Impak Ekonomi Perlumbaan Kejuaraan Liga Perdana Inggeris

20

Musim ini, kita melihat persaingan sengit juara bertahan Manchester City dan Liverpool untuk mendapatkan gelaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Kala kita sibuk bersorak dan mempertimbang peluang pasukan kegemaran menang liga atau tidak, ia sebenarnya menjadi pencetus kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah bandar.

Jadi jangan terkejut jika angka sebenar perlumbaan kejuaraan ini bukan bernilai tiga mata bagi setiap perlawanan tetapi 300 juta paun sterling. Ini berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan badan pemikir Pusat Kajian Bisnes dan Ekonomi (CBER) dengan bandar yang menyaksikan perlumbaan ini akan mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 1.1%.

Jika anda penyokong Manchester City (maaf, jiran bising Manchester United), maka bandaraya Manchester akan mendapat pulangan ekonomi sebanyak 220 juta paun sterling. Sementara bandaraya Liverpool pula mendapat pulangan 133 juta paun sterling jika The Reds berjaya menamatkan penantian kejuaraan selama 29 tahun. Perbezaan pulangan ini disebabkan oleh saiz ekonomi Manchester yang lebih besar dan City sendiri mempunyai stadium yang mempunyai kapasiti lebih besar berbanding Anfield.

CBER melihat pulangan ekonomi ini berlaku menerusi hasil perbelanjaan hari perlawanan terutama hasil jualan tiket dan cenderamata hari perlawanan. Jika penyokong tidak bertandang ke stadium sekalipun, mereka masih berbelanja di bandar kelab mereka berpangkalan dan ini juga menjana sentimen positif untuk pengguna berbelanja.

CBER turut melihat impak psikologi sesebuah kelab kepada penyokong. Berdasarkan kajian mereka, sesetengah penyokong melihat kejayaan atau kegagalan sesebuah kelab memberi kesan kepada pencapaian peribadi mereka. Dan sekiranya sesebuah kelab itu berjaya, ia berpotensi menaikkan tahap dopamin dan keyakinan seseorang. Ini menyebabkan mereka merasa lebih yakin untuk berbelanja dan makan angin.

Bagi menyokong analisis mereka, CBER turut melihat kedudukan akhir liga sejak tahun 1999 mempengaruhi pertumbuhan ekonomi bandar yang menjadi pangkalan tiga kelab yang menamatkan kedudukan tiga teratas. Hasilnya, wujud trend purata pertumbuhan sebanyak 1.1% apabila sesebuah kelab berjaya menjadi juara, naib juara dan tempat ketiga (kesemuanya merupakan slot automatik ke Liga Juara-Juara Eropah). Contoh mudah ialah Leicester City di mana perbelanjaan penduduk pada musim mereka bergelar juara bertambah sebanyak 224,000 paun dengan pertambahan perbelanjaan sebanyak 22.6 juta paun untuk sektor perhotelan.

Trend ini tidak terpakai kepada Liga Perdana Inggeris sahaja. Bagi negara-negara yang pernah sampai ke peringkat separuh akhir dan final Piala Dunia, pertumbuhan perbelanjaan pengguna pada tahun Piala Dunia bertambah sebanyak 4.5% berbanding 3.3% pada tahun sebelumnya. Ini didedahkan dalam satu kertas kajian yang dibentangkan Lloyds Bank.

SUMBER 

Davies, Rob. (2019). The Guardian. Premier League race ‘worth hundreds of millions’ to home city. https://www.theguardian.com/business/2019/feb/25/premier-league-race-hundreds-millions-football-home-city

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.