Ideologi Neo-Nazi Pengganas Christchurch

37011
views

Si celaka psiko yang melepaskan tembakan terhadap jemaah Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand ialah seorang penganut ideologi “neo-Nazi”.

Si celaka yang bernama Brenton Tarrant ini ialah seorang ahli kumpulan neo-Nazi bernama “Fourteen Words”, merujuk kepada slogan “We must secure the existence of our people and a future for white children” yang panjangnya 14 perkataan.

Dekat beg dia dan dokumen yang dia muat naik ke Internet beberapa jam sebelum mengganas (“The Great Replacement”) pun terdapat simbol “Black Sun” yang merupakan simbol gerakan neo-Nazi. 

Neo-Nazi, dari nama dah boleh agak, mereka ada kaitan dengan ideologi Nazisme. Awalan “neo-” bermaksud sesuatu dalam bentuk baharu. 

Nazisme ialah ideologi rasmi negara Jerman dari tahun 1933-1945 yang membawa kepada “Holocaust” (pembunuhan beramai-ramai) kaum Yahudi. Di mata penganut mata Nazisme, bangsa Jerman atau bangsa “Aryan” ialah bangsa yang paling mulia, manakala bangsa lain-lain seperti Yahudi dan Slav ialah bangsa-bangsa hina yang patut dihapuskan kerana menggugat kelangsungan hidup Aryan.

Selepas kematian Adolf Hitler dan kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua, ideologi Nazisme turut berkubur sama. Tapi ideologi pengagungan kaum Aryan atau kaum kulit putih dihidupkan kembali dalam bentuk neo-Nazisme. 

Tapi neo-Nazi lebih kepada acah-acah Nazi. Berbeza dengan Nazi asal yang menyerang negara lain, fokus gerakan neo-Nazi lebih kepada menyerang kaum pendatang yang dianggap sebagai ancaman kepada peluang pekerjaan mereka. 

Sama seperti Nazi, golongan neo-Nazi juga menggemari simbol dan mitologi kaum Eropah pagan atau sebelum Kristianisasi. Mereka menganggap Kristian sebagai rekaan Yahudi untuk melemahkan orang Eropah. “Black Sun” ialah simbol pagan. Dalam laman 8chan, Brenton Tarrant juga meninggalkan mesej “see you all in Valhalla” – Valhalla ialah syurga dalam mitologi Norse (Eropah Utara) sebelum kedatangan Kristian.

Neo-Nazi dah lama berakar di Eropah. Cuma di tahun-tahun kebelakangan ini makin menjadi-jadi. Serangan di Norway pada tahun 2011 yang mengorbankan nyawa 77 orang pun dilakukan oleh neo-Nazi. 

Neo-Nazi mengganas demi menghalang kemasukan imigran Muslim yang mereka lihat sebagai ancaman kepada kelangsungan hidup kaum kulit putih di Eropah. Dalam dokumen “manifesto” yang Brenton Tarrant muat naik sebelum mengganas, si celaka ini melabel golongan imigran Muslim sebagai “penceroboh” (invaders), dan menjadi kewajipan baginya untuk memberhentikan “pembersihan etnik” (genocide) secara senyap ke atas kaum putih. 

Tajuk manifesto tersebut, “The Great Replacement” merujuk kepada teori yang dipelopori oleh penulis Perancis bernama Renaud Camus. Camus melihat kemasukan imigran Muslim dari negara Timur Tengah dan Afrika Utara sebagai satu “konspirasi” elit untuk memusnahkan “jati diri” Eropah. Menurut golongan ini, imigran Muslim ini akan “meng-Islam-kan” Eropah dengan membina masjid, melaksanakan undang-undang syariah dan memegang kuasa politik.

Benda-benda macam ini walaupun kedengaran merepek, tapi ia memberi inspirasi kepada orang yang tak ada halatuju hidup atau sampah masyarakat seperti Brenton Tarrant. Mereka anggap walaupun mereka tak ada apa-apa, tapi mereka sedang mempertahankan masa hadapan generasi akan datang dengan menghapuskan “musuh” kepada tamadun Eropah. 

Kat senapang Brenton Tarrant siap tertulis “Vienna 1683” yang merujuk kepada Pertempuran Vienna tahun 1683 di mana tentera Eropah berjaya menewaskan tentera Turki. Ideologi pelampau atau ekstrimis menarik orang dengan menyakinkan mereka bahawa kegiatan mereka ialah “perjuangan suci” demi bangsa dan agama. Sama juga macam cara ISIS nak tarik orang.

Kejadian kali ini membuktikan bahawa, keganasan melampau boleh dilakukan oleh apa-apa jenis manusia dengan apa-apa fahaman. Boleh datang dari ekstimis takfiri seperti ISIS atau neo-Nazi macam Fourteen Words. Malah Buddhis yang selalu dikaitkan dengan imej pencinta keamanan juga boleh melakukan pembersihan etnik ke atas kaum Rohingya.

Tapi disebabkan media lebih fokus untuk mencipta naratif “Islam agama keganasan”, maka cerita neo-Nazi ini kurang di-highlight dalam media arus utama. Orang Islam lah paling esktrim, walaupun mereka yang dibunuh, mereka juga yang salah kerana berhijrah ke negara orang menganggu ketenteraman masyarakat, menurut sesetengah ahli politik “far right” di New Zealand dan Australia.

Semoga ruh para syuhada yang terkorban dicucuri rahmat oleh-Nya.