Ikan Finding Nemo Sebenarnya Khunsa

494

Pernah tengok tak filem animasi Disney Finding Nemo?

Tahu tak bahawa ikan badut atau clownfish ini sebenarnya khunsa? Bermaksud, ikan ini mempunyai organ pembiakan bagi kedua-dua jantina (jantan dan betina).

Sebelum aku terangkan lebih mendalam, izinkan aku bagi sikit introduction tentang ikan badut ini terlebih dahulu. Ikan badut tergolong dalam famili Pomacentridae dan di dalam subfamili Amphiprioninae.

Terdapat lebih daripada 30 spesies ikan badut yang telah dikenal pasti berada di seluruh dunia. 29 di dalam genus Amphiprion, manakala 1 di dalam genus Premnas.

Lokasi taburan Ikan Badut.’

Haiwan ini dapat ditemui di perairan Lautan Hindi, Lautan Pasifik termasuklah di Great Barrier Reef tempat Nemo dan bapanya Marlin tinggal, Asia Tenggara termasuk sekitar perairan Malaysia-Indonesia. Tiada ikan badut di Lautan Atlantik.

Ikan ini menetap di dasar perairan cetek iaitu di kawasan terumbu karang atau di dalam lagun cetek.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, ikan badut ni khunsa. Fenomena ini dikenali sebagai sequential hermaphroditism.

Yang mana seseekor haiwan itu akan menukar jantina pada satu masa tertentu di dalam hidupnya.

Bukan sahaja ikan, malah hidupan lain seperti bunga, siput dan cacing tanah juga turut mempunyai proses pembiakan aneh ini.

Terdapat 3 jenis sequential hermaphroditism seperti berikut:

1. Bertukar dari jantan ke betina (Protandry)
2. Bertukar dari betina ke jantan (Protogyny)
3. Kedua-dua jantan dan betina berkeupayaan untuk menukar jantina (betina ke jantan / jantan ke betina) lebih daripada sekali dalam hidup. (Bidirectional sex change).

So Nemo & Marlin si ikan badut ni yang mana? Ikan badut ni dianugerahkan kebolehan protandry sequential hermaphroditism, iaitu dengan memulakan hidup sebagai ikan jantan, dan mengakhirinya sebagai betina.

Selain itu, kau juga perlu tahu bahawa ikan badut ini tinggal di dalam kumpulan yang mempunyai sistem hierarki.

Di atas sekali adalah betina dominan yang paling besar saiznya dan menghasilkan telur.

Jantan pasangan yang matang secara seksual dan bertanggungjawab mempersenyawakan telur itu merupakan yang kedua tertinggi di dalam hierarki.

Dan yang paling bawah dalam hierarki adalah anak-anak ikan badut (juvenil) merupakan ikan badut jantan yang tidak mempunyai kelenjar pembiakan (gonad) dan tidak akan membiak, sekurang-kurangnya belum tiba masa lagi.

TETAPI…

Apabila betina dominan yang menghasilkan telur itu tadi mati, jantan kedua tertinggi dalam hierarki yang bertanggungjawab mempersenyawakan telur akan meningkat saiznya dan berubah jantina menjadi betina bagi kumpulan tersebut.

Manakala anak ikan badut jantan yang paling besar saiznya di kalangan juvenil itu pula, kemudian akan matang secara seksual dan menggalas tanggungjawab mempersenyawakan telur yang dihasilkan betina.

Jadi, Apa kena mengena fakta ni dengan Finding Nemo?

Mak Nemo kan dah mati, dimakan dek ikan barakuda. Maka bapak Nemo, Marlin tu akan jadi betina, manakala Nemo pula akan jadi ikan badut jantan yang matang secara seksual dan akan mempersenyawakan telur ‘bapak’/’pasangan’ dia.

Oh ya, perlu tahu yang cara membiak ikan badut bukannya macam manusia iaitu persenyawaan dalaman. Atau dalam erti kata lain, sperma itu dilepaskan di dalam tubuh badan perempuan dan bersenyawa dengan ovum.

Ikan badut membiak secara persenyawaan luaran. Telur-telur dilepaskan oleh betina pada satu tempat yang sesuai. Kemudian si jantan akan melepaskan sperma yang akhirnya mempersenyawakan telur-telur tersebut.

Ikan badut mempunyai hubungan simbiosis dengan hidupan lain iaitu sea anemone atau dalam bahasa Melayu buran.

Nak bagi pesanan sikit, buran bersama-sama terumbu karang di laut tu bukan tumbuh-tumbuhan laut ya, depa ni haiwan!

Apa maksud simbiosis?

Simbiosis adalah terma yang merujuk kepada hubungan yang dijalinkan oleh sesuatu hidupan yang berlainan spesies. Sama ada di antara haiwan, tumbuhan, mikroorganisma dan manusia.

Hubungan sebegini penting untuk dijalinkan kerana, sesetengah spesies hidupan itu bergantung harap kepada kehadiran spesies hidupan yang lain, demi untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

Hidupan-hidupan simbiotik ini berkongsi habitat yang sama, atau hidup dekat antara satu sama lain. Selain itu, turut berinteraksi dengan cara yang spesifik untuk menerima manfaat daripada kewujudan organisma lain.

Walau bagaimanapun, anda juga perlu tahu bahawa terdapat beberapa jenis hubungan yang tersenarai sebagai “act of symbiosis” dan ia adalah seperti berikut; mutualisme, komensalisme dan parasitisme.

Dalam hubungan simbiosis mutualisme, kedua-dua organisma yang bergantung harap antara satu sama lain dan menerima manfaat dengan hidup bersama. Contoh bagi hubungan ini adalah manusia dan bakteria.

Untuk ni aku bagi contoh pada perempuan la. Dalam vagina ada bakteria Lactobacillus dan kulat yang dikenali sebagai Candida albicans.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

C. albicans ni patogen oportunis. Kalau ada peluang, depa akan menyebabkan jangkitan iaitu Candidiasis.

Tapi siapa yang halang? Bakteria lactobacillus la halang dengan jumlahnya yang banyak yang seterusnya menghalang pertumbuhan kulat C. albicans.

Sebab itulah jangan kerap pakai feminine wash, kau mengganggu keseimbangan pH vagina dan membunuh bakteria Lactobacillus.

Bagi simbiosis komensalisme, hubungan antara dua organisma yang memberikan manfaat kepada satu organisma, tetapi pada masa yang sama tidak pula mendatangkan apa-apa kesan kepada organisma yang satu lagi. Contohnya bagi hubungan ini adalah ikan jerung dan ikan remora.

Ikan remora akan melekap pada haiwan hos yakni jerung dsb. Faedah yang diterima ikan remora adalah dari segi pengangkutan (ibarat naik bas tak bayar tambang), dan perlindungan dari pemangsanya.

Ikan remora akan melekap pada haiwan hos yakni jerung dsb. Faedah yang diterima ikan remora adalah dari segi pengangkutan (ibarat naik bas tak bayar tambang), dan perlindungan dari pemangsanya.

Dan yang terakhir sekali, simbiosis parasitisme. Parasitisme merupakan hubungan antara dua organisma yang mana salah satu hidupan memperoleh manfaat, manakala hidupan yang satu lagi itu mendapat keburukan. Contoh adalah manusia dan cacing pita Taenia solium dan T. saginata.

T. solium (di dalam khinzir) dan T. saginata (di dalam lembu) merupakan cacing pita yang lazim menjangkiti manusia.

Macam mana manusia dapat? Melalui fecal-oral route, yakni memakan makanan (daging / sayur) yang mengandungi cysticerci (larva) atau telur cacing akibat daripada tidak memasak daging sepenuhnya atau mencuci sayur yang tercemar dengan baik.

Macam mana manusia dapat? Melalui fecal-oral route, yakni memakan makanan (daging / sayur) yang mengandungi cysticerci (larva) atau telur cacing akibat daripada tidak memasak daging sepenuhnya atau mencuci sayur yang tercemar dengan baik.

Sudah jelas tentang simbiosis? Jadi ikan badut dengan buran ni simbiosis yang mana? Jawapannya simbiosis mutualisme. Ikan badut menerima manfaat dengan hidup di dalam buran, dan buran juga menerima manfaat dengan menjadi tempat tinggal bagi ikan badut.

“Tapi bukan ke buran ni berbisa?”

Betul tu, tentakel buran mengandungi sel yang dikenali sebagai knidoblas. Sel ini berfungsi dari segi pertahanan dan cara buran ini mendapatkan makanannya. Sel knidoblas terkandung vesikel dipenuhi toksin dan sengat yang dinamakan nematosista.

Sekiranya terdapat sentuhan dengan knidosil yakni pembentukan cuaran kecil di atas permukaan luar knidoblas, bebenang dan struktur seperti tempuling atau mata panah nematosista akan dilepaskan, menyuntik toksin ke dalam haiwan atau mangsa buran.

Tetapi, menariknya, ikan badut ni merupakan antara spesies ikan yang tidak akan disengat oleh tentakel buran yang mengandungi nematosista.

Mengapa tidak disengat? Sebab secara teknikalnya, ikan badut ni ‘bagi salam’.

Macam ni, pertahanan terhadap bisa buran yang dimiliki oleh ikan badut adalah dari segi fisiologi dan kelakuannya. Dari segi kelakuan, sebelum ikan badut nak menjadikan buran itu rumahnya, haiwan itu berenang dan bergesel dengan tentakel buran.

Apa signifikannya kelakuan ini? Ikan badut nak bagitahu buran yang dia bukan ancaman dan mangsa untuk disengat dan dimakan oleh buran.

Contoh la kau tiba-tiba pergi masuk rumah stranger tak bagi salam. Lepastu terus makan makanan dekat dapur, tak ke percuma kena sepak.

Dari segi fisiologinya pula, ikan badut mempunyai lapisan mukosa yang melindunginya daripada sengatan buran. Dari mana ikan badut dapat kebolehan ni? Ada 3 hipotesis diketengahkan tentang mengapa ikan badut tidak disengat.

1. Mukosa (lendir) yang didapatkan daripada buran memberikan ‘penyamaran kimia’ kepada ikan badut. Atau dalam bahasa mudahnya, buran mengenali ikan badut sebagai ‘sebahagian dari dirinya’. Tetapi kajian oleh saintis lain mendapati tiada mukosa dari buran ditemui di kulit ikan.

2. Perlindungan ikan badut dari sengatan buran didapatkan ketika tempoh awal tiba dan menyesuaikan diri untuk menetap di dalam buran. So ini menunjukkan pentingnya bagi ikan badut ‘bagi salam’ dekat buran.

3. Ikan badut mengalami perkembangan genetik atau dalam erti kata lain koevolusi, setelah sekian lama hidup bersama-sama. Ini memberikan ikan badut kebolehan menghasilkan lendiran yang imun atau lali terhadap nematosista dan toksin buran.

Walau bagaimanapun, kau perlu tahu bahawa sekiranya lapisan mukosa ini hilang, misalnya sebab dipegang manusia, akan menyebabkan ikan ini disengat buran dan mati. Selain itu, setiap spesies ikan badut mempunyai spesies buran yang tertentu depa boleh tinggal.

Faedah yang diterima ikan badut dengan hubungan mutualisme dengan buran adalah;
– Selamat daripada pemangsa (tentakel buran yang berbisa menghalang dari didekati pemangsa).
– Menerima sisa makanan yang dimakan buran.
– Mendapat kediaman atau rumah yang mempunyai sistem sekuriti

Tapi apa pula manfaat atau faedah yang diterima oleh buran daripada hubungan mutualisme dengan ikan badut?

– Ikan badut ni agresif. Haiwan ni akan mempertahankan kediamannya iaitu buran dari pemangsanya yang merupakan pemakan tentakel macam butterflyfish.

– Selain itu, ikan badut akan membersihkan buran daripada kekotoran seperti sisa makanan buran dan objek-objek luaran. Ikan badut akan memakan parasit-parasit yang melekap pada permukaan buran.

 

– Dari segi tumbesaran pula, najis ikan badut menjadi baja kepada buran, memberikan nutrisi. Seterusnya, nitrogen yang dilepaskan ikan badut meningkatkan jumlah alga yakni zooxanthella yang berada di dalam tisu buran. Zooxanthella membolehkan buran laksanakan proses fotosintesis

– Pergerakan ikan badut yang berenang berhampiran dan di dalam buran meningkatkan edaran air dan oksigen dan membantu buran untuk membesar

 

– Dan akhir sekali, warna ikan badut yang terang akan menarik perhatian ikan yang lebih besar. Sekiranya ikan badut masuk ke dalam buran, buran akan menyengat ikan tersebut. Dalam erti kata lain, ikan badut ni ibarat umpan.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.