Bila berbicara sumbangan para cendekiawan Islam terhadap tamadun moden hari ini, tiada siapa boleh menafikan input besar mereka dalam bidang perubatan dari pembedahan sehinggalah psikologi.

Tanpa input dan penambahbaikan yang dibawa mereka, agak sukar untuk kita melihat kemajuan perubatan yang dinikmati hari ini. Dan salah seorang daripada cendekiawan ini yang bertanggungjawab meletakkan batu asas dalam perubatan moden. Cendekiawan yang dimaksudkan ialah Ibnu Sina.

Biografi

Ibnu Sina atau nama sebenarnya Abū ʿAlī al-Ḥusayn ibn ʿAbdullāh ibn al-Ḥasan ibn ʿAlī ibn Sīnā dilahirkan di Afshana, sebuah perkampungan di pinggir Bukhara, Uzbekistan pada tahun 980. Menurut pandangan kebanyakan cendekiawan, walaupun ramai ahli keluarganya berfahaman Ahli Sunnah, bapanya Abdullah merupakan seorang cendekiawan dari Balkh yang mengikut fahaman Ismailiyah.

Sejak dari kecil lagi, Ibnu Sina sudah menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu. Pada usia seawal 10 tahun, beliau mampu khatam dan menghafal keseluruhan Kalamullah serta puisi-puisi Arab.

Selain itu, Ibnu Sina juga turut mempelajari aritmetik (matematik), fiqh, perubatan dan falsafah. Antara guru-gurunya pada ketika itu ialah Mahmoud Massahi, Ismail al-Zahid dan Abu Abdullah al-Nateli.

Semasa berusia 16 tahun, Ibnu Sina beralih ke dunia perubatan. Beliau bukan saja mempelajari teori-teori perubatan tetapi juga memperkenalkan rawatan-rawatan yang bersifat revolusi kepada para pesakitnya.

Menjelang usia 18 tahun, kariernya sebagai pakar perubatan bermula selepas berjaya merawat Sultan Bukhara dari Dinasti Samanian, Nuh II. Selang beberapa tahun, baginda jatuh gering dek penyakit dalam perut.

Bukan sedikit para tabib dipanggil termasuk yang bertaraf tabib diraja tetapi kesemuanya gagal merawat penyakit yang dialaminya. Justeru, apabila kepakaran Ibnu Sina dalam dunia perubatan tersebar di Bukhara, Nuh II memanggilnya menghadap untuk merawat penyakit baginda.

Dengan izin Allah s.w.t tetapi mengejutkan orang ramai, baginda kembali pulih. Untuk membalas jasa anak muda yang mempunyai pemikiran berpandangan jauh itu, Nuh II bukan saja melantik Ibnu Sina sebagai tabib diraja tetapi memberinya akses kepada perpustakaan diraja yang mengandungi 30,000 kitab dalam pelbagai disiplin ilmu.

Walaupun sibuk dengan urusan di istana, beliau tetap berusaha membantu bapanya dalam soal kewangan. Tetapi tragedi menimpa anak kelahiran Bukhara itu bila Abdullah kembali ke rahmatullah pada tahun 1002. Sebelum itu, beliau juga kehilangan penaungnya, Nuh II yang mangkat pada tahun 997 Masihi.

Dua tragedi ini ditambah dengan ketidakstabilan yang melanda Dinasti Samanian yang berakhir pada 1004 mendorongnya untuk berhijrah. Selepas berkelana ke beberapa tempat termasuk Nishabur dan Merv, beliau akhirnya memilih menetap di Hamadan. Di situ, beliau disambut baik oleh pemerintah dari Dinasti Buwayhid, Shams al-Dawla di mana beliau bukan saja memegang peranan sebagai tabib diraja tetapi sebagai wazir kerajaan di Hamadan.

Tetapi selepas Shams al-Dawla mangkat pada tahun 1021, beliau mengambil keputusan meletak jawatan sebagai wazir dan menghantar surat kepada pemerintah Isfahan ketika itu, Ala al-Dawla untuk menyatakan hasrat berhijrah ke sana. Namun, hasrat tersebut diketahui putera Shams al-Dawla, Sama’ al-Dawla dan mengakibatkan Ibnu Sina dipenjarakan selama beberapa tahun. Selepas Ala al-Dawla berjaya menakluk Hamadan, barulah beliau dibebaskan dan diberi sambutan meriah apabila tiba di Isfahan.

Tetapi ada satu versi mengatakan Ibnu Sina melarikan diri dari Hamadan dengan menyamar sebagai seorang sufi untuk mengelak konflik pep3rangan antara dua pemerintah itu sebelum tiba di Isfahan.

Yang pasti, untuk tahun-tahun terakhir kehidupannya, beliau terus berkhidmat dengan Ala al-Dawla bukan saja sebagai doktor diraja tetapi juga sebagai penasihat saintifik baginda di sebalik kesibukannya melancarkan kempen ketenteraan kerajaannya. Pada tahun-tahun inilah menyaksikan Ibnu Sina mengalami penyakit kolik yang teruk.

Walaupun ramai rakan menasihatinya untuk menjalani kehidupan secara bersederhana termasuk dari segi kerja, beliau enggan berbuat demikian. Menyedari dirinya berada di ambang ajal, Ibnu Sina menguruskan semua urusannya seperti membebaskan para hamba, bersedekah kepada golongan fakir dan miskin serta memperbetulkan ketidakadilan yang pernah dilakukannya.

Sehingga ke akhir hayatnya, Ibnu Sina tidak putus membaca al-Quran setiap tiga hari. Akhirnya pada Ramadan/Jun 1037 semasa berusia 56 tahun, beliau kembali ke hadrat Ilahi buat selama-lamanya.

al-Qanun fi al-Tibb

Ibnu Sina merupakan seorang penulis tegar. Justeru, tidak hairanlah wujud dakwaan beliau telah menghasilkan 450 karya dalam pelbagai disiplin ilmu tetapi hanya 240 karya sahaja yang terselamat. Karya-karya ini meliputi disiplin perubatan, falsafah, teologi, geometri dan astronomi.

Dalam beberapa riwayat, beliau telah menulis sekurang-kurangnya tujuh buah buku setahun. Beliau juga mempunyai seorang sahabat iaitu seorang ahli fiqh bernama Abu Ubaidah al-Jurjani yang mencatat dan mengimlakkan apa-apa yang terkeluar daripada bibirnya berkenaan ilmu seperti perubatan.

Dalam satu riwayat yang lain, sahabatnya ini telah menyalin karangannya semasa beliau sibuk dalam ekspedisi pep3rangan (berkemungkinan dari ekspedisi ket3nteraan Ala al-Dawla). Karya pertamanya ditulis semasa beliau berumur 21 tahun. Majoriti karya Ibnu Sina dibuat dalam Bahasa Arab dengan beberapa lagi karya dikarang dalam Bahasa Parsi.

Rajah 1: Halaman pertama al-Qanun fi al-Tibb edisi cetakan abad ke-16 yang disimpan di Perpustakaan Sejarah Perubatan Yale.

Karya agungnya, al-Qanun fi al-Tibb, merupakan sebuah ensiklopedia perubatan yang paling lengkap terdiri daripada lima buah buku dan sebuah kod bagi perubatan Tamadun Islam. al-Qanun fi al-Tibb bukan saja menjadi sumber rujukan perubatan utama dunia Islam ketika itu tetapi juga di Barat.

Ini meletakkan nama Ibnu Sina sebaris dengan Hippocrates dan Galen. Malah, berikutan maklumat dalam al-Qanun fi al-Tibb yang lengkap, ia mengatasi karya Zakariya al-Razi iaitu al-Hawi dan Maliki yang dikarang Ali ibn Abbas.

Populariti al-Qanun fi al-Tibb amat hebat sehinggakan versi terjemahan Latin yang dibuat oleh Gerard of Cremona diterbitkan semula sebanyak 16 kali antara 1470 hingga 1500 dan 20 kali antara 1500 hingga 1600 dalam Bahasa Latin dan Bahasa Ibrani. Qanun ini boleh dibahagikan kepada 5 jilid besar iaitu:

  1. Buku yang membicarakan perkara-perkara asas dan umum.
  2. Buku ubat-ubatan ringkas.
  3. Buku penyakit organ-organ.
  4. Buku penyakit yang boleh merebak ke seluruh badan.
  5. Buku ubat-ubatan kompoun.

Jika diteliti secara mendalam kaedah rawatan Ibnu Sina berdasarkan kitab-kitabnya, beliau tidak terlalu terikut-ikut dengan kaedah rawatan teknikal semata-mata. Beliau memasukkan elemen-elemen falsafah dan juga kecenderungannya dalam menggunakan unsur-unsur psikologi bagi merawat penyakit mental.

Kaedah ini dikenali sebagai perubatan psikosomatik pada masa sekarang. Tidak mustahil idea falsafah dan rawatan psikosomatik yang digunakan Ibnu Sina ini berpandukan kepada syarahan dan nota ilmuan era Abbasiyyah abad kesembilan, Abu Zayd al-Balkhi yang memperjuangkan isu psikologi dan kaitannya antara jiwa dengan tubuh fizikal manusia.

Dan ia ada kaitan dengan satu kisah semasa beliau berkhidmat dengan Ala al-Dawlah. Pada satu ketika, baginda mengadu kepada tabib kelahiran Bukhara itu berkenaan seorang anggota kerabat diraja baginda yang gila kerana menyangka dirinya seekor lembu. Selepas itu, beliau merangka satu kaedah rawatan mental untuk si polan itu.

Pada satu hari, Ibnu Sina mengutus sepucuk surat kepada si polan bahawa beliau akan meny3mbelih si polan dalam masa sebulan dan memerintahkannya menggemukkan diri dalam tempoh berkenaan bagi menampakkan dirinya seperti hasil gembala yang subur. Si polan mengikut arahan yang diberi dan makan dalam kuantiti yang banyak.

Sebulan selepas itu, seperti dijanjikan, si polan dibaringkan seperti seekor haiwan ternakan yang sudah bersedia untuk dis3mbelih dengan Ibnu Sina berpura-pura bersedia melakukannya. Tetapi selepas pemeriksaan, beliau membatalkan hasratnya itu dan memberitahu si polan bahawa baginda masih kurus.

Lalu, si polan diberi tempoh sebulan lagi untuk menggemukkan dirinya sebelum peny3mbelihan dapat dibuat. Sebulan kemudian, Ibnu Sina memeriksa si polan dan mendapati baginda enggan dis3mbelih kerana mempunyai pemikiran yang waras. Ini jelas menunjukkan kaitan antara psikologi manusia dengan keadaan fizikalnya yang mana apabila badan sihat secara fizikal, ia memberi kesan positif kepada minda dan begitu juga sebaliknya.

Menerusi al-Qanun fi al-Tibb, beliau menjadikan patologi humoral sebagai doktrin perubatannya yang utama. Patologi humoral ialah satu sistem patologi di mana semua penyakit muncul akibat ketidakseimbangan atau keadaan luar biasa cairan atau humor tubuh badan. Menurut Ibnu Sina, jenis humor, elemen dan suhu di mana perkadaran telah ditetapkan secara semulajadi untuk setiap individu. Doktrin ini boleh dikesan sejauh nota-nota yang dibuat oleh Hippocrates.

Menurut beliau, seseorang itu sihat apabila perkadaran humor dari segi kualiti dan daya seimbang tetapi menjadi istimewa apabila ia dicampur dengan betul. Justeru, kesihatan yang baik ialah harmoni antara humor manakala penyakit pula merupakan petanda ketidakseimbangan humor berlaku akibat lebihan atau kekurangan humor. Justeru, cara rawatan mestilah bersifat memulihkan kembali keseimbangan humor dalam badan bagi membolehkan seseorang itu kembali pulih.

Tidak ramai tahu pandangan farmakologi Ibnu Sina sebenarnya melangkaui zamannya dan setara dengan pandangan farmakologi moden. Contoh dari segi penggunaan terapi ubat-ubatan dan campuran d4d4h, ia hanya akan digunakan apabila penyakit yang dialami seseorang pesakit bertambah parah dan ia hanya boleh digunakan untuk situasi perubatan yang menyenangkan.

Beliau juga turut menekankan kepentingan dos, rejim pengambilan dan jadual pengambilan dos yang tersusun. Malangnya, sesetengah pengamal perubatan moden gagal mematuhi dogma asas farmakologi ini.

Rajah 2: Ibnu Sina percaya ubat jika diambil mengikut kadar sepatutnya dan mengikut dos yang digariskan doktor boleh membantu pesakit sembuh. Pandangan farmakologinya dilihat sama seperti pandangan farmakologi moden hari ini.

Misalnya untuk k4nabis (g4nja), Ibnu Sina merujuk beberapa ciri yang dimiliki bahan berkenaan dan merujuknya sebagai karminatif dan pengontang. Manakala untuk analgesia pula, beliau menyifatkan c4ndu sebagai d4d4h paling kuat dengan alternatif sebagai pengganti c4ndu ialah p0pi, hemlock, biji dan akar Mandrake.

Ciri semua bahan ini merupakan sebahagian daripada 700 d4d4h dan ubat-ubatan yang direkodkan dalam al-Qanun fi al-Tibb termasuk cara penggunaannya. Selain itu, beliau juga turut menggariskan tujuh peraturan siasatan yang boleh diharapkan berkenaan kesan d4d4h yang dilihat amat ketat dan memenuhi standard siasatan perubatan hari ini.

Beliau turut mencadangkan sesetengah penyakit muncul akibat dibawa dari air memandangkan ada sesetengah haiwan yang hidup dalam air tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ibnu Sina juga turut menyentuh isu mikrob bawaan udara di mana beliau melihat apabila udara sesebuah kawasan tercemar, ia mengakibatkan sesiapa yang menghelanya jatuh sakit.

Menerusi al-Qanun fi al-Tibb, beliau juga menjadi orang pertama yang membezakan antara jaundis hemolisis dengan jaundis halangan. Dan seperti Galen, Ibnu Sina turut menerangkan klasifikasi perubatan Galen. Contohnya dalam al-Qanun fi al-Tibb, beliau menerangkan 15 jenis bentuk kesakitan seperti bengkak, keletihan, kegatalan dan tikaman.

Walaupun lebih dikenali sebagai pakar perubatan berbanding sebagai pakar bedah, Ibnu Sina sebenarnya turut mempunyai kemahiran sebagai pakar bedah. Ini kerana beliau boleh melakukan intubasi pada bahagian larinks.

Sementara dalam merawat penyakit gonorea, beliau juga merupakan orang pertama yang menggunakan kateter yang diperbuat daripada kulit pelbagai jenis haiwan dan mengaplikasikan teknik suntikan intravesika menerusi penggunaan jarum perak. Ibnu Sina turut merawat hidrosele dengan membuat potongan bebas dan menggunakan  ubat yang kuat atau pengkauterian pada bahagian membran.

Disiplin ilmu lain

Selain memberi input yang besar dalam dunia perubatan menerusi al-Qanun fi al-Tibb, beliau turut memberi input dalam bidang-bidang lain. Dalam bidang geologi misalnya, Ibnu Sina menulis panjang lebar tentang pembentukan dan klasifikasi jenis mineral.

Nota-notanya dalam bidang ini menjadi rujukan orang Barat sehingga era Renaissance. Malah, ia juga menjadi asas kepada idea-idea geologi yang dipelopori cendekiawan Nasrani abad ke-13. Disebabkan pelbagai input penting yang dibawa Ibnu Sina, tidak hairanlah selain dikenali sebagai Bapa Perubatan, orang Barat menggelarnya Bapa Geologi.

Semasa dipenjarakan akibat konflik antara Sama’ al-Dawla dengan Ala al-Dawla, beliau telah merangka satu paradoks berkenaan jiwa dan tubuh manusia. Andaikan ada seorang manusia sedang terapung di satu ruang kosong dan kelam. Disebabkan keadaan di sekelilingnya tak mempunyai apa-apa stimulus, deria-deria manusia berkenaan gagal merasai apa-apa pun.

Seterusnya, manusia itu mempersoalkan adakah dia masih wujud atau tidak. Paradoks ini membicarakan tentang tubuh dan jiwa manusia itu berlainan. Dualiti. Oleh kerana tubuh tak dapat merasai apa-apa stimulus, maka secara teorinya dia dianggap mati, tapi sebab dia masih berfikir, maka dia wujud. Paradoks yang dicadangkan Ibnu Sina ini mempunyai persamaan dengan falsafah Descartes tentang Skeptisisme.

Dalam bidang muzik pula, beliau turut memberi impak besar dari segi teknik muzik. Ibnu Sina menulis secara panjang lebar elemen harmoni dan mensura muzik di mana setiap not diberi nilai istimewa dan kadar tetap dibuat antara setiap not. Beliau juga turut menunjukkan minat bagaimana muzik boleh menjadi alat rawatan terapeutik dan bagaimana ia mempengaruhi emosi manusia.

Kajiannya dalam bidang muzik amat penting dan melangkaui karya-karya muzik kontemporari dalam Bahasa Latin. Dan ini didedikasikan dalam seksyen kelapan kitabnya yang bertajuk Kitab al-Shifa. Sumbangannya merupakan penambahbaikan daripada input yang dibawa al-Farabi dalam bidang muzik dan dianggap paling signifikan pada zamannya.

RUJUKAN

  1. Iqbal, A. et al. (2011). Ibn Sina: The Prince of Physicians. Hamdard Medicus. https://www.researchgate.net/publication/230596527_Ibn_Sina_The_Prince_of_Physicians
  2. Tbakhi, Abdelghani dan S Amr, Samir. (2007). Ibn Sina (Avicenna) : The prince of physicians. Annals of Saudi Medicine. https://www.researchgate.net/publication/45260593_Ibn_Sina_Avicenna_The_prince_of_physicians
  3. Akmal, Ammar. (2017). Ibnu Sina: Ilmuan Agung Orang Islam. The Patriots. https://thepatriots.asia/ibnu-sina-ilmuwan-agung-orang-islam/
  4. Amri, Hakima, Micozzi, Marc S dan Abu-Asab, Mones. (2013). Avicenna’s Medicine: A New Translation of the 11th-Century Canon with Practical Application for Integrative Health Care.Vermont: Healing Arts Press.
  5. Saad, Ismail. (1992). Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  6. Fayyad, Sulayman. (2003). Siri Tokoh Cendekiawan Islam 7: Ibn Sina, Pakar Perubatan. Cetakan kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.