Bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan bagi bumi-bumi Melayu. Bermula dengan Singapura pada Ogos, bersambung kepada Indonesia pada 17 Ogos dan Malaya pada 31 Ogos. Terdapat seorang tokoh yang terlibat di dalam proses kemerdekaan dua negara, iaitu Ibrahim Haji Yaacob.

Ibrahim Hj Yaakob dilahirkan pada 27 November 1910 di Tanjung Kertau, Chenor, Temerloh, Pahang. Dari segi keluarga, berasal dari keturunan Bugis, di Sulawesi Selatan. Ibu bapanya merantau ke Riau dan seterusnya ke Temerloh. Ayahnya Haji Yaakob merupakan guru agama dan tokoh yang dihormati. Ibunya bernama Hawa binti Hussein. Ketika berusia 2 tahun, ibu bapanya bercerai. Beliau dipelihara oleh ibunya dengan hidup sederhana.

Ibrahim mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Tanjung Kertau pada tahun 1918. Pada tahun 1928, beliau telah dipilih menjadi guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim, Perak di mana di situlah beliau mula didedahkan dengan perjuangan nasionalisme. 

Pemandangan Sultan Idris Training College
kredit : FB Alumni Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional UPSI

Contohnya, Pada tahun 1929, brahim dan rakan-rakannya telah mewujudkan satu persatuan sulit yang “berhaluan sosialis” iaitu Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo. Ibrahim juga dikatakan turut menjadi ahli Parti Nasional Indonesia yang diketuai oleh Sukarno. 

Pihak Inggeris yang telah memerhatikan kegiatan politik di MPSI ini sedaya upaya untuk menghentikan pergerakan mereka. Oleh itu, setelah Ibrahim menamatkan pengajiannya pada 1931, beliau dihantar mengajar ke Bentong, Pahang. Di sana, Ibrahim terlibat aktif di dalam Kelab Melayu Bentong. 

Ibrahim Haji Yaacob bersama Ahmad Boestamam di dalam KMM

Pada 1938, Ibrahim dan rakan-rakannya telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda bersama rakan-rakan SITCnya. Kesatuan Melayu Muda merupakan parti politik pertama yang ditubuhkan di Malaya. KMM ditubuhkan sebagai alat untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu yang akan disatukan dengan Indonesia menjadi sebahagian daripada sebuah negara besar, Indonesia Raya.

Peringkat awal pertubuhan, KMM agak kurang mendapat sambutan kerana rakyat  ketika itu masih lebih menaruh kepercayaan kepada ketua-ketua tradisional. Dalam usianya yang singkat, sejak kelahirannya pada 1938 hingga kedatangan Jepun pada tahun 1941, jelas tidak banyak yang dapat dilakukan oleh KMM dalam perjuangan mencapai kemerdekaan.

Ibrahim Yaacob ketika di Warta Malaya.

Menjelang April 1941, Ibrahim Yaakob telah dihubungi oleh pihak Jepun yang menawarkan wang untuk membeli akhbar harian Melayu Warta Malaya. Ibrahim menerima tawaran itu dan tanpa diketahui oleh pemimpin KMM yang lain telah menjanjikan sokongan KMM kepada Jepun apabila Jepun menyerang Malaya. Warta Malaya menjadi medium propaganda KMM yang secara terbuka menyokong idea kesatuan politik antara Tanah Melayu dan Indonesia.

Dalam usaha untuk memajukan kepentingan KMM dan Melayu kemerdekaan, Ibrahim sejajar dirinya dengan Jepun dan mencadangkan kepada mereka yang mempunyai akhbar sendiri akan memberikan kepadanya perlindungan yang terbaik untuk menyembunyikan aktiviti mereka sebagai ejen Jepun. Dengan wang yang diberikan oleh Jepun, Ibrahim membeli Warta Malaya untuk digunakan dalam propaganda anti-British.

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu membawa kepada keruntuhan seluruh rangkaian akhbar Tanah Melayu. Beberapa hari selepas kejatuhan Singapura, Ibrahim bertemu dengan pihak berkuasa tentera Jepun untuk meminta KMM yang dibenarkan untuk menyambung semula penerbitan Warta Malaya.

Walaupun Jepun bersetuju, akhbar itu hanya dibenarkan untuk membuka semula beberapa bulan kemudian di bawah pengurusan seorang pegawai Jepun. Akhbar itu akhirnya dihentikan penerbitannya pada 14 Ogos 1942.Ketika pendudukan Jepun, dilantik sebagai Komandan Giyugun (tentera sukarela) dengan pangkat Leftenan Kolonel. 

Ibrahim Haji Yaacob ketika Perjanjian Taiping 1945. Turut kelihatan Sukarno dan Hatta.

Dalam minggu-minggu terakhir sebelum Jepun menyerah kalah, Ibrahim sempat mengatur pertemuan di antara pemimpin KMM dan pemimpin Indonesia bagi mencapai satu tujuan, kemerdekaan dan Indonesia Raya. Mereka pada mulanya bertemu di Paya Lebar Singapura dan seterusnya di Taiping. 

Dalam kesempatan itu, Ibrahim menyampaikan bahawa kemerdekaan Malaya tercakup dalam Kemerdekaan Indonesia. Konon, mendengar keinginan Ibrahim Yaacob itu, Soekarno pun berkata, “Mari kita ciptakan satu tanah air bagi seluruh tumpah darah Indonesia.” Ibrahim kemudian menjawab, “Kami orang Melayu akan setia menciptakan ibu negeri dengan menyatukan Malaya dengan Indonesia yang merdeka. Kami orang- orang Melayu bertekad untuk menjadi orang Indonesia.” Perisytiharan kemerdekaan Indonesia dirancang pada 24 Ogos 1945 di Jakarta.

Kekalahan Jepun menyebabkan hasrat Ibrahim Yaacob terbantut untuk membentuk Melayu Raya

Namun, Tuhan juga sebaik-baik Perancang. Setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos, Indonesia cepat – cepat mengisytiharkan kemerdekaan tanpa penglibatan Malaya. Ternyata hal ini amat mengecewakan Ibrahim dan ahli KMM yang lain. Ibrahim juga sedar nasibnya kini di dalam bahaya kerana bekerjasama dengan Jepun. 

Oleh itu, pada 19 Ogos 1945, Ibrahim Yaakob telah melarikan diri ke Jakarta bersama isterinya Mariatun Haji Siraj, iparnya Onan Haji Siraj dan Hassan Manan untuk menemui Soekarno dan para pemimpin republik lainnya lalu bertemu dengan Sukarno untuk proses penyatuan Malaya dan Indonesia.

Namun dek kerana situasi belum aman, Soekarno dan Hatta memutuskan untuk menunda pembicaraan penyatuan Malaya tersebut. Ibrahim juga diminta Soekarno untuk tidak kembali ke Malaya untuk sementara waktu. 

Ibrahim Yaacob (kiri sekali) bersama rakan-rakannya di Kesatuan melayu Muda

Ibrahim kemudian bertukar nama menjadi Iskandar Kamel Agastja, dan bergabung dengan MBT TKR (Markas Besar Tentara – Tent*ra Keamanan Rakyat), diperintahkan membentuk Badan Intelijen SOI Seksi E (Luar Negeri) dengan pangkat Leftenan Kolonel. Tugas utamanya menjadi pengurus Gerakan Kemerdekaan Malaya.

Ibrahim juga ditugaskan untuk membangunkan jaringan perisikan ke Malaya dalam membantu pergerakan nasionalis di Malaya. Beliau mengusahakan pengiriman senjata dari Malaya, Rangoon, dan Manila.

Selain itu beliau juga turut turun padang ke semua daerah pendudukan Belanda di Indonesia serta membentuk dan memimpin GKR (Gerakan Rev*lusi Rakyat) di Solo menentang PKI (Partai K*munis Indonesia). Pada P*rang Kemerdekaan 2 (Agresi Militer II 19 Desember 1948), Ibrahim berjuang secara g*rila a di daerah Karanganyar dan Merapi, hingga kembali ke Jogjakarta pada Ogos 1949.

Delegasi dari Malaya bersama yang diketuai Tun Razak bersama Ibrahim Yaacob di Jakarta pada 1955

Menjelang tahun 1951, Ibrahim memutuskan untuk mengundurkan dari dari bidang ketent*raan dan beralih ke lapangan politik. Beliau ditugaskan ke Kementerian Luar Negeri dan membentuk KEMAM (Kesatuan Malaya Merdeka) yang berjuang untuk kemerdekaan Malaya dari Indonesia.

Ibrahim juga menjadi anggota pimpinan PNI (Partai Nasional Indonesia) cabang Jakarta Raya hingga tahun 1958. Ketika era “Demokrasi Terpimpin”, Ibrahim sempat menjadi anggota MPRS (Majelis Permusyawaratan Rakyat Sementara) mewakili Riau. Di dalam Kempen Trikora (Tri Komando Rakyat),  Ibrahim dilantik sebagai Bendahara Kongres Rakjat Indonesia sekitar 1958-1960. 

Ketika Kempen Dwikora (Dwi Komando Rakyat), Ibrahim Kembali memimpin KEMAM, dan membantu proses penghantaran pasukan ke Malaya dan Borneo Utara Hingga Tahun 1964 dan dlantik sebagai seorang pegawai  kepada Leftenan Jeneral Ahmad Yani.

Ketika Peristiwa 30 September berlaku, Ibrahim ditugaskan untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan Partindo dan membersihkannya dari unsur-unsur k*munis. Setelah membubarkan Partindo, Ibrahim bergabung dan menjadi Ketua III Partai Murba pada tahun 1967.

Ketika Pemilu 1971, Ibrahim telah tercalon sebagai anggota DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) dari daerah pemilihan Jawa Barat melalui Partai Murba, namun tewas. Pada tahun 1976, Ibrahim telah dilantik sebagai anggota Majlis Pertimbangan Partai (MPP) di Partai Demokrasi Indonesia (PDI). 

Kata-Kata Ibrahim Yaacob selepas bertemu dengan Tun Razak pada 1973

Walaupun nama Ibrahim mulai berkembang di Indonesia, beliau sesekali tidak akan lupakan tanah kelahirannya, Malaya ataupun Malaysia. Pada tahun 1973, beliau pulang semula ke tanah kelahirannya setelah berpuluh tahun menjadi rakyat negara jiran. 

Setelah itu Ibrahim mengundurkan diri dari politik dan terjun ke dunia perniagaan. Beliau juga turut menjadi salah seorang pengasas Bank Pertiwi dan dilantik sebagai pengarah bank tersebut. 

Pus*ra Ibrahim Yaacob di Taman Mak*m Pahlawan Kalibata

Pada 8 Mac 1978, tokoh politik Nusantara ini pergi menghadap PenciptaNya bersama-sama impiannya Melayu Raya / Indonesia Raya yang tak dapat direalisasikan sepanjang hidupnya. Pejuang Nasionalis ini mendapat penghormatan tertinggi dan dikebumikan sebagai pahlawan di Taman Makam Pahlawan Kalibata.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.