah bawahan dalam kes-kes serupa yang akan datang kerana judisiari mengamalkan Doktrin Stare Decisis ataupun Doktrin Duluan Kehakiman (Judicial Precedent Doctrine). Maknanya, mahkamah bawahan jika berdepan kes-kes yang berdepan fakta yang serupa lepas ini, tidak boleh membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini. Doktrin inilah yang memberikan kesan mengikat tersebut. Doktrin ini walaupun ada kelemahannya yang tersendiri tetap juga memiliki kelebihan seperti mengelakkan para hakim daripada membuat keputusan yang terlalu luar biasa yang lari dari kebiasaan. Ini penting untuk mengelakkan ketidakadilan.

Walaupun yang dipertikaikan dalam kes ini adalah mengenai undang-undang syariah berkaitan liwat, dan sama ada ianya sah ataupun tidak, tapi mahkamah sebenarnya sentuh lebih jauh daripada itu, antara lainnya termasuklah apa yang dimaksudkan dengan kesalahan jenayah umum (criminal offences) dan kesalahan agama (religious offences), bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Betul, hukuman liwat bawah Kanun Keseksaan lebih besar, lebih berat tapi ianya juga tidak wajar dijadikan justifikasi untuk mengiyakan sepenuhnya keputusan ini. Dalam masa yang sama, aktivis warna-warni yang mempertahankan persetubuhan songsang juga tidaklah perlu untuk meraikan keputusan ini. Liwat masih suatu kesalahan jenayah.

Kuasa menggubal undang-undang terletak pada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak dipertikaikan. Cuma, bawah Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan, ada senarai perkara yang boleh digubal Parlimen sahaja dan Senarai Negeri Jadual Kesembilan pula bagi perkara yang boleh digubal DUN sahaja. “Undang-Undang Jenayah” hanya boleh digubal Parlimen dan “kesalahan bertentangan Perintah Agama Islam” (offences against the precepts of Islam) hanya boleh digubal DUN kerana hal ehwal Islam umumnya adalah bidang kuasa dibawah negeri dan bukannya persekutuan. Tapi, Senarai Negeri juga ada klausa tambahan yang berbunyi “kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.”

Secara umumnya persoalannya di sini adalah adakah Seksyen 28 terbabit merupakan undang-undang yang hanya boleh digubal Parlimen ataupun hanya boleh digubal DUN? Mahkamah mendapati, Seksyen 28 adalah termasuk “Undang-Undang Jenayah” yang hanya boleh digubal Parlimen kerana adanya klausa tambahan tadi. Dalam bahasa mudahnya, DUN telah melangkaui (ultra vires) bidang kuasanya dengan menggubal dan meluluskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah tersebut. Padahal, DUN tidak mempunyai kuasa berkenaan kata mahkamah. Ironinya, dalam masa yang sama, jelas pada Perenggan ke-42 penghakiman YAA Ketua Hakim Negara, mahkamah bersetuju bahawa kesalahan liwat ini adalah “kesalahan yang bertentangan Perintah Agama Islam” tetapi berkeras bahawa DUN tiada kuasa untuk gubal undang-undang kesalahan jenayah yang telah dibuat parlimen.

Keputusan tersebut telah membuka “floodgate” yang besar. Bah gergasi yang menggoncang keabsahan semua undang-undang jenayah Syariah yang ada. Kesan daripada keputusan ini dapat dirasai secara langsung oleh Mahkamah Syariah kerana intipati penghakiman yang dibuat YAA Ketua Hakim Negara menunjukkan bahawa sebarang undang-undang jenayah Syariah yang telah digubal atau akan digubal oleh DUN, adalah tidak berpelembagaan, terbatal dan tidak sah. Semua, dari Perlis sampailah ke Johor. Tak boleh “co-exist”. Undang-undang Syariah lain masih sah. Enakmen jenayah Syariah yang ada di negeri-negeri ini juga masih sah buat masa ini, selagi mana keabsahannya tidak dicabar.

Ini juga menggambarkan bahawa keputusan ini telah sedikit sebanyak mengganggu pembangunan sistem “dual-justice system” yang diamalkan di Malaysia. Ketika itu, mahkamah Syariah dikenali sebagai Mahkamah Kadhi yang mana imam, kadhi ataupun penghulu berperanan sebagai hakim. Rayuan pada peringkat tertinggi boleh dibuat kepada Tuanku Sultan itu sendiri lantas menunjukkan bidang kuasa kehakiman turun temurun yang tersisa pada institusi kesultanan itu sendiri. Pada sisi yang lain juga, ini merentap sebahagian kuasa yang dimiliki negeri-negeri (dan Sultan kerana undang-undang berkaitan hal ehwal Islam adalah hak Sultan secara tradisinya) untuk menggubal undang-undang Islam walaupun kuasa ini dah wujud sejak zaman British.

YAA Hakim Besar Malaya dalam penghakimannya yang berasingan ada cuba untuk mengecilkan kesan ini, dengan merumuskan bahawa beberapa jenis undang-undang jenayah Syariah yang tidak bersifat “jenayah” (criminal), yang masih boleh digubal DUN, adalah seperti kesalahan akidah termasuklah mensyirikkan Allah, kesalahan yang berkaitan kesucian agama Islam seperti menghina Al-Quran dan kesalahan berkaitan moral seperti minum arak, zina serta khalwat. Tetapi bila difikirkan balik menggunakan hujah ini, khalwat misalnya, bukan “criminal offence” tetapi adalah jenayah Syariah. Habis liwat? Liwat ialah jenayah Syariah tetapi dalam masa yang sama, tidak dikira sebagai jenayah Syariah yang boleh undang-undangnya digubal DUN hanya kerana kesalahan dan peruntukan untuk liwat sudah ada dalam Kanun Keseksaan. Menggunakan hujah yang sama juga, zina bukanlah kesalahan “jenayah” tetapi hanyalah “kesalahan berkaitan moral” tetapi liwat adalah kesalahan “jenayah” tetapi bukanlah “kesalahan berkaitan moral”. Sedikit aneh di situ.

Dalam kes ini, soal bidang kuasa mahkamah turut disentuh oleh YAA Ketua Hakim Negara yang menekankan bahawa Mahkamah Persekutuan (atau mahkamah atasan yang lainnya) mempunyai bidang kuasa untuk mendengar sebarang kes termasuklah kes yang melibatkan “subject matter” Syariah. Ini selari dengan kes Mahkamah Persekutuan sebelum ini seperti Indira Gandhi Mutho lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak tetapi berlawanan dengan prinsip perundangan dalam kes-kes seperti Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan kes Soon Singh lwn Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) misalnya. Dalam Soon Singh, mahkamah memutuskan bahawa hanya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang berkaitan dengan Islam. Ya, kekusutan dari segi bidang kuasa kedua-dua mahkamah dah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.

Kata hakim pada perenggan ke-65 penghakiman YAA Ketua Hakim Negara, “Tidak timbul persoalan sama ada Mahkamah Atasan sivil mempunyai bidang kuasa atau tidak untuk menentukan sebarang bentuk pertikaian.” Maknanya walaupun sepatutnya Mahkamah Syariah yang dengar kes itu, memandangkan ianya melibatkan pertikaian pembahagian harta faraid sebagai contoh, tapi itu tak bermakna Mahkamah Sivil tak boleh dengar (atau buat semakan semula) ke atas kes itu. Ini juga sedikit merisaukan. Adakah mahkamah sivil mempunyai kepakaran untuk mendengar kes melibatkan pembahagian harta faraid contohnya? Sudah tentulah jawapannya tidak.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini melalui Tun Abdul Hamid Mohamad dalam Latifah bte Mat Zin v Rosmawati Sharibun pernah menggunakan pendekatan yang amat berhati-hati dalam menjawab konflik bidang kuasa mahkamah ini. Tun khususnya menekankan bahawa hanya disebabkan mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa yang jelas untuk mendengar sesuatu kes itu, tidak pula bermakna mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa tersebut. Semuanya bergantung kepada sumber bidang kuasa itu iaitu sama ada wujud statut yang memberikan kuasa ataupun tidak dalam hal ehwal yang berbangkit. Tapi penghakiman kes ini seolah-olah telah meletakkan titik noktah. Namun, bukanlah titik noktah yang paling sempurna kerana bidang kuasa mahkamah Syariah masih terumbang ambing dan samar-samar.

Kesimpulannya, keputusan kes ini membuka ruang untuk peruntukan enakmen jenayah Syariah lain untuk terus dicabar. Dan jika dicabar, kemungkinan cabaran itu berjaya ialah tinggi kerana keputusan kes inilah. Prinsip undang-undang ataupun ratio decindi dalam kes ini pastinya akan digunakan sebagai senjata ampuh puak yang anti-Syariah dan golongan liberal untuk menghalalkan usaha keji mereka untuk mencabar setiap undang-undang Syariah yang ada di Malaysia. Ada ura-ura bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pula akan dicabar menurut Datuk Zainul Rijal, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia. Mungkin satu hari nanti, hanya undang-undang Islam kekeluargaan sahaja yang akan kekal. Sesuailah dengan stereotaip dangkal peguam Syarie yang kononnya hanya menyelesaikan isu talak dan cerai. Pastinya ini bukanlah masa depan yang umat Islam dambakan.

RUJUKAN

Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Imran. (2021). Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor pula bakal dicabar. Retrieved from https://pembela.com.my/seksyen-66a-enakmen-pentadbiran-agama-islam-selangor-pula-bakal-dicabar/?fbclid=IwAR2Q_3xMs726hVP47-N15V1vMVifhhZNs-Olxb6wDEBzX68bBAoJlY8Ev1M

Kanun Keseksaan (Akta 574).

Lukman Sheriff. (2021). FAQ Kes Iki Putra. Retrieved from https://www.facebook.com/lukman.sheriff.1/posts/10157364719667820

Moustafa, Tamir. (2018). Constituting Religion: Islam, Liberal Rights, and the Malaysian State. 10.1017/9781108539296.

Mohamed Azam Mohamed Adil. (2021). Implikasi Kes Seks Luar Tabii Ke Atas Bidang Kuasa Negeri dan Mahkamah Syariah. Retrieved from https://bebasnews.my/?p=55348&fbclid=IwAR1USXWbXkIKdGA-pegrSERJRMptWknXTUtMuM8S8u6KY8Nz6ZDvcS66Y1M

Yusfarizal Yusoff. (2021).  PERIHAL KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DALAM KES IKI PUTRA BIN MUBARAK LWN KERAJAAN NEGERI SELANGOR & YANG LAIN. Retrieved from https://www.facebook.com/yusfarizal.yussoff/posts/10224278853226565


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Comments are closed.