Ilmu Tabib: Khazanah Perubatan Peradaban Melayu

0
1004
views

Ilmu Tabib, itulah nama bagi sebuah manuskrip kitab Perubatan Melayu yang agak ringkas namun padat dengan pelbagai petua dan teknik rawatan. Ia dialih tulisan daripada Jawi kepada Rumi oleh A. Samad Ahmad di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).Walaupun tamadun Melayu kaya dengan ilmu perubatan, namun tidak banyak tinggalan yang masih kekal. Antara faktor utamanya ialah warisan turun-temurun yang kurang ditulis dan dibukukan secara formal.

Manakala tulisan-tulisan yang ada, kebanyakannya telah diambil oleh penjajah dan dibawa balik ke negara mereka. Yang berbaki hanya beberapa manuskrip yang masih ada di Tanah Melayu.Manuskrip Ilmu Tabib ini merupakan naskah salinan daripada kitabnya yang asal. Tidak dapat dipastikan sudah berapa kali ia disalinsebarkan, boleh jadi manuskrip ini salinan atas salinan. Berdasarkan catatan pada manuskrip ini, ia siap disalin pada bulan Syawal 1288H, iaitu sekitar bulan Disember 1871.

Pada awal kitab ini diperturunkan dua asas ilmu perdukunan iaitu Rijalul Ghaib dan Ilmu Betara Guru. Rijalul Ghaib merujuk kepada empat bersahabat yang bersifat ghaib. Fungsi Rijalul Ghaib ini adalah untuk membantu dukun dalam merawat penyakit. Konsepnya sama sepertimana dalam Sufisme yang turut menyatakan kewujudan ‘hierarki ghaib’ yang terdiri daripada wali-wali seperti Abdal, Aqtab dan Ghaus.

Rijalul Ghaib ini mempunyai aspek ruang dan masanya yang tersendiri, atau disebut sebagai “Langkah Rijalul Ghaib”. Contohnya seperti;

“Pada tiga likur haribulan di utara; pada empat likur haribulan di tenggara” pada lima likur haribulan di barat daya; pada enam likur haribulan di selatan; pada tujuh likur haribulan di timur tepat; pada delapan likur haribulan di timur laut; pada sembilan likur haribulan di timur tepat; pada tiga puluh haribulan di utara.”

Ilmu Betara Guru pula menyebutkan cara untuk memperoleh kebolehan dan keistimewaan yang khusus untuk merawat penyakit fizikal atau spiritual seperti kerasukan dan gila. Terdapat amalan tertentu yang perlu dilakukan dan bahan-bahan tertentu perlu disediakan. Ada bacaan yang perlu diamalkan selama 40 hari iaitu;

“Hei Bismi aku tahukan asalmu daripada embun setitik, tiga cahaya, tiga rupa, tiga nama; Itam Bisma namanya. Namasa merah Barhama namanya. Bambam kata Allah, bisa tawar, tajamnya tumpul, sakitnya sembuh. Assalamu alaikum Sheikh Abdul Kadir Jailani; assalamu alaikum Sheikh Abdul Rahman yang di kananku. Assalamu alaikum Quran dan Taurat di kiriku; Raja Darul Ghani tolonglah aku, keramatlah aku dengan kuasa Allah, dengan berkat Lailaha illallah Muhammadar Rasulullah.”

Selain daripada kenyataan-kenyataan perubatan, kitab ini turut memuatkan pelbagai kisah menarik seperti kisah “Pendapat Empat Tabib yang Berbeza”.

Analisis kitab ini secara sistematik boleh dibahagikan kepada dua, iaitu aspek teoretikal dan aspek praktikal. Antara aspek teoretikal yang dinyatakan dalam kitab ini ialah asas Fisiologi seperti struktur asas manusia yang terdiri daripada empat unsur iaitu;

Waqaf Saham

1. Api – Panas dan Kering
2. Angin – Panas dan basah
3. Air – Sejuk dan basah
4. Tanah – Sejuk dan Kering

Keempat-empat unsur ini dimasyhurkan oleh Tan Sri P. Ramlee melalui karya perfileman beliau dengan istilah “Mambang”. Campuran unsur-unsur ini menghasilkan empat jenis cecair tubuh iaitu;

1. Dam (Darah) – Panas dan Basah
2. Balgham (Kahak) – Sejuk dan Basah
3. Safra’ (Hempedu Kuning) – Panas dan Kering
4. Sauda’ (Hempedu Hitam) – Sejuk dan Kering

Daripada cecair-cecair inilah lahirnya pelbagai organ kerana ia kaya dengan pelbagai nutrien. Beberapa istilah ini disebut secara tidak tepat oleh pengalih tulisan manuskrip ini, mungkin atas faktor penguasaan Bahasa Arab yang terhad atau ketidakjelasan pada manuskrip.

Aspek teoretikal lain yang dinyatakan ialah Patologi (penyakit), Etiologi (punca penyakit) dan Simptomatologi (tanda penyakit). Terdapat pelbagai jenis penyakit yang dinyatakan, namun ada lapan jenis yang istimewa iaitu Aksinat, Ayutat, Sonitat, Salitat, Badiaturtat, Aturtat, Aputat dan Piutat.

“Fasal ini menyatakan penyakit aksinat, perangainya panas, penyakit dewa ayutat perangainya muntah, penyakit sonitat itu perangainya selap, penyakit tuarus itu perangainya kelu mata, tiada khabar diri, lemah kakitangan, dan penyakit salitat jadinya penyakit itu sebab bekerja berat dan sebab main dan berhujan, galak mencucuk kedua lambungnya dan hulu hatinya. Adapun penyakit badiaturtat itu, perangainya gementar tubuhnya sekalian, penyakit aturtat perangainya sengkak ari- ari dan keras belikatnya serta sedum sebab duduk lama dan sejuk. Penyakit aputat pula perangainya lemah kakitangan segenap sendi, sangat suka tidur siang, dan penyakit piutat itu perangainya sengal pergelangan kakitangan, sejuk, sakit pinggang dan belikat, tiada boleh duduk lama.”

Aspek praktikal yang ditekankan ialah aspek perawatan. Ia dikelaskan dengan cara yang agak sistematik sepertimana dalam Perubatan Moden. Setiap organ dinyatakan penyakitnya dan kaedah merawatnya.

Penyakit-penyakit yang disebutkan dalam kitab ini tidak terhad kepada penyakit yang ringkas dan mudah sahaja seperti demam dan batuk, penyakit yang kritikal seperti barah (kanser) juga dinyatakan bersama cara merawatnya, begitulah juga dengan penyakit kategori ortopedik.

Perawatan penyakit yang diketengahkan oleh penulis kitab ini tidak tertumpu kepada ubatan mineral, tumbuhan dan haiwan semata-mata, bahkan penggunaan kaedah spiritual turut dimuatkan seperti mantera, azimat, rajah dan wafak. Berikut merupakan contoh mantera untuk kepatahan;

“Bismillahir Rahmanir Rahim! Hong tujang belulang akan aku, apa guna dulang sedulang, urat bertemu daging; bertemulah tulang si……. (nama pesakit) yang patah; seperti ular telan-menelan, berkat kalimah Lailaha ilallah Muhammadur Rasulullah.”

Sesetengah penilai mungkin terus menghukum perkara-perkara sebegini sebagai khurafat, bid’ah, tahyul dan syirik. Namun, pendekatan yang ilmiah, akademik dan saintifik adalah lebih relevan dalam mengkaji dan menganalisis isi kandungan kitab ini.

Kesimpulannya, Perubatan Melayu terbina atas gabungan dan campuran pelbagai corak pemikiran, ia mengandungi unsur-unsur daripada Sufisme, Arab, Yunani dan juga Hinduisme. Kajian lanjut boleh dijalankan atas pelbagai manuskrip Perubatan Melayu yang masih ada. Kandungannya boleh dibangunkan dan disumbangkan dalam sistem perubatan semasa dengan pelbagai penambahbaikan. Inilah ulasan ringkas mengenai Kitab Ilmu Tabib.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here