Perlaksanaan antarabangsa walaupun dikaji seteliti mana semestinya mempunyai sedikit sebanyak konflik yang akan menggugat keselesaan sosial. Tidak boleh dinafikan yang pembaharuan undang-undang kadangkala memerlukan panduan luar. Jika dihitung kira dalam aspek-aspek demokrasi, sememangnya sistem politik Malaysia mempunyai persamaan dengan tatacara pentadbiran di United Kingdom. Jika situasi sebegini pun mempunyai implikasi, semestinya perubahan ICERD turut juga akan mendatangkan masalah.

Apa-apa jua panduan luar perlu menghitung kira tentang situasi dalam masyarakat. Misalnya, di Malaysia, bangsa Melayu mempunyai beberapa hak eksekutif ke atas ekonomi yang meletakkan mereka pada kedudukan lebih tinggi dengan bangsa-bangsa minoriti lain. Hakikatnya jurang pendapatan antarakaum di Malaysia semakin pulih. Namun jurang yang sama sesama Melayu menunjukkan keperluan sifat-sifat eksklusif. Perkara ini tidak difokuskan panduan-panduan antarabangsa seperti ICERD.

Perlaksanaan ICERD akan memberikan nafas baru dalam politik dan ekonomi negara. Sama ada nafas tersebut lancar atau semput, kebarangkalian itu boleh “diawalkenal” berdasarkan perlaksanaan NAFTA. Perjanjian ini pernah dipersetujui Bill Clinton (Amerika Syarikat), Jean Chretien (Kanada) dan Carlos Gortari (Mexico). Pelbagai manfaat telah NAFTA bawa; begitu juga dengan serba-serbi kekurangan. Integrasi ekonomi ini menyaksikan banyak perubahan dalam negara terutamanya Amerika Syarikat dan Mexico.

Antara 1994-2010, Amerika Syarikat menghadapi defisit perdagangan sebanyak AS$97.2 bilion bersama Mexico. Perkara ini amatlah diketengahkan dalam pentadbiran Donald Trump, walaupun beliau berkali-kali membuat kenyataan yang mengundang padah. Namun jika ditapis perkara-perkara yang tidak relevan, suatu masalah boleh didapati.

Hampir 700,000 pekerjaan berpindah tempat. Negeri-negeri yang terasa bahangnya ialah California, New York, Michigan dan Texas. Tiga negeri daripada empat ini merupakan gergasi industri yang memberikan tumpuan kepada sektor pengeluaran seperti motor, tekstil dan elektrik serta elektronik. Terdapat juga suara-suara ekonomi berpendapat Kemelesetan 2008 tercetus sebahagiannya angkara NAFTA juga.

Jika difikirkan secara kognitif, angka 700,000 tidaklah terlalu banyak untuk dibandingkan dengan saiz populasi dewasa di Amerika Syarikat. Tetapi kesan buruk tidak semestinya ditafsirkan dengan menggunakan statistik semata-mata. Sistem gaji rakyat Amerika Syarikat mula digugat setelah termeterainya persetujuan NAFTA. Memang benar semua syarikat tidak berpindah tempat. Namun banyak syarikat memperkudakan NAFTA untuk membuat suatu ancaman. Pilihan antara buang kerja (kerana syarikat pindah tempat) dan terima gaji rendah memang efektif.

Maka kesatuan-kesatuan pekerja terpaksa akur dengan kelunturan kuasa tuntutan. Perkembangan gaji juga meleset. Antara 1993-1995, hampir separuh daripada semua syarikat pengeluaran Amerika sebelum pindah ke Mexico menggunakan ancaman penutupan. Menjelang 2000, kadar ini menjadi 65%. NAFTA secara amnya memberikan pengaruh besar kepada golongan kapitalis yang sekaligus membebankan orang bawahan.

Disebabkan itu juga 1.3 juta orang dalam sektor perladangan Mexico kehilangan kerja. Amerika Syarikat dan Mexico walaupun bersebelahan mempunyai algoritma permodalan yang berbeza bagi setiap sektor. Akta Perladangan 2002 menyuntik subsidi besar kepada perniagaan pertanian di Amerika Syarikat. Maka perlaksanaan NAFTA yang menghapuskan tariff perdagangan membuatkan jagung Amerika jauh lebih murah daripada Mexico.

Petani-petani tempatan pun tidak mampu bersaing dengan harga ini, terutamanya apabila kerajaan mengurangkan subsidi daripada 33.2% kepada 13.2% bagi tempoh 1990-2001. Mudah kata, banyak perniagaan kecil-kecilan di Mexico gulung tikar tertewas kepada petani-petani Amerika Syarikat yang bersubsidi tinggi.

Tetapi 1.3 juta orang ialah sebahagian semata-mata. Persaingan dahsyat ini memberikan tekanan kepada petani-petani selebihnya yang menggiatkan penggunaan baja dan bahan-bahan kimia untuk mempercepatkan penghasilan. Mexico pula terpaksa menanggung AS$36 bilion setiap tahun akibat krisis pencemaran alam. Pembalakan pula kian meruncing bagi tujuan pengembangan syarikat. NAFTA yang ditandatangani tiga penguasa menyaksikan 630,000 hektar hutan di Mexico ditebang setiap tahun.

Program Maquiladora juga menerima tekanan selepas tariff dibuang. Sistem ini dilaksanakan untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam Mexico. Pelaburan daripada Amerika Syarikat membangunkan syarikat-syarikat yang mesti mengambil rakyat Mexico sebagai pekerja. Buruh-buruh ini akan menghasilkan sesuatu produk untuk dieksport kembali ke Amerika Syarikat. 30% daripada kuasa buruh Mexico sebenarnya berkhidmat lebih daripada 12 jam sehari dalam sistem Maquiladora, tanpa hak pekerja atau perlindungan kesihatan. Wanita pula diwajibkan mengambil saringan zuriat sebelum memohon kerja.

Maka apabila dilihat semula, NAFTA ialah sejenis coklat masakan yang tidak manis ataupun pahit. Manfaat dan impak perjanjian ini tersebar secara kecil dan besar kepada taburan-taburan tertentu. Namun kesimpulannya, kesan tetap ada. Diulangi sekali lagi, kesan tetap ada. Perkara-perkara ini juga diambil sebagai asas ketika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sedang dibincangkan dengan Mustapa Mohamed sebagai pemain bagi Malaysia. Secara asasnya, TPPA mempunyai rangka kerja yang membasmikan peserta daripada amalan-amalan diskriminasi. Tarif-tarif kecil pun mesti dibatalkan supaya perdagangan dapat digiatkan.

Apabila bercakap tentang diskriminasi bagi pihak Malaysia, salah satu daripadanya ialah pengisytiharan halal. Dikhuatiri pada asalnya jika JAKIM perlu dimansuhkan bagi menjaminkan sebuah permainan perdagangan tanpa sebarang diskriminasi. Rundingan-rundingan yang menyusul meletakkan kepentingan JAKIM bagi ekosistem kemasyarakatan Malaysia. Syarat-syarat lain pun telah dilonggarkan sehingga TPPA akhirnya bakal menjadi suatu kejayaan paling besar bagi Najib Razak.

Dengan TPPA, buah sawit yang dituai oleh tangan-tangan keras anak FELDA akan diproses menjadi minyak untuk dieksport bagi penggunaan di Amerika Syarikat barangkali. Malang seribu malang, dasar pentadbiran Donald Trump secara dangkalnya telah mengubah segalanya.

Oleh itu, jika perjanjian-perjanjian perdagangan pun boleh mendatangkan implikasi, tentu sekali sebuah konvensyen antarabangsa yang dicanang menghapuskan diskriminasi tidak terkecuali. Kerisauan terhadap Hak Bumiputera sebenarnya relevan. ICERD ibaratkan pisau, yang pada hari ini boleh memotong sayur. Sementara esok pula, pisau tersebut boleh memburaikan perut orang.

Dan perut yang dimaksudkan tidak semestinya orang Melayu sahaja. Dari segi penelitian objektif, ICERD akan menyebarkan impak kepada bahagian-bahagian lain jua. ICERD akan membuka definisi baru dalam urusan perkauman. Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu membuka peluang penyertaan secara liberal kepada semua bangsa. Secara asasnya Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) akan hilang kerelevanan. Parti Tindakan Demokratik (DAP) pun tidak lagi boleh mengutamakan kaum Cina di dalam bidangkuasa parti.

Lebih janggal lagi, rakyat boleh menggunakan ICERD untuk mencabar jika Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak membenarkan pemilihan presiden daripada calon-calon bukan Islam. Bayangkan jika Dewan Ulama PAS terdiri daripada nama-nama seperti Tan Chee Bhai dan Murugan Samy, dimana ketika ini orang Melayu pun didiskriminasikan (hanya ulama layak) penyertaannya.

ICERD tidak akan memberikan Cina hak untuk membangkang perlantikan pengetua-pengetua Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Malah kuota, jika ada, kaum di pusat-pusat pembelajaran sedemikian pun perlu dihapuskan. Sememangnya UiTM dan MARA perlu dibuka kepada semua. Keistimewaan kaum Cina dan India di universiti-universiti tertentu (tidak disebut atas faktor keselamatan) pun akan tergugat jua.

Maka mudah kata, ICERD akan memberikan tekanan kepada semua. Melayu yang telah sengsara akibat penjajahan 400 tahun, demi nama Tuhan yang menciptakan kita, boleh mengharunginya dengan redha. Bangsa-bangsa lain sahaja dikhuatiri tidak mampu. Dan percayalah, tiada manfaat daripada kesengsaraan – hanya duka, dendam dan dilema.

Sudahkah kalian benar-benar sedia bila diringkuk ke mahkamah kerana dasar “Chinese only” dicabar?

Sumber:

Scott, R. E. (2011, Mei 3). U.S.-Mexico trade and job displacement after NAFTA. Diterima dari https://www.epi.org/publication/heading_south_u-s-mexico_trade_and_job_displacement_after_nafta1/

Bronfenbrenner, K. (2000, Jun 9). Uneasy Terrain: The Impact of Capital Mobility On Workers, Wages and Union Organizing. Diterima dari https://digitalcommons.ilr.cornell.edu/cgi/viewcontent.cgi?referer=&httpsredir=1&article=1002&context=reports

Papademetriou, D., Audley, J., Polaski, S., & Vaughan, S. (2003, November 9). NAFTA’s Promise and Reality: Lessons from Mexico for the Hemisphere. Diterima dari http://www.carnegieendowment.org/publications/index.cfm?fa=view&id=1390

Amadeo, K. (2018, Ogos 26). How Deforestation Affects the Economy and You. Diterima dari https://www.thebalance.com/deforestations-economic-impact-4163723

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.