Ilmuwan Salaf Abbasiyah : Bumi Itu Bulat!

896
views

Beberapa orang sahabat pernah meminta pendapat saya tentang kontroversi “flat earth” (bumi leper).

Memang dalam Al Quran tidak ada dalil qat’ie tentang bentuk muka bumi. Para ulama berdalilkan secara zhon perkataan يُكَوِّرُ dalam surah Az Zumar : 5 untuk menyokong pendapat bahawa bumi ini bulat.

Namun sebelum kurun ke-3 Hijrah (sekitar 200 Hijrah/ 800 Masihi), Khalifah Abbasiyah iaitu Khalifah Ma’mun (wafat 218 H) pernah mengumpulkan pakar-pakar ilmu falak dan geografi di Baitul Hikmah untuk membuat peta dunia.

Ternyata para ilmuwan Abbasiyah ini telah membuat sebuah glob bagi membuktikan bumi ini bulat. Peta Alam Melayu/ Nusantara turut dilakarkan dalam glob ini.

200 tahun setelah itu, seorang ulama Andalusia iaitu Ibn Hazm telah menulis dalam sebuah kitab yang bertajuk “Al Fasl fil Milal Wal Ahwa Wan Nihal dalam bab penjelasan tentang bulatnya bumi bahawa:-

“Sesungguhnya tidak ada seorang pun dari ulama kaum Muslimin yang berhak menyandang gelaran imam dalam ilmu agama -semoga Allah meredhai mereka- yang mengingkari bahawa bumi itu bulat, dan tidak dijumpai bantahan atau satu kalimat pun dari salah seorang dari mereka tentangnya. Bahkan Al Quran dan Sunnah telah menguatkan hujah tentang bulatnya bentuk bumi”.

100 tahun berikutnya, seorang ahli geografi Islam yang ulung iaitu Muhammad Al Idrisi telah mengajar Eropah tentang bulatnya bentuk bumi. Al Idrisi menukilkan dalam kitab Nuzhat Al Mushtaq Fi’khtiraq Al Afaq bahawa:-

“Bumi itu berbentuk bulat seperti bulatnya bola. Sedangkan air menempel di atasnya dan tidak tumpah di atasnya secara semulajadi dan tidak terpisah dari padanya.”

Tulisan Al Idrisi ini juga membuktikan bahawa beliau telah menerangkan tentang graviti secara tidak langsung 600 tahun sebelum Isaac Newton.

Selain itu, Al Idrisi juga telah membuat sebuah peta glob daripada perak seberat 400 kg dan dihadiahkan kepada King Roger II, Raja Sicily. Al Idrisi turut melakarkan peta Alam Melayu di dalam peta glob ini.