Moving Forward As One

Impak Kejatuhan Konstantinopel Ke Tangan Umat Islam

564

Konstantinopel adalah kota sama yang dinamakan semula sebagai Istanbul pada hari ini di Turki. Ia dipanggil sebagai Istanbul oleh Sultan Mehmed II (al Fateh) selepas Empayar Uthmaniyah berjaya menaklukinya dan menjadikannya ibu kota Empayar Uthmaniyah.

Konstantinopel memainkan peranan penting di sepanjang sejarah Eropah kerana ia merupakan penempatan metropolis orang Kristian yang sangat kaya.

Jadi, bagaimana dan mengapa kota yang megah seperti Konstantinopel ini boleh jatuh?

Kejayaan Uthmaniyah meruntuhkan keegoan Empayar Byzantium pada 29 Mei 1453 di Konstantinopel merupakan tamparan terakhir bagi Kejatuhan Byzantium atau kejatuhan Rom secara menyeluruh.

Tentera salib pertama pada tahun 1095 adalah pencetus kepada permulaan kejatuhan Konstantinopel kerana mereka perlu menggunakan laluan di dalam ibu kota itu untuk melancarkan ekspedisi menawan Jerusalem dari Islam dan Yahudi. Ini menyebabkan Tentera Salib terlebih dahulu telah menceroboh kota itu dan membunuh ramai penduduk.

Beberapa cubaan dari pihak lain sebelum dan selepas itu, termasuklah pengepungan yang dilaksanakan oleh Kekhalifahan Umayyah serta beberapa cubaan awal Empayar Uthmaniyah dari tahun 1391 gagal membuahkan hasil.

Berakhirnya pemerintahan Empayar Byzantium di Konstantinopel memberi kesan yang sangat ketara terhadap ekonomi dan politik Eropah, ia menandakan permulaan kepada Era Renaissance, menyebabkan kedudukan Itali terdedah untuk menerima serangan, dan kota-kota Venice dan Genoa juga kian merosot kerana kejatuhannya.

Konstantinopel adalah sebuah kota yang amat terkenal di seluruh Eropah dan dianggap sebagai kota yang memiliki keutuhan sistem pertahanan terbaik di dunia. Dalam perkembangan yang lain, Empayar Uthmaniyah telah mula berkembang pesat menjadi pemerintahan militari yang digeruni dan telah beberapa kali cuba menyerang Konstantinopel.

Pada tahun 1450-an, mereka mencuba nasib sekali lagi, kali ini mereka pasti akan menang kerana wabak Black Death telah menghapuskan populasi penduduk Konstantinopel sehingga menurun ke sekitar 50, 000 orang sahaja dan sistem pertahanan yang sangat nipis.

Empayar Uthmaniyah adalah kuasa besar yang diasaskan oleh bangsa Turki Muslim yang memerintah beberapa wilayah di Eropah Timur dan Afrika Barat selama lebih dari 600 tahun, dan di kemuncak zamannya, mereka memerintah tanah yang hari ini kita kenali sebagai Turki, Greece, Bulgaria, Mesir, Macedonia, Hungary, Palestin, Jordan, Romania, Syria, Lubnan, wilayah Afrika Utara dan Semenanjung Arab di bawah pemerintahannya.

Semalam, 6 April 2021 adalah ulangtahun yang ke-568 bermulanya kempen penaklukan Uthmaniyah terhadap Konstantinopel, yang berakhir pada 29 Mei 1453. Maka, berikut adalah beberapa fakta ringkas yang mungkin ada di kalangan kita belum pernah tahu dan perlu kita ketahui tentang Konstantinopel dan tentang peristiwa yang penting dalam sejarah ini.

1. Konstantinopel pertama kali didirikan pada sekitar abad ke-11 dan dinamakan sebagai Lygos, ia merupakan sebuah kota yang telah wujud dengan sendirinya beberapa abad sebelum itu dan telah ditinggalkan penduduk asalnya. Orang Yunani mula menetap di sana pada sekitar 657 SM dan menamakan tempat itu Byzantine.

2. Maharaja Constantine meninggalkan Rom pada tahun 324 dan berpindah ke Byzantine, sebuah kota pelabuhan menarik yang menjadi titik pertemuan di antara benua Asia dan Eropah.

Dia membangunkan kota itu selama enam tahun dan menjadikan kota itu sebagai pusat perdagangan dan kesenian yang lengkap dengan institusi pendidikan, perpustakaan, pasar, bangunan awam, dan pusat sukan.

3. Maharaja Constantine menamakan kota itu ‘Rom Baru’ pada tahun 330, tetapi kota itu tetap kekal dipanggil sebagai kota Konstantinopel (sehingga ke hari ini). Ia juga merupakan salah satu kota yang paling kukuh di rantau ini.

4. Konstantinopel adalah pelabuhan yang berkembang pesat, kemajuan ini dan lokasi geografinya telah menjadikannya popular. Ia terletak di tengah-tengah titik yang memisahkan Eropah dan Asia. Ia dijadikan sebagai ibu kota oleh kedua-dua Empayar Uthmaniyah dan Empayar Byzantium.

5. Kerajaan Republik Turki memindahkan ibu kota ke Ankara dan Mustafa Kemal Ataturk mengarahkan agar nama kota Konstantinopel ditukar secara rasmi kepada nama Istanbul setelah Republik Turki didirikan pada tahun 1923.

6. Pengepungan Uthmaniyah terhadap Konstantinopel berlangsung selama 53 hari sejak ia bermula dan sebelum ia berjaya dit.aklu.k, ini juga menandakan berakhirnya sejarah Empayar Rom yang telah berdiri silih berganti selama 1,500 tahun lamanya.

7. Kejatuhan kota itu juga menjadi titik tolak kepada berakhirnya Zaman Pertengahan. Menurut kebanyakan sejarawan, Zaman Pertengahan sebenarnya telah berakhir dengan kejatuhan Konstantinopel. Zaman itu menamatkan pemerintahan Empayar Byzantine dan pemerintahan Empayar Rom amnya.

8. Semasa Uthmaniyah mengambil alih Konstantinopel, penduduknya yang rata-ratanya berbangsa Yunani melarikan diri ke kawasan Eropah, kebanyakannya mula menetap di Itali.

Para pelarian turut membawa bersama mereka sebarang teks dan manuskrip ilmu tentang sastera, seni, teologi, politik, sains, seni bina, falsafah, astronomi, muzik, dan pendidikan yang mereka kumpul dari pelbagai hubungan Byzantine sebelum itu terutamanya dengan bangsa Arab.

Ilmu pengetahuan yang dibawa pelarian di kebanyakan wilayah mula menarik minat orang Itali, oleh itu, zaman Renaissance pun bermula.

9. Konstantinopel kini diisytiharkan sebagai tapak warisan UNESCO berdasarkan nilai-nilai peninggalan sejarah, seni bina dan kepelbagaian budaya yang sangat kaya. Ia merupakan tempat / kota yang sangat penting dalam peradaban Eropah dan Kristian.

10. Selama abad ke-10, kota ini dianggarkan berpopulasi sekitar 800,000 orang penduduk. Pada masa itu, populasi dunia agak rendah sehingga jumlah populasi di kota ini menjadikan ia sangat berbaloi untuk dihuni.

Sehinggalah munculnya salah satu bala yang berterusan melemahkan Konstantinopel iaitu Wabak Hitam. Ditambah lagi dengan tercetusnya pep.erang.an, ia sekaligus mengurangkan jumlah populasi warga kota itu sehingga ke sekitar 50,000 orang.

11. Terdapat jurang yang besar di antara pengikut Katolik dan gereja-gereja Ortodoks pada masa itu. Ini didorong oleh pembunuhan orang Latin dan pe.ra.ng antara kedua-dua aliran Kristian ini berlanjutan selama bertahun-tahun.

Pada titik ini juga di Eropah, wujudnya usaha untuk mengusir umat Islam di atas nama Kristianiti. Namun, memandangkan persengketaan di antara Katolik Latin Barat dan Kristian Ortodoks Empayar Byzantine di Timur, serangan dan pembunuhan beramai-ramai berlaku di mana orang Latin dibunuh dalam jumlah yang sangat tinggi.

12. Sebilangan besar sisa tembok kota Konstantinople masih lagi berdiri sehingga ke hari ini. Walaupun bahagian tembok yang hilang telah dibaikpulih pada abad ke-20, gempa bumi telah memusnahkan bahagian itu dan hanya meninggalkan bahagian lama iaitu tembok Theodosian.

Ini mencerminkan kualiti bahan yang bermutu dari hasil kerja pada zaman dahulu sangat kukuh. Tembok ini juga memiliki nilai seni bina yang cantik, kukuh, dan setinggi 12 meter, satu ukuran yang jarang dibuat pada zaman itu. Ini menjelaskan mengapa kota ini sentiasa mampu bertahan dari beberapa pengepungan.

13. Sama seperti dunia hari ini, pada zaman dahulu, sukan adalah budaya yang meluas, malahan, campur tangan orang politik mempengaruhi sukan dalam beberapa cara. Sukan lumba kereta kuda menjadi fenomena di Konstantinopel sehingga membentuk pecahan peminat mengikut warna iaitu kumpulan Biru dan Hijau.

Dalam satu perlumbaan, pasukan biru dan hijau bertempur dalam satu rusuhan yang mengakibatkan Maharaja Justinian I menjatuhkan hukuman bunuh terhadap para penyokong. Dia juga menuntut cukai yang sangat tinggi yang menimbulkan kemarahan para senator dari dua pihak.

Dan dari peristiwa inilah berlakunya rusuhan Nika, para senator dari kedua-dua puak terlibat mengumpulkan para penyokong kedua-dua pasukan semasa dalam satu kejohanan sukan, mereka merancang untuk menggulingkan Justinian I, bahkan telah mencari pengganti untuknya.

Kedua-dua pasukan, melaungkan ‘Nika’ yang bermaksud ‘Kemenangan’ mengumumkan tuntutan mereka kepada maharaja yang pada masa itu menyaksikan rusuhan itu dari istananya.

Maharaja ingin melarikan diri tetapi isterinya memujuknya agar tidak berganjak dan cuba melaga-lagakan dua pasukan itu agar mereka bertempur sesama mereka, di mana, maharaja berjaya melakukannya lalu membalas dendam terhadap mereka, dengan membunuh para senator dan orang-orang yang ingin menjatuhkannya.

14. Sebelum Konstantinopel jatuh ke tangan Uthmaniyah, sudah ada banyak pihak yang cuba menembusi temboknya tetapi gagal. Dalam salah satu pengepungan, tentera Byzantine menggunakan teknologi Api Yunani yang terkenal dengan keupayaannya untuk melancarkan serangan api walaupun di dalam air. Ia digunakan untuk menentang tentera Arab Muslim yang menyerang mereka dari laut.

Api Yunani Empayar Byzantine mempunyai komponen rahsia yang dijaga dengan rapi dan memberi mereka kelebihan berbanding musuh, dan rahsia senjata itu terus kekal rahsia hinggalah ia lenyap bersama-sama pemerintahan Rom dan Byzantine.

15. Bayangkan, anda sedang berada di dalam satu pertempuran ganas, anda berjaya menyekat pencerobohan musuh selama hampir dua bulan, dan kemudian anda terkejut beruk apabila melihat askar musuh berlenggang lenggok dengan selesa memasuki pintu masuk ke dalam kota.

Rupa-rupanya ada pengawal yang terlupa menutup pintu gerbang Kerkoporta, atau lebih tepat lagi, telah berundur dari medan pertempuran tetapi membiarkan pintu gerbang kota terbuka luas, seolah-olah pada hari itu Byzantine mengadakan rumah terbuka dan hanya menunggu sahaja ketibaan Uthmniyah untuk beraya.

16. Selepas kejatuhan Konstantinopel, Sultan Mehmed II telah bertindak menyekat akses perdagangan kerajaan-kerajaan Eropah dengan menutup sepenuhnya Jalan Sutera yang menghubungkan timur dan barat. Ini memberikan kelebihan kepada Uthmaniyah kerana mereka akan mendominasi laluan perdagangan di Laut Kaspia sekaligus menjadikan Konstantinopel sebagai pusat perdagangan yang terpenting.

Namun sekatan ini merunsingkan orang Eropah, sebagai alternatif, mereka akhirnya memilih untuk keluar menggunakan laluan laut dalam, di mana pada titik inilah bermulanya Zaman Penerokaan oleh para pelayar Eropah, penemuan Dunia Baru (Benua Amerika).

Ini sekaligus menjadi asbab yang mendorong bangsa Eropah untuk mengalihkan tumpuan mereka terhadap Selat Melaka, sekaligus menyebabkan bermulanya zaman penjajahan Eropah terhadap kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara, termasuklah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511.


Nak tahu lebih banyak lagi? Beli lah buku Uthmaniyah Di Hujung Jari. Boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh Malaysia atau beli secara atas talian di https://www.thepatriots.store

Ruangan komen telah ditutup.