Ilmu Bedil Alam Melayu Nusantara

812

Ramai yang skeptik bilamana ada sejarawan yang menyebut, satu masa dahulu Melaka adalah satu kesultanan di Nusantara yang telah mendepani aspek pertahanan yang maju dengan menggunakan senjata api. Sangkaan hasil dari doktrin sejarah yang salah ke atas masayaarakat kita di mana, Melaka jatuh ke tangan Portugis kerana sistem pertahanan yang mundur adalah salah dan tidak tepat sama sekali.

Rekod dari sejarawan Portugis ada menyebut bagaimana penawanan Kota Melaka adalah satu tugas sukar untuk pasukan ekpedisi kolonial Portugis yang diterajui Alfonso D`Albuqurque dimana Kota Melaka dilindungi oleh perajurit dan perwira yang mahir mengendalikan pelbagai jenis senjata api, khususnya lela rentaka, meriam dan istinggar. Selepas jatuhnya Kota Melaka ke tangan Portugis, pihak mereka telah menemukan sejumlah besar senjata api – lebih kurang 3000 sehingga 8000 pucuk senjata api dirampas menurut catatan De Burros dalam rekodnya yang diolah oleh John Crawfurd dalam buku yang bertajuk A Descriptive Dictionary of Indian Islands and Adjacent Countries.

Begitu juga catatan Godinho Eredia dalam naskah Asia Portugueza dan catatan Manuel de Faria Y. Souza bertajuk Portuguese History of Malacca yang menyebut Melaka mempunyai 3000 pucuk meriam ketika pihak Portugis memasuki kotanya, dan dianggarkan lebih 5000 pucuk telah dibawa lari ketika sultan mengarahkan pengunduran. Albuquerque turut menyebut dalam nukilan Manuel de Faria Y. Souza bahawasanya merima yang ditemukan adalah diperbuat dari tembaga dan besi, serta kualitinya adalah sangat baik berbanding meriam yang digunakan oleh Portugis pada ketika itu.

Ketika cubaan menawan muara Sungai Melaka, pihak Portugis mengalami kemalangan jiwa yang tinggi akibat bedilan meriam dan rentaka dari pihak Melaka, lantas mereka terpaksa mencari jalan halus untuk menumbangkan pertahanan Kota Melaka yang sangat utuh dek dinding kota yang mengelilingi kawasan pelabuhan dan meriam yang ditempatkan dibaluarti untuk menghalang sebarang ancaman murka.

Malah, dalam ekspedisi menawan semula Kota Melaka oleh kuasa serantau Nusantara juga disebut akan penggunaan meriam untuk membedil dan mengepung kota Melaka. Terdapat lakaran Rekod Portugis mengenai pengepungan Melaka pada tahun 1568 oleh Kesultanan Acheh yang diterajui Sultan Alauddin memperlihatkan kehadiran bateri meriam bersama-sama 300 buah kapal dan 15 000 orang perajurit pelbagai bangsa.

Dalam rekod lakaran tersebut, dapat dilihat dua trajektori peluru meriam yang tersasar namun jelas, Acheh sepertimana kuasa serantau Nusantara lain sudah memiliki persenjataan bedil dan menggunakan ia sepenuhnya untuk melumpuhkan pertahanan Portugis Melaka. Malahan sebelum ekspedisi Acheh, pengepungan dilaksanakan oleh Sultan Mahmud dan kemudian oleh Sultan Alaudin Riayat Shah II yang mengambil alih takhta dan membuka Kesultanan Johor turut melibatkan penggunaan meriam.

Rekod dari Portugis ini jelas menunjukkan bahawasanya, bangsa kita telah lebih awal mendepani dan menguasai ilmu pembuatan senjata api, malah hub pembuatan senjata api seperti pemuras, istinggar dan rentaka dikesan telah wujud lebih awal. Terengganu dan Pahang disebut sebagai hub utama pembuatan senjata api bagi Tanah Melayu, manakala Minangkabau di Sumatera menjadi pusat bagi pembuatan diwilayah sebelah barat Selat Melaka. Penyebaran senjata api Nusantara ini turut dikesan di kepulauan Jawa yang menjadi pusat pembuatan utama bagi rantau sebelah timur Nusantara.

Malah jika melihat rekod yang lebih terkini, seperti yang disebut oleh Pegawai British di Melaka, Thomas John Newbold dalam tulisannya, Political and Statistical Account of The British Settlements In The Straits Of Malacca: “Tidaklah menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu lengkap bertanjak dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api seperti istinggar.’ Ini jelas menunjukkan, orang Nusantara dan senjata api saling berkait rapat sepertimana juga keris.”

Ungkapan Edward Monckton pada 1722 juga menyebut Sultan Melayu termasuk Sultan Kedah memiliki senjata api yang mampu menghalau semua orang Eropah dari India sekiranya mereka tahu menggunakannya, namun sayang sekali persenjataan yang hebat sedemikian akhirnya tumpas dengan permainan politik licik dan halus serta pecah belah dalam kalangan pembesar Melayu pada ketika itu.

Mungkin ramai yang akan menganggap bahawa senjata api seperti pemuras, rentaka, lela dan mahalela, istinggar dan terakol ini sebagai satu istilah yang baharu namun nama-nama ini telah pun disenaraikan didalam buku teks sejarah sekolah menengah kita sejak dahulu lagi. Bagaimanapun deskripsi khusus mengenai rupabentuk dan kegunaan setiap persenjataan ini tidak disebuntukan dengan lebih lanjut maka ia hilang dari pandangan dan memori pelajar sekolah kita sehinggakan ada yang menganggap ia sebagai satu cubaan menutup sejarah bangsa kita.

Kita ambil contoh rentaka, yang merupakan sejenis meriam ringan digunakan dengan meluas sebagai senjata pertahanan yang fleksible, khususnya ditempatkan diatas geladak kapal. Sifatnya yang boleh ditempatkan pada satu paksi dan berputar pada semua arah menjadikan ia senjata pilihan para pelaut saudagar.

Lakaran mengenai penggunaan rentaka pada kapal atau prahu ini boleh kita lihat pada karya Rafael Monleón (1840-1900), dalam Historia De La Navigación, di mana salah satu lakarannya yang bertajuk “Parao Mercante” yang membawa maksud perahu saudagar atau perahu dagang jelas menunjukan kelengkapan senjata yang merupakan meriam rentaka.

Dalam lakaran tersebut, terdapat 3 pucuk rentaka ditempatkan di atas perahu tersebut – satu dibahagian lambung kanan, terletak dibelakang okok – bangau. Rentaka yang kedua ditempatkan dihadapan pintu kekota, selari dengan haluan kapal manakala rentaka yang ketiga ditempatkan pada kekota belakang tepat diatas papan edek.

Lakaran lain Rafael Monleón yang lain bertajuk “Panco Pirata Malayo”  atau Penjajap Lanun Melayu pula menunjukkan kapal penjajap yang digunakan dengan meluas di Alam Melayu dimana ia dilengkapi puluhan dayung serta layar dan sering digunakan untuk tujuan kombat.

Pada lakaran “Panco Pirata Malayo” ini kita dapat teliti akan adanya sepucuk meriam yang ditempatkan di bahagian lambung dan dilindungi dengan kekota berpapan tebal, untuk melindungi pengendali meriam dari serangan balas pihak lawan. Perahu ini dilengkapi satu layar tanjak besar dibahagian tengah dan mempunyai puluhan dayung dibahagian kiri dan kanan.

Begitu juga dengan lakaran “Parao Pirata Del Mar Del Borneo” atau terjemahannya Perahu Lanun Laut Borneo oleh Rafael yang mempunyai ciri yang hampir serupa dengan “Parao Pirata Malayo” dengan perbezaan perahu tersebut mempunyai tiga tiang layar, dan persenjataan yang dibawa terdiri dari satu meriam yang ditempatkan dibahagian lambung dan dilindungi kekota berpapan kayu tebal dan diapit oleh dua rentaka. Dalam lakaran Rafael, kedua-dua rentaka ini disebut sebagai “Lantacas” dan ia ditempatkan diatas papan tebal dibahagian kiri dan kanan, tinggi sedikit dari kedudukan meriam yang ditempatkan diatas geladak.

Dari susun atur senjata pada dua perahu ini dapat disimpulkan bahawa kegunaannya menjurus kepada menyerang secara berhadapan, berbeza dengan kebanyakan geliung Eropah yang dibina dengan menempatkan meriam pada bahagian geladak kiri dan kanan.

Perahu Borneo ini berbentuk lebih larus berbanding perahu Melayu, dengan bahagian kekota buritan dibina tertutup dan bersambung terus sehingga ke layar tengah. Dengan adanya tiga tiang layar tanjak, dua layar utama dibahagian lambung hadapan dan tengah serta satu layar tanjak kecil dibahagian buritan, perahu ini tidak memerlukan pendayung yang ramai dan membolehkan ia bergerak lebih pantas dengan bantuan angina.  

Jelas, penggunaan meriam dan rentaka dalam perkapalan bukan juga sesuatu yang baharu atau mulai meluas selepas kejatuhan Melaka.

Tidak cukup dengan senarai persenjataan yang pelbagai ini, kalangan sejarawan negara kita melalui jurnal yang bertajuk “Manuskrip Ilmu Bedil sebagai sumber Etnosejarah Teknologi Senjata Api Melayu” nukilan Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah dan Siti Radziah Mustafa dari Universiti Malaya menekankan akan adanya manuskrip ilmu bedil merupakan sumber maklumat peribumi yang penting untuk mengungkapkan tentang teknologi senjata api yang pernah dipraktikkan oleh orang Melayu suatu ketika dahulu.

Manuskrip-manuskrip Melayu yang menghuraikan tentang kaedah penggunaan senjata api dan bedil adalah himpunan karya yang berbentuk pedoman, dimana manuskrip ini menyentuh tentang ilmu senjata api, khususnya kaedah penggunaan istinggar dan terakul. Manuskrip “Ilmu Bedil” dan manuskrip “Petua Menembak Meriam Istinggar” menurut jurnal artikel Universiti Malaya ini mengandungi huraian khusus mengenai istinggar, teknik pengendalian dari segi posisi penggunaan, kaedah mengisi peluru dan ubat bedil termasuk sukatan ubat bedil dan berat peluru selain ia turut memaparkan kaedah membidik menggunakan sistem pejera bagi meningkatkan keberkesanan penembakan, konsentrasi pembidikan, pengenalan berkenaan bahagian-bahagian pada istinggar dan terakul serta ilmu dan kaedah teori mengenai  alam ajsam, alam misal, alam arwah, alam insan dan kaitan dengan proses menembak, falsafah tentang postur badan (Rukun 12), pemupukan konsentrasi , konsep pengetahuan dan kuasa tembak serta pemupukan keyakinan menembak dengan menjaga hati.

Manuskrip tersebut turut mengketengahkan kaedah membuat peluru secara fizikal. Menariknya, terdapat juga kaedah spritiual yang harus diikuti bersama teknik menembak yang bersepadu dengan ritual melalui penggunaan azimat dan juga mantera. Suatu keistimewaan “Petua Menembak Meriam Istinggar” yang tiada pada teks-teks lain adalah keterangan berhubung sukatan bahan sendawa (kalium nitrat), belerang (sulfur) dan arang untuk membuat ubat bedil serta kaitannya dengan jarak tembakan. Manuskrip bedil Melayu ini turut mengandungi teks yang menekankan tentang konsep dan falsafah tembakan yang dihubungkan dengan elemen metafizik tasawuf dan kepercayaan warisan orang Melayu yang dizahirkan menerusi ritual.

Selain “Petua Menembak Meriam Istinggar” dan “Ilmu Bedil”, manuskrip lain yang turut menyentuh hal penggunaan senjata api yang dipetik oleh artikel Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah dan Siti Radziah Mustafa antaranya adalah “Mentera Menembak” , “Petua Menembak”, “Azimat” dan “Kitab Tib”. Manuskrip-manuskrip ini lebih detail dan tidak hanya menceritakan secara permukaan mengenai penggunaan senjata Alam Melayu, seperti mana yang ada dalam karya Tuhfat al-Nafis, Hikayat Siak, Hikayat, Pahang, Sayaair Perang Mengkasar.

Jelas, manuskrip Melayu berkenaan ilmu pembuatan dan penggunaan senjata api yang sekelumit ini sahaja telah membuka ruang kajian yang lebih luas berkenaan sejarah penduduk Nusantara yang lebih awal mengendalikan senjata api serta lengkap dengan rujukan khusus mengenai pembuatan peluru, konsep teknikal penggunan senjata tersebut dan bahan yang digunakan khusus untuk senjata api tersebut.

Kalangan sejarawan kita telah berusaha untuk mendapatkan kembali artifak senjata api bangsa Melayu yang kebanyakannya disimpan oleh pihak kolonial kita yang terdahulu. Antaranya Istinggar Melaka atau Malacca Matchlock yang dibeli oleh Pengarah Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Pauzi Abd Latif dari Portugal yang berharga puluhan ribu dollar, membuktikan ia adalah artifak yang sangat berharga.

Banyak lagi artifak serta manuskrip warisan bangsa yang masih lagi disimpan oleh kolonial asing dah usaha membawa pulang khazanah negara ini harus dipergiat lagi. Walaubagaimanapun, kesan sejarah penggunaan senjata api di alam Melayu masih boleh dilihat didalam negara. Contohnya, Muzium Negara mempamerkan beberapa laras rentaka dipintu hadapan galeri Nusantara, dan juga di dalam galeri tersebut terdapat sepucuk meriam naga yang digunakan oleh masyarakat Borneo, selain beberapa pucuk meriam-meriam lela milik Kesultanan Melayu di Malaysia.

Peninggalan senjata api di alam Melayu juga tersimpan di muzium negeri seluruh Semenanjung Malaysia, antaranya Kota Melawati dan Kota Tanjung Keramat yang terletak di Kuala Selangor dimana kota ini mulai dibina sewaktu pemerintahan Tun Mahmud, anakanda Sultan Mahmud yang merupakan sultan terakhir Melaka.

Kota Melawati yang mulai dibina dan diduduki sejak abad ke 16 itu diperkukuh dindingnya dengan batuan serta baluarti meriam, yang menghala ke muara sungai Selangor dan Selat Melaka. Kota Melawati, menurut catatan Belanda pada ketika ia diduduki oleh Sultan Ibrahim Shah, yang merupakan Sultan Selangor yang kedua. Kota itu memiliki 68 pucuk meriam, manakala kota kedua di Tanjong Keramat dibina untuk melindungi rusuk Kota Melawati dari serangan laut.

Dalam siri Perang Musuh Bisik juga terdapat rekod yang menyebut Kedah turut mempunyai sejumlah besar senjata api berupa meriam untuk mempertahankan kota dari serangan Siam, namun ia tidak dapat digunakan akibat perbuatan sabotaj.

Sementara itu di Borneo, penggunaan meriam oleh masyarakat tempatan juga amat meluas khususnya sebagai persenjataan melindungi perahu dan kota. Rentap dalam usahanya melawan penguasaan Rajah Putih Brooke turut menyimpan sepucuk meriam bernama Bujang Timpang Berang sebagai senjata pertahanan Bukit Sadok.

Bujang Timpang Berang yang digandingkan dengan dinding kubu yang diperbuat dari kayu tebelian yang tebal dan tidak lut dek peluru senapang dan istinggar orang putih menyukarkan ekspedisi Brooke untuk menawan Bukit Sadok dan menundukkan ancaman Rentap keatas penguasaan Brooke di Sarawak, jelas penggunaan senjata api oleh masyarakat tempatan Nusantara sewaktu era Kolonial juga tidak kurang hebatnya.

Jelas, terdapat lebih banyak contoh dan bukti pengunaan senjata api dan bedil di Nusantara khususnya sebelum kedatangan pihak kolonial Eropah di rantau sebelah sini, dan ini menafikan dakwaan sejarawan pro-orientalis dan momokan sesetengah pihak bahawa orang kita langsung tidak tahu dan kenal senjata api walhal ilmu itu sebati menjadi sebahagian budaya bangsa.

Jika orang dulu bisa menghasilkan senjata api yang terbaik, kenapa sekarang tidak?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.