Ideologi Liberal-Modeniti Membunuh Identiti Melayu

1,951

Kalau kau baca buku The Fourth Turning, atau kau boleh tonton di Youtube tentang penerangannya, kau akan tahu apa itu High, Awakening, Unraveling dan Crisis.

Ini semua adalah musim-musim sejarah yang berputar bernama saeculum. Saeculum ini beredar dalam masa 80-100 tahun, dengan setiap musim adalah lebih kurang 20-25 tahun, atau dalam satu generasi.

High bermaksud zaman ketinggian tamadun dan falsafah bangsa tersebut. Falsafah bangsa Amerika ialah liberal globalis demokrasi. Semua ini harus dipeluk secara sejagat.

Maknanya segala ukuran, dari segi hak asasi manusia, ekonomi, ketelusan, politik, dan ketinggian ilmu berdasarkan standard bangsa Amerika.

Kau semua tahu tak, negara paling bahagia di dunia ialah Bhutan, negara yang gunakan sistem beraja purba zaman Buddha yang langsung tak demokratik? Tapi tak pernah orang ukur pun. Selalu orang banggakan, Sweden dan Denmark.

Demokrasi diukur dari sudut pandang Bangsa Amerika.

Kau perasan tak, watak orang jahat filem zaman dulu kat Hollywood niat jahat dia cuma satu, “nak menakluk dunia”. Tak kiralah Batman atau James Bond ke.

Sebab modeniti adalah uniformiti, jadi impian menakluk dunia sering dijadikan motivasi.

Ini sebab modeniti mementingkan keseragaman. Teknologi “cutting cookies” yang menghasilkan produk untuk kegunaan massa. Kilang perindustrian menjana ekonomi pesat.

Liberal demokrasi, seperti komunisme dan fasisme, adalah bersifat uniformiti. Modeniti.

Sepanjang kita hidup dalam Pax Americana ni, liberal demokrasi telah melanggar segala adat resam budaya orang lain, kesenian orang lain, fesyen orang lain.

Kenapa orang Melayu dilihat aneh pakai tanjak pergi pejabat? Kenapa tanjak tu tak dijadikan pakaian biasa? Sebab kita semua mengikut modeniti, kita akan mengikut arahan abang long besar kita. Seperti yang ditulis dalam novel George Orwell, Nineteen Eighty Four.

Kerana modeniti itu bersikap keseragaman, maka kerana itu wujudnya diktator dan kuku besi. Keteraturan mencipta keseragaman. Dan untuk teratur, kena ada penumbuk besi kalau sebagai ketua.

Maka sebab itu seni budaya pada zaman modeniti merudum. Daripada keindahan Sistine Chapel dan Notre Dam, kerana modeniti, semua bangunan pun kaca dan keluli.

Sementara gerakan pasca moden adalah melawan uniformiti, konformiti dan diktator. Melalui tech companies, mainstream media dan dunia korporat, penindasan ini dilawan dengan cara alternatif.

Muzik alternatif misalnya, adalah respon balas daripada muzik pop. Tetapi apabila budaya alternatif itu mula popular dan tidak lagi melawan, dia mula menjadi mainstream dan akan ada orang lain yang melawan.

Begitu juga dengan falsafah. Falsafah postmodernism adalah falsafah yang menentang korporat, hegemoni, kawalan dan kongkongan.

Semasa di era sebelum Perang Dunia Pertama, liberal demokrasi adalah falsafah alternatif daripada falsafah yang berkuasa masa itu, imperialisme.

Imperialisme adalah falsafah yang muncul dari Christopher Columbus menjejakkan kaki ke benua Amerika, sampailah Neil Armstrong menjejak kaki ke bulan, dan manusia tidak lagi menakluk “next frontier” bukan untuk satu bangsa, tapi untuk satu umat manusia.

Tetapi bukan semua suka bersatu dan berkerumun dengan benda popular. Dan berlakunya penentangan demi penentangan hingga jatuhnya orde lama.

Ideologi imperialisme mula jatuh dengan pesat selepas Perang Dunia Kedua, satu demi satu negara merdeka dari jajahan imperialis. Indonesia berperang tahun 1945, Vietnam berperang berpuluh tahun. Di negara Afrika peperangan gerakan merdeka menentang tentera kolonial pesat pada 1950an. Gamal Abdel Nasser, Kwame Nkrumah.

Pun begitu kemerdekaan negara tak merdeka falsafah juga. Falsafah liberal demokrasi dipaksakan untuk semua orang.

Jadi sekarang korang faham tak kenapa rakyat Amerika suka Donald Trump? Sebab dia adalah presiden pascamoden pertama Amerika Syarikat.

Sebar propaganda pakai Twitter, main langgar political correctness, individu yang nak pecah belahkan dunia.

Pecahbelah bunyi negatif kan? Tapi bak kata lagu Zach de la Rocha, “I rather live one day as a lion, than a thousand years as a sheep.”

Pecah belah tu samalah bila kau tengok satu demi satu negara merdeka daripada penjajahan negara imperial lepas Perang Dunia Kedua, samalah macam kejatuhan rejim Komunis sejak runtuhnya Tembok Berlin, dan akan datang bila lepas sahaja liberalisme ni mati dengan rasminya, akan lahir lebih banyak lagi negara yang merdeka.

Scotland, Catalan, Basque, California, Quebec, Flanders, Hong Kong, Taiwan, Acheh, Mindanao, Selatan Thai, Sabah dan Sarawak, Papua, Bavaria – banyak wilayah nak warganya mula tak berpuas hati dengan garis sempadan yang ditentukan imperialis.

Melayu sepatutnya lebih rapat budayanya dengan Sumatera, bukan dengan Borneo. Bahasa Catalan jauh berbeza dengan Sepanyol. Belgium Flanders tak sama dengan Belgium Wallonia.

Hakikatnya sempadan negara hari ini tidak lagi dihormati, sama ada globalisasi, pendatang haram dan budaya datang dari luar menghancurkan fabrik dan akar umbi bangsa. Itulah yang ditentang oleh Donald Trump, Nigel Farage, Scott Morrison, Duertete dan Jair Bolsonaro. Mereka inilah, barisan pemimpin pertama zaman pascamoden.

Dan dari sinilah, wujudnya zaman High yang baru, seperti zaman peralihan zaman imperialisme ke liberal demokrasi lepas Perang Dunia Kedua.

Zaman pascamoden ialah tentang identiti. Masa inilah, orang Melayu kembali pakai tanjak, pakai baju Melayu dan sampin, pergi pejabat kunyah sireh. Macam kat Arab sekarang orang pergi office pakai jubah.

Kerana tu, laman web yang menceritakan tentang sejarah dan budaya kini semakin ramai peminatnya. Sebab zaman pascamoden inilah, orang mula meninggalkan uniformiti.

Cuba bayangkan masa depan kita, pakai macam zaman Kesultanan Melayu Melaka?

Kita belum lepas lagi zaman liberal demokrasi, sebab tu kita susah nak bayangkan. Liat betul nyawa liberal nak mati ni. Macam Attaturk.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.