Setelah peristiwa Nabi Adam a.s dan Hawa diturunkan ke atas muka bumi dan taubat mereka diterima oleh Allah swt, maka turunlah perintah dariNya untuk Nabi Adam a.s membina sebuah binaan yang kelak akan dimuliakan oleh seluruh manusia sehingga ke hari akhirat.

Kaabah mula dibina oleh Nabi Adam a.s di Mekah (ketika ini ianya belum dikenali sebagai Mekah). Disinilah, Nabi Adam a.s berserta ahli keluarganya memulakan ibadah tawaf pertama kali oleh manusia di atas muka bumi. Lokasi binaan Kaabah atau Baitullah sejajar dengan kedudukan BaitulMakmur atau Kaabah yang berada di langit.

Perbezaan diantara BaitulMakmur adalah ia ditawaf oleh malaikat dan Baitullah pula ditawaf oleh manusia. Binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Adam a.s dipercayai menggunakan kayu-kayu yang disusun dan tidak mempunyai bumbung. Setelah beberapa lama kemudian, maka wafatlah Nabi Adam a.s dan kedudukan mulia baginda diganti oleh Allah swt dengan Nabi Syith a.s, iaitu merupakan salah seorang anak baginda yang dilahirkan oleh Hawa setelah kematian Habil yang dibunuh oleh Qabil. Nabi Syith a.s meneruskan ibadah tawaf ini beberapa lamanya sebelum baginda pula wafat dan meninggalkan binaan Kaabah kepada umat manusia pada waktu tersebut.

Kaabah pada awal zaman manusia, hancur ketika mana peristiwa bersejarah pada waktu kenabian Nuh a.s yang dimana telah terjadi sebuah banjir besar (The Great Flood) yang menenggelamkan seluruh permukaan bumi. Kaabah turut hancur dan ditenggelami oleh banjir besar tersebut sehingga binaanya hilang tanpa tanda.

Maka, berlalulah zaman-zaman kenabian dan utusan Allah swt sehinggalah tiba pada zaman kenabian Ibrahim a.s. Allah swt telah menurunkan perintah ke atas baginda untuk membina semula Kaabah di tempat mulia yang telah dipilih olehNya dari awal penciptaan bumi dan langit, iaitu Mekah. Sudah maklum, kisah sebelum ini, bagaimana Nabi Ibrahim a.s mendapat perintah dari Allah swt untuk meninggalkan isteri keduanya, Siti Hajar dan bayinya yang masih kecil, Ismail a.s di tanah Mekah yang pada waktu itu hanyalah padang pasir yang tandus tanpa sebarang kehidupan. Tetapi atas izinNya, maka mukjizat berlaku ketikmana Nabi Ismail a.s menghentak kakinya ke atas tanah sehingga terpancarlah mata air yang sehingga sekarang ianya dikenali sebagai air Zam-zam.

Mekah yang sebelum ini hanyalah sebuah kawasan yang mematikan akhirnya berubah menjadi salah satu penempatan manusia berkat aliran air Zam-zam yang tidak pernah kering mahupun surut. Tanah yang sebelum ini gersang tanpa kehidupan berubah perlahan-lahan menjadi kawasan yang subur dan manusia yang berdatangan ke Mekah mengambil kesempatan untuk bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Berdasarkan dari dua kisah di atas, para ulama sejarah Islam mahupun ulama tafsir Quran bersepakat tiada dalil secara jelas yang menyatakan Kaabah dibina oleh Nabi Adam a.s dan dibaikpulih oleh Nabi Syith a.s. Kemungkinan kisah ini lebih terarah ke konsep Israiliyat yang ditokok tambah tanpa bukti yang kukuh. Melainkan, kisah sebenarnya Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dirakamkan oleh Allah swt di dalam surah al-Hijr ayat 26 sehingga 27.

Firman Allah swt di dalam surah al-Hijr ayat 26 sehingga 27:

“Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud.”

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari pelbagai-bagai jalan yang jauh.”

Daripada firman Allah swt di atas, dipastikan secara jelas oleh ulama tafsir Quran bahawasanya binaan Kaabah pertama kali dibangunkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan dibantu oleh anaknya, Nabi Ismail a.s.

1. ZAMAN RASULULLAH DAN PARA SAHABAT.

Pada tahun-tahun sebelum Rasulullah saw dilantik menjadi utusan Allah swt, telah terjadinya sebuah bencana alam iaitu kota Mekah dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan struktur Kaabah retak dan tidak stabil. Para pemimpin Quraish yang datang dari empat kabilah utama yang besar dan berkuasa di kota Mekah ketika itu mengambil langkah inisiatif untuk memperbaiki Kaabah sebelum binaan ini hancur rebah ke bumi. Maka keluarlah keempat-empat orang pemimpin ini mengeluarkan harta mereka yang didapatkan daripada hasil yang bersih untuk membiayai pembinaan semula Kaabah.

Tiada sebarang hasil kutipan haram yang digunakan dalam pembiayaan Kaabah walaupun hasil kutipan pelacuran, jualan arak dan jualan berhala lebih banyak daripada hasil yang halal. Seorang arkitek dari tanah Rom, iaitu Baqum, telah dibayar oleh para pemimpin tersebut untuk melakar pelan pembangunan semula Kaabah. Tapak Kaabah yang pada asalnya mengikut tapak binaan Nabi Ibrahim a.s diperkecilkan 3 meter kerana pemimpin Quraish pada waktu tersebut kekurangan biaya memperbesarkan kawasan Kaabah.

Maka diletakkan penanda aras yang melengkung untuk menandakan keluasan sebenar tapak Kaabah binaan Nabi Ibrahim a.s sebelum ia dibina dan diubahsuai kembali oleh bangsa Arab Quraish. Kawasan aras penanda melengkung ini dikenali sebagai nama ‘Hijr Ismail’. Apabila kawasan tapak Kaabah dikurangkan 3 meter, maka keluasan Hijr Ismail yang pada asalnya 5.5 meter bertambah ke 8.5 meter.

Riwayat dari Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tahukah engkau bahawa ketika kaummu (Quraish) membangunkan Kakbah, mereka telah mengurangi dasar-dasar (binaan) yang diibangunkan oleh Nabi Ibrahim.”

( Hadis Riwayat Muslim ).

Berdasarkan hadis shahih Rasulullah saw ini, dasar-dasar binaan yang dikurangkan tersebut adalah tapak Kaabah sebanyak 3 meter persegi. Bentuk binaannya yang sebelum ini berbentuk empat segi panjang diubah ke bentuk kubus dan dikecilkan keluasan tapaknya.

2. ZAMAN BANI UMAYYAH.

Daripada Saidatina Aisyah: “Rasulullah saw berkata kepada Aisyah: “Tidakkah engkau tahu bahawa kaummu Quraish telah membina Kaabah kurang (atau tidak sempurna) dari binaannya yang asal yang dibina oleh Nabi Ibrahim”. Lalu Aisyah berkata: “Mengapa engkau tidak mendirikannya semula sesuai dengan asas binaan yang dibina oleh Nabi Ibrahim?”. Lalu Rasulullah saw menjawab: “Kalaulah bukan kerana kaummu masih dekat dengan kekufuran, maka aku telah binanya semula (seperti yang dibina oleh Nabi Ibrahim).”

( Hadis Riwayat Muslim ).

Setelah berlalu zaman pemerintahan Rasulullah saw, Khulafa ar-Rasyidin, maka umat Islam memasuki era pemerintahan yang baharu di bawah kepimpinan Bani Umayyah yang berpusat di kota Damaskus, Syria. Ketika ini, di istana Umayyah, Khalifah Abdul Malik bin Marwan memegang tampuk pemerintahan dan Abdullah bin Zubair, yang dibai’ah penduduk kota Mekah sebagai khalifah umat Islam wilayah Hijaz dan sekitarnya mengundang kemarahan Khalifah Abdul Malik sehinggakan beliau menghantar pasukan tentera yang besar pimpinan panglima bengis al-Hajjaj untuk memerangi Abdullah bin Zubair.

Sebelum munculnya baiah melantik Abdullah bin Zubair sebagai khalifah Hijaz, beliau telah melakukan pembaikkan ke atas Kaabah. Ini berdasarkan daripada hasrat Rasulullah saw sendiri yang ingin melihat Kaabah diubah suai mengikut keinginan baginda. Tetapi hasratnya tidak terlaksana apabila pasukan pimpinan al-Hajjaj telah tiba mengepung kota Mekah. Pengepungan ini berlaku beberapa lamanya dan diselisihi dengan beberapa buah pertempuran di antara pihak penyokong Abdullah dan pasukan Umayyah pimpinan al-Hajjaj. Gempuran dan serangan dari fasa pertama dengan kekuatan manjanik dari pasukan tentera Umayyah menyebabkan sebahagian peluru lontarannya terkena Kaabah dan menyebabkan struktur bangunan tersebut hancur. Tarikh ini dikenalpasti jatuh pada tanggal 64 Muharram mengikut para ulama.

Mengikut binaan yang diubahsuai oleh Abdullah adalah seperti berikut:

1. Abdullah meletakkan tiga buah tiang asas di dalam Kaabah menggantikan enam buang tiang binaan yang diletakkan pada zaman Arab Quraish. Tiang yang dipasang terbabit merupakan tiang kayu jenis Aoud iaitu kayu harum yang sering dibakar oleh bangsa Arab untuk mendapatkan aroma wangian tersebut. Tiang kayu tersebut berwarna merah kekuningan.

2. Meletakkan dua buah pintu di Kaabah yang dimana satu pintu menghadap ke utara dan satu pintu lagi menghadap ke barat.

3. Meletakkan jendela atau lubang cahaya di atas bumbung Kaabah supaya isi Kaabah diterangi dengan cahaya dari luar pada siang hari.

4. Memindahkan pintu Kaabah sehingga ke permukaan tanah yang mana sebelum ini pintu Kaabah diletakkan tinggi sedikit dari permukaan tanah.

5. Memasang tangga kayu di dalam Kaabah.

Ketika Kaabah dalam proses pengubahsuaian, Abdullah turut memerintahkan membina empat buang tiang besar di empat penjuru Kaabah dan diikat dengan kain rentang yang besar memayungi Kaabah supaya umat Islam tetap dapat melakukan ibadah tawaf tanpa gangguan walaupun Kaabah dalam proses pembaikkan.

Setelah pengubahsuaian ke atas Kaabah siap maka suatu bencana buruk akan menimpa ke atas diri Abdullah bin Zubair.

Pasukan pimpinan al-Hajjaj yang berjumlah ratusan ribu orang menggempur kota Mekah dan membunuh sesiapa sahaja yang bernaung di bawah nama Abdullah bin Zubair al-Awwam. Pasukan tentera pelindung Abdullah dikalahkan dengan mudah sehinggakan para penyokongnya menariknya masuk bersembunyi di dalam Kaabah atas faktor keselamatan. Al-Hajjaj yang telah menawan Gunung Qubais telah mengeluarkan perintah untuk memasang senjata manjanik di sekitar gunung tersebut yang bertujuan untuk menggempur habis-habisan ke atas pasukan Abdullah.

Setelah dipasang, maka dilontarkan berpuluh-puluh peluru berapi ke atas kota Mekah. Kaabah juga tidak terlepas daripada serangan brutal pasukan al-Hajjaj. Tembakan yang bertalu-talu tanpa ihsan menyebabkan sebahagian besar bangunan Kaabah runtuh dan ini menyebabkan Abdullah mengambil langkah menyerahkan diri supaya Kaabah tidak hancur secara menyeluruh. Abdullah bin Zubair ditangkap dan dihadapkan ke hadapan al-Hajjaj. Anak sahabat agung baginda Rasulullah saw ini dipancung kepalanya dikhalayak ramai dan kepalanya diarak mengelilingi kota Mekah. Ramai para sahabat dan tabiin yang melihat peristiwa terbabit mengecam kekejaman yang al-Hajjaj lakukan ke atas Abdullah, Baitullah dan penduduk kota Mekah. Kerakusan al-Hajjaj ketika membunuh Abdullah di dalam peristiwa ini dikisahkan oleh Ibnu Katsir di dalam kitabnya, al-Bidayah wan Nihayah.

al-Hajjaj yang tidak suka dengan binaan Kaabah yang direnovasikan oleh Abdullah terus mengambil langkah yang seterusnya iaitu dengan membongkar kembali Kaabah dan mengubahsuai kembali sepertimana yang dibina oleh Arab Quraish pada waktu dahulu. Cumanya, al-Hajjaj hanya mengecilkan sedikit saiz Kaabah dan menutup pintu yang menghadap ke barat. Saiz binaan al-Hajjaj masih kekal sehingga ke hari ini.

Tindakan al-Hajjaj direstui oleh Khalifah Abdul Malik. Sehinggalah khalifah tersebut datang ke kota Mekah untuk melakukan ibadah umrah, beliau mendengar suatu hadis daripada Rasulullah saw berkenaan binaan Kaabah yang diinginkan baginda sendiri. Rupanya binaan Kaabah sepertimana yang dihasratkan oleh Rasulullah saw telah diubahsuai oleh Abdullah bin Zubair tanpa sedikit pun cacat celanya. Khalifah Abdul Malik terduduk malu dan menyesali perbuatannya yang mengizinkan al-Hajjaj supaya meruntuhkan kembali pelan Kaabah yang telah dibina oleh Abdullah.

3. ZAMAN BANI ABBASIYAH.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rashid, baginda telah menyatakan hasratnya untuk membangun ulang kembali Kaabah. Tetapi hasrat baginda telah dihalang oleh Imam Malik r.a dengan jawapan:

“Jangan menjadikan Kaabah sebagai permainan pemerintah.”

Lalu Khalifah Harun membatalkan hasratnya dan membiarkan binaan yang sudah melangkau 966 tahun ini kekal tanpa pengubahsuaian. Hanya diperbaiki jika ada kerosakan.

4. ZAMAN TURKI UTHMANIYYAH.

Pada tanggal 19 Syaaban tahun 1039 Hijrah, telah berlaku kejadian banjir kilat yang besar sehinggakan binaan Kaabah ditenggelami air sedalam 10 kaki dan menyebabkan struktur Kaabah rapuh dan retak lalu kedua buah dinding Kaabah runtuh menyembah bumi pada tanggal 20 Syaaban. Banjir surut pada tanggal 21 Syaaban dan pada hari tersebut penduduk kota Mekah telah turun beramai-ramai gotong royong membersihkan kawasan di sekitar Kaabah.

Pada tanggal 26 Ramadhan 1039 H, projek pembangunan kembali Kaabah dimulai dan dibina kembali dua buah dinding yang hancur tersebut.

Pada tanggal 2 Zulhijjah 1040 H pula, Khalifah Murad Khan, membiayai pembangunan kembali Kaabah sepertimana bentuk yang dibangunkan oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

Dalam sebuah catatan seorang ahli sejarah Islam yang bertarikh 28 Rejab 1377 Hijrah, jumlah batu yang disusun untuk membangunkan Kaabah adalah sebanyak 1,614 yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk.

5. TAHUN 1996 SEHINGGA SEKARANG.

Struktur Kaabah dikekalkan 400 tahun lamanya setelah pengubahsuaian terakhir yang dilakukan oleh Khalifah Murad Khan.

Tibalah waktunya di bawah pemerintahan kerajaan Arab Saudi, pengubahsuaian ke atas Kaabah hanya berlaku pada bahagian bumbungnya iaitu digantikan dengan bahan yang lebih tahan seperti batu marmar dan lain-lain lagi. Kini kawasan Kaabah yang dikenali sebagai Masjidilharam melalui beberapa fasa perbaikkan dari semasa ke semasa dengan penambahan pelbagai infrastruktur canggih yang memudahkan para tetamu Allah swt melakukan ibadah tawaf dan solat fardhu setiap hari.

Demikianlah maklumat ringkas yang disadurkan di dalam penulisan artikel kali ini. Semoga ianya bermanfaat dan saya memohon maaf jikalau ada sebarang kesilapan mahupun keralatan. Wallahu’alam.

– TAMAT –

Sumber rujukan:

1. The Kaba in Makkah: Its Size and History oleh Samana Siddiqui.

2. Kaabah Mempunyai Dua Pintu oleh Dr. Ahmad Sanusi Azmi.

3. Hijir Ismail, Pintu Angin Surga Pernah Berhembus ke Dunia oleh Go Muslim Jakarta.

4. al-Bidayah wa Nihayah oleh Ibnu Katsir r.a.

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.