Tidak ramai tahu, terlalu banyak sumbangan para cendekiawan Islam terhadap dunia moden hari ini dalam pelbagai bidang dari bidang astronomi hinggalah bidang perubatan. Antara nama-nama yang dianggap tidak asing ialah Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Rusyd, Jabir ibnu Hayyan, al-Biruni dan Ibnu al-Nafis. Ibnu al-Nafis menjadi sebutan ramai kerana hasil kerjanya berkenaan peredaran darah pulmonari muncul jauh lebih awal berbanding teori anatomi William Harvey dalam bukunya De Motu Cordis.

Biografi

Bagi peminat sejarah terutama dunia perubatan, ramai mengenalinya sebagai doktor perubatan dan pakar anatomi tubuh manusia. Tetapi cendekiawan yang dilahirkan di sebuah kampung bernama Karashia berhampiran Damsyik pada tahun 1213 ini juga merupakan seorang ahli teologi, sasterawan dan ulama mazhab Syafie yang terkenal.

Buktinya, semasa kecil beliau sudah menunjukkan minat terhadap teologi, sastera dan falsafah sebelum menuntut ilmu perubatan di Hospital Nuri selama 10 tahun. Beliau dianggap sezaman dengan seorang lagi ahli perubatan terkenal, Ibnu Abi Usaibia dengan kedua-duanya pernah mendapat didikan doktor terkenal abad ketika itu, al-Dakhwar. Bagaimanapun, nama Ibnu al-Nafis tidak disebut dalam semua kamus biografi Kehidupan Para Tabib karangan Ibnu Abi Usaibia berkemungkinan atas sebab perseteruan peribadi atau persaingan antara mereka berdua.

Pada tahun 1236, Ibnu al-Nafis bersama beberapa orang rakannya berpindah ke Mesir atas permintaan pemerintah kerajaan Ayubiyyah ketika itu, Sultan Malikul Kamil atau Meledin. Beliau dilantik sebagai ketua doktor di Hospital Al-Naseri di mana beliau bertanggungjawab mengajar ilmu perubatan dan merawat pesakit di situ selama beberapa tahun. Semasa di Al-Naseri, salah seorang pelajar Ibnu al-Nafis yang terkenal ialah Ibnu al-Quff, seorang cendekiawan Arab beragama Nasrani. Selain sibuk mengajar di Al-Naseri, beliau juga meluangkan masa sebagai tenaga pengajar di Madrasah al-Masruriyyah.

Kebanyakan masa Ibnu al-Nafis dihabiskan di Mesir dan beliau menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa yang menimpa umat Islam ketika itu seperti kejatuhan Baghdad di tangan pihak Mongol dan kebangkitan kerajaan Mamluk. Melihat kepada reputasinya sebagai doktor perubatan terkenal, maka tidak hairanlah ramai pemimpin terkenal ketika itu seperti Sultan Az-Zahir Baybars memilih beliau sebagai doktor peribadinya.

Semasa Ibnu al-Nafis berusia 74 tahun, beliau dilantik sebagai ketua doktor di Hospital al-Mansori dan terus berkhidmat di sana hingga ke akhir hayatnya. Sebelum kembali ke rahmatullah pada tahun 1288, Ibnu al-Nafis mendermakan rumah dan perpustakaannya kepada Hospital Qalawun agar ia dapat dimanfaatkan untuk kegunaan orang awam.

Kajian sistem peredaran darah

Antara kitab yang mengharumkan namanya dalam dunia perubatan ialah Al-Shamil fi al-Tibb (Ensiklopedia Perubatan Menyeluruh) dan Sharh Tashrih al-Qanun (Komentar Anatomi dalam kitab al-Qanun karya Ibnu Sina). Sebelum penemuan kitab Sharh Tashrih al-Qanun pada tahun 1924 oleh Dr Muhyo al-Tatawi, seorang pakar perubatan Mesir, ramai menganggap individu yang bertanggungjawab menemui sistem peredaran darah manusia ialah Michael Servetus (1511-1553) dan Realdus Colombo (1516-1559).

Namun, dapatan maklumat dalam kitab karangan Ibnu al-Nafis itutelah membuatkan sejarawan seperti Aldo Mieli, Max Meyerhof dan Edward Cappola mengesahkan bahawa sumbangan beliau sebenarnya telah merungkai kebuntuan para pengkaji sistem peredaran darah dengan menghubungkait sistem kardiovaskular dan sistem pernafasan manusia.

Kajian Ibnu al-Nafis itumerupakan kesinambungan daripada penemuan ramai sarjana sebelum beliau seawal zaman sebelum masihi (SM) iaitu ketika Mesir Purba (1700-1500 SM), Yunani Purba (500-325 SM) dan Alexandria (325- 250 SM) sebelum diteruskan pada era Rom khasnya semasa era Galen (130-210) sehinggalah kepada zaman William Harvey (1578-1657).

Ilmu pengetahuan berkaitan sistem anatomi dan fisiologi jantung serta peredaran darah yang telah berkembang sejak zaman Mesir Purba lagi melibatkan kepercayaan bahawa jaringan saluran darah bersambung dengan jantung dan bertanggungjawab terhadap denyutan nadi, peredaran udara, bahan kumuh, darah dan roh. Perkara ini telah dicatatkan dalam Ebers Papyrus yang merupakan rekod ilmu perubatan Mesir di atas lembaran kertas papirus yang dibeli oleh Georg Ebers pada tahun 1873.

Seribu tahun kemudian, Hipprocrates (460-375 SM) menerusi karya On the Heart pula semasa zaman Yunani Purba telah memperincikan lagi sebahagian daripada sistem kardiovaskular manusia. Beliau menyebut paru-paru melitupi jantung bagi ‘menyejukan’ organ tersebut akibat aktiviti lasak mengembang dan menguncup.

Selain itu, beliau juga berpandangan jantung mempunyai dua ruang atau ventrikel yang mana ventrikel kiri lebih kecil daripada ventrikel kanan, namun dinding ototnya lebih tebal akibat ‘haba’ yang terhasil di dalam ruang tersebut. Ventrikel kiri pula dikatakan tidak menampung darah tetapi hanya mengisi hempedu kuning yang turut menempatkan ‘semangat’ (spirit) dan ‘minda’ (mind). Manakala Aristole (384-322 SM) pula membuat kesimpulan selepas melakukan pembedahan ke atas beribu haiwan dengan menyatakan jantung mempunyai tiga ventrikel dan dua saluran darah yang besar yang kini dikenali sebagai vena cava dan arteri pulmonari.

Biarpun pandangannya tentang tiga ventrikel dianggap silap, kajian Aristotle membantu pemahaman terhadap sistem saluran darah yang bersambung dengan jantung serta peranan masing-masing ketika membawa darah masuk dan keluar daripada jantung. Herophilus (325-255 SM) pada zaman Alexandria di Mesir pula telah mendapati bahawa arteri juga mengucup dan mengembang serta memiliki dinding saluran yang enam kali lebih tebal daripada vena.

Erasisratus (310-250 SM) pula memperincikan berkenaan injap semilunar yang berbentuk bulan sabit dalam ruang jantung yang dikenali kini sebagai injap tricuspid dan bicuspid. Beliau menyatakan darah yang masuk ke ventrikel kanan jantung akan terus paru-paru sebelum membawa ‘udara’ kembali ke ventrikel tersebut. Udara tersebut menimbulkan satu kepercayaan baharu bahawa ia dibawa bersama ‘semangat’ (vital spirit) dalam badan.

Penaklukan Alexandria di Mesir oleh Empayar Rom mengakibatkan aktiviti penyelidikan berkaitan sains perubatan terjejas kerana pembedahan ke atas mayat manusia tidak lagi dibenarkan. Namun, itu tidak menghalang tokoh besar seperti Cladius Galen (130-201) dari membuat penemuan ventrikel kiri jantung lebih pejal dan berotot berbanding ventrikel kanan kerana peranan yang berbeza dalam menerima dan mengepam darah, bukannya akibat ‘haba’.

Kekangan yang dihadapi Galen ketika itu menyebabkan beliau menganggap bahawa darah beredar melalui ‘rongga halus’ pada dinding pembahagi antara dua ventrikel (interventricular septum). Malah, Galen turut menyangkal dakwaan tokoh-tokoh sebelum beliau dengan mengatakan bahawa bukan udara yang kembali melalui arteri pulmonari, tetapi darah yang kemudian melepasi ‘rongga halus’ tersebut untuk ke ventrikel kiri.

Untuk beberapa ratus tahun berikutnya terutama semasa Zaman Keemasan Islam, teori Galen ini digunapakai dalam dunia perubatan terutama dalam soal anatomi. Tetapi teori tersebut mula dicabar dengan Ar-Razi(856-925) umpamanya mengkritik pandangan Galen dengan menyatakan jantung tidak mempunyai tulang sebagai pelapik bawah organ tersebut. Sementara Hally Abbas(930-994) dan Al-Akhwayni Bukhari (meninggal tahun 983) pula telah memperincikan arteri koronari. Namun begitu, Ibnu Sina(980-1037) telah mengangkat semula karya Galen dan Aristole berkaitan ‘rongga halus’ pada dinding septumdalam karya beliau.

Tetapi teori Ibnu Sina yang mengangkat karya Galen dan Aristotle ini ditolak Ibnu al-Nafis termasuk pandangan jantung mempunyai tiga ventrikel. Beliau juga telah memperincikan sistem pernafasan dengan lengkap setelah melakukan banyak bedah siasat ke atas mayat bagi merungkai persoalan yang telah dibangkitkan.

Hal ini penting kerana pada zaman Ibnu al-Nafis, karya penulisan Galen dan Ibnu Sinasangat mempengaruhi pemahaman ilmu berkaitan peredaran darah sejak sekian lama. Menerusi kitab Qanun At-Tibb, Ibnu Sina juga memberi komentar terhadap karya Galen bertajuk On the Natural Faculties (ditulis pada tahun 170) Sumbangan Galen berkenaan perincian sistem peredaran darah menarik perhatian ramai cendekiawan perubatan ketika itu termasuk Ibnu Sina dan Ibnu al-Nafis.

Rajah 1: Perincian sistem peredaran darah manusia oleh Galen dan diolah semula oleh Barbara J. Becker. Sumber: SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN ILMU BERKAITAN PERUBATAN TRANSFUSI DAN SUMBANGAN IBN NAFIS SEBELUM WILLIAM HARVEY, 1628, Jurnal Al-Tamaddun, Bil. 13 (2).

Galen menyatakan makanan yang diproses dalam perut akan diserap oleh hati (label 1) untuk proses penghasilan darah dengan bantuan ‘natural spirit’ sebelum melalui vena cava (label 2) untuk ke jantung. Sebahagian darah akan mengalir ke ventrikel kanan jantung (label 3) untuk memasuki paru-paru melalui arteri pulmonari bagi membekalkan nutrisi.

Baki aliran darah tersebut pula akan ke ventrikel kiri jantung (label 4) melalui ‘rongga halus’ di dinding pembahagi antara dua ruang ventrikel jantung (interventricular septum). ‘Rongga halus’ yang disebutkan ini telah bikin telinga ramai sarjana perubatan berasap selama hampir satu milenia sebelumnya.

Bagi menjawab teori Galen dan Ibnu Sina, Ibnu al Nafis melalui karya beliau Syarah Al-Tashreeh al Qanun telah menjawab kitab Qanun At-Tibb sebenarnya merupakan kesinambungan kerja Galen. Beliau menyatakan bahawa darah sebenarnya mengalir dari ruang ventrikel kanan jantung ke ruang ventrikel kiri tanpa melalui ‘rongga halus’, iaitu bukan aliran darah secara terus.

Septum iaitu ‘dinding’ antara dua ruang ventrikel jantung ialah otot pembahagi yang pejal dan tidak mempunyai rongga atau bukaan untuk membenarkan aliran darah menembusinya. Sebaliknya, darah akan beredar ke paru-paru terlebih dahulu melalui arteri pulmonari bagi menyerap udara sebelum kembali ke ruang ventrikel kiri jantung melalui vena pulmonari untuk dipam ke seluruh badan. Perkara ini disebutkan oleh Galen sebagai vital spirit seperti yang teah disebutkan di atas.

Komentar Ibnu al-Nafis ini merupakan sesuatu yang sangat menggemparkan dunia perubatan ketika itu kerana beliau telah berjaya merungkai misteri ‘rongga halus’ yang membingungkan banyak pihak sejak sekian lama. Sejarawan perubatan John West berpandangan para saintis dan pakar perubatan Eropah berbangsa Itali seperti Michael Servetus (1511-1553) hanya membuat kesimpulan ulangan sama seperti yang telah direkodkan 300 tahun lebih awal oleh Ibnu al-Nafis.

Selain menyelesaikan permasalahan ‘rongga halus’, beliau juga menjangkakan kewujudan manafidh atau jaringan halus yang menghubungkan antara arteri pulmonari dan vena pulmonari dalam paru-paru. Jaringan halus ini akhirnya diperincikan oleh Marcelo Malphighi (1628-1694) sebagai kapilari pulmonari (pulmonary capillaries) iaitu salur darah halus yang menjadi medium untuk darah membebaskan gas karbon dioksida dan menyerap gas oksigen seperti yang diketahui perubatan moden hari ini.

Pandangan Falsafah Ibnu Al-Nafis

Pandangan falsafah beliau dimuatkan dalam sebuah karya fiksyen iaitu Risālat Fādil ibn Nātiq yang ditulis oleh beliau untuk menjawab sebuah novel tulisan Ibnu Tufail bertajuk Hayy ibn Yaqdhan yang ditulis semata-mata untuk menyerang kitab tulisan Imam Al-Ghazali bertajuk Tahāfut al-Falāsifa. Untuk pengetahuan semua, novel ini merupakan antara novel falsafah terawal dalam sejarah dunia.

Seperti yang kita ketahui, pada fasa yang lebih awal daripada itu, dunia Islam digemparkan dengan kritikan-kritikan Imam Al-Ghazali ke atas Ibn Sina dan ahli falsafah Islam yang lainnya apabila mereka terlalu tenggelam dalam falsafah Yunani dalam mengungkapkan soal berkaitan metafizik. Kritikan Imam Al-Ghazali dibalas oleh ahli falsafah lain seperti Ibn Russhd dan Ibnu Tufail.

Jadi, mahu mempertahankan Imam Al-Ghazali dan karyanya iaitu Tahāfut al-Falāsifa yang ditembak oleh Ibnu Tufail, lantas terhasilnya Risālat Fādil ibn Nātiq. Menurut Ibnu Al-Nafis, buku ini merangkumi usaha beliau mempertahankan sistem dan undang-undang Islam dan doktrin umat Islam mengenai misi Nabi, kebangkitan manusia pada hari kiamat nanti dan mengenai proses perubahan manusia dari alam manusia ke alam lain dalam agama Islam.

Impak sumbangan Ibnu al-Nafis

Penterjemahan karya-karya Mesir Purba, Yunani dan Alexandria kepada Bahasa Arab dan kemudiannya Bahasa Latin telah membantu menyebarkan lagi ilmu pengetahuan termasuklah dalam bidang perubatan di Eropah. Penubuhan Sekolah Perubatan Salerno di Itali pada kurun ke-10 Masihi menyaksikan ramai sarjana perubatan cuba menyambung legasi ilmu berkaitan sistem kardiovaskular dan peredaran darah.

Misalnya Mandino da Luzzi (1276-1326) cuba memberi penekanan semula bahawa jantung mempunyai tiga ventrikel dan berusaha mempopularkan semula ‘rongga halus’ pada dinding septum jantung. Namun, Berengario da Carpi (1470-1550) memperbetulkan semula pandangan itu dengan menyatakan jantung hanya mempunyai dua ventrikel, dua atria dan injap-injap di dalamnya.

Sementara Micheal Servetus (1511-1553) pula membuat perincian lebih mendalam tentang sistem peredaran darah dalam paru-paru lantas mengukuhkan semula penemuan Ibnu al-Nafis sebelum ini bahawa darah beredar daripada ruang kanan jantung dan bukan melalui ‘rongga halus’ pada dinding septum tetapi menerusi saluran kapilari darah paru-paru sebelum kembali semula ke ruang kiri jantung untuk dipam ke seluruh badan.

Kajian Servetus ini merupakan satu ulangan kesimpulan yang bertepatan dengan pandangan Ibnu al-Nafis tentang peranan sistem pernafasan. Beliau juga mendapati wujud perbezaan kegelapan warna darah yang memasuki dan keluar daripada paru-paru. Hari ini perbezaan kegelapan warna darah yang masuk dan keluar daripada sistem paru-paru melalui vena, kapilari dan arteri ini sebenarnya merujuk kepada darah tidak beroksigen (gelap) dan darah beroksigen (cerah).

Tokoh lain seperti Realdo Colombo (1516-1559) turut mengesahkan ketepatan dapatan Micheal Servetus dan Ibnu al-Nafis tentang ketiadaan ‘rongga halus’ pada septum jantung dan menyebut dalam De re anatomica libri XV pada tahun 1559 bahawa darah yang melalui sistem pernafasan mengangkut udara sebelum kembali ke jantung.

Kajian Colombo ini turut disokong oleh seorang lagi tokoh perubatan bernama Andreas Vesalius (1514-1564). Menerusi tulisannya bertajuk De humani corporis fabrica libri septem (1543), beliau pada mulanya mengatakan kewujudan ‘rongga halus’ sebelum membuat pembetulan pada 1559 selepas bersetuju dengan perincian oleh Colombo dalam de re Anatomica.

Karya-karya tokoh perubatan Itali khasnya Micheal Servetus banyak ditempatkan di Universiti Padua dan mempengaruhi kajian perubatan di Eropah pada ketika itu. Universiti itu kemudiannya menjadi tempat pengajian William Harvey (1578-1657) dalam bidang perubatan dengan bimbingan Fabricius ab Aquapendenta (1537-1619) sebelum Harvey menulis karya besarnya Motu Cordis pada 1628.

Jelas sekali bahawa penemuan besar Ibnu al-Nafisberkenaan sistem peredaran darah yang melalui sistem pernafasan terlebih dahulu sebelum kembali semula ke jantung bukan sahaja telah menafikan pandangan akan kewujudan ‘rongga halus’ pada septum jantung, malah membuka lembaran kajian ilmu berkaitan peranan darah yan mengambil udara beroksigen di paru-paru sebelum dipam semula oleh jantung ke seluruh badan.

RUJUKAN:

Zabidi, Muhammad Azrul. (2018). Sejarah Ringkas Perkembangan Ilmu Berkaitan Perubatan Transfusi Dan Sumbangan Ibn Nafis Sebelum William Harvey, 1628 (A Brief Histroy of Development of Transfusion Medicine Related Knowledge and Ibn Nafis’s Contribution Prior to William Harvey, 1628). Jurnal Al-Tamaddun, Bil. 13 (2), 89-102.

Dr. Abu Shadi Al-Roubi (1982), “Ibn Al-Nafis as a philosopher”, Symposium on Ibn al-Nafis, Second International Conference on Islamic Medicine: Islamic Medical Organization, Kuwait (cf. Ibn al-Nafis As a Philosopher Archived 2008-02-06 at the Wayback Machine, Encyclopedia of Islamic World)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.