One Piece adalah sebuah anime yang berasal daripada negara Jepun, sebaris dengan Death Note, Bleach, Detektif Conan, Doraemon dan bermacam lagi. Anime ini dihasilkan dalam dua bentuk, iaitu animasi (anime) dan juga komik (manga).

Debut pertama One Piece adalah pada bulan Julai tahun 1997, yang mana pada ketika itu komik One Piece dimuatkan ke dalam majalah komik terkemuka Jepun, iaitu Weekly Shonen Jump isu ke-34.

Setahun kemudian, One Piece dijelmakan pula dalam bentuk ‘Original Video Animated’ (OVA) yang bertajuk ‘Defeat Him! The Pirate Ganzack!’, dengan kadar durasi selama 29 minit.
Memasuki tahun 1999, episod pertama siri anime One Piece yang dihasilkan oleh syarikat penerbitan Toei Animation telah disiarkan di seluruh negara Jepun yang bermula pada 20 Oktober 1999.

Dengan bertemakan dunia ke-lanun-an (piracy) yang berorientasikan lautan dan perkapalan, One Piece telah membawa banyak kelainan berbanding anime yang lain. Dalam segenap masa, penggemar One Piece seolah-olah ‘dibawa’ kembali ke zaman ‘the Great Pirate Age’ tahun 1650 hingga 1720.

Walaubagaimanapun, genre pengembaraan-aksi-komedi-fantasi bawaan One Piece tidak pun menggambarkan realiti sebenar tentang kehidupan serta sifat seorang lanun, yang secara tipikalnya bersifat rakus dan ganas.

Sebaliknya, One Piece memberikan nafas baharu yang lebih dinamik dan bersahaja, selari dengan kehendak fiksyen dan fantasi. Lebih menarik, anime ini turut memaparkan sisi komedi yang agak menghiburkan, ditambah dengan pelbagai nilai positif yang mampu memberikan kesan terhadap peminatnya.

Monkey D. Luffy selaku pemain utama di dalam anime ini, direka dengan watak protagonis yang agak ‘menyenangkan’. Walaupun Luffy tak makan ‘devil fruit’ kelas ‘Logia’ persis Ace dan Fleet Admiral Akainu, perjalanan beliau untuk menjadi Raja Lanun (Pirate King) kelihatan lebih bermakna dengan usaha kerasnya dalam merevolusikan kuasa ‘Gomu’ kelas ‘Paramecia’ di samping memiliki ‘Haoshoku Haki’ (Emperor Haki) sama seperti Rayleigh dan Shanks, yang menjadikan beliau setanding dengan ‘Marine Admiral’ dan juga ‘Yonko’.

Terdapat juga beberapa watak di dalam One Piece yang menggunapakai nama lanun terkemuka dunia seperti Edward Teach atau Blackbeard, Captain Kid, dan Bartholomew.
Eiichiro Oda adalah nama pengasas One Piece. Sosok berumur 45 tahun ini berasal dari bandar Kumamoto yang terletak di wilayah Kyushu, selatan Jepun. Beliau dikatakan mula meminati dunia manga seawal umur 4 tahun.

Pada tahun 1994, Oda yang pada ketika itu baru sahaja berumur 19 tahun, telah memulakan kerjaya profesionalnya sebagai ‘mangaka’ junior (artis komik) merangkap pembantu editor di syarikat Shueisha Inc yang merupakan pemilik kepada majalah komik Shueisha Shonen Jump.

Dalam masa 3 tahun sahaja (1994-1997), Oda berjaya meraih beberapa pengalaman berharga sebagai pembantu ‘mangaka’ sebelum beliau berjaya merangka karya ‘masterpiece’ miliknya, iaitu One Piece.

Sebagai info, sebelum lahirnya One Piece pada bulan Mei 1997, Oda telah menghasilkan 5 buah komik jenis ‘one-shot’ (satu siri), iaitu ‘Wanted!’ pada tahun 1992, diikuti ‘God’s Gift for the Future’ (1993), ‘Ikki Yako’ (1993), ‘Monster’ (1994), dan ‘Romance Dawn’ (1996).
Komik Oda yang berjudul Monster dan Romance Dawn adalah versi terdahulu siri One Piece, yang turut membawa tema lanun serta keberadaan watak utama Monkey D. Luffy di dalam ketiga-tiga komik tersebut.

Setakat bulan September 2019, sebanyak 454 juta salinan komik One Piece telah terjual di serata dunia. Angka ini menjadikan One Piece sebagai ‘manga’ paling laris di dunia, jauh meninggalkan pesaing terdekatnya iaitu Dragon Ball dengan rekod 300 juta salinan terjual menurut portal statista.com.

Dalam pada itu, manga-manga lain seperti Golgo 13 berada di tangga ke-3 dengan jualan 280 juta salinan, diikuti Naruto (250 juta), Detektif Conan (230 juta) dan Black Jack (176 juta). Manakala, siri manga Bleach pula berada di kedudukan ke-10 paling laris dengan jualan sebanyak 120 juta salinan.

Memasuki tahun 2020, One Piece semakin melebarkan rekod jualannya dengan jumlah sebanyak 470 juta salinan setakat bulan April 2020, menurut data dari animeukiyo.com. Dengan anggaran harga jualan bernilai $10 USD untuk setiap 1 salinan (volume), One Piece telah menjana hasil jualan sebanyak $4.7 Bilion USD sejak tahun 1997.

Maka, tidak hairanlah pendapatan yang diraih Eiichiro Oda mampu mencecah sehingga $26 juta USD setahun melalui bayaran royalti, perlesenan dan sebagainya, di samping nilai kekayaannya yang berjumlah $200 juta USD setakat tahun 2020. Beliau adalah antara penulis terkaya di dunia.

Dalam perkembangan lain, One Piece adalah pemegang dua buah ‘Guinness World Record’ pada tahun 2015, iaitu dalam kategori ‘most copies published for the same comic book series by a single author’ dan ‘most copies published for the same manga series’, dengan rekod jualan sebanyak 320,866,000 unit melalui 77 volumes komiknya.

Pada saat dan ketika artikel ini sedang ditulis, siri anime One Piece sudah pun memasuki episod ke-947, termasuk 4 siri ‘Original Video Animated’ (OVA), 13 siri ‘TV Specials’ dan 14 buah ‘movie’. Dalam pada itu, One Piece versi manga pula baru sampai ke episod ke-995.

Menurut laman grandviewresearch.com, saiz keseluruhan pasaran ‘franchise’ anime keluaran Jepun di peringkat global adalah bernilai $20.47 Bilion USD pada tahun 2018. Dengan kadar ‘compound annual growth rate’ (CAGR) sebanyak 8.8% setahun, saiz pasaran anime dijangka meningkat kepada $36.26 Bilion USD menjelang tahun 2025.

Untuk rekod, sejak tahun 2002, saiz pasaran industri anime Jepun sudah mencatat angka $10 Bilion USD setahun. Ini menandakan bahawa industri animasi Jepun mampu memberikan impak positif ke atas ekonomi Jepun.

Peningkatan ini turut disumbangkan oleh permintaan yang tinggi di peringkat global, yang mana anime kini disiarkan melalui pelbagai platform khususnya platform digital seperti penstriman media (streaming media) yang dipelopori oleh syarikat Netflix, Amazon dan lain-lain.

Pada tahun 2017, Netflix dan One Piece telah menandatangani usahasama bagi menjayakan projek baharu ‘live-action series’ yang menggabungkan anime dan manga One Piece, melalui 10 buah episod untuk 1 ‘season’. Namun, produksi One Piece tergendala lebih dari 2 tahun atas faktor teknikal sepertimana yang dilaporkan oleh Eiichiro Oda sendiri melalui laman twitter Netflix.

Jika Eiichiro Oda berjaya menghasilkan kesemua 10 buah episod ‘live-action series’ tersebut, semestinya perkara ini akan menjadi ‘game changer’ kepada One Piece dan industri anime secara amnya.

Hal ini dikatakan demikian kerana, saiz pasaran global bagi platform digital berasaskan ‘Video Streaming’ (SVoD) adalah amat luas dan lumayan, dengan nilaian sebanyak $51.6 Bilion USD dan 882 juta akaun pengguna di seluruh dunia setakat tahun 2020 menurut statista.com.

Secara peribadinya, boleh saya simpulkan di sini bahawa One Piece adalah animasi terbaik sepanjang zaman.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar penulis amatur.

Comments are closed.