Ketika PKP di bulan Ramadan ini, al-Faqir sangat gembira melihat banyak usaha dari pelbagai pihak untuk mengajak masyarakat mempelajari bacaan al-Quran. Banyak rancangan sama ada di TV mahupun live media sosial yang membudayakan pengajian al-Quran. Lebih menyentuh hati al-Faqir lagi, golongan artis pun turut sama menyertai budaya ini. 

Melihat kepada program-program seumpama ini, al-Faqir teringat kepada satu rancangan TV yang sangat popular suatu ketika dahulu iaitu “Akademi al-Quran”. Di situ, kita selalu dengar juri sering berkata kepada para peserta, “Sila baca Surah al-Anfal dari ayat 64 dengan Riwayat Warsy… Dengan menggunakan Tarannum Bayyati, Nahawand dan Rast”.

Apakah maksud yang diminta oleh juri ni semua?

Ini adalah disiplin dalam seni ilmu al-Quran. Al-Faqir ada menulis tentangnya sebelum ini antaranya dalam artikel berkaitan sejarah penulisan Khat dan pembukuan al-Quran, sejarah Resm Uthmani, perbezaan penulisan al-Quran Majid dan al-Quran Karim serta sejarah Muqaddam, Qiraati & Iqra. Namun, artikel kali ini al-Faqir ingin berkongsi dengan lebih mendalam. Untuk membaca artikel lepas, boleh rujuk di akaun al-Faqir iaitu https://instagram.com/khairiasyraf_17 .

Antara Ilmu al-Quran yang akan dibahaskan dalam artikel kali ini adalah seperti ilmu Tafsir, Ilmu Tarannum, Ilmu Tajwid dan Ilmu Qiraat. Berikut merupakan penerangan ringkas tentang ilmu-ilmu tersebut.

ILMU TAFSIR

Ilmu Tafsir adalah berkenaan huraian ayat al-Quran untuk difahami makna isi kandungannya. Tafsir al-Quran adalah TIDAK SAMA dengan Terjemahan al-Quran. Terdapat beberapa kaedah dan jenis Tafsir al-Quran iaitu antaranya adalah Tafsir bil Ma’thur, Tafsir bil Ra’yi serta Tafsir bil Isyari.

Untuk melayakkan seseorang itu boleh menafsir al-Quran, perlulah dikuasai beberapa cabang ilmu antaranya Ilmu Lughah (filologi), Nahu, Saraf, Isytiqaq, Balaghah (Maani, Bayan, Badi’), Qiraat, Akidah, Usul Fiqh, Asbabul Nuzul, Nasikh Mansukh, Fiqh, Hadis dan Tasawwuf. Jika belum menguasai ilmu Tafsir, orang awam boleh Tadabbur atau mengambil ibrah dari ayat al-Quran yang mudah difahami.

ILMU TARANNUM

Ilmu Tarannum atau al-Nagham atau Al-Maqamat adalah berkenaan irama ketika mengalunkan bacaan al-Quran. Ilmu ini berkait rapat dengan Fasohah, Harakat, Tabaqah di dalam Musabaqah atau Tilawah al-Quran. Untuk mentilawah al-Quran terdapat beberapa Maratibnya iaitu Tahkik, Tartil, Tadwir dan Tahdir.

Pembacaan al-Quran oleh Qari dan Qariah juga memiliki gaya bacaan tersendiri iaitu sama ada Misri, Hijazi, Iraqi, Kurdi atau Ajami. Namun, gaya bacaan yang paling masyhur di Malaysia adalah mengikut gaya Misri. Gaya bacaan ini pula memiliki beberapa jenis Tarannum iaitu Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah. Tarannum al-Quran bukanlah boleh direka sewenang-wenangnya kerana ia dibentuk dari disiplin ilmu Tajwid jua.

ILMU TAJWID

Ilmu Tajwid adalah berkenaan pengenalan tempat bagi tiap-tiap huruf atau Makhraj serta sifat-sifat huruf itu seperti jelas atau tersembunyi dan sifat-sifat luar huruf tersebut seperti panjang, pendek, tebal, tipis dan sebagainya.

Ilmu Tajwid kita pelajari tentang Makhraj atau tempat keluarnya sebutan huruf. Antaranya seperti Halqi (kerongkong), Lisani (lidah), Syafawi (bibir), Jaufi (rongga mulut) dan Khaisyum (rongga hidung).

Ilmu Tajwid juga kita pelajari tentang Izhar, Iqlab, Idgham dan Ikhfa dari hukum Nun mati dan Tanwin serta Mim mati. Juga kita pelajari hukum Mim Sabdu dan Nun Sabdu, hukum Alif Lam Makrifah merangkumi Syamsiah dan Qamariah, Hukum Idgham, Hukum Mad, Hukum Ra, Qalqalah, Waqf-Wasl.

Ilmu Tajwid juga mengajar tentang bacaan gharib (ganjil) pada ayat-ayat tertentu dengan mengenali hukum-hukum seperti Imalah, Isymam, Saktah, Tashil, Naql, Badal dan Silah. Ilmu Tajwid ini terbentuk dari ilmu Qiraat. Terkadang, lain Qiraat bacaan al-Quran, maka lain hukum Tajwidnya.

ILMU QIRAAT

Ilmu Qiraat adalah berkenaan cara menyebut kalimah-kalimah al-Quran. Terdapat 14 jenis Qiraat di mana 7 daripadanya dikenali sebagai Qiraat Mutawatir. 3 Qiraat lagi dikenali sebagai Qiraat Masyhur. Gabungan 7 Qiraat Mutawatir atau Qiraat Sab’ah dengan 3 Qiraat Masyhur menjadikan Qiraat Asyarah atau Qiraat 10.

Manakala baki 4 lagi Qiraat dipanggil Qiraat Syadz. Qiraat Mutawatir dan Qiraat Masyhur boleh dibaca di dalam Solat manakala Qiraat Syadz adalah diharamkan untuk dibaca di dalam solat. Setiap Qiraat ini diambil dari bacaan Imam-Imam Qiraat di zaman Salafus Soleh secara bersanad hingga sampai kepada Rasulullah.

Setiap Qiraat ini juga diriwayatkan pula oleh sekurang-kurangnya dua perawi terkenal yang merupakan murid kepada Imam-Imam Qiraat tersebut. Berikut merupakan jenis Qiraat serta Diwayat dari para perawinya di dalam kurungan :-

Qiraat Mutawatir :
– Nafi’ al-Madani (Qalun dan Warsy)
– Ibn Kathir al-Makki (al-Bazzi dan Qunbul)
– Abu Amr al-Basri (ad-Duri dan as-Susi)
– Ibn Amir ad-Dimasyqi (Hisyam dan Ibn Dzakuan)
– Asim al-Kufi (Syu’bah dan Hafsh)
– Hamzah al-Kufi (Khalaf dan Khallad)
– Kisaie al-Kufi (Abul Harith dan ad-Duri)

Qiraat Masyhur :
– Abu Jaafar (Ibn Wirdan dan Ibn Jummaz)
– Yaakub al-Yamani (Ruways dan Rawh)
– Khalaf (Ishaq dan Idris)

Qiraat Syadz :
– Hassan al-Basri (Syuja’ dan ad-Duri)
– Ibn Muhaisin (al-Bazzi dan Ibn Syambudz)
– Al-Yazidi (Ibn al-Hakam dan Ibn Farh)
– A’masy (al-Hassan dan Abul Farj)

Pada zaman kini, terdapat beberapa Qiraat yang masih dibaca oleh umat Islam di seluruh dunia. Berikut adalah statistiknya :

– 0.3% ikut Qiraat Abu Amr, Riwayat ad-Duri
– 0.7% ikut Qiraat Nafi’, Riwayat Qalun
– 1% ikut Qiraat Ibn Amir
– 3% ikut Qiraat Nafi’, Riwayat Warsy
– 95% ikut Qiraat Asim al-Kufi, Riwayat Hafsh

Dari statistik ini, jelas menunjukkan majoriti umat Islam kini membaca al-Quran mengikut Qiraat Imam Asim al-Kufi dengan riwayat Imam Hafsh. Sanad bacaan dari riwayat Imam Hafsh ini kemudiannya diwarisi lagi melalui Toriq tertentu. Jika dikira kesemua jumlah jenis bacaan dari Qiraat, Riwayat dan Toriq, lebih dari 1000 cara bacaan dapat kita ketahui. Namun, yang masyhur dicatat bagi setiap Qiraat hanyalah 2 Riwayat dan setiap Riwayat pula dicatat hanya 2 Toriq.

Ulama yang masyhur dalam mengumpul Toriq-Toriq bacaan adalah Imam Syatibi dan Imam Jazari. Dari kedua Imam ini, Imam Syatibi adalah lebih masyhur. Oleh itu, majoriti umat Islam kini mengambil sanad al-Quran melalui Qiraat Asim al-Kufi, Riwayat Hafsh dan Toriq Syatibi.

Nama penuh Imam Syatibi ialah al-Qasim bin Firruh bin Ahmad bin Khalaf bin Abu Qasim Muhammad al-Syatibi al-Andalusi. Beliau bermazhab Syafie dari segi Fiqh dan bermazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengikut manhaj Imam Abul Hassan al-Asyaari dari segi Akidah. Ini bermakna selain majoriti ulama Akidah, Fiqh, Tasawuf, Tafsir dan Hadis, sanad ulama Qiraat al-Quran juga dipelopori oleh mazhab Asyairah-Maturidiah dari segi Akidahnya. Begitulah agungnya mazhab Imam Ahlus Sunnah Wal Jamaah ini.

Artikel ringkas ini tidak mampu memuatkan kesemua tentang lautan ilmu al-Quran. Ianya merupakan kesinambungan artikel-artikel lepas yang boleh dirujuk di https://instagram.com/khairiasyraf_17 . Insyallah, al-Faqir akan hurai lagi berkenaan sejarah dan cabang ilmu al-Quran secara lebih mendalam dalam artikel yang lain.

Apa yang lebih penting, budaya membaca al-Quran perlulah diteruskan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa ikon Qari dan Qariah sangat diperlukan buat masa ini bagi melahirkan generasi pencinta al-Quran. Ayuh perbanyakkan bacaan al-Quran pada 10 malam terakhir Ramadhan ini. Moga kita berjaya menemui Laylatul Qadr dan keluar dari madrasah Ramadhan dengan mendapat Rahmah, Maghfirah dan pelepasan dari azab neraka.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.