Impak BTS Pada Ekonomi Korea Selatan

779

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Baru-baru ini, kumpulan K-Pop popular BTS mengeluarkan lagu terbaru mereka iaitu Dynamite. Ya, ia menjadi kegilaan ramai peminat K-Pop ketika ini.

Namun siapa sangka lagu yang dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris itu berupaya menjana pendapatan sebanyak 1.7 trilion won (RM5.96 bilion) untuk ekonomi Korea Selatan.

Menerusi Dynamite, ia mengesahkan kedudukan BTS sebagai artis Korea Selatan paling terkenal di dunia. Di Amerika Syarikat misalnya, lagu tersebut membuat kemunculan pertama dengan muncul juara carta Billboard Hot 100.

Ianya sekaligus mengatasi pencapaian Psy dan lagunya, Gangnam Style yang hanya berjaya menjadi naib juara carta berkenaan selama tujuh minggu pada 2012.

Berdasarkan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Korea Selatan, Dynamite juga menjana aktiviti ekonomi bernilai 1.7 trilion won dan mewujudkan lebih 8,000 pekerjaan baru.

Jualan langsung dijangka menyumbang sebanyak 400 bilion won, jualan kosmetik (600 bilion won) dan jualan makanan dan minuman (180 bilion won).

Anggaran ini dibuat selepas menganalisis jualan yang dibuat syarikat label BTS, Big Hit Entertainment dan statistik dari Jabatan Kastam Korea Selatan, Bank of Korea dan data Google Trends.

Bagaimanapun, analisis itu tidak memasukkan pelancongan asing berikutan sekatan perjalanan yang dikenakan akibat pandemik Covid-19. Keputusan sekatan itu juga menyebabkan beberapa konsert yang dirancang terpaksa dibatalkan.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, “Sekiranya kami memasukkan anggaran pendapatan pelancongan, kami menjangkakan kesan ekonomi negara juga akan menjadi lebih kuat.” Kementerian turut menambah ia boleh meningkatkan lagi imej dan nilai jenama negara itu di pentas dunia.

K-Pop dan drama Korea merupakan salah satu daripada eksport budaya Korea Selatan yang paling berjaya. Salah satu komponen utama gelombang Hallyu sejak 20 tahun lepas, industri itu kini bernilai AS$5 bilion (RM20.82 bilion).

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.